RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

22 September 2013

Che Nick dan Che Minah

Che Nick (kanan) dan Che Minah (2 dari kiri)
Alhamdulillah, hasil daripada kecanggihan teknologi maklumat pada hari ini, saya telah dapat mengesan maklumat keluarga pasangan Nicholas Nigel Dodge dan Mina Typaldolve (atau Nick dan Mina Dodge) yang pernah tinggal di kampung kami sekitar Disember 1969 hingga November 1970, semasa saya masih lagi di sekolah rendah. Saya dapat mengesan mereka melalui laman web yang kebetulan saya ‘google’ untuk mencari bahan tugasan dan bahan untuk mengajar. Nick lahir di India pada tahun 12 September 1943, manakala isterinya Mina lahir di PatrasGreece 20 Februari 1941. Mereka dikatakan berkahwin pada tahun 1960. Namun mengikut maklumat laman tersebut pasangan suami isteri ini sudah meninggal dunia.
Catatan belakang gambar yang dihantar  (1972)
Pada akhir tahun 1969 Penggawa (Penghulu) Daerah Pasir Mas, Tok Penggawa Che Kob telah membawa pasangan suami isteri dari Ireland Utara itu ke kampung kami bagi tujuan membuat kajian dalam bidang sosiologi untuk pengajian mereka di peringkat sarjana di University of Ulster, Ireland Utara. Oleh kerana ayah saya mengenali rapat Penggawa (Penghulu) Daerah Pasir Mas iaitu Tok Penggawa Che Kob pada ketika itu, maka beliau dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan rumah sewa untuk mereka tinggal di kampung kami bagi memudahkan aktiviti kajian mereka. Mereka akhirnya dapat menyewa sebuah rumah kampung milik penduduk kampung kami yang bernama Che Ngah Abdullah yang pada ketika itu menjadi peneroka di Tanah Merah, Kelantan.
Pada peringkat awal Nicholas dan Mina berada di sini, mereka menggunakan khidmat jurubahasa untuk memudahkan komunikasi mereka dengan masyarakat kampung, kerana tugas mereka melibatkan temu bual, perbincangan dan sebagainya. Namun setelah beberapa bulan kemudian selepas mereka yakin dapat menggunakan bahasa Melayu dengan baik, mereka tidak lagi menggunakan khidmat jurubahasa tersebut. Bagi tujuan menjadikan mereka mesra dengan penduduk kampung, Nicholas dan Mina meminta penduduk kampung memanggil mereka Che Nick dan Che Minah sahaja. Dalam tempoh tersebut mereka telah sedaya upaya cuba memahami cara hidup kami masyarakat kampung. Pada ketika itu Che Nick ada kalanya memakai kain sarung pelikat yang diikat dengan tali di pinggang, manakala Che Minah sering berbaju kurung. Mereka turut membantu apa sahaja aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat kampung kami seperti kenduri kendara, majlis kahwin, gotong-royong dan sebagainya.
Sun Two Family Restaurant  
Pada hari-hari biasa mereka mengutip data dengan menemubual penduduk kampung atau kadang-kadang mereka ke pejabat-pejabat kerajaan yang berkaitan dengan aktiviti sosio-ekonomi penduduk. Che Nick pada ketika itu memiliki motosikal Yamaha 100 dengan nombor pendaftaran yang bermula dengan huruf pangkal BS tetapi nombornya saya lupa. Dengan motosikal itulah beliau berulang-alik ke Kota Bharu yang terletak kira-kira 20 km dari kampung kami untuk makan tengah hari. Kami difahamkan bahawa mereka biasanya makan di Sun Too Restaurant and Bar (kini Sun Two Family Restaurant), iaitu satu-satunya restoran yang agak masyhur pada ketika itu yang terletak di Jalan Temenggong, Kota Bharu. Mereka menyatakan pada sebelah malamnya mereka hanya makan malam dengan roti Sunshine[1] yang juga dibeli di Kota Bharu. Oleh kerana rumah kami dengan rumah mereka tidak jauh, maka hubungan kami agak rapat. Mereka banyak merujuk kepada keluarga kami apa juga yang mereka perlu lakukan pada ketika itu.
Dr. Danae Dodge
Apa yang saya ingat pada setiap petang Sabtu Che Nick dan Che Minah mengajar bahasa Inggeris di rumahnya secara sukarela kepada kanak-kanak sekolah dan sesiapa yang berminat. Oleh kerana Che Nik lebih fasih berbahasa Melayu, maka beliau mengajar mereka yang tidak pernah belajar bahasa Inggeris. Manakala Che Minah mengajar mereka yang sudah ada asas belajar bahasa Inggeris di sekolah, termasuk saya. Namun oleh kerana masyarakat kita pada masa itu masih tebal sifat malu dan masih lagi menganggap bahasa Inggeris itu sukar dan kurang manfaatnya, maka kelas tersebut tidak kekal lama. Namun rumahnya tetap terbuka kepada kami untuk membaca buku dan majalah. Majalah langganan tetapnya ialah majalah ’LIFE’ yang saya amat gemar melihat gambar-gambarnya termasuk gambar Tragedi My Lai, di utara Vietnam Selatan pada 16 Mac 1968 yang menyebabkan 504 orang awam terkorban akibat keganasan tentera Amerika.
Dr. Danae Dodge
Pada akhir tahun 1970 tempoh kajian mereka telah tamat dan mereka terpaksa kembali ke Ireland Utara menganalisis segala dapatan kajian tersebut. Kami penduduk kampung telah mengadakan majlis perpisahan untuk mereka dengan penuh sedih dan sayu. Setahun mereka berada di situ seolah-olah mereka adalah sebahagian daripada kami. Apa yang menarik sebelum mereka meninggalkan kampung kami, semua barang-barang kegunaan di rumahnya pada ketika itu dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung kecuali peti ais National yang menggunakan bateri dijual semula kepada pembekalnya. Barang-barang kegunaan tersebut ialah seperti peralatan dapur, kerusi meja, tilam dan sebagainya.
Hubungan kami dengan mereka terputus sama sekali kecuali pada tahun 1972, mereka telah menghantar surat dan gambar semasa mereka bercuti musim panas di Patras, Greece tempat kelahiran Che Minah. Manakala pada 1973 (kalau tidak silap) mereka ada menghantar surat dan wang kiriman pos bernilai 8 pound sterling untuk kami sekeluarga semasa mereka berada di Ireland Utara dan bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Sosiologi, University of Ulster.  Sumbangan itu kata mereka sebagai tanda penghargaan kerana kami banyak membantu mereka semasa berada di sini. Pada tahun 2001 saya telah dapat mengesan alamat e-mail Che Nick di University of Ulster, tetapi e-mail saya tiada balasan.
Setelah 43 tahun berlalu, melalui teknologi maya ini saya sekali lagi telah cuba meneroka maklumat mereka melalui http://www.dodgefamily.org/Genealogy/EnglishDodges/worldfile/ dan hasilnya saya mendapati kedua-dua mereka telah meninggal dunia, yang mana Nick meninggal pada tahun 2004 semasa berusia 61 tahun dan Mina pada 13 Julai 1997 pada usia 56 tahun Namun pasangan tersebut mempunyai dua orang anak iaitu Dr. Danae Rebecca Dodge dan Geraldine Haldane. Dr. Danae Dodge yang lahir pada 16 September 1981 menetap di Sheffield, South Yorkshire, S6 2XN, UK merupakan lulusan Ph. D dalam bidang DNA purba pada tahun 2011 dari University of Sheffield dengan disertasinya bertajuk "A Molecular Approach to the Neanderthal Extinction: The Applicability of a  Bayesian Programme to the Analysis of Neanderthals ". Namun saya tidak mendapat maklumat tentang adik beradiknya Geraldine.
Demikian imbauan kisah lama yang amat berharga untuk didokumentasikan sebagai tatapan umum, khususnya kepada rakan-rakan sepermainan yang masih mengingati kehadiran mereka berdua di kampung kami pada ketika itu.


[1] Keluaran Syarikat Sunshine Bakeries yang berpangkalan di Singapura sejak 1930-an.

08 September 2013

Majlis Kecemerlangan Akademik 2012/2013

Jabatan Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dan Jawatankuasa Upacara Khas Institut (JKUKI), IPGKTAA telah mengadakan Majlis Kecemerlangan Akademik 2012/2013 pada 7 September 2013 bagi meraikan kecemerlangan yang telah dicapai oleh para pelajar dalam peperiksaan akhir bagi semester Jun-Nov 2012 dan semester Jan-Mei 2013 yang lalu. Majlis seumpama ini sudah menjadi kemestian bagi sesebuah institusi pengajian dengan tujuan untuk meraikan dan mengiktiraf kejayaan yang dicapai oleh para pelajar pada setiap semester atau tahun. Para pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang terdiri daripada mereka telah berjaya meraih kejayaan yang cemerlang dengan CGPA 3.85 ke atas. Jumlah pelajar yang menerima anugerah tersebut adalah seramai 68 orang untuk Semester Jun-Nov 2012, manakala untuk Semester Jan-Mei 2013 seramai 84 orang, dengan jumlah kesemuanya 132 orang termasuk pelajar yang sama mendapat anugerah secara bertindih.
Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) telah menjuarai bilangan pelajar yang teramai menerima anugerah ini bagi kedua-dua semester tersebut iaitu seramai 32 orang pelajar, diikuti oleh Jabatan Bahasa seramai 28 orang pelajar, Jabatan Ilmu Pendidikan seramai 25 orang pelajar, Jabatan Pengajian Melayu dan Jabatan Sains Sosial masing-masing seramai 20 orang pelajar dan selebihnya Jabatan Sains dan Matematik, Unit Bahasa Inggeris dan Jabatan PJK. Jumlah ini adalah selaras dengan Piagam Pelanggan IPGKTAA untuk melahirkan 3-5% bilangan pemegang ijazah kelas pertama dalam setiap kali majlis konvokesyen. Pengarah IPGKTAA telah menyatakan pandangannya bahawa pada masa akan datang nama-nama pemegang ijazah kelas pertama akan diabadikan di Dewan Darul Makmur sebagai satu penghargaan kepada mereka yang berjaya dan sebagai pendorong kepada para pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran untuk mendapatkan ijazah.
Sesungguhnya para pelajar mempunyai tugas yang berat untuk memastikan kecemerlangan ini dapat dibina dan dipertahankan dengan menyedari hakikat bahawa mereka yang cemerlang sahaja akan mendapat tempat di dunia yang sangat kompetitif ini. Mereka juga harus menyedari bahawa tiada jalan pintas untuk mencapai sesesuatu kecemerlangan. Kecemerlangan itu bukan sesuatu yang semula jadi tetapi perlu dibudayakan melalui amalan-amalan dengan berlandaskan disiplin-disiplin tertentu yang akhirnya boleh diukur secara nyata. Dalam konteks ini kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang telah memperkenalkan Sistem Penilaian Sahsiah Keguruan (SPSK) yang julung-julung kalinya digunakan di IPG ini sebagai salah satu instrumen penting untuk menilai sahsiah pelajar dalam aspek kepimpinan, pencapaian dan penglibatan pelajar dalam semua aktiviti IPG selain daripada pencapaian dalam aspek akademik.
Untuk menggalakkan lagi pelajar mencapai kejayaan dalam ilmu akademik yang lebih cemerlang, pihak IPG perlu memikirkan insentif-insentif lain selain daripada apa yang diterima oleh pelajar-pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang ini. Mungkin kita boleh cadangkan para pelajar yang mendapat CGPA 3.85 dan ke atas ini dapat meminjam jumlah buku yang lebih banyak di Perpustakaan dalam satu-satu masa berbanding pelajar-pelajar lain atau cadangan-cadangan lain yang berbentuk insentif akademik yang tidak melibatkan soal kewangan yang banyak. Dengan cara memberikan imbuhan seperti itu para pelajar akan lebih bermotivasi untuk menimba ilmu pengetahuan dan berjuang untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang. Kepada para pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang diucapkan syabas dan tahniah kerana telah berjaya meletakkan diri mereka dalam kalangan pelajar-pelajar yang cemerlang. Tahniah.

02 September 2013

Pekan Kecil Bernama 'Kinarut'


Kinarut merupakan sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 18 km dari Kota Kinabalu. Ada pendapat yang mengatakan bahawa nama pekan ini adalah berasal daripada perkataan “China Road”, yang akhirnya di sebut sebagai Kinarut. Pekan lama yang terletak di antara bandar raya Kota Kinabalu dan bandar Papar ini telah dibuka oleh Sultan Abdul Hakkul Mubin yang berundur dari Pulau Chermin dalam Perang Saudara Brunei pada akhir abad ke-17. Baginda dikatakan telah bermaustatin di situ sebagai Sultan Kinarut selama 10 tahun dan kehadiran baginda telah menyekat sebahagian besar daripada kegiatan lanun yang berleluasa di kawasan tersebut. Kinarut akhirnya telah menjadi sebagai sebuah pusat kegiatan ekonomi masyarakat setempat khususnya di pesisir pantai barat tengah negeri Sabah pada ketika itu.

Kini pekan Kinarut masih mempunyai dua baris rumah kedai papan lama asal dan dua baris kedai konkrit yang baharu dibina. Salah satu deretan kedai lama tersebut terletak berhadapan dengan Stesen Kereta Api Kinarut milik Keretapi Negeri Sabah (KNS) yang merupakan sistem pengangkutan utama dari Jesselton ke Tenom pada suatu ketika dahulu. Mengikut Richard Nelson Sokial (2012) jumlah penduduk di sekitar pekan ini ialah kira-kira 18,029 orang mengikut banci penduduk pada tahun 2010. Kebanyakan daripada mereka terdiri daripada suku kaum Bajau, Melayu Brunei dan Kadazan-Dusun yang menjalankan kegiatan ekonomi sebagai petani, pekebun dan nelayan. Estet Kinarut pernah menjadi salah satu pusat pengeluaran getah utama di pantai barat Sabah pada awal tahun 1900-an.
Stesen kereta api Kinarut merupakan salah sebuah stesen yang disinggahi tren The North Borneo Railway iaitu larian tren khas untuk para pelancong oleh KNS di bawah pakej ‘Leisure Tour’ antara Stesen Tanjung Aru dan Papar sejauh 38.5 km. Tren ini menggunakan lokomotif wap British Vulcan buatan tahun 1954 yang menggunakan kayu api sebagai bahan bakarnya. Tren The North Borneo Railway akan singgah di Stesen Kinarut selama kira-kira 20 minit dan para penumpang dibawa melawat Kuil Tien Shi yang terletak beberapa meter dari stesen tersebut sebelum meneruskan perjalanan ke Kawang dan Papar. Perkhidmatan ini hanya terdapat pada hari Sabtu dan hari Rabu sahaja.
Saya pernah tinggal berhampiran pekan lama ini pada tahun 1982 hingga 1986 semasa berkhidmat di SMK Agama Limauan, kira-kira 5 km dari pekan tersebut. Di pekan kecil inilah kami mendapatkan barang keperluan asas jika tidak ke Kota Kinabalu pada ketika itu. Malah untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar kami warga sekolah ke Klinik Kesihatan Kinarut yang terletak bersebelahan dengan SMK Kinarut berhampiran jalan baharu Lok Kawi ke Papar. Oleh itu pada setiap kali saya dan keluarga mengunjugi Sabah, kami akan mengunjungi Kinarut bagi mengembalikan nostalgia lama tersebut. 
Setelah kira-kira 27 tahun meninggalkan negeri Sabah, banyak perubahan telah berlaku dalam lingkungan sekitar 5 hingga 10 km dari pekan Kinarut, antaranya jalan pesisir pantai dari Lok Kawi ke Papar dan terdirinya Taman Pantai Lok Kawi, Lok Kawi Perdana, Lok Kawi Height dan taman-taman perumahan yang lain. Manakala di sepanjang Pantai Beringgis pula terdapat banyak tempat penginapan yang berupa chalet, resort dan hotel untuk kemudahan para pelancong. Di Limauan iaitu jalan lama ke Papar pula terdapatnya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan SMK Agama Tun Datu Mustapha (dahulunya SMK Agama Limauan). Di jalan baharu menuju ke Papar pula terdapat Maktab Rendah Sains Mara, Kem Batalion 16 PGA PDRM, Kinarut Outward Bound School, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan SAFODA dan lain-lain. Namun walau apapun pembangunan yang berlaku di sekitarnya, dua deret kedai lama di pekan itu tetap utuh seperti dahulu.
Demikian kisah sebuah pekan kecil klasik yang bernama 'Kinarut'.