RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

31 Mac 2009

Ke Sabah Lagi

Nampaknya kalendar percutian kami sekeluarga kali ini benar-benar padat terisi setelah pada awal cuti iaitu hari Sabtu 14 Mac 2009 kami telah ke Genting Highlands walaupun tiada perancangan awal. Manakala pada 18 hingga 21 Mac 2009 pula kami sekeluarga (kecuali anak sulung yang berada di Kelantan dan anak kedua yang sudah berada di Sabah) telah ke Kota Kinabalu setelah berpeluang mendapat tambang promosi Sistem Penerbangan Malaysia (Mas) yang hanya bernilai RM206.00 seorang untuk pergi dan balik. Tempahan telah dibuat seawal 30 Oktober 2008 sebaik sahaja kami mengetahui tawaran tersebut melalui atas talian. Tambang murah ini lebih rendah berbanding syarikat penerbangan Air Asia kerana Mas menyediakan makanan dan minuman semasa penerbangan berbanding Air Asia yang menjual makanan dan minuman kepada para penumpangnya. Harga tambang yang kami dapat untuk enam orang penumpang ialah RM228.00 iaitu RM38.00 seorang, manakala cukai dan surcaj bahan api ialah RM1,008.00 yang jumlah kesemuanya RM1,236.00. Jadi kunjungan kami ke Sabah pada kali ini tidaklah melibatkan kos tambang yang terlalu tinggi.
Kunjungan ini merupakan kunjungan saya kali ketiga setelah meninggalkan Sabah pada bulan Jun 1986 dahulu. Kali pertama saya datang ke Sabah selepas 20 tahun ialah pada 27 hingga 30 November 2006 atas urusan rasmi di Kota Kinabalu, kali kedua pada 28 hingga 30 Jun 2008 untuk melaporkan anak kedua di UMS dan kali ketiga ialah kali ini iaitu 18 hingga 21 Mac 2009. Manakala bagi isteri saya, kunjungan kali ini merupakan kunjungan kali pertamanya selepas meninggalkan Sabah kira-kira 23 tahun yang lalu. Beliau sempat tinggal di Sabah kira-kira enam bulan sahaja iaitu pada awal Januari hingga akhir Jun 1986, sebelum saya dapat bertukar untuk melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia.
Rabu 18 Mac 2009: Kami tiba di KLIA kira jam 7.30 pagi kemudian menunggu satu lagi keluarga rakan setugas, Encik Johari Bapokutty yang juga ingin ke Sabah untuk menziarahi keluarga abang iparnya di sana. Kami mula mendaftar masuk kira-kira jam 8.45 pagi, yang dirasakan agak lewat juga untuk penerbangan pada jam 9.50 pagi. Lebih melewatkan kami untuk mendaftar masuk, apabila didapati anak lelaki kami tertinggal kad pengenalannya di dalam kereta yang telah diparkir di bangunan terminal KLIA yang sudah tentu mengambil masa untuk mengambilnya. Kami terpaksa menunggunya sehingga pihak kaunter daftar masuk membuat panggilan terakhir. Saya mula rasa cemas bercampur geram terhadap kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku itu, tetapi tetap bersabar kerana sekurang-kurangnya memberi pengajaran kepadanya agar tidak cuai terhadap sebarang dokumen penting seperti itu. Kami semakin cemas kerana beberapa kali pengumuman telah dibuat dan akhirnya anak kami muncul di kaunter daftar masuk. Kami merupakan orang yang terakhir memasuki pintu masuk ke tempat menunggu.
Pesawat jenis Boeing 737-400 MH 2612 yang kami naiki berlepas kira-kira jam 9.55 pagi dalam keadaan cuaca di KLIA mendung dan hujan renyai-renyai. Namun keadaan cuaca baik setelah pesawat memasuki ruang udara Laut Cina Selatan. Kami tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu tepat pada jam 12.20 tengah hari. Kami disambut oleh anak kedua kami, Angah dan rakannya Asmah dari Tawau, Azmi, anak buah yang bertugas di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar dan dua orang bekas pelajar saya iaitu Abd. Ghani Senang yang bertugas di Unit Pembangunan, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dan Awang Zuri Bustaman yang bertugas di SK Bukit Padang, Kota Kinabalu. Abd. Ghani dan Awang Zuri telah memberikan kami kunci rumah milik salah seorang lagi bekas pelajar saya iaitu Sulaiman Awang yang bertugas di SK Tempasak, Kinarut untuk kami menginap. Mereka juga menyerahkan kunci kereta Waja bernombor SAA9019G untuk kemudahan kami selama berada di Kota Kinabalu. Kereta tersebut milik Hj. Samin Ungki, salah seorang lagi murid kami yang merupakan seorang kontraktor. Kami tiba di tempat penginapan pada jam 2.30 petang.
Jam 5.00 petang: Kami keluar dan singgah di UMS dalam perjalanan ke Kota Kinabalu untuk meninjau dan membeli-belah di Pasar Filipina. Salah sebuah kedai yang kami tinjau di pasar kraftangan tersebut ialah Kedai Pak Lah dari Pasir Mas, Kelantan. Kami sempat berborak dengannya, yang mana beliau menyatakan bahawa beliau berasal dari Pasir Mas Salor dan telah berhijrah ke Sabah sejak tahun 1982 sebagai anggota tentera, kemudian berkahwin dengan gadis tempatan dan kini menetap di sebuah kampung di Lok Kawi, jalan Kota Kinabalu ke Papar. Sambil isteri membeli-belah, saya hanya meninjau aktiviti komuniti di sekitar pasar kraftangan tersebut. Jalan di hadapan pasar ini sentiasa sahaja sesak dengan kenderaan, lebih-lebih lagi di seberang jalannya merupakan kawasan pasar malam. Sesiapa yang menginap di Hotel Le Meridian dan hotel-hotel sekitarnya merupakan tempat yang paling strategik untuk membeli-belah di Pasar Filipina dan pasar malam KK. Gerai ikan bakar di bahagian belakangnya pula penuh sesak dengan pengunjung yang menjamu selera meskipun hujan turun renyai-renyai. Kami tidak menjamu selera di situ memandangkan semua gerai telah penuh dan keadaan warung yang agak basah, sebaliknya kami membeli dua ekor ikan bakar yang agak besar juga dengan harga RM35.00. Kami balik kira-kira jam 10.00 malam.
Khamis 19 Mac 2009: Hari ini kami konvoi ke Daerah Ranau yang pada mulanya untuk melawat Taman Kinabalu dan Kundasang sahaja, tetapi alang-alang datang kami terlajak sampai ke Kolam Air Panas Poring yang jaraknya satu jam pemanduan lagi. Taman Kinabalu merupakan Tapak Warisan Sedunia dan taman perlindungan untuk beribu-ribu spesis flora dan fauna. Kami tiba di Taman Kinabalu pada jam 11.00 pagi, tetapi malangnya wajah kemuncak Kinabalu tidak kelihatan kerana keadaan cuaca mendung dan berkabus tebal. Anak-anak merungut hampa kerana niat mereka hendak melihat Gunung Kinabalu tidak tercapai. Namun kami telah masuk hingga ke Pondok Timpohon (Power Station) untuk melihat tempat bermulanya pendakian gunung yang tertinggi di Asia Tengggara itu. Saya telah mendakinya kira-kira 28 tahun yang lalu iaitu pada 13 September 1981 semasa menuntut di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu.
Kami kemudian berpatah balik dan singgah untuk makan tengah hari yang dibekalkan oleh anak buah kami di pondok yang disediakan tidak jauh dari Pondok Timpohon. Selepas makan tengah hari kami bertolak pula ke Kolam Air Panas Poring. Oleh kerana pada awalnya kami tidak merancang untuk ke situ, maka hanya anak kami yang bongsu sahaja yang mandi di kolam air panas tersebut. Saya sendiri pernah melawat kolam air panas ini juga 28 tahun yang lalu iaitu pada bulan Jun 1981. Empat lagi anak kami telah menaiki Laluan Kanopy (Canopy Walkway) yang mempunyai ketinggian 41 meter dan 157.8 meter panjangnya. Kami berada di sini kira-kira 2 jam sebelum kembali semula ke Kota Kinabalu.
Jam 3.20 petang: Kami meninggalkan Kolam Air Panas Poring. Semasa balik kami singgah di Kundasang yang terkenal dengan jualan sayur-sayuran segar yang dibawa dari ladang di kawasan itu. Di sini barulah kami dapat melihat dengan jelas kemuncak Kinabalu kerana kebetulan cuaca terang pada masa itu. Anak-anak kami akhirnya dapat melihat dan merakamkan gambar kemuncak tersebut. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan balik dan kami tidak singgah di Pekan Nabalu, iaitu tempat jualan barangan kraftangan memandangkan tiada tempat meletak kereta kerana ramai pengunjungnya dan masa sudah lewat petang. Kami khuatir terlewat sampai kerana pada sebelah malamnya kami telah diundang oleh beberapa orang bekas pelajar untuk makan malam di Anjung Malawa, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) pada jam 8.30 malam.
Jam 8.45 malam: Kami tiba di Anjung Malawa dan disambut oleh lima orang bekas pelajar, beberapa orang lagi tidak dapat hadir kerana ada urusan masing-masing. Yang hadir ialah Abd. Ghani Senang, Abd. Razak Hj. Jamil, Jefri Omar, Kamiah Abdullah dan Sulaiman Awang. Abd. Razak merupakan salah seorang peguam yang terkenal di Kota Kinabalu yang berpejabat di Tetuan Razak & Associates, Lot 80, 1st Floor, Blok 1, Ruang Singgah Mata 4, Asia City, Kota Kinabalu. Abd. Ghani bertugas di Unit Pembangunan, JPN Sabah, Jefri Omar seorang ahli perniagaan, Sulaiman bertugas di SK Tampasak, Kinarut dan Kamiah bertugas di SMK Seri Nangka, Tuaran. Kami sekeluarga telah dijamu dengan hidangan istimewa pada malam tersebut sambil mengimbau kisah-kisah lama semasa mereka menjadi pelajar saya di SMK Agama Limauan pada tahun 1982 hingga 1986 dahulu. Mereka juga memaklumkan bahawa rakan mereka yang paling berjaya dalam perniagaan ialah Ariffin Sudin iaitu seorang arkitek yang terkemuka di Kota Kinabalu yang berpejabat di Ariffin Sudin Architect, Lot 32, 2nd Floor, Block D Riverside Plaza, Kingfisher Park, 88450 Kota Kinabalu. Ariffin tidak dapat bersama kami pada malam itu kerana berada di Tawau atas urusan perniagaannya. Kami sempat bergambar kemudian bersurai kira-kira jam 10.20 malam.
Jumaat 20 Mac 2009: Pagi ini saya telah membawa keluarga bersarapan di Kafe Kolej Kediaman E, UMS bersama-sama dengan anak kedua kami yang menuntut di situ. Saya mendapati harga makanan di kafe kolej kediaman ini amat berpatutan, sesuai dengan kemampuan kewangan para pelajar berbanding dengan harga makanan di Kuala Lipis yang agak tinggi. Kami kemudian meninjau kawasan kampus termasuk kawasan jeti UMS yang sangat cantik pemandangannya. Dari UMS kami telah ke IPGM Kampus Gaya (dulu Maktab Perguruan Gaya), tempat di mana saya mendapat latihan perguruan asas pada tahun 1980-81. IPGM ini nampaknya sedang dalam proses penyelenggaraan di bahagian cerun ke kawasan padang. Semua bangunan masih kekal dan kelihatan lebih ceria berbanding masa lalu.
Dari IPGM Kampus Gaya kami ke SMK Agama Tun Datu Mustapha (dahulunya SMK Agama Limauan), Kinarut tempat saya mula-mula berkhidmat sebagai seorang pendidik pada 2 Januari 1982. Sekolah ini juga sedang dalam proses pembinaan setelah bangunan lama yang diambil alih daripada UKM Kampus Sabah pada akhir tahun 1970-an semakin uzur untuk digunakan. Saya sempat berbual dengan Pengetua sekolah, Ustaz Haidun Hadi Sapiri tentang pembangunan sekolah tersebut yang secara kebetulan berada di pejabat pada ketika itu. Bangunan bilik kelas dan asrama pelajar masih digunakan, tetapi bahagian padang sekolah telah dipancang untuk pembinaan bangunan baru. Namun saya tidak dapat menunjukkan kuarters kediaman kami dahulu kepada anak-anak kerana deretan banglo kayu itu semuanya telah diroboh untuk pembinaan bangunan yang baru. Kami beredar dari SMK Agama Tun Datu Mustapha kira-kira jam 11.30 pagi.
Kami kemudian ke pekan Kinarut untuk melihat nostalgia pekan kecil yang ternyata tidak banyak berubah, kecuali bangunan sekolah Cina yang terletak berhampiran perhentian kereta api kelihatan bertambah. Dua deret bangunan kedai separuh kayu di pekan kecil itu masih teguh berdiri dengan warna yang sama seperti 25 tahun yang lalu. Saya kemudian telah memasuki kedai Teck Hong, iaitu tempat kami membeli barangan koperasi sekolah secara borong semasa saya menguruskan koperasi bersama Ustaz Ya dahulu. Taukeh Teck Hong selalunya akan menghantar barangan yang kami beli dengan menggunakan lori kecil satu tan. Saya ke situ untuk menguji daya ingatannya setelah lebih dari 20 tahun kami tidak berurusan. Ternyata beliau masih mengingati saya walaupun sudah lama tidak bertemu. Saya sempat merakamkan gambarnya dan beliau nampaknya gembira dengan pertemuan tersebut. Tujuh tin air minuman yang pada awalnya saya nak beli, akhirnya diberi percuma. Terima kasih taukeh Teck Hong.
Kami kemudian ke pekan Papar melalui jalan pantai iaitu melalui Kampung Berungis, Kampung Pengalat Besar dan terus ke Jambatan Papar. Pekan Papar juga tidak banyak berubah kecuali jalan utama Kota Kinabalu ke Papar tidak lagi melalui jalan lama Kampung Kawang, Kampung Tanaki dan Kampung Manggis sebaliknya melalui jalan pantai. Kini masa perjalanan dari Kota Kinabalu ke Papar menjadi semakin pendek. Kami akhirnya balik semula ke Kota Kinabalu dan melawat Muzium Sabah. Kami menghabiskan masa di sini kira-kira satu setengah jam termasuk melihat Kampung Warisan sebelum kami beredar ke Kompleks Segama untuk makan tengah hari di Restoran Sri Rahmat.
Restoran Sri Rahmat merupakan kedai makan popular kami semasa menjadi guru pelatih dan semasa mula-mula menjadi guru pada awal tahun 1980-an dahulu. Restoran ini milik Dato’ Rahmat Ismail, bekas anggota tentera yang berasal dari Kepala Batas, Alor Setar yang kini merupakan pemilik beberapa buah syarikat termasuk SRT-EON Security yang mempunyai cawangan di seluruh negara. Restoran itu kini telah berkembang menjadi dua pintu kedai berbanding hanya satu pintu semasa saya mula-mula datang ke Sabah dahulu. Harga makanan di sini berpatutan dengan pelbagai menu disediakan untuk pilihan pelanggan.
Jam 4.45 petang: Kami telah diundang ke rumah bekas pelajar saya, Hj. Samin Ungki yang terletak berhampiran Taman Pantai Lok Kawi tidak jauh dari pekan Kinarut. Beliau yang berpendidikan di SMKA Limauan, kemudian SMKA Al-Irsyad, Pulau Pinang sebelum ke Universiti Malaya kini merupakan seorang kontraktor dan aktif dalam politik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Beaufort setelah meletak jawatan sebagai guru. Kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian beliau suami isteri menyediakan sebuah kereta untuk kegunaan kami sekeluarga semasa berada di Sabah selama empat hari. Kami sempat berada di rumahnya kira-kira sejam setengah sebelum kembali semula ke pasar malam di KK pada jam 6.30 petang.
Sabtu 21 Mac 2009: Merupakan hari terakhir di Sabah kerana kami akan berlepas balik pada jam 5.30 petang. Pada sebelah paginya saya telah membuat janji temu untuk berjumpa dengan rakan lama iaitu Cikgu Awang Talip Othman dan isterinya Cikgu Lasminah Lamin yang kini menetap di Kampung Benoni, Papar. Cikgu Awang Talip merupakan Guru Besar di SK Daingin, Papar manakala isterinya Penolong Kanan Kokurikulum di SRJK St. Agnes, Papar. Kami bertemu dan bersembang di sebuah kafe di Bangunan MUIS, bersebelahan dengan Masjid Negeri. Beliau menyatakan yang beliau sudah mempunyai seorang cucu dan akan bersara pada bulan April 2011 dengan tidak memilih opsyen persaraan 58 tahun. Kami berpisah kira-kira jam 11.00 pagi. Saya kemudian balik ke Pangkalan TLDM melalui SMK Likas untuk melihat sekolah di mana saya menjalani Praktikum Fasa Pertama semasa di MPG dulu. SMK Likas nampaknya lebih ceria dan menarik.
Jam 2.00 petang: Kami meninggalkan rumah anak buah di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar ke UMS untuk berjumpa dengan rakan-rakan anak kami yang sama-sama menuntut di situ. Kami sekeluarga bertemu dan bermesra dengan rakan-rakannya yang telah sedia menunggu di situ. Kami kemudian terus ke KKIA, yang mana turut bersama di lapangan terbang ialah anak buah kami, Azmi sekeluarga, Hj. Samin bersama isteri dan Sulaiman Awang.
Jam 6.00 petang: Pesawat Airbus A330 MH 2617 berlepas dari KKIA.
Jam 8.00 malam: Tiba di KLIA (bayar parking di KLIA untuk 4 hari ialah RM144.00)
22 Mac 2009 Jam 1.00 pagi: Tiba di Kuala Lipis setelah berhenti rehat dan tidur di bahu jalan kerana terlalu letih dan mengantuk.

26 Mac 2009

Encik Hairi Yahya Kemalangan

Rabu 25 Mac 2009 jam 6.00 petang: Encik Hairi Yahya iaitu pensyarah dari Jabatan Ilmu Pendidikan, IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGMKTAA) telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di laluan Kuala Lipis – Jerantut di Kampung Kerambit, kira-kira 25 km dari Kuala Lipis. Menurut saksi kejadian, Toyota Unser yang dipandu beliau telah dilanggar oleh sebuah pacuan 4 roda jenis Mitsubishi Triton dari arah yang bertentangan setelah roda belakangnya pecah. Beliau pada masa itu sedang memandu dari arah Kuala Lipis ke Jerantut semasa kejadian berlaku.
Alhamdulillah, beliau dirawat di Hospital Lipis dan keadaannya stabil dan boleh bercakap seperti biasa, tetapi mengalami patah di bahagian sendi kaki dan pangkal pahanya. Saya sempat menziarahi beliau kira-kira jam 9.00 malam setelah mendapat sms dari rakan-rakan yang mengetahuinya lebih awal. Beliau kemudian telah dipindahkan ke Pusat Perubatan UKM, Cheras untuk menjalani pembedahan di bahagian tulang pinggulnya.



Mengikut rakan-rakan yang berada bersamanya pada petang kejadian, beliau kelihatan agak tergesa-gesa untuk pulang setelah selesai tugas kira-kira jam 5.30 petang. Beliau agak sibuk sehari dua ini kerana IPGMKTAA sedang diaudit oleh Pasukan Audit Dalaman MS ISO 9001: 2000 dari IPGM Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat dan beliau merupakan salah seorang daripada urusetianya. Marilah kita sama-sama doakan semoga beliau cepat sembuh dan pulih seperti sedia kala untuk menjalani tugas seharian.



Pada hari Sabtu 16 Mei 2009 (bersamaan Hari Guru) saya dan En. Johari Bapokutty dari Jabatan Sains dan Matematik bersama-sama dengan keluarga masing-masing telah menziarahi En. Hairi di kediamannya di Taman Inderapura, Jerantut. Alhamdulillah keadaannya bertambah baik, namun badannya nampak lebih susut berbanding dahulu. Semasa kunjungan tersebut beliau telah menceritakan pengalaman pahit yang berlaku dalam sekelip mata itu kepada kami. Sekian.


























Gambar-gambar dirakam oleh: En. Baharum Bahari Muda, Jabatan PJK IPGMKTAA.







23 Mac 2009

Genting Highlands: Yang Menakjub dan Mengejutkan

Sabtu 14 Mac 2009, hari pertama cuti persekolahan bagi pertengahan semester pertama 2009, kami ke Genting Highlands atas pelawaan anak sulung yang datang sempena musim cuti ini. Tempat yang bertemakan ‘City of Entertainment’ dan terkenal sebagai tempat yang ‘eksklusif’ ini mempunyai jarak kira-kira 150 km dari kediaman kami di Kuala Lipis dengan mengambil masa memandu kira-kira sejam setengah. Meskipun saya sendiri sudah empat kali ke sini atas urusan tugas rasmi tetapi ini merupakan kunjungan kali pertama saya bersama keluarga seramai 6 orang walaupun tidak sepenuh ahli kerana anak kedua berada di Kota Kinabalu, Sabah dan anak keempat balik bercuti di Pasir Mas, Kelantan.
Kami tiba di Genting Highlands kira-kira jam 12.00 tengah hari setelah bertolak kira-kira jam 10.30 pagi dari rumah. Oleh kerana musim cuti persekolahan baharu saja bermula, didapati kenderaan yang naik ke tanah tinggi ini tidaklah begitu banyak pada hari tersebut. Kami tidak memandu terus ke atas kerana kami akan ke puncak dengan menaiki kereta kabel ke situ, jadi kami terus ke Gohtong Jaya di mana letaknya Stesen Genting Skyway berkenaan. Di kawasan ini jugalah terdapatnya Institut Aminuddin Baki (IAB), Hotel Seri Malaysia, Pusat Ekuesterian Genting dan di sini juga merupakan persimpangan jalan ke Batang Kali bagi mereka yang datang dari negeri-negeri di sebelah utara iaitu utara Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Tiket Genting Skyway ialah RM10.00 seorang untuk pergi dan balik dengan jarak kira-kira 3.4 km yang mengambil masa 15 minit perjalanan. Di sini anda harus berhati-hati dengan jurukamera yang seolah-olah mengambil gambar secara sukarela tetapi ‘menjeratnya’ di stesen ketibaan dengan bayaran yang ‘amat mengejutkan’ bagi kita orang biasa. Meskipun mempunyai kamera sendiri kami telah ‘terpedaya’ dengan sifat ‘kesukarelaan’ mereka yang mana kami telah memberi posing sebaik sahaja duduk di dalam kereta kabel dan akhirnya terpaksa membayar RM60.00 untuk dua keping gambar yang berukuran hanya 20 X 15 cm semasa tiba di stesen puncak Genting. Lalu saya terfikir, sepatutnya belanja makan tengah hari untuk enam orang dah lepas dengan kos sebanyak itu, memang betullah kata orang bahawa Genting ni ‘eksklusif’ sangat.
Di Out Door Theme Park kami mendapati tiketnya ialah RM38.00 untuk seorang pengunjung dewasa, RM27 untuk kanak-kanak dan warga emas, dan RM127 tiket untuk sekeluarga (2 dewasa dan 2 kanak-kanak) bagi sehari suntuk permainan air. Ini bermakna kalau kami berenam termasuk seorang kanak-kanak kosnya ialah RM217. Bagi saya adalah tidak praktikal untuk menghabiskan sehari suntuk di situ dengan bayaran yang begitu tinggi. Oleh kerana anak-anak kami juga tidak menuntut untuk masuk ke tempat itu, lalu kami hanya bergambar sahaja di pintu masuk taman tema tersebut. Kami kemudian ke First World Indoor Theme Park dan di sini pula harga tiketnya ialah RM26.00 untuk seorang pengunjung dewasa, RM24 untuk kanak-kanak, RM12 untuk warga emas dan RM95 untuk sekeluarga (2 dewasa dan 2 kanak-kanak). Sekiranya kami membeli tiket untuk kesemua permainan di sini, RM154 lagi perlu dikeluarkan. Lalu kami sekadar berjalan menyusuri ‘sungai jadian’ ala kota Venice yang padat dengan pejalan kaki yang mundar-mandir menikmati keunikan kawasan tersebut.
Di Level 2 kami dapati banyak gerai kecil di tepi laluan antaranya jualan aksesori wanita, lukisan kaligrafi, lukisan orang hidup, gerai feng shui dan sebagainya. Kami kemudian memasuki Snow World yang terletak di Level 2A First World Plaza dengan harga tiket RM17 untuk seorang pengunjung dewasa, RM14 untuk kanak-kanak dan RM58 untuk sekeluarga (2 dewasa dan 2 kanak-kanak) dengan disediakan kasut, jaket dan sarung tangan. Suhu bagi bilik bersalji ala musim dingin di negara barat ini ialah sekitar -5 darjah celcius dan cukup menebalkan bibir kami yang sememangnya tidak pernah merasai salji. Pengunjung juga boleh mendapatkan Nestle Bliss Yogurt Drink secara percuma dengan setiap keping tiket memasuki kawasan tersebut. Saya juga telah cuba meluncur menggunakan Giant Glider yang sepatutnya untuk mereka yang berat badannya kurang daripada 65 kg sahaja, sedangkan berat saya ialah 74 kg. Luncurannya amat menggerunkan kerana permukaan salji yang licin menjunam.
Bagi saya Genting Highlands sememangnya merupakan salah satu destinasi pelancongan negara yang menarik dengan pelbagai ‘tarikan jadian’ yang menakjubkan, kecuali hutan belantaranya sahaja yang asli. Dengan hal yang demikian, maka kesemua ‘tarikan jadian’ tersebut tentunya menuntut kepada pulangan pelaburan atau dengan kata lain setiap yang dinikmati pengunjung memerlukan bayaran yang setimpal dengan kos ‘jadian’nya. Itulah sebabnya di samping menakjubkan, Genting Higlands juga mengejutkan. Justeru saya berpendapat bahawa majoriti pengunjung ke sini merupakan mereka yang mempunyai lebihan RM bagi memenuhi kalendar pelancongan peribadi atau keluarga masing-masing. Mereka nampaknya tanpa masalah mengeluarkan RM untuk membayar tiket-tiket dengan harga yang begitu tinggi terutamanya bagi keluarga yang besar. Cara mereka mengeluarkan wang untuk membayar tiket sama ada di Out Door Theme Park atau di First World Indoor Theme Park tidak menampakkan negara sedang berhadapan dengan kemelesetan ekonomi global yang dialami dunia pada masa kini. Sememangnya sesiapa yang suka beriadah secara berbayar, maka di sinilah tempatnya. Saya secara peribadinya tidak pernah memasukkan Genting Highlands sebagai salah satu destinasi pelancongan keluarga dalam kalendar percutian kami, sebab saya menyedari hakikat bahawa tempat ini memerlukan kos yang tinggi untuk sebuah keluarga yang agak besar seperti keluarga kami. Walau apapun, itu merupakan persepsi peribadi saya, namun kunjungan tersebut tetap memberi makna kepada kami sekeluarga. Sekian.

10 Mac 2009

PPSMI: Ceritera* Enam Tahun Lalu

Melihat kepada tajuk utama beberapa akhbar pada hari Ahad 8 Mac 2009 yang rata-ratanya berfokuskan isu PPSMI, maka saya juga ingin mengemukakan sedikit sumbangan minda yang saya rasakan molek jika ianya dipertimbangkan atau dinilai secara positif, rasional dan berdasarkan realiti. Isu ini nampaknya sudah menjadi semakin hangat sejak akhir-akhir ini berbanding pada awal dan pertengahan pelaksanaannya kira-kira enam tahun yang lalu. Jika pada peringkat awal dan pertengahan pelaksanaannya dahulu isu ini hanya dibicarakan melalui pena dan forum sahaja, tetapi kini ianya sudah membawa kepada demonstrasi jalanan.
Sebagai warga pendidik yang berada paling hampir dengan medan pelaksanaannya, kami memahami hakikat bahawa ianya memerlukan satu keputusan yang jelas dan bijaksana untuk kepentingan semua pihak. Secara demokrasinya, pandangan semua pihak terutamanya NGO yang berorientasikan bahasa, pendidikan atau pelajaran wajar diberi perhatian serius kepada asas pro dan kontranya dengan syarat semuanya dapat membuktikan dengan fakta-fakta yang benar tentang isu ini. Tetapi adalah tidak wajar sekiranya isu ini diwajahi oleh pemimpin-pemimpin politik partisan yang mungkin mempunyai ‘agenda yang berbeza’ daripada isu sebenar yang difikirkan oleh kebanyakan NGO yang berorientasikan bahasa, pendidikan atau pelajaran tersebut. Biarlah isu ini ditangani oleh pihak yang berkaitan dengan sebaik mungkin dengan mengambilkira fakta yang sebenar-benarnya secara telus, jujur dan bertanggungjawab, khususnya berhubung dengan kesan jangka panjang pelaksaanaannya terhadap generasi kita sama ada yang berada di bandar raya, di bandar, di pinggir bandar, di pekan, di desa atau di ceruk-ceruk pedalaman di seluruh negara ini.
Secara kebetulan PPSMI merupakan tajuk projek penyelidikan saya untuk memenuhi sebahagian daripada syarat memperolehi ijazah Sarjana Pendidikan di Fakulti Pendidikan, UKM pada tahun 2003, iaitu pada peringkat awal pelaksanaan dasar tersebut. Projek penyelidikan yang dijalankan melalui kaedah tinjauan terhadap 125 orang guru Sains dan Matematik sekolah rendah di Kelantan ini bertajuk, “Kesediaan guru-guru sekolah rendah melaksanakan perubahan bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik”. Kajian ini telah dibentangkan di Kolokium Penyelidikan Siswazah UKM Kali Ke-7 di Hotel Empress, Sepang, Selangor pada 29 Mac 2003. Projek penyelidikan di bawah penyeliaan Prof. Datin Dr. Juriah Long dan Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Nordin sebagai penilai kedua ini juga boleh dirujuk dalam bentuk jilid penuh di dua pusat sumber iaitu di Pusat Sumber, Fakulti Pendidikan UKM, Bangi dan di Pusat Sumber, IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang.
Berdasarkan kajian-kajian yang berkaitan, saya telah menggariskan lima pernyataan masalah dalam kajian tersebut iaitu, pertamanya masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru Sains dan Matematik di sekolah rendah pada ketika itu, keduanya para pelajar yang sedia lemah dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut akan bertambah lemah kerana terpaksa memahaminya dalam bahasa Inggeris, ketiganya masalah kelemahan murid dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri, keempatnya kebanyakan guru tidak mahir dalam penggunaan komputer dan peralatan ICT pada ketika itu dan kelimanya tidak semua sekolah di seluruh negara mempunyai prasarana yang benar-benar lengkap untuk melaksanakan dasar baru ini pada ketika itu.
Kajian yang dibuat berdasarkan purposeful sampling dengan analisis datanya dibuat secara kualitatif dan kuantitatif ini mendapati bahawa, pertamanya semua guru mempunyai kelulusan yang mencukupi untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran tersebut tetapi sebahagian besarnya tidak pernah menghadiri kursus-kursus yang berkaitan. Keduanya, sebahagian besar daripada mereka mempunyai pencapaian Bahasa Inggeris yang rendah dan lemah dalam kecekapan lisan dan tulisan bahasa tersebut. Ketiganya, sebahagian besar daripada mereka tidak mahir menggunakan komputer dan peralatan ICT serta tidak pernah menghadiri kursus yang berkaitan dengannya. Keempatnya, semua sekolah sudah menerima prasarana asas pada ketika itu tetapi sebahagian kecilnya masih tidak mencukupi. Dan yang kelimanya, kajian mendapati hanya guru yang cekap berbahasa Inggeris dan mahir menggunakan komputer dan peralatan ICT sahaja yang lebih bersedia untuk melaksanakan dasar baru ini.
Hasil daripada kajian tersebut saya telah mengemukakan beberapa cadangan kajian lanjutan untuk dilaksanakan dalam skala yang lebih besar, iaitu:
1. Satu kajian terhadap kesediaan guru-guru sekolah rendah dan menengah melaksanakan dasar baru ini selepas mereka melalui beberapa siri kursus berkaitan.
2. Satu kajian terhadap keberkesanan P&P Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan memandangkan semua sekolah rendah menggunakan sukatan pelajaran yang sama.
3. Satu kajian terhadap kemahiran lisan dan tulisan dalam bahasa Inggeris di kalangan guru-guru yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
4. Satu kajian tentang kesesuaian bahan P&P Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
5. Satu kajian terhadap prestasi pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris setelah dasar ini dilaksanakan.
Demikian dapatan kajian yang diperolehi dan cadangan kajian lanjutan yang telah saya kemukakan enam tahun terdahulu apabila dasar baru itu mula dilaksanakan dalam sistem persekolahan di negara kita. Segala dapatan dalam kajian tersebut adalah berdasarkan fakta dan maklum balas responden pada ketika itu, yang mungkin keadaannya sudah berbeza sekiranya item yang sama digunakan selepas lima tahun pelaksanaannya. Saya merasakan bahawa apa jua bentuk kajian yang dibuat dan dikemukakan berhubung dengan isu ini oleh pihak-pihak yang berkaitan tentunya tidak menyimpang jauh daripada apa yang telah dikemuka dan dicadangkan dalam projek penyelidikan tersebut. Alhamdulillah sebagai seorang insan yang kerdil, saya amat bersyukur kerana dapat menyumbangkan sedikit sumber untuk diteliti oleh semua pihak yang berkaitan, khususnya para pendidik untuk kepentingan kita bersama. Sekian.
* cerita