RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

31 Disember 2012

Banjir dan Harta Sekolah


Banjir yang melanda negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia sejak seminggu yang lalu nampaknya telah mula hampir pulih seperti sedia kala. Banyak sekolah di negeri-negeri yang terlibat telah mengalami kerosakan harta benda seperti kerusi, meja dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam tempoh bencana tersebut. Ekoran daripada itu Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Kementerian Pelajaran Malaysia, Sufaat Tumin berkata sesi persekolahan 2013 yang akan bermula pada 1 dan 2 Januari ini mungkin terpaksa ditangguhkan bagi negeri-negeri yang terjejas akibat banjir. Bagaimanapun perkara itu akan diputuskan Pengarah Pelajaran Negeri yang terlibat dengan bencana itu. Katanya, pengarah negeri perlu mengambil kira laporan dan perkembangan semasa yang diterima dari bilik gerakan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuat keputusan. Manakala Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekolah-sekolah yang dilanda banjir diberi kelonggaran untuk menangguhkan sesi persekolahan 2013 yang dijadual bermula minggu hadapan, sehingga keadaan kembali pulih.
Mengenai peralatan yang mengalami kerosakan itu, Kementerian Pelajaran akan menggantikan barangan yang rosak di sekolah-sekolah yang terlibat dengan banjir tersebut. Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed berkata, pihaknya sedang meninjau sekolah yang terjejas akibat bencana tersebut bagi membuat penilaian mengenai kerosakan yang dialami. "Kita sedang meneliti langkah-langkah kontinjensi untuk pastikan proses pengajaran dan pembelajaran bagi sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi tidak terjejas." "Penyenaraian daripada segi keutamaan sedang dibuat dan bagi barangan yang kritikal kita akan ganti dengan kadar segera seperti kerusi, meja dan peralatan ICT," katanya. Beliau berkata demikian ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) St. Thomas, Kuantan, pada hari Ahad 30 Disember 2012.
Fenomena banjir melanda khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia akibat daripada perubahan monsun timur laut pada bulan Oktober hingga Mac pada setiap tahun sememangnya sudah dijangka oleh semua pihak. Namun kebiasaan ini kadang-kadang tidak diberi perhatian secara serius oleh pihak-pihak yang tertentu, kecuali oleh agensi-agensi di bawah Majlis Keselamatan Negara/Negeri seperti polis, tentera, pihak-pihak berkuasa tempatan dan sebagainya. Ada baik sekiranya semua pihak khususnya yang melibatkan kepentingan awam seperti pihak sekolah dan sebagainya membuat persediaan yang rapi dalam menghadapi bencana yang rutin ini. 
Dalam konteks ini, saya teringat semasa di sekolah rendah pada akhir tahun 1960-an dan awal tahun 1970-an dahulu, kami murid-murid sekolah di luar bandar dikehendaki menyusun meja dan kerusi di tempat tinggi pada hari akhir persekolahan sebelum cuti akhir tahun. Kami menyusun meja dan kerusi tersebut secara bergotong-royong dengan penuh 'semangat untuk bercuti’ pada ketika itu. Meja dan kerusi yang disusun tinggi itu kemudiannya diletakkan peralatan sekolah yang berharga seperti buku teks, rekod-rekod sekolah, mesin taip dan peralatan pejabat, kotak kapur tulis, peralatan mengajar dan sebagainya. Oleh kerana bangunan sekolah pada masa itu kebanyakan bangunannya satu tingkat, ketinggian susunan meja dan kerusi yang disusun itu hanya akan tenggelam jika berlakunya banjir yang luar biasa seperti yang pernah berlaku pada tahun 1967 atau 1971 di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia.
Untuk itu, oleh kerana rata-rata sekolah sekarang ketinggian bangunannnya lebih dari satu tingkat, maka sekolah-sekolah yang telah jelas terdedah kepada risiko banjir ini dicadangkan perlu lebih proaktif dalam usaha untuk menyelamatkan harta benda sekolah. Bencana yang tidak diduga ini sememangnya sukar untuk dijangka, tetapi persediaannya harus difikirkan secara objektif bukan sekadar menerima sebagai bencana dan kemudiannya mentafsirkan kerugian yang bukan sedikit jumlahnya. Dengan andaian bencana ini akan berlaku pada setiap tahun, maka segala peralatan yang boleh dialih atau diangkat seperti almari, kerusi, meja dan sebagainya boleh disimpan di tempat yang lebih tinggi dalam tempoh hampir dua bulan cuti akhir tahun tersebut. Cadangan ini sememangnya memerlukan kepada semangat kerjasama, tanggungjawab dan keikhlasan yang tinggi dalam setiap jiwa warga sekolah. Tanpa komitmen serta kerjasama yang ikhlas tersebut, perkara ini tidak dapat dilaksanakan. Dengan cara ini sekurang-kurangnya pihak sekolah dapat meminimakan kerugian yang dialami serta dapat menyelamatkan harta sekolah sekiranya berlaku bencana banjir tersebut. Sekian.

01 Disember 2012

Belangsungkawa: Allahyarham En. Sazali Yusof

Pada hari ke-21 cuti Akhir Tahun 2012, seluruh warga IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis telah kehilangan seorang pensyarah di Jabatan Teknologi Pendidikan dengan pemergian Allahyarham Encik Sazali bin Yusof pada hari Sabtu 1 Disember 2012 kira-kira jam 1.00 pagi. Allahyarham yang berusia 47 tahun telah meninggal kerana penyakit kanser yang dihidapinya sejak setahun setengah yang lalu. Semasa hayatnya, Allahyarham telah banyak menyumbangkan tenaganya dengan tugas-tugas di Jabatan Teknologi Pendidikan dan tugas-tugas di IPGKTAA amnya. Allahyarham mula bertugas di IPGKTAA sejak Julai 2007 dan merupakan seorang yang sangat aktif dalam Pertubuhan Pengakap. Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Pengakap Daerah IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah, semoga roh Allahyarham berada di sisi mereka yang beriman dan dirahmati Allah hendaknya.

19 Oktober 2012

Selamat Bersara, En. Roselan Ahmad


Setelah 36 tahun menabur bakti sebagai pendidik, maka pada 30 November 2012 Encik Roselan Ahmad, Timbalan Pengarah IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan akan bersara daripada perkhidmatannya. Beliau yang berasal dari Kota Tinggi, Johor telah mula berkhidmat sebagai guru penolong di SMK Laksamana, Kota Tinggi pada 1 Februari 1976 hingga 31 Disember 1979 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980 hingga 1982. Selepas mendapat ijazah  Sarjana Muda Pengajian Melayu di UKM, beliau sekali lagi kembali ke Johor dan berkhidmat di SMK Sultan Ismail, Johor Bahru pada 1 Ogos 1982 hingga 31 Disember 1982. Pada 1 Januari 1983 beliau kembali berkhidmat di Kota Tinggi iaitu di SMK Tun Habab sehingga 31 Disember 1986. Encik Roselan mula berkhidmat di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (dahulunya Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan dan Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan) mulai 1 Januari 1987 hingga sekarang.

Sebagai seorang pendidik dan pentadbir yang berpengalaman, beliau telah memulakan karier perguruan sebagai Guru Penolong (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah C2) setelah mendapat latihan perguruan di Institut Bahasa, Kuala Lumpur pada tahun 1975. Beliau kemudian telah dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG3 pada tahun 1982 selepas mendapat ijazah daripada UKM. Pada tahun 2002 beliau telah dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG44 dan seterusnya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG48 KUP pada tahun 2004 dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG52 pada tahun 2008. Pada tahun 2012 beliau telah dilantik sebagai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG54.
Apa yang menarik dalam tempoh 36 tahun perkhidmatannya sebagai pendidik, kira-kira 25 tahun atau 69 peratus daripada perkhidmatannya ialah di Institut Pendidikan Guru (IPG). Di IPG beliau telah memegang pelbagai jawatan bermula dengan Pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Warden Kolej Kediaman, Ketua Unit Disiplin dan Tatatertib di Jabatan Hal Ehwal Pelajar pada 1 Januari 1996 hingga 30 Julai 2006, Ketua Jabatan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar mulai 1 Ogos 2006 hingga 30 Mac 2009, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu dan akhirnya sebagai Timbalan Pengarah di IPG ini mulai 1 Februari 2010 hingga sekarang. Selain itu beliau pernah menjadi Konsultan Tadbir Urus dan Kepimpinan IPGKTAA mulai 1 April 2009 hingga 30 Januari 2010 dan melibatkan diri dalam banyak program di peringkat Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kementerian Pelajaran Malaysia.
Selama hampir 10 tahun saya berkhidmat bersamanya, banyak perkara yang boleh dimanfaatkan daripadanya. Beliau merupakan seorang yang lemah lembut, mesra, mudah dibawa berbincang, dan penuh kasih sayang serta penuh rasa empati kepada sesiapa sahaja yang berhadapan dengannya. Beliau juga seorang yang sentiasa ‘turun padang’ dalam apa jua program yang melibatkan IPG ini. Namun demikian, beliau juga seorang yang tegas dalam prinsip pentadbirannya. Beliau telah banyak berjasa dan menempuh pelbagai pengalaman pahit dan manis dalam membangunkan IPG ini yang bermula dari kampus Semambu sehinggalah ke kampus di Kuala Lipis ini. Tempoh perkhidmatan yang bukan sedikit masanya ini menjadikan beliau seorang yang telah banyak menyumbangkan jasa bakti, pendapat dan pandangan yang berkualiti bagi membolehkan IPG (dahulunya maktab perguruan) ini melahirkan guru-guru yang memiliki Sijil, Diploma dan kini Ijazah Perguruan.
Untuk itu kita doakan agar Encik Roselan dapat meneruskan kehidupan selepas bersara nanti dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan di samping keluarga yang tercinta. Pada hakikatnya persaraan bukanlah suatu penghujung kepada sesuatu kehidupan itu, tetapi anggaplah ianya sebagai suatu permulaan ke arah kehidupan yang paling indah tanpa sebarang masalah yang formal dalam hayat kita. Justeru itu, kita berharap agar beliau dapat manfaatkan saat yang paling indah tersebut dengan penuh ketenangan serta penuh ketakwaan. Selamat bersara kepada Encik Roselan.

04 Oktober 2012

Pameran Literasi Bahasa V


Pameran Literasi Bahasa Kali Ke-5 anjuran Jabatan Pengajian Melayu IPGKTAA telah diadakan pada hari Selasa, 2 Oktober 2012 bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Pusat Sumber Al-Kindi, IPGKTAA. Pameran yang disertai oleh para pelajar Semester 2 Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Januari 2012 ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha En. Roselan bin Ahmad, Timbalan Pengarah IPGKTAA. Pameran ini merupakan salah satu syarat wajib yang terdapat dalam Pro Forma Kursus WAJ3104 Literasi Bahasa bagi para pelajar Semester 2. Sebanyak 12 unit PISMP ambilan tersebut telah menyertai pameran yang telah diadakan pada setiap tahun sejak 2008 ini. 

Bahan-bahan yang dipamerkan dalam pameran ini ialah bahan-bahan bantu mengajar yang dibina sendiri oleh para pelajar mengikut unit masing-masing berdasarkan tajuk-tajuk yang telah ditetapkan mengikut pro forma kursus iaitu bahan untuk aktiviti prabacaan, bengkel asas membaca: kaedah fonetik, kaedah abjad, kaedah pandang dan sebut, bengkel aktiviti pratulisan, bengkel aktiviti penulisan mekanis, bengkel penyerapan pemulihan membaca dan menulis dalam mata pelajaran Pendidikan Muzik, Pendidikan Seni Visual, dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, membina dan menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran bukan elektronik.
Selain itu bahan-bahan bantu mengajar yang dibina melalui bengkel pengajaran menggunakan boneka, bengkel pembelajaran secara individu, berpasangan dan berkumpulan, bengkel pembinaan bahan pemulihan dengan power point dan bengkel membuat rakaman bunyi-bunyian dengan menggunakan alat perakam digital.  Kursus wajib ini juga telah menetapkan agar pada setiap akhir semester para pelajar perlu sama ada mengadakan seminar atau mengadakan pameran, atau kedua-duanya sekali bagi tujuan untuk memanfaatkan bahan pemulihan bahasa Melayu tersebut.
Penyelaras Literasi Bahasa, En. Zakaria Khalid menjelaskan bahawa pada tahun 2010 Jabatan Pengajian Melayu telah mengadakan seminar dan pameran serentak selama dua hari bagi tujuan mendedahkan kepada pelajar tentang kaedah-kaedah pengajaran literasi bahasa khususnya kepada murid-murid pemulihan. Beliau membayangkan bahawa seminar seperti itu akan diadakan lagi pada tahun 2013 akan datang. Pakar-pakar yang berkaitan akan dijemput untuk membentangkan kertas kerja dalam seminar yang dijangka akan diadakan pada akhir tahun hadapan. sekian.

09 September 2012

Patin Sungai Jelai


Ikan patin atau nama saintifiknya Pangasius Spp merupakan salah satu spesis ikan air tawar jenis meserba yang terdapat di  sungai-sungai utama di negara ini, antaranya di Sungai Jelai, Pahang. Sungai Jelai merupakan salah satu cawangan Sungai Pahang yang mengalir dari kawasan pedalaman Cameron Highlands melalui Daerah Lipis sebelum bertemu dengan Sungai Tembeling dan masuk ke Sungai Pahang di Kuala Tembeling, Daerah Jerantut. Hulu Sungai Jelai terdiri daripada Sungai Telum, Sungai Jelai Kecil dan Sungai Serau yang mengalir dari Daerah Cameron Highlands dan Gua Musang di Kelantan. Ikan patin yang ditangkap dari Sungai Jelai dikatakan antara yang berkualiti tinggi dan enak rasanya berbanding patin yang ditangkap di sungai-sungai lain di negeri ini.
Sekiranya anda ingin menikmati masakan ikan patin di kedai-kedai makan di sekitar bandar Kuala Lipis, Jerantut atau Temerloh, anda perlu bertanya terlebih dahulu harganya kerana terdapat pelbagai harga yang berbeza mengikut jenis ikan patin. Terdapat beberapa jenis ikan patin dari Sungai Jelai antaranya patin buah (Pangasius Nasutus), patin muncung (Pangasius hypophthmus), patin juara (Pengasius Micromenus) dan patin lawang (Pangasius Sutchi). Harga ikan patin sungai tersebut boleh mencecah RM150.00 untuk satu kilogram dan harga ini boleh meningkat bergantung kepada permintaan para pembelinya.
Semasa kunjungan saya ke pekan sehari Padang Tengku pada hari Ahad 9 September 2012, seorang pemuda sedang menjual ikan patin sungai seberat 13 kilogram dengan harga RM90.00 bagi setiap sekilogram. Kebanyakan pengunjung  yang mengerumuni penjual ikan itu terdiri daripada golongan warga emas yang memang tahu keenakan sebenar rasa spesis ikan sungai tersebut. Ada dalam kalangan mereka yang mengatakan harga RM90.00 sekilogram itu amat murah kerana harga biasa di pasar Kuala Lipis ialah antara RM100.00 hingga RM120.oo sekilogram bagi spesis ikan yang sama. Alamak murah? Bagi saya yang tidak arif dengan harga pasaran ikan sungai ini, harga sekilogram ikan tersebut boleh menampung belanja dapur untuk seminggu.
Rupa-rupanya pendapat kebanyakan warga emas tersebut yang mengatakan harga ikan itu murah adalah benar, kerana dalam tempoh kira-kira tidak sampai dua jam ikan seberat  13 kilogram itu habis dijual. Kebanyakan pembelinya terdiri daripada golongan warga emas yang ’banyak wang’ yang ingin mengembalikan selera terhadap masakan tradisional tempatan sebagaimana mereka rasai semasa muda dahulu. Ini bermakna dalam tempoh tidak sampai dua jam, pemuda penjual ikan patin itu memperolehi RM1,170.00 daripada hasil tangkapannya dari Sungai Jelai. Fuhhh lumayan betul.....

23 Ogos 2012

Renungan Selepas Ramadan


Bulan Ramadan sudah berlalu dan sekarang sudah masuk minggu pertama bulan Syawal 1433. Umat Islam di seluruh dunia telah menyambut Hari Raya pada 1 Syawal yang bersamaan dengan 19 Ogos 2012, Sabtu lepas. Setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan, maka tibalah masanya untuk kita berhari raya pada tahun ini. Pada kebiasaannya kebanyakan daripada kita telah berhabis-habisan berbelanja untuk menyambut ketibaan hari yang mulia tersebut, seolah-olah hari-hari selepasnya tidak lagi memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan. Maka selepas tamat musim perayaan, ramai di antara kita yang menghadapi masalah kewangan akibat daripada ‘berhabis-habisan’ atau ‘pulun sakan’ sebelum musim perayaan tersebut.
Sepatutnya setelah masuk bulan Syawal kita umat Islam perlu bersyukur kerana dapat melaksanakan ibadat puasa dengan sempurna serta dengan perbelanjaan yang sederhana tanpa menjejaskan kualiti kehidupan selepasnya. Namun demikian sekiranya ada di antara kita yang ‘berhabis-habisan’ atau ‘pulun sakan’ di luar daripada kemampuan sendiri kerana desakan nafsu, sudah tentulah akan timbul masalah kewangan selepasnya. Sebagai umat Islam kita ditegah untuk berbelanja melebihi daripada kemampuan sehingga berhutang semata-mata untuk bergaya dan bermegah ketika sambutan Hari Raya.  
Mengikut Pengurus Besar Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), “Sudah menjadi trend, bila habis hari raya pasti ramai datang untuk mendapatkan kaunseling dan mengadu masalah kewangan. Kebanyakan mereka mengaku berbelanja terlalu boros tanpa mengambil kira kemampuan diri dan ramai juga yang terbeban dengan komitmen hutang yang tidak berbayar”. Trend bergaya dengan kemewahan yang sebenarnya kita tidak mampu miliki merupakan tindakan yang sangat besar risikonya. Oleh itu sama-samalah kita saling ingat mengingati antara satu sama lain bahawa berbelanja secara berhemah dan ikut kemampuan itu amat penting dalam menguruskan perbelanjaan seharian. Sekian.

09 Ogos 2012

Cendol Tradisional: Istimewa Bulan Ramadan

Daun pandan
Cendol merupakan salah satu hidangan yang wajib bagi kebanyakan umat Islam di rantau ini pada setiap kali menjelang bulan Ramadan. Paling tidak sekali pada sepanjang bulan ini kita akan menikmati hidangan tradisional yang diwarisi sejak turun temurun ini bagi tujuan menghilangkan rasa dahaga dan menyejukkan badan setelah seharian berpuasa. Cendol sudah semakin menjadi kegemaran ramai lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang semakin panas ini. Kini hidangan tradisional ini telah dihidangkan dengan pelbagai cara dan persembahan yang menarik hasil daripada kreativiti para penjualnya. Pendeknya, sekarang apabila disebut sahaja ‘cendol’ persepsi masyarakat kita sudah berubah hasil daripada olahan kreatif tersebut. Cendol kini telah dicampur dengan pelbagai jenis campuran, antaranya seperti agar-agar, cincau, buah kabung, biji sagu, tapai, pulut dan lain-lain yang dirasakan sesuai atau yang boleh dicampur dengannya. Oleh itu kalau dahulu cendol hanya dikenali sebagai makanan yang dijual di kaki-kaki lima atau di warung-warung kecil sahaja, kini hidangan ini sudah menjadi salah satu menu di hotel-hotel terkemuka di negara kita.



Kisaran batu
Cendol yang kita makan pada hari ini rata-ratanya telah dihasilkan dengan menggunakan kaedah moden yang beberapa aspek pembikinannya telah diubahsuai mengikut citarasa hari ini. Meskipun rasanya agak sama, namun sebahagian daripada bahan-bahan yang digunakan untuk membuatnya merupakan bahan-bahan moden yang jauh berbeza daripada bahan-bahan tradisional. Perisa serta pewarna daripada daun pandan asli yang segar telah digantikan dengan jus dan perasa pandan yang telah diolah untuk kesesuaian warna dan rasanya. Dengan itu keaslian bahan-bahan tersebut menjadikan cendol yang dibuat secara tradisional lebih lazat berbanding cendol yang dibuat secara moden. Benarlah kata salah seorang chef terkenal bahawa terdapat tiga elemen penting yang menjadikan sesuatu masakan itu sedap, pertama resepi masakan yang digunakan, keduanya bahan mentah dan alat yang digunakan untuk memasak, dan yang ketiganya tangan yang memasak masakan tersebut.

Tempurung cendol
Untuk itu, tahukah anda bagaimana cara untuk membuat cendol secara tradisional yang biasa dilakukan oleh nenek moyang kita sejak zaman berzaman? Berdasarkan pengalaman sebagai anak kampung, di sini diperturunkan cara-cara untuk membuat cendol secara tradisional sebagai pendedahan kepada generasi baru.

Cara Membuat Cendol Tradisional:
1.    Beras perlu direndam selama 2 atau 3 jam supaya menjadi lembut sebelum dikisar.
2.  Untuk mendapatkan perisa pandan, daun pandan perlu dipotong halus untuk dikisar bersama-sama dengan beras yang telah direndam. 
Adunan tepung
3.    Campurkan daun pandan yang telah dipotong halus dengan beras yang telah direndam tersebut. Kisar beras yang telah direndam itu dengan menggunakan ‘kisaran batu’ atau ‘pengisar batu’.
4.    Tepung beras yang telah dikisar kemudian dicampurkan dengan sedikit air kapur untuk menjadikan biji-biji cendol tidak lembut dan putus semasa proses ‘meneran’. Kadar campuran air adalah tertakluk kepada kuantiti tepung beras supaya tidak terlalu lembut atau terlalu keras untuk diteran menjadi cendol.
5.    Tepung yang telah dicampurkan dengan sedikit air kapur itu kemudiannya dimasak dengan api yang sederhana dan dikacau secara berterusan supaya tidak berbintil-bintil apabila masak sebelum diteran.

Cendol yang baru dihasilkan 
6.    Masak sampai adunan tepung tersebut menjadi kental dan berkilat. Apabila adunan tepung sudah meletup-letup, bermakna adunan tepung itu sudah benar-benar masak dan sudah boleh diteran.
7.    Sediakan bekas air sejuk (saiz bekas air mengikut kuantiti cendol yang akan dihasilkan) dan ‘tempurung cendol’ untuk proses meneran.
8.    Sebaik sahaja adunan tepung masak, proses meneran perlu dilakukan segera semasa adunan tepung masih panas dan pekat.
9.  Adunan tepung yang sudah masak diceduk dan dimasukkan ke dalam tempurung cendol yang diletakkan di atas permukaan bekas air sejuk tersebut kemudian ditekan (diteran) menggunakan senduk besar atau botol atau apa-apa yang sesuai.
Hidangan cendol
10.  Adunan tepung yang masih panas dan pekat yang diteran itu akan keluar melalui lubang-lubang yang ada pada tempurung cendol dalam bentuk biji-biji cendol  yang bujur dan jatuh ke dalam bekas yang berisi air tersebut.
11.  Lakukan sampai adunan tepung habis. Kepanjangan biji cendol bergantung kepada cara adunan. Ini bermakna ketidaksepadanan air kapur, air, tepung beras dan tahap kemasakannya akan mempengaruhi bentuk biji cendol.
12.  Setelah proses meneran selesai, biarkan cendol yang telah dihasilkan berada dalam air tadahan itu untuk beberapa ketika. Simpan cendol tersebut bersama air tersebut sekiranya tidak mahu dimakan lagi.
13.  Sejatkan airnya untuk hidangan dan hidangkan mengikut citarasa dan kreativiti sendiri.
14.  Sekian.
Selamat mencuba! Tapi, adakah anda mempunyai ‘kisaran batu’ dan ‘tempurung cendol’?

24 Julai 2012

Malam Wacana Dialektologi 2012


Jabatan Pengajian Melayu IPGKTAA telah berjaya mengadakan Malam Wacana Dialektologi 2012 pada hari Selasa 10 Julai 2012 di Dewan Darul Makmur IPGKTAA. Acara penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh En. Mohd. Nordin Abdullah, Setiausaha Akademik IPGKTAA mewakili Tuan Pengarah. Program budaya yang bercorak pertandingan ini telah menampilkan 10 persembahan yang berkonsepkan budaya dan dialek mengikut negeri-negeri yang terdapat di Malaysia. Persembahan selama 2 setengah jam yang julung kali diadakan ini telah menarik minat pelajar semua kaum.  
Penyelaras Program, En. Zakaria Khalid menyatakan program ini merupakan satu usaha untuk membudayakan aktiviti perkongsian idea dan maklumat terkini yang berkaitan dengan dialek dan budaya yang terdapat di negara ini. Persembahan Malam Wacana Dialektologi 2012 menggambarkan penggunaan dialek-dialek serta amalan berbudaya dan berbahasa yang diamalkan mengikut kawasan atau isogloss dialek masing-masing.  Melalui program ini diharapkan akan dapat memberi peluang kepada guru-guru pelatih menerapkan amalan berbudaya dan berbahasa di samping dapat melontarkan pelbagai idea baru berkaitan dengan amalan terkini untuk dikongsi bersama oleh para pendidik.

Program ini juga diharapkan akan membuka minda seluruh warga pendidik tentang perlunya pemahaman dan menghayati dialek-dialek Melayu ke arah peningkatan profesionalisme keguruan keseluruhannya. Program ini berhasrat untuk melahirkan individu guru yang mantap dari sudut berbahasa dan berbudaya semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas apabila mereka berada di pasaran kerja nanti.

Antara kumpulan yang mempersembahkan persembahan mereka ialah kumpulan pelajar Sarawak dengan judul ‘Lagenda Puteri Santubung’, kumpulan pelajar Utara bertajuk ‘Mai Cheq Mai Utaqa’, kumpulan pelajar Pahang bertajukMatwe Koi’, kumpulan pelajar Selangor dan Kuala Lumpur bertajuk ‘Ngetin Tahunan’, kumpulan pelajar Negeri Sembilan bertajuk ‘Ongbak Tinju’, kumpulan pelajar Perak bertajuk ‘Durian Runtuh’, kumpulan pelajar Kelantan bertajuk ‘Kelate Kito’, kumpulan pelajar Terengganu bertajuk ‘Mari Gok Ganu Kite Ni’, kumpulan pelajar Sabah bertajuk ‘Tadau Tagazo do Kaamatan’ dan kumpulan pelajar Johor bertajuk ‘Rewang’.
Selain 10 kumpulan yang bertanding, para penonton juga dihiburkan dengan persembahan kumpulan pelajar kaum Cina yang berjudul ‘Lagu Rakyat’, kumpulan pelajar kaum India mempersembahkan ‘Colours of India’ yang berkonsepkan tarian dan nyanyian, dan persembahan yang agak menarik ialah daripada kumpulan pelajar kaum Peribumi yang berjudul ‘Cermor Mai Hik Bah Loit’. Johan Malam Wacana Dialektologi 2012 telah dimenangi oleh kumpulan pelajar Terengganu yang bertajuk ‘Mari Gok Ganu Kite Ni’, Naib Johan ialah kumpulan pelajar Kelantan yang bertajuk ‘Kelate Kito’ dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan pelajar Pahang yang bertajukMatwe Koi’. Sekian.

05 Julai 2012

Selamat Tinggal Telegram


Setiap kali permulaan kuliah bahasa Melayu, saya biasanya akan menerangkan tentang tahap-tahap pemerolehan bahasa yang dilalui oleh seseorang kanak-kanak sebelum mereka boleh menguasai ayat-ayat dewasa. Salah satu tahapnya ialah tahap telegrafik (telegraphic stage). Tahap telegrafik adalah merujuk kepada tahap pertuturan kanak-kanak yang menggunakan dua atau tiga patah perkataan sebagaimana bahasa yang digunakan dalam telegram. Lalu rata-rata para pelajar saya akan bertanya “Apa dia telegram? Macam pernah dengar, tetapi tidak tahu apa bendanya.” Saya kemudian terpaksa menerangkan dengan terperinci apa dia maksud telegram kepada ‘generasi baru’ ini supaya mereka dapat memahami sepenuhnya tajuk pengajaran saya tersebut.
Istilah ‘telegram’ bagi generasi lama bukanlah sesuatu yang asing kerana sistem telekomunikasi klasik ini biasa digunakan pada zamannya. Tetapi kepada ‘generasi baru’ yang lahir di tengah-tengah kewujudan sistem telekomunikasi moden ini tentunya amat sukar untuk mereka bayangkan dengan tepat apa dia telegram. Mengikut sejarah sistem telekomunikasi ini digunakan di negara ini seawal tahun 1874, yang digunakan oleh Jabatan Pos dan Telegraf dari Kuala Kangsar ke Taiping. Kemuncak penggunaan telegram di negara ini ialah pada sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, yang mana telegram merupakan satu-satunya alat komunikasi untuk menghantar mesej teks ringkas dengan cepat yang menjadikan ia salah satu perkhidmatan yang paling penting pada masa itu.
Mulai 1 Julai 2012, perkhidmatan telegram telah ditamatkan dengan rasminya memandangkan kos penyelenggaraan yang tinggi serta saingan perkembangan teknologi komunikasi semasa. Ini bermakna sistem telekomunikasi yang diperkenalkan sejak 138 tahun itu telah berakhir dan hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Banyak negara telah menamatkan perkhidmatan telegram atas sebab-sebab yang sama. Salah seorang staf yang telah lama berkhidmat dengan Syarikat Telekom Malaysia berkata "Kami generasi lama TM amat merasai kehilangan telegram kerana ia merupakan satu alat komunikasi yang amat penting terutama untuk menyampaikan berita-berita kecemasan. Bagaimanapun perkembangan teknologi membuatkannya kini terpinggir," Selamat tinggal telegram.

05 Jun 2012

'Blue Coach': Contohi Pengguna Kereta Api di Jepun

KTMB telah menerima 14 koc kereta api terpakai dari negara Jepun pada 9 Disember 2010. Koc terpakai yang berusia lebih 40 tahun ini di panggil 'Blue Coach' untuk perkhidmatan tren Malayan Tiger yang telah beroperasi bagi laluan Johor Bahru Sentral (JB Sentral) ke Tumpat. Adalah mengagumkan melihat bagaimana rakyat negara matahari terbit ini mengekalkan fungsi dan keadaan gerabak kereta api itu yang telah menjangkau usia lebih 40 tahun. Koc yang pernah digunakan untuk perkhidmatan antara Tokyo ke daerah baratnya di Pulau Kyushu ini masih dalam keadaan baik.
Kehadiran perkhidmatan Malayan Tiger dengan menggunakan 'Blue Coach' ini telah memperlihatkan beberapa perpektif yang positif dalam konteks masyarakat di Malaysia. Pertamanya dari perspektif kemurahan hati kerajaan negeri Jepun yang menghadiahkan koc-koc terpakai tersebut kepada beberapa buah negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand. Sumbangan ini dapat meningkatkan lagi kerjasama dan persefahaman dalam aspek sistem pengangkutan antara kedua-dua pihak iaitu Jepun dan negara-negara ASEAN tersebut. Teknologi perkhidmatan kereta api di Jepun sememangnya diakui antara yang tercanggih dan termaju di dunia dan sumbangan itu merupakan penghormatan besar kepada Malaysia dan KTMB.
Jadual 'Malayan Tiger' KTMB
Keduanya, sumbangan ini memperlihatkan betapa tingginya nilai budaya masyarakat Jepun yang menjaga harta awam sebagaimana harta mereka sendiri. Pengurus KTMB, Mohd Azami Mohd Zain sebagai dipetik berkata, "Perabot dan kemasan dalaman koc-koc ini masih baik dan dalam keadaan hampir sempurna kerana ia diselenggara mengikut waktu yang tepat. Walaupun sudah berusia, namun koc-koc ini kelihatan seperti baru. Ia dicuci mengikut jadual dan perabotnya telah ubahsuai dan diganti fabriknya. Ia tidak perlu sebenarnya. Orang Jepun amat berhati-hati semasa menggunakan peralatan di dalam kereta api malah mereka memastikan ia boleh digunakan untuk jangka waktu yang panjang tanpa perlu membazir kos tambahan". Tambahnya lagi “Dindingnya juga bersih kerana sikap menconteng 'grafiti' tidak menjadi budaya hidup warga Jepun yang penuh beradab”.
Adalah diharapkan perkhidmatan baru KTMB antara JB Sentral dan Tumpat yang dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, YB Datuk Seri Kong Cho Ha pada 19 Disember 2011 ini dapat menarik lebih ramai pengguna perkhidmatan KTMB dan dapat mengekalkan nilai murni sebagaimana yang diamalkan oleh pengguna kereta api di negeri Jepun. Sekian.

19 Mei 2012

Selamat Hari Guru 2012

Setelah beberapa hari berlalu, rasanya tidak terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik. Tarikh 16 Mei pada setiap tahun merupakan hari bagi meraikan golongan pendidik di seluruh pelusuk negara. Sambutan Hari Guru yang dimulakan sejak tahun 1972 ini telah diraikan dengan pelbagai tema yang selari dengan profesion keguruan. Pada tahun  ini tema yang dipilih ialah “Guru Inovatif  Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”. YAB Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan sempena Hari Guru 2012 menyatakan, “Guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata,".
Setelah 41 tahun disambut, sambutan Hari Guru pada akhir-akhir ini telah menampakkan perbezaan yang ketara daripada persepsi para guru. Selain mendengar amanat dan perutusan daripada pihak pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran, sambutan Hari Guru juga seolah-olah suatu peristiwa yang dinantikan oleh para guru untuk mendengar sesuatu pengumuman penting daripada pihak kerajaan yang berkaitan dengan profesion mereka. Pada tahun ini misalnya, diumumkan seramai 24,053 guru iaitu 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma di seluruh negara yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dinaikkan pangkat berkuat kuasa 1 Jun hingga 31 Disember ini.
Tahniah kepada mereka yang memenuhi syarat tersebut, semoga pengumuman tersebut dapat meningkatkan lagi usaha ke arah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Kita juga amat menghargai jasa guru-guru khususnya mereka yang berkhidmat di kawasan-kawasan pedalaman yang kebanyakannya tidak mempunyai sebarang kemudahan sebagaimana yang diperolehi oleh rakan-rakan sejawat mereka yang bertugas di kawasan-kawasan bandar atau pinggir bandar. Sesungguhnya jasa dan pengalaman mereka yang bertugas di kawasan-kawasan pedalaman tersebut tidak boleh dijual beli. Kita juga mengucapkan syabas kepada mereka kerana telah membuktikan bahawa mereka juga mampu menjalankan tugas dengan baik meskipun menghadapi pelbagai kesukaran. Inilah terjemahan sebenar kepada tema Hari Guru 2012 iaitu ”Guru Inovatif  Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”. Namun, sejauhmanakah kita mampu menghayati dan merealisasikan tema tersebut dalam melaksanakan tugas kita seharian? Tepuk dada tanya hati, Selamat Hari Guru. Sekian.

Tema Hari Guru 1972 - 2012
2012   Guru Inovatif  Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
2011   Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
2010   Guru Pembina Negara Bangsa
2009   Guru Pembina Negara Bangsa
2008   Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007   Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006   Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005   Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004   Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003   Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002   Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001   Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000   Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999   Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998   Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997   Guru Bestari Sekolah Bestari
1996   Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995   Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994   Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993   Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992   Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991   Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990   Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989   Guru Pembina Budaya Ilmu
1988   Guru Pengasas Budaya Membaca
1987   Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986   Pendidikan Teras Nasionalisme
1985   Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984   Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983   Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982   Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981   Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980   Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979   Murid Sejahtera Negara Jaya
1978   Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977   Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976   Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975   Guru dan Pembangunan Negara
1974   Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973   Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972   Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara 

16 April 2012

Praktikum Perguruan: Dahulu dan Sekarang

Praktikum atau latihan mengajar merupakan latihan praktik bertujuan menyediakan ruang kepada guru pelatih untuk memerhati, menilai amalan pengajaran dan pembelajaran. Latihan ini juga membolehkan guru pelatih merancang pengajaran dan pembelajaran dengan mengaplikasi teori-teori yang dipelajari di Institut Pendidikan Guru (dahulunya Maktab atau Institut Perguruan) melalui bimbingan dan kolaborasi dengan guru pembimbing, pensyarah pembimbing dan rakan sebaya dalam pelbagai situasi. Pada sepanjang 30 tahun perkhidmatan saya dalam bidang perguruan, saya telah melalui 4 kali praktikum iaitu 2 kali semasa belajar di maktab perguruan dan 2 kali semasa belajar di universiti. Semua praktikum tersebut dijalankan selama sebulan setengah (6 minggu) bagi setiap fasa.
Praktikum Fasa 1 saya semasa Tahun 1 di Maktab Perguruan Gaya ialah di SMK Likas, Kota Kinabalu, manakala Praktikum Fasa 2 semasa Tahun 2 ialah di SMK Badin, Tuaran yang jaraknya kira-kira 35 km dari maktab kami. Semasa di Universiti Pertanian Malaysia pula Praktikum Fasa 1 saya ialah di SMK Alor Akar, Kuantan dan Praktikum Fasa 2 di SMK Abu Bakar (SABS) juga di Kuantan, Pahang. Semasa kami di maktab perguruan semua guru pelatih yang keluar menjalani praktikum dihantar dan diambil dengan menggunakan kenderaan maktab dan bas yang disewa khas. Namun semasa di universiti guru pelatih yang keluar menjalani praktikum dikehendaki menguruskan sendiri segala yang berkaitan dengan pengangkutan dan penginapan masing-masing.
Pada ketika itu kami menjalani praktikum dengan serba kekurangan namun berbekalkan dengan semangat yang tinggi. Semua alat bantuan mengajar kami buat sendiri secara manual tanpa kemudahan komputer dan internet sebagaimana hari ini. Alat bantu yang wajib ada pada kami pada ketika itu ialah papan gulung, radio kaset, kad manila dan lain-lain benda maujud yang sesuai dengan tajuk pengajaran dan pembelajaran. Kami membuat sendiri papan gulung dengan menggunakan kertas minyak yang berwarna coklat dipaku kepada dua batang kayu dan dicat menggunakan cat berwarna hitam. Kami akan menulis contoh-contoh ayat atau sebagainya untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Pendeknya tiada guru pelatih yang datang berlenggang ke sekolah pada ketika itu, paling tidak mereka mengelek papan gulung atau membimbit radio kaset dan sebagainya.
Manakala pada setiap hari kami dikehendaki menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) berdasarkan Rancangan Pengajaran Mingguan yang telah diselaraskan dengan pihak sekolah. Semua RPH wajib disemak dan disahkan oleh pensyarah pembimbing sebelum digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran pada hari berkenaan. Pengajaran dan pembelajaran tidak boleh dilaksanakan sekiranya RPH tidak disemak dan disahkan oleh pensyarah. Oleh itu kami terpaksa mengejar pensyarah pembimbing pada setiap hari bagi memastikan RPH disemak dan disahkan. Demikian betapa ketatnya kawalan kualiti sistem pendidikan guru pada ketika itu agar maktab perguruan dapat menghasilkan guru-guru yang benar-benar berkualiti. Oleh itu dalam tempoh praktikum, tiada guru pelatih yang hanya duduk bergoyang kaki di asrama, tetapi masing-masing sibuk dengan persediaan alat bantu mengajar. Ada yang menulis di papan gulung, ada yang meminta rakan-rakan membantu membuat rakaman menggunakan radio kaset, ada yang membuat boneka dan tidak kurang juga yang memotong keratan akhbar dan sebagainya untuk dijadikan bahan bantu semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah masing-masing.
Pada masa itu pensyarah pembimbing tidak akan memberitahu kepada guru pelatih di bawah seliaannya tarikh untuk mereka membuat pencerapan praktikum. Kami hanya menyedari kedatangan pensyarah apabila melihat kereta pensyarah berkenaan memasuki pintu pagar sekolah untuk menyelia praktikum. Oleh itu kami sentiasa bersedia dengan RPH dan alat bantu mengajar pada setiap hari sepanjang tempoh praktikum tersebut. Keadaan ini amat berbeza dengan senario praktikum pada masa sekarang di mana kebanyakan guru pelatih dimaklumkan terlebih dahulu tarikh penyeliaan oleh Pensyarah Pembimbingnya.
Secara positifnya guru pelatih diberitahu terlebih dahulu, kerana pada masa sekarang sekolah terlalu banyak program yang memungkinkan guru pelatih tidak dapat dicerap pada hari berkenaan kerana terlibat dengan program berkaitan. Keduanya, kerana kini terdapat kemudahan alat komunikasi seperti telefon bimbit, internet dan sebagainya untuk menyampaikan maklumat berkaitan. Kedua-dua faktor ini tidak terdapat semasa saya berada di maktab perguruan dahulu. Namun daripada segi negatifnya memungkinkan guru pelatih akan membuat persediaan yang baik pada hari pencerapan dibuat sahaja kerana mereka sudah dimaklumkan lebih awal, tetapi pada hari-hari lain mereka hanya membuat persediaan yang sekadarnya sahaja. Walau apapun keadaannya bergantung kepada sikap dan nilai integriti yang ada pada seseorang guru pelatih itu. Mereka yang berkehendakkan sesuatu hasil yang baik tentunya perlu berusaha lebih. Sekian.