RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

21 September 2015

Semarang Oh Semarang 2

Hari Pertama (Rabu, 2 September 2015)
Prosiding Seminar LAMAS V
Pesawat Air Asia AK328 KL-Semarang yang saya naiki mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmad Yani pada jam 12.25 tengah hari waktu Indonesia Barat (WIB) setelah 2 jam 20 minit penerbangan. Saya telah mengunjungi Semarang sekali lagi dalam tempoh 10 bulan setelah hadir di International Seminar “Language Maintenance and Shift in Media and Education” (LAMAS IV) anjuran Universitas Diponegoro (UNDIP), Semarang pada 16 November 2014 yang lalu. Kali ini saya hadir ke universiti itu dengan tujuan yang sama, iaitu untuk membentangkan kertas kajian saya di International Seminar Language Maintanance and Shift V (LAMAS V) dengan tema “The Role of Indigenous Language in Constructing Identity” yang juga diadakan di hotel yang sama iaitu Hotel Neo Candi yang terletak di Jalan Letjen S. Parman, Gajahmungkur, Semarang.
Dewan Utama Seminar
Oleh kerana penerbangan ke Semarang berselang hari, maka saya terpaksa hadir pada hari bermulanya seminar pada sebelah paginya. Saya telah terlepas majlis perasmian, Sidang Pleno oleh Prof. Dr. Aron Repmann (USA), Prof. Dr. Yudha Thianto (USA) dan Dr. Priyankoo Sarmah (India) dan sesi pembentangan selari pada sebelah pagi tersebut. Saya hanya mengikuti sesi pembentangan pada sebelah petang yang berakhir kira-kira jam 4.30 petang. Saya tidak dapat ke mana-mana selepas sesi tersebut kerana masuk waktu maghrib di Semarang ialah pada jam 5.42 petang. Oleh itu saya hanya berehat di bilik 125 iaitu bilik yang pernah saya duduki kira-kira 10 bulan yang lalu.
Bersama bapak I Nengah Suandi
Pada sebelah malamnya diadakan Majlis Makan Malam untuk para peserta seminar dan jemputan khas. Ucapan alu-aluan Majlis Makan Malam tersebut telah disampaikan oleh Drs. Pardi Suratno, Ketua Balai Bahasa Provinsi Jawa Tengah, yang ucapannya sangat terkesan kepada saya sebagai peminat bahasa.  Ucapan beliau sarat dengan ilmu, falsafah, agama dan maklumat tentang bahasa, yang dikaitkan dengan kepentingan bahasa Jawa dan bahasa Melayu. Majlis ini juga telah menemukan saya kepada beberapa orang peserta yang hadir termasuk dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Saya telah memilih untuk duduk semeja dengan beberapa orang peserta Indonesia bagi tujuan bertukar-tukar fikiran, antaranya Bapak Antonio Constantino Soares dari Universitas Udayana, Denpasar, Bali, Bapak I Nengah Suandi dari Universitas Pendidikan Ganesha, Bali, Dr. P. Ari  Subagyo dari Universitas Sanata Dharma, Yogjakarta dan beberapa orang lagi peserta tempatan.
Gambang Semarang
Di majlis itu kami telah dipersembahkan dengan persembahan ‘Gambang Semarang’ oleh para siswa Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Diponegoro. Gambang Semarang merupakan sebuah kesenian tradisional Semarang yang memadukan antara seni musik, tari, dan komedi. Pertunjukan Gambang Semarang dimulai dengan lagu pembukaan yang berupa lagu instrumental. Kemudian diikuti dengan nyanyian lagu-lagu tempatan oleh pasangan lelaki dan perempuan yang saya sama sekali tidak memahami liriknya. Mengikut salah seorang peserta di sini antara lagu yang dinyanyikan ialah lagu “Awe-awe”, “Lenggang Surabaya”, “Puteri Solo”, “Aksi Kucing” dan beberapa lagu-lagu lain dengan iringan muzik Gambang Semarang tersebut. Selain daripada itu persembahan ini diikuti dengan lawak jenaka dan tarian “Empat Penari”. Majlis berakhir kira-kira jam 10.30 malam.
Antara para tetamu
Hari Kedua (Khamis, 3 September 2015)
Pada hari kedua saya telah membentangkan kertas kajian saya bertajuk “Persamaan Lambang dan Makna Dalam  Peribahasa Semai dan Peribahasa Melayu” pada sesi jam 10.30 – 12.30 tengah hari bersama-sama dengan lima pembentang lain iaitu Asih Prihandini (Universitas Telekom Bandung), Novian Denny Nugraha (Universitas Telekom Bandung), Welsi Damanyati (Universitas Pendidikan Indonesia), Antonio Constantino Soares (Universitas Udayana) dan Indrawati Pusparini (IKIP Budi Utomo, Malang). Terdapat beberapa soalan daripada peserta untuk saya jawab dalam sesi tersebut. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan baik. Saya amat mengagumi cara mereka memanfaatkan forum ilmu ini dengan semaksima yang mungkin, berbanding sesetengah daripada kalangan kita di sini.  Pada hari terakhir ini saya juga sempat membeli buku “Muatan Budaya, Sosial dan Politik dalam Bahasa dan Komunikasi” tulisan Dr. J. Herudjati Purwoko, Pensyarah Kanan di Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Diponegoro, yang juga merupakan ahli sidang pleno pada hari kedua seminar.
Pembentang sesi 10.30 pagi - 12.30 tgh.
Majlis penutup telah diadakan pada jam 11.30 pagi yang telah disempurnakan oleh Ketua Balai Bahasa Provinsi Jawa Tengah, Drs. Pardi Suratno. Antara intipati ucapan beliau yang saya ingat ialah “Jika bahasa Jawa hilang, budaya Jawa akan menghilang dari kehidupan masyarakat. Akibatnya, masyarakat akan terlepas dari akar budayanya. Masyarakat yang tidak memiliki kaitan dengan budaya lokal dan nasionalnya sudah pasti akan mengalami kesulitan mencari jati dirinya”. Saya sangat teruja dengan bahasa dan intipati ucapannya kerana walaupun ringkas tetapi sangat bermakna bagi mereka yang menghayatinya. Apa yang sangat penting yang saya dapat perhatikan ialah seramai mana kehadiran peserta semasa majlis perasmian begitu jugalah semasa sesi seminar berlangsung dan semasa majlis penutupannya.
Drs. Pardi Suratno
Pada sebelah petangnya saya mempunyai masa rehat yang lebih panjang kerana seminar telah berakhir pada sebelah tengah harinya. Namun oleh kerana berseorangan tanpa kawan, maka saya hanya berjalan-jalan di sekitar Jalan Letjen S. Parman berdekatan hotel penginapan. Kali ini saya tidak lagi melawat Pasar Johar, Lewang Sewu, Masjid Agong, Pandanaran dan sebagainya kerana faktor masa dan berseorangan. Namun saya sempat menyewa budak motor yang bernama Ambon untuk bersiar-siar keliling kota Semarang dengan motornya. Meskipun pada mulanya agak kurang yakin dengan cara ‘dressing’ Ambon, namun oleh kerana dia sudah dipanggil oleh penjaga hotel, maka saya pergi juga. Ternyata Ambon baik orangnya, dia hanya mencari rezeki dengan cara itu untuk menyara keluarganya, manakala isterinya pada ketika itu sedang berada di pelabuhan untuk datang mencari rezeki di Malaysia. Saya telah memberikan Ambon RP50,000 (Lebih kurang RM15) atas khidmatnya.
Hari Ketiga (Jumaat, 4 September 2015)
AK329  Semarang - KL
Pada malam terakhir ini saya telah berehat panjang dan bangun seawal jam 4.15 pagi WIB kerana azan subuh berkumandang pada jam 4.25 pagi, awal hampir sejam setengah daripada waktu Malaysia. Pada sebelah malamnya saya sudah berjanji dengan Pak Dwi Narno iaitu pemandu teksi yang pernah kami sewa semasa kunjungan pertama dahulu. Jadi pada jam 6.30 pagi saya sudah menunggunya di ruang legar hotel sebagaimana janji saya dengan Pak Narno. Setelah kira-kira 10 minit melebihi masa yang dijanjikan, saya telah menelefon Pak Narno 082133444288 berkali-kali tetapi tanpa jawapan. Akhirnya saya telah meminta pihak hotel memanggil teksi lain selepas setengah jam Pak Narno tidak muncul-muncul. Saya sangat khuatir akan terlewat untuk 'check in' kerana waktu penerbangan saya pada jam 8.55 pagi. Saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmad Yani kira-kira jam 7.30 pagi, agak lewat bagi sesetengah lapangan terbang yang besar seperti KLIA & KLIA 2. Tetapi di Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmad Yani masa ketibaan saya tersebut masih dalam tempoh yang tidak tergesa-gesa. Pesawat Air Asia AK329 Semarang-KL berlepas kira-kira jam 9.00 pagi WIB dan jam 12.20 tengah hari waktu Malaysia saya sudah di KLIA 2. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan-Nya.

15 Mei 2015

Selamat Hari Guru 2015 - Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak

Selamat Hari Guru kepada warga pendidik di seluruh negara dan ucapan khusus untuk guru-guru dan pensyarah yang pernah mengajar saya dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti. Terima kasih atas didikan guru-guruku yang dikasihi dan Alfatihah kepada mereka yang telah pergi meninggalkan kita semua. Berikut ialah nama-nama guru dan pensyarah yang pernah mengajar saya di kelas dan di bilik kuliah yang masih dalam ingatan dan catatan saya:
Guru-guru saya di SK Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan: Allahyarham Cikgu Yusoff Ali, Allahyarham Dato’ Hj. Hassan Ismail, Datin Hjh. Wan Mariam, Allahyarham Cikgu Saad Mahmood, Allahyarham Cikgu Hassan Mustapha, Allahyarham Cikgu Mohd Zain Ahmad, Cikgu Che Wook Che Ngah, Cikgu Hj. Muhamad Awang, Cikgu Hj. Idris Muhammod, Ustaz Hassan Che Soh, Allahyarham Ustaz Sidek, Allahyarham Cikgu Hj. Hussein Hj. Awang, Allahyarham Cikgu Abdullah Awang, Allahyarham Cikgu Mohamad Daud, Allahyarham Cikgu Othman dan beberapa orang guru yang amat sukar untuk saya mengingati nama mereka.

Guru-guru saya di SM Sultan Ibrahim (SIS) Pasir Mas, Kelantan: Tn. Hj. Yusoff Abdullah (Pengetua), Allahyarham Ustaz Mat Jusoh, Cikgu Wan Zin Wan Ahmad, Cikgu Kenneth George James, Cikgu Mat Salleh Seman, Cikgu Abd. Aziz Yaakub, Cikgu Zahari Ahmad Zairani, Mr Chow, Mrs. Chow, Mr. Robert, Mr. P. Sugumaran, Mr. Teo Siew Kow, Cikgu Abd. Rahim Hashim, Cikgu Mohd. Nor Zakaria, Ustaz Harun, Allahyarham Ustaz Mohd Zain Al-Rashidi, Allahyarham Cikgu Hj. Ab Aziz Abdullah, Cikgu Abd. Hamid, Cikgu Hj. Taib Sulaiman, Cikgu Mohd Zain Ismail, Cikgu Wan Din Wan Ismail, Cikgu Rongi Ismail, Mr. Emmanuel Joseph, Cikgu Hjh Hasnah Omar, Cikgu Hj. Abdullah Hj. Ismail, Ustaz Mohd Amin Ghazali, Cikgu Wong Lai Chien, Cikgu Ooi, Cikgu Seow, Cikgu Kang, Cikgu Wee Eh Mek, Cikgu Hjh. Hawa Mat Piah, Cikgu Sofiah Shahbuddin, Cikgu Ariffin Mokhri dan beberapa orang guru yang amat sukar untuk saya mengingati nama mereka.

Guru-guru saya di Maktab Sultan Ismail (SIC) Kota Bharu, Kelantan: Cikgu Hj. Wan Ali Wan Yusoff, Cikgu Wan Zakaria Wan Sulaiman, Cikgu Zaini Omar, Cikgu Ibrahim Mat Zain, Cikgu Ibrahim Daud, Cikgu Hj. Muhamad Musa, Cikgu Wan Ismail Malik, Cikgu Rosni Yusoff, Cikgu Siti Zaitun Abdullah, Cikgu Habib Mohamad, Cikgu Raihan Mohd. Salleh dan beberapa orang guru yang amat sukar untuk saya mengingati nama mereka.

Pensyarah saya di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah: Allahyarham En. Rofli Jauhari, Allahyarham Pn. Zaharah Ahmad, En.Ng Kam Loy, Pn Sharifah Rubiah, Pn. Rahimah A. Quadra, Hj. Abd. Jalil Hj. Tahir, Allahyarham En. Awang Piut Matumar, En. Kotley Lasnah, En. Bernard Paul Gumbiron, Cik Rose Lee Nyet Yung, Mr. G. Thandapathany, Pn. Hanim Omar, Pn. Siti Zaharah Aman, En. Voo Min Chu, Allahyarham En. Jusoh Mohamad, Pn. Lee Meng Soon, Pn. Helen Koding, Ustaz Kamaruddin Awang Basir, Ustaz Ali Abdul Aziz, En. Baharuddin Ujang, Pn. Radziah Mohd Nor, En. Edmund Gimbun, En. Johan Hj. Ahmad, En. Philip Biji dan En. Leopold Chen.

Pensyarah saya di Universiti Pertanian Malaysia: Prof. Dr. Abd. Hamid Mahmood, Prof. Dr. Amat Juhari Moain, Prof. Madya Dr. Abd. Rahman Arof, En. Mat Nor Hussin, En. Ahmad Yusoff Buyong, Dr. Abd. Majid Konteng, Dr. Abd. Majid Isa, Prof. Madya Taha Abd. Kadir, En. Rosli Selamat, Prof. Madya Dr. Ibrahim Hj. Salleh, Pn. Hjh. Halimah Hassan, Tn. Hj. Kaman Othman, Tn. Hj. Mohamad Kassim, Dr. Ezhar Kamam, Dr. Hj. Fadzilah Kamsah, Dr. Sharifah Mohd Nor, En. Mohd. Zainuddin Hashim, Dr. Naim Ahmad, Prof. Madya Arbak Othman, Ustaz Hj. Abd. Rahim Rafie, En. Hassan Che Mat, Prof. Rahman Shaari, En. Abd. Razak Abdullah Baginda, En. Mohd Hassan Abd Rahman, Dr. Jayum A. Jawan, Tn. Hj. Awang Mohd Amin, En. Mohd. Amin Arshad dan beberapa orang guru yang amat sukar untuk saya mengingati nama mereka.

Pensyarah saya di Universiti Malaya: Prof. Madya Dr. Zainab Majid, Prof. Madya Dr. Balasubramaniam, Dr. Eric Wong Tak Koon, Prof Madya Dr. Elaine Morais dan Cik Chin Ying Teo.



Pensyarah saya di Universiti Kebangsaan Malaysia: Prof. Datin Dr. Juriah Long, Prof. Dr. Mohamad Amin Embi, Prof. Madya Dr. Nooreiny Maarof, Prof. Madya Dr. Noriah Mohd. Ishak, Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Noordin, Prof. Dato’ Dr. Tamby Subahan Mohd. Meerah, Prof. Madya Dr. Muhammad Hussin, YM Dr. Raja Mohd. Fauzi dan Dr. Hj. Muhamad Sani Ibrahim.

Pensyarah saya di Universiti Pendidikan Sultan Idris: Prof. Dr. Mohamad Ibrahim, Prof. Dr. Omar Abdull Kareem, Prof. Dr. Abd. Hamid Mahmood, Dr. Abu Hassan Abdul dan Dr. Khuan Wai Bing.

Juga 'Selamat Hari Guru Teristimewa' kepada guru-guru agama dan ustaz-ustaz yang telah memberi bimbingan fardu ain dan fardu kifayah kepada saya sejak dari kecil hingga ke hari ini.

03 Januari 2015

Bencana Banjir Akhiri Kalendar 2014

Dengan kuasa Allah Yang Maha Besar banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur khususnya negeri Kelantan sudah mulai surut pada 30 Disember 2014 kecuali di beberapa daerah di negeri Pahang setelah membadai selama kira-kira 7 hari mulai hari Rabu 24 Disember 2014. Bagi kebanyakan tempat di Kelantan banjir gelombang kedua ini dikatakan lebih dahsyat berbanding banjir besar pada tahun 1967 kira-kira 47 tahun lalu yang telah menyebabkan 2,260 keluarga hilang tempat tinggal. Daerah yang paling teruk kesannya di Kelantan ialah Gua Musang dan Kuala Kerai. Dianggarkan kira-kira hampir 100,000 orang penduduk negeri ini telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir yang telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk memudahkan bantuan disalurkan. Jumlah tersebut tidak termasuk mereka yang berpindah ke rumah saudara mara terdekat atau ke premis-premis persendirian yang lebih tinggi lokasinya.
Di daerah kami Pasir Mas, kawasan yang teruk dilanda banjir ialah di kawasan yang bersempadan dengan Thailand terutama sekali kawasan pekan Rantau Panjang dan kampung-kampung sekitarnya yang mana seminggu sebelumnya telah terjejas teruk akibat banjir gelombang pertama kerana limpahan air dari Sungai Golok. Beratus-ratus buah kereta telah tenggelam termasuk yang diletak di perkarangan Masjid Beijing yang dikatakan oleh penduduk setempat tidak pernah sampai banjir sejak dibina kira-kira hampir 10 tahun yang lalu. Mereka sangat yakin bahawa banjir tersebut berpunca daripada limpahan air dari beberapa buah empangan di sebelah Thailand sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, bukannya 100% berpunca daripada hujan monsun timur laut yang menjadi rutin kepada cuaca di negeri-negeri Pantai Timur. Pada awalnya mereka yang tinggal di sepanjang Sungai Golok menganggap keadaan ini agak 'biasa' kerana kawasan mereka sering ditenggelami air tidak kurang dari dua atau tiga kali pada setiap kali musim tengkujuh. Tetapi banjir daripada kedua-dua gelombang kali ini memang 'luar biasa' bagi mereka berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Bandar Pasir Mas turut ditenggelami air lebih daripada satu meter setelah kira-kira hampir 30 tahun tidak dimasuki air banjir semenjak benteng dibina pada pertengahan tahun 1980-an. Saya telah sempat meninjau tempat menyukat banjir di Dataran Air Muleh Pasir Mas pada 24 dan 25 Disember 2014 untuk melihat sendiri keadaan air di situ. Dataran ini sejak dahulu lagi secara tradisinya menjadi tempat tumpuan orang ramai untuk melihat air sungai naik pada setiap kali musim tengkujuh. Mereka bukan sahaja terdiri daripada orang dewasa malah pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak yang seolah-olah datang untuk melihat ‘pesta air’ tanpa sebarang kebimbangan. Jika pada masa dahulu mereka yang datang hanya untuk melihat sahaja tetapi sekarang mereka datang dengan pelbagai alat rakaman untuk merakam keadaan tersebut.  Gambar-gambar yang diperolehi itu terus dihantar kepada saudara mara atau rakan-rakan yang ingin mengetahui perkembangan tentang bencana tersebut. Seorang sahabat saya dari luar Kelantan menyatakan beliau sangat pelik melihat keadaan tersebut kerana sepatutnya orang ramai perlu menjauhkan diri daripada fenomena yang bahaya itu, tetapi di sini berlaku sebaliknya. Saya telah menjelaskan kepada beliau, sebenarnya bila banjir besar melanda mereka akan lari juga akhirnya.
Alhamdulillah semasa banjir besar ini melanda, kampung saya tidak tenggelam  kecuali hanya tiga empat keluarga yang tinggal di pinggir kampung yang terpaksa berpindah ke masjid yang berhampiran. Mengikut orang-orang tua, kampung kami hanya tenggelam semasa banjir pada tahun 1926 yang mereka panggil sebagai ‘bah merah’ dan banjir pada tahun 1967, itupun paras tertinggi di tengah-tengah kampung hanya pada paras paha orang dewasa sahaja. Kini kampung kami agak sedikit terselamat kerana tiga faktor utama yang menyebabkan air banjir tersekat walaupun kampung kami dikelilingi oleh kawasan sawah padi. Faktor pertama kerana adanya lebuh raya dan jalan pintas ke Rantau Panjang, faktor keduanya kerana adanya landasan kereta api ke Thailand dan faktor ketiganya kerana adanya batas-batas tali air milik Lembaga Kemajuan Pertanian Kelantan (KADA) yang sedikit sebanyak menyekat banjir daripada memasuki kampung kami. Namun oleh kerana banjir kali ini agak menyeluruh dengan melanda ke semua daerah di negeri ini, jadi walaupun tidak tenggelam, kampung kami telah menjadi seperti pulau. Semua laluan utama ke bandar Pasir Mas dan ke pekan Rantau Panjang telah tenggelam melebihi paras bahaya. Kami telah terputus hubungan sama sekali.
Oleh kerana kampung kami menjadi seperti pulau, maka dalam tempoh 25 hingga 30 Disember 2014 tersebut semua barangan keperluan di kedai-kedai runcit utama di kampung kami telah kehabisan kerana dibeli oleh para penduduk kampung. Kami memang tidak bersedia dengan barangan keperluan utama kerana tidak menjangkakan banjir seteruk itu akan berlaku pada kali ini. Bekalan air dan letrik telah dipotong serentak pada malam Jumaat 25 Disember 2014 dan ditambah pula dengan talian telefon bagi semua saluran tidak berfungsi dalam tempoh tersebut. Jadi kami terpaksa kembali kepada zaman dahulu iaitu mandi dan membasuh pakaian dengan menggunakan air perigi di rumah jiran yang berdekatan, malam bercahayakan lilin atau pelita minyak tanah, dan makan nasi dengan hanya berlaukkan ikan kering atau ikan masin sahaja. Saya telah memberitahu anak-anak bahawa inilah gambaran masa lampau di mana kami membesar dengan keadaan yang serba kekurangan seperti yang mereka rasai pada musim banjir ini. Bagi saya sekurang-kurangnya mereka telah merasai suasana itu, walaupun mereka tidak berminat untuk menghayatinya.
Pada masa kritikal ini terdapat peniaga kedai runcit yang telah menjual barangan jualan mereka dengan harga yang tidak masuk akal. Semasa air mula naik pada 25 Disember 2014 sekotak lilin yang mengandungi 6 batang dijual dengan harga RM7.00 berbanding harga asal cuma RM2.50 sekotak. Semasa penduduk kampung sangat kritikal lilin dijual dengan harga mencecah RM2.00 hingga RM3.00 sebatang, masyaAllah. Bagi mengelakkan kos yang terlalu tinggi ini beberapa orang jiran telah mengajar kami bagaimana cara untuk membuat pelita dengan menggunakan kapas dan minyak masak yang cahayanya setaraf dengan cahaya lilin atau pelita minyak tanah. Penggunaan pelita hasil daripada idea baharu itu memang sangat berbaloi bagi kami kerana terang dan tidak berjelaga. Lalu terlintas di fikiran saya bahawa peniaga-peniaga kedai runcit itu tentu boleh kaya dengan jualan lilin semahal itu sekiranya mereka mempunyai stok 1,000 kotak lilin. Tetapi kalau mereka sekadar ada cuma tidak sampai 20 kotak lilin tidak perlulah mengambil kesempatan dengan ‘menghisap darah’ penduduk kampung yang sangat terdesak pada ketika itu. Hati saya berkata, anda tidak akan kaya dengan jualan lilin sebanyak itu!
Manakala harga bagi minyak petrol pada masa musibah ini dijual dengan harga RM10.00 untuk sebotol besar air mineral, itupun tidak penuh. Selain itu terdapat dalam kalangan penduduk kampung yang minyak petrol kenderaan masing-masing telah dicuri kerana mereka meletakkan kenderaan  di kawasan tanah tinggi yang agak jauh dari rumah untuk mengelakkan daripada banjir. Terdapat juga mereka yang kehilangan aksesori kereta seperti rim sport, radio, speaker dan sebagainya. Pasar Raya Pantai Timur, Kedai Rakyat 1Malaysia dan beberapa gudang di Tanah Merah, Kelantan telah dipecah masuk dan sebahagian besar daripada barangan di dalamnya telah dicuri. Bagi sesetengah peniaga yang mempunyai premis perniagaan, sudahlah seluruh barangan jualan mereka ditenggelami banjir, ditambah pula dengan musibah kecurian oleh mereka yang tidak berhati perut.
Pada hari Rabu, 31 Disember 2014 setelah banjir hampir surut sepenuhnya, saya sekeluarga telah kembali ke Kuala Lipis kerana salah seorang daripada anak kami terpaksa balik ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan kami dari Pasir Mas melalui Tanah Merah, Kuala Kerai dan Gua Musang, kami amat sedih melihat keadaan rumah-rumah yang telah terjejas teruk oleh arus banjir tersebut. Namun kita sentiasa menerima bahawa itu adalah ujian Allah Yang Maha Kuasa terhadap makhluk-Nya yang sudah tentu ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku. Saya amat terharu dengan tahap keprihatinan yang sangat tinggi daripada seluruh rakyat Malaysia yang tidak terlibat dengan bencana ini. Mangsa-mangsa banjir telah dibantu oleh semua pihak sama ada pihak kerajaan, NGO dan orang-orang perseorangan sejak banjir mula melanda lagi. Saya amat terharu melihat deretan konvoi kenderaan misi bantuan banjir yang tidak putus-putus berselisih semasa kami dalam perjalanan pada hari tersebut. Syabas rakyat Malaysia! Sekian catatan pengalaman yang amat berguna bagi kita semua meskipun senario ini hanya berfokuskan dalam konteks yang sangat sempit, iaitu daerah saya Pasir Mas. Selamat Tahun Baharu 2015.