RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

21 September 2015

Semarang Oh Semarang 2

Hari Pertama (Rabu, 2 September 2015)
Prosiding Seminar LAMAS V
Pesawat Air Asia AK328 KL-Semarang yang saya naiki mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmad Yani pada jam 12.25 tengah hari waktu Indonesia Barat (WIB) setelah 2 jam 20 minit penerbangan. Saya telah mengunjungi Semarang sekali lagi dalam tempoh 10 bulan setelah hadir di International Seminar “Language Maintenance and Shift in Media and Education” (LAMAS IV) anjuran Universitas Diponegoro (UNDIP), Semarang pada 16 November 2014 yang lalu. Kali ini saya hadir ke universiti itu dengan tujuan yang sama, iaitu untuk membentangkan kertas kajian saya di International Seminar Language Maintanance and Shift V (LAMAS V) dengan tema “The Role of Indigenous Language in Constructing Identity” yang juga diadakan di hotel yang sama iaitu Hotel Neo Candi yang terletak di Jalan Letjen S. Parman, Gajahmungkur, Semarang.
Dewan Utama Seminar
Oleh kerana penerbangan ke Semarang berselang hari, maka saya terpaksa hadir pada hari bermulanya seminar pada sebelah paginya. Saya telah terlepas majlis perasmian, Sidang Pleno oleh Prof. Dr. Aron Repmann (USA), Prof. Dr. Yudha Thianto (USA) dan Dr. Priyankoo Sarmah (India) dan sesi pembentangan selari pada sebelah pagi tersebut. Saya hanya mengikuti sesi pembentangan pada sebelah petang yang berakhir kira-kira jam 4.30 petang. Saya tidak dapat ke mana-mana selepas sesi tersebut kerana masuk waktu maghrib di Semarang ialah pada jam 5.42 petang. Oleh itu saya hanya berehat di bilik 125 iaitu bilik yang pernah saya duduki kira-kira 10 bulan yang lalu.
Bersama bapak I Nengah Suandi
Pada sebelah malamnya diadakan Majlis Makan Malam untuk para peserta seminar dan jemputan khas. Ucapan alu-aluan Majlis Makan Malam tersebut telah disampaikan oleh Drs. Pardi Suratno, Ketua Balai Bahasa Provinsi Jawa Tengah, yang ucapannya sangat terkesan kepada saya sebagai peminat bahasa.  Ucapan beliau sarat dengan ilmu, falsafah, agama dan maklumat tentang bahasa, yang dikaitkan dengan kepentingan bahasa Jawa dan bahasa Melayu. Majlis ini juga telah menemukan saya kepada beberapa orang peserta yang hadir termasuk dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Saya telah memilih untuk duduk semeja dengan beberapa orang peserta Indonesia bagi tujuan bertukar-tukar fikiran, antaranya Bapak Antonio Constantino Soares dari Universitas Udayana, Denpasar, Bali, Bapak I Nengah Suandi dari Universitas Pendidikan Ganesha, Bali, Dr. P. Ari  Subagyo dari Universitas Sanata Dharma, Yogjakarta dan beberapa orang lagi peserta tempatan.
Gambang Semarang
Di majlis itu kami telah dipersembahkan dengan persembahan ‘Gambang Semarang’ oleh para siswa Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Diponegoro. Gambang Semarang merupakan sebuah kesenian tradisional Semarang yang memadukan antara seni musik, tari, dan komedi. Pertunjukan Gambang Semarang dimulai dengan lagu pembukaan yang berupa lagu instrumental. Kemudian diikuti dengan nyanyian lagu-lagu tempatan oleh pasangan lelaki dan perempuan yang saya sama sekali tidak memahami liriknya. Mengikut salah seorang peserta di sini antara lagu yang dinyanyikan ialah lagu “Awe-awe”, “Lenggang Surabaya”, “Puteri Solo”, “Aksi Kucing” dan beberapa lagu-lagu lain dengan iringan muzik Gambang Semarang tersebut. Selain daripada itu persembahan ini diikuti dengan lawak jenaka dan tarian “Empat Penari”. Majlis berakhir kira-kira jam 10.30 malam.
Antara para tetamu
Hari Kedua (Khamis, 3 September 2015)
Pada hari kedua saya telah membentangkan kertas kajian saya bertajuk “Persamaan Lambang dan Makna Dalam  Peribahasa Semai dan Peribahasa Melayu” pada sesi jam 10.30 – 12.30 tengah hari bersama-sama dengan lima pembentang lain iaitu Asih Prihandini (Universitas Telekom Bandung), Novian Denny Nugraha (Universitas Telekom Bandung), Welsi Damanyati (Universitas Pendidikan Indonesia), Antonio Constantino Soares (Universitas Udayana) dan Indrawati Pusparini (IKIP Budi Utomo, Malang). Terdapat beberapa soalan daripada peserta untuk saya jawab dalam sesi tersebut. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan baik. Saya amat mengagumi cara mereka memanfaatkan forum ilmu ini dengan semaksima yang mungkin, berbanding sesetengah daripada kalangan kita di sini.  Pada hari terakhir ini saya juga sempat membeli buku “Muatan Budaya, Sosial dan Politik dalam Bahasa dan Komunikasi” tulisan Dr. J. Herudjati Purwoko, Pensyarah Kanan di Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Diponegoro, yang juga merupakan ahli sidang pleno pada hari kedua seminar.
Pembentang sesi 10.30 pagi - 12.30 tgh.
Majlis penutup telah diadakan pada jam 11.30 pagi yang telah disempurnakan oleh Ketua Balai Bahasa Provinsi Jawa Tengah, Drs. Pardi Suratno. Antara intipati ucapan beliau yang saya ingat ialah “Jika bahasa Jawa hilang, budaya Jawa akan menghilang dari kehidupan masyarakat. Akibatnya, masyarakat akan terlepas dari akar budayanya. Masyarakat yang tidak memiliki kaitan dengan budaya lokal dan nasionalnya sudah pasti akan mengalami kesulitan mencari jati dirinya”. Saya sangat teruja dengan bahasa dan intipati ucapannya kerana walaupun ringkas tetapi sangat bermakna bagi mereka yang menghayatinya. Apa yang sangat penting yang saya dapat perhatikan ialah seramai mana kehadiran peserta semasa majlis perasmian begitu jugalah semasa sesi seminar berlangsung dan semasa majlis penutupannya.
Drs. Pardi Suratno
Pada sebelah petangnya saya mempunyai masa rehat yang lebih panjang kerana seminar telah berakhir pada sebelah tengah harinya. Namun oleh kerana berseorangan tanpa kawan, maka saya hanya berjalan-jalan di sekitar Jalan Letjen S. Parman berdekatan hotel penginapan. Kali ini saya tidak lagi melawat Pasar Johar, Lewang Sewu, Masjid Agong, Pandanaran dan sebagainya kerana faktor masa dan berseorangan. Namun saya sempat menyewa budak motor yang bernama Ambon untuk bersiar-siar keliling kota Semarang dengan motornya. Meskipun pada mulanya agak kurang yakin dengan cara ‘dressing’ Ambon, namun oleh kerana dia sudah dipanggil oleh penjaga hotel, maka saya pergi juga. Ternyata Ambon baik orangnya, dia hanya mencari rezeki dengan cara itu untuk menyara keluarganya, manakala isterinya pada ketika itu sedang berada di pelabuhan untuk datang mencari rezeki di Malaysia. Saya telah memberikan Ambon RP50,000 (Lebih kurang RM15) atas khidmatnya.
Hari Ketiga (Jumaat, 4 September 2015)
AK329  Semarang - KL
Pada malam terakhir ini saya telah berehat panjang dan bangun seawal jam 4.15 pagi WIB kerana azan subuh berkumandang pada jam 4.25 pagi, awal hampir sejam setengah daripada waktu Malaysia. Pada sebelah malamnya saya sudah berjanji dengan Pak Dwi Narno iaitu pemandu teksi yang pernah kami sewa semasa kunjungan pertama dahulu. Jadi pada jam 6.30 pagi saya sudah menunggunya di ruang legar hotel sebagaimana janji saya dengan Pak Narno. Setelah kira-kira 10 minit melebihi masa yang dijanjikan, saya telah menelefon Pak Narno 082133444288 berkali-kali tetapi tanpa jawapan. Akhirnya saya telah meminta pihak hotel memanggil teksi lain selepas setengah jam Pak Narno tidak muncul-muncul. Saya sangat khuatir akan terlewat untuk 'check in' kerana waktu penerbangan saya pada jam 8.55 pagi. Saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmad Yani kira-kira jam 7.30 pagi, agak lewat bagi sesetengah lapangan terbang yang besar seperti KLIA & KLIA 2. Tetapi di Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmad Yani masa ketibaan saya tersebut masih dalam tempoh yang tidak tergesa-gesa. Pesawat Air Asia AK329 Semarang-KL berlepas kira-kira jam 9.00 pagi WIB dan jam 12.20 tengah hari waktu Malaysia saya sudah di KLIA 2. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan-Nya.

Tiada ulasan: