KTMB telah menerima 14 koc kereta api terpakai dari negara Jepun pada 9 Disember 2010. Koc terpakai yang berusia lebih 40 tahun ini di panggil 'Blue Coach' untuk perkhidmatan tren Malayan Tiger yang telah beroperasi bagi laluan Johor Bahru Sentral (JB Sentral) ke Tumpat. Adalah mengagumkan melihat bagaimana rakyat negara matahari terbit ini mengekalkan fungsi dan keadaan gerabak kereta api itu yang telah menjangkau usia lebih 40 tahun. Koc yang pernah digunakan untuk perkhidmatan antara Tokyo ke daerah baratnya di Pulau Kyushu ini masih dalam keadaan baik.
Kehadiran perkhidmatan Malayan Tiger dengan menggunakan 'Blue Coach' ini telah memperlihatkan beberapa perpektif yang positif dalam konteks masyarakat di Malaysia. Pertamanya dari perspektif kemurahan hati kerajaan negeri Jepun yang menghadiahkan koc-koc terpakai tersebut kepada beberapa buah negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand. Sumbangan ini dapat meningkatkan lagi kerjasama dan persefahaman dalam aspek sistem pengangkutan antara kedua-dua pihak iaitu Jepun dan negara-negara ASEAN tersebut. Teknologi perkhidmatan kereta api di Jepun sememangnya diakui antara yang tercanggih dan termaju di dunia dan sumbangan itu merupakan penghormatan besar kepada Malaysia dan KTMB.
![]() |
| Jadual 'Malayan Tiger' KTMB |
Keduanya, sumbangan ini memperlihatkan betapa tingginya nilai budaya masyarakat Jepun yang menjaga harta awam sebagaimana harta mereka sendiri. Pengurus KTMB, Mohd Azami Mohd Zain sebagai dipetik berkata, "Perabot dan kemasan dalaman koc-koc ini masih baik dan dalam keadaan hampir sempurna kerana ia diselenggara mengikut waktu yang tepat. Walaupun sudah berusia, namun koc-koc ini kelihatan seperti baru. Ia dicuci mengikut jadual dan perabotnya telah ubahsuai dan diganti fabriknya. Ia tidak perlu sebenarnya. Orang Jepun amat berhati-hati semasa menggunakan peralatan di dalam kereta api malah mereka memastikan ia boleh digunakan untuk jangka waktu yang panjang tanpa perlu membazir kos tambahan". Tambahnya lagi “Dindingnya juga bersih kerana sikap menconteng 'grafiti' tidak menjadi budaya hidup warga Jepun yang penuh beradab”.
Adalah diharapkan perkhidmatan baru KTMB antara JB Sentral dan Tumpat yang dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, YB Datuk Seri Kong Cho Ha pada 19 Disember 2011 ini dapat menarik lebih ramai pengguna perkhidmatan KTMB dan dapat mengekalkan nilai murni sebagaimana yang diamalkan oleh pengguna kereta api di negeri Jepun. Sekian.


