RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

30 Januari 2009

Tragedi Lemal 1972

Salah satu peristiwa yang masih segar dalam ingatan saya ialah Tragedi Lemal yang berlaku pada 30 Mac 1972 iaitu hari terakhir persekolahan bagi Penggal Satu pada tahun tersebut. Tragedi yang melibatkan kemalangan antara bas dan kereta api itu telah mengorbankan sebanyak 13 nyawa penumpang yang kebanyakannya murid sekolah. Tragedi yang berlaku semasa saya berada di Tingkatan Satu ini amat menyentuh hati memandangkan ianya melibatkan banyak kehilangan nyawa pada ketika itu.
Di sekitar daerah Pasir Mas pada ketika itu terdapat empat lintasan landasan kereta api iaitu pertamanya di Jalan Tengku Ahmad, di tengah-tengah bandar Pasir Mas, keduanya di Kampung Lemal berhampiran dengan Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (dulunya Lembaga Letrik Negara), ketiganya di pekan Rantau Panjang iaitu landasan ke Sungai Golok, Thailand dan keempatnya di Kampung Repek iaitu kira-kira 10 km dari bandar Pasir Mas. Kesemua lintasan ini merupakan lintasan terbuka sebagaimana juga di kebanyakan lintasan lain yang terdapat di seluruh negara pada ketika itu.

Tragedi yang melibatkan dua kenderaan awam iaitu kereta api barang berenjin kuasa wap milik Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan bas pendek model Seddon MK17 milik Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) ini telah mendapat liputan yang meluas di media dan mendapat perhatian utama pihak kementerian terbabit. Menteri Perhubungan Malaysia, Allahyarham Tan Sri Sardon Jubir beberapa hari selepas kejadian itu telah mengarahkan semua lintasan terbuka di seluruh negara dipasang dengan pintu pagar bagi mengelakkan berulangnya tragedi ngeri seperti itu.
Meskipun pada ketika itu baru di Tingkatan Satu, namun saya telah memberi perhatian serius kepada tragedi ini memandangkan tiap-tiap hari bas sekolah yang kami naiki melalui lintasan kereta api di Jalan Tengku Ahmad untuk ke bandar Pasir Mas. Yang lebih menyentuhkan perasaan lagi ialah tiga daripada mangsa tragedi tersebut merupakan saudara dan rakan saya yang tinggal di kampung berhampiran. Dua orang rakan saya terselamat tetapi saudara saya yang pada ketika itu pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Rendah Perempuan Pasir Mas (kini SMK Perempuan Pasir Mas) meninggal dunia di Hospital Besar Kota Bharu (kini Hospital Raja Perempuan Zainab II). Selepas itu beberapa kejadian kecil yang melibatkan kereta dan motosikal di lintasan yang sama turut berlaku tetapi tiada kehilangan nyawa. Malah semasa di Tingkatan Enam pada tahun 1978, bas yang saya naiki pernah nyaris-nyaris dirempuh kereta api di lintasan Jalan Tengku Ahmad semasa hujan lebat.
Ekoran daripada beberapa peristiwa tersebut saya pernah menghantar satu komentar dalam ruangan Forum Pembaca di akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan pada hari Jumaat 23 Jun 1978. Bagi saya komentar tersebut merupakan salah satu sumbangan dan tanggungjawab saya terhadap kepentingan umum dalam usaha untuk mencegah agar tragedi ngeri seperti yang berlaku pada 30 Mac 1972 itu tidak berulang lagi di mana-mana tempat di negara ini pada masa akan datang. Saya berpandangan bahawa melalui komentar seperti ini sekurang-kurangnya menjadi salah satu daripada senarai semak yang perlu diteliti oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Namun selepas 9 tahun kejadian itu, apa yang dibimbangi tersebut telah benar-benar berulang. Pada 27 November 1981 satu tragedi yang seakan sama telah berlaku lagi, malah lebih dahsyat kerana jumlah mereka yang terkorban seramai 17 orang berbanding 13 orang dalam tragedi terdahulu. Tragedi kali ini berlaku di lintasan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam yang melibatkan sebuah bas yang membawa para belia untuk melancong ke Pulau Pangkor, Perak. Kedua-dua tragedi tersebut seakan-akan sama senario kejadiannya, cuma masa dan tempat sahaja yang berbeza. Saya yang pada ketika itu sedang menuntut di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu sekali lagi tersentak setelah membaca berita tragedi tersebut di akhbar. Seperti biasa sekali lagi pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan masing-masing berhubung dengan tragedi tersebut.
Sebagai insan kerdil yang sentiasa mengikuti perkembangannya, sekali lagi saya terpanggil untuk menulis tentang perkara ini dengan harapan yang sama sebagaimana saya menulis komentar terdahulu setelah kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh pelbagai pihak. Dengan merujuk kepada beberapa sumber saya telah menulis tentang perkara ini dan menghantarnya kepada majalah Sarina terbitan Amir Enterprise Sdn. Bhd. yang merupakan salah satu ‘digest’ berbahasa Melayu pada ketika itu. Rencana tersebut telah disiarkan di muka surat 110 majalah Sarina Jilid 7 No. 70 terbitan bulan Januari 1982. Dengan tersiarnya rencana tersebut, saya sekali lagi berharap agar luahan yang saya anggap mewakili masyarakat umum itu diberi sedikit perhatian oleh pihak-pihak berkenaan dengan sewajarnya.
Alhamdulillah, akhirnya aspek keselamatan pengguna telah diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan di mana mulai pertengahan tahun 1980-an semua lintasan utama kereta api di seluruh negara telah dilengkapi dengan pintu pagar serta pengawal bertugas. Dengan adanya langkah keselamatan tersebut maka tragedi ngeri seperti yang berlaku di dua lokasi berkenaan telah dapat dielakkan sepenuhnya. Meskipun akibat daripada adanya pintu pagar tersebut telah menimbulkan masalah kesesakan lalu lintas pada waktu-waktu tertentu di bandar-bandar yang agak sibuk, namun itu adalah fenomena biasa yang lebih baik berbanding jika berlakunya sesuatu kemalangan ngeri. Bagi mengelakkan masalah kesesakan tersebut, kini di kebanyakan lintasan kereta api di negara ini sudah dibina jejambat dan jejantas untuk kenderaan dan orang ramai melintasinya. Sekian.

27 Januari 2009

Perihal Umur, Perkhidmatan dan Persaraan Kita

Tahun 2008 telah kita tinggalkan hampir sebulan yang turut bermakna tahun 2009 juga kita telah lalui hampir sebulan. Ini menunjukkan bahawa tahun ini berbaki lagi 11 bulan. Pantasnya masa sepantas itu jugalah peningkatan umur kita. Kadang-kadang kita merasakan tiada apa-apa perubahan yang berlaku pada diri kita selain daripada peningkatan pada angka keramat yang dinamakan umur tadi. Namun hakikatnya umur kita meningkat pada setiap detik seiring dengan pergerakan masa sama ada dalam keadaan kita sedar atau sebaliknya. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya kita tiba-tiba tersentak kerana rupa-rupanya perkhidmatan kita sudah melebihi 20 tahun. Tanpa disedari tempoh perkhidmatan kita tinggal kira-kira 10 atau 12 tahun saja lagi. Oleh itu selain mencongak hitungan bulan dan tahun, adalah wajar untuk kita turut mencongak tempoh perkhidmatan masing-masing agar kita dapat meninggalkan sesuatu yang bermakna setelah tibanya waktu persaraan nanti.
Menghadapi persaraan adalah wajib bagi seseorang yang berkhidmat sama ada dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Keadaan ini hampir sama dengan menghadapi kematian adalah wajib bagi seseorang yang menjalani kehidupan di dunia ini. Oleh itu sebagaimana juga menghadapi kematian, menghadapi persaraan juga perlu kepada persediaan yang sepatutnya untuk meneruskan kehidupan selepasnya. Alangkah mulianya jika nama seseorang itu disebut-sebut dengan contoh-contoh yang positif selepas persaraannya, seperti juga jika nama seseorang itu disebut-sebut dengan contoh-contoh yang baik selepas kematiannya. Justeru itu adalah wajar bagi kita untuk menjalankan tugas dengan sebaik mungkin agar dapat diteladani, bukannya untuk disempadani oleh orang yang terkemudian daripada kita. Bekerjalah dengan penuh tanggungjawab serta profesional dan janganlah kita terlalu ’berkuasa’ melebihi daripada tanggungjawab kita yang sepatutnya, kerana ia memungkinkan kepada bertambahnya musuh apabila kita bersara nanti.
Sepanjang tahun 2008 yang lalu IPTAA telah kehilangan 8 tonggak utama berikutan persaraan 6 Ketua Jabatan dan Ketua Unit, seorang pensyarah Cemerlang DG52 dan seorang pensyarah senior berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah. Empat daripada mereka bersara wajib kerana tidak sampai dengan tempoh persaraan yang dilanjutkan kepada 58 tahun yang diumumkan Perdana Menteri pada 10 Mei 2008 yang berkuatkuasa mulai 1 Julai 2008. Manakala empat orang lagi memang tidak memilih opsyen persaraan 58 tahun walaupun tarikh persaraan masing-masing selepas 1 Julai 2008. Mereka yang bersara ialah:

Tn. Hj. Azmi bin Ismail, Pensyarah Cemerlang DG52 - bersara pada 2 Mac 2008

En. Ho Kok Choy, Ketua Jabatan Sains dan Matematik – bersara pada 13 Mei 2008

Tn. Hj. Abd. Rahim bin M. Ali, Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan - bersara pada 13 Mei 2008

En. Adanan bin Ahmad, Ketua Unit Kokurikulum - bersara pada 28 Jun 2008

En. Ling Siew Chong, Ketua Jabatan Bahasa - bersara pada 1 Ogos 2008

Dr. Syed Abdullah bin Syed Sulaiman – bersara pada 11 Ogos 2008

Pn. Aziah bt. Mohamad, Ketua Jabatan Kajian Sosial - bersara pada 22 September 2008

Tn. Hj. Abdul Rahim bin Abd. Rahman, Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan - bersara pada 20 Disember 2008

Sama-samalah kita doakan semoga mereka yang telah bersara dapat menjalani kehidupan dalam keadaan sihat dan sejahtera. Sesungguhnya jasa kalian dalam dunia pendidikan tiada terperi banyaknya. Sekian

17 Januari 2009

Menawan Puncak Kinabalu

11 September 1981, jam 3.00 petang: Kami bertolak dari Maktab Perguruan Gaya (MPG) ke Taman Kinabalu yang terletak kira-kira 92 km dari Kota Kinabalu. Perjalanan kami mengambil masa kira-kira 3 jam kerana jalan raya Tamparuli ke Kundasang dan Taman Kinabalu sedang dalam pembinaan pada ketika itu. Jam 6.00 petang kami tiba di hostel Taman Kinabalu. Pada sebelah malamnya selepas makan malam, kami hanya berehat dan bersembang-sembang sambil menghirup udara dingin persekitaran yang nyaman. Kami sempat berkenalan dengan seorang pensyarah dari University of Frankfurt, German iaitu Dr. Mike Koch yang akan mendaki bersama-sama dengan kumpulan kami pada keesokan harinya.
12 September 1981, jam 5.00 pagi: Selepas solat Subuh guru-guru pelatih perempuan menyediakan sarapan untuk dibawa bersama semasa pendakian. Kami membantu guru-guru pelatih perempuan memasak nasi goreng untuk kira-kira 25 orang ahli yang menyertai program tersebut. Nasi goreng tersebut kemudian diisi di dalam bekas untuk dimakan di perhentian Carson’s Camp pada aras 2,650 meter (8,700 kaki).
Kami telah mendapatkan khidmat dua orang porter yang terdiri daripada gadis suku kaum Dusun untuk membawa barang-barang makanan ke tempat persinggahan di Panar Laban yang terletak pada ketinggian 3,272 meter (10,700 kaki) dari aras laut. Makanan yang dibawa semasa mendaki berupa makanan kering iaitu roti, biskut, mi segera dan coklat bar. Kami juga mendapatkan khidmat dua orang jurupandu atau Malim Gunung iaitu Douni dan Gampat kerana bilangan peserta kami melebihi daripada 10 orang.
Jam 8.00 pagi: Kami dibawa ke Power Station dengan menggunakan dua buah pick up. Pendakian bermula dari situ dengan diketuai oleh jurupandu Douni, manakala jurupandu Gampat berada di belakang bagi memastikan tiada siapa yang tertinggal semasa pendakian. Jam 10.00 pagi: kami tiba di Carson’s Camp secara berperingkat-peringkat mengikut kemampuan tenaga masing-masing. Kami mendapati bahawa spesis pokok-pokok di sekitar kawasan ini kelihatan berbeza berbanding pokok-pokok hutan yang biasa kita lihat di kawasan tanah rendah. Antara pokok yang terdapat di kawasan ini ialah spesis periuk kera (nepenthes) antaranya nepenthes fusca, nepenthes rajah, nepenthes villosa, nepenthes lowii dan nepenthes kinabaluensis. Selain itu terdapat orkid berantai (coelogyne radioferens), balsam kinabalu (impatiens platyphylla) dan lain-lain lagi yang dikatakan antara 5,000-6,000 spesis tumbuhan berbunga.
Di Carson’s Camp kami membuka bekalan nasi goreng masing-masing sebelum meneruskan pendakian. Kami dinasihatkan supaya tidak makan terlalu banyak kerana akan menyukarkan pendakian seterusnya. Perjalanan dari Carson’s Camp ke Panar Laban akan mengambil masa kira-kira 2 hingga 3 jam bergantung kepada stamina dan saiz badan pendaki. Saya dapati dua tiga orang guru pelatih yang saiz badannya agak besar sudah mula menghadapi masalah. Guru-guru pelatih lelaki terpaksa memberi bantuan dengan cara menolong membawa haversack mereka.

Perjalanan yang semakin mendongak dan sekali-sekala mendatar tersebut agak teruk bagi kami yang tidak membuat apa-apa latihan stamina sebelum mendaki. Rakan kami, Raymund Simin (kini Rohaya Abdullah), si gadis Dusun dari Ranau merupakan guru pelatih yang pertama tiba di Panar Laban. Keduanya ialah Fatimah Othman, si gadis cilik dari Johor Bahru. Fatimah menduduki tempat kedua bukan kerana kelasakannya tetapi kerana saiz badannya yang kecil. Saya berpendapat bahawa mereka yang mempunyai saiz badan yang kecil mempunyai kelebihan dalam melaksanakan misi sukar ini.
Jam 2.00 petang: Semua peserta berjaya tiba di Gunting Lagadan Hut, di Panar Laban. Tempat penginapan ini merupakan tempat penginapan kelas sederhana yang mempunyai kelengkapan 60 buah katil, dapur memasak umum, bilik air umum dan tiada pemanas udara.
Di Gunting Lagadan Hut kami berehat kerana separuh hari tenaga kami digunakan untuk mendaki. Namun keadaan cuaca dan suhu di sini menyebabkan amat sukar untuk kami melelapkan mata. Kami sempat mengambil gambar panorama indah anugerah Allah yang amat sukar diketemui ini. Di sini setiap orang dibekalkan dengan ‘sleeping bag’ untuk tidur pada waktu malam nanti. Kami akan tidur di asrama ini sehingga kira-kira jam 2.30 pagi sebelum menyambung semula perjalanan ke kemuncak.
Jam 8.00 malam: Kami hanya makan roti, mi segera Maggi dan epal yang kami bawa dari maktab. Di sini semua pendaki dikehendaki membawa atau menyediakan makanan sendiri. Turut serta makan malam bersama kami ialah Dr. Koch yang mendaki secara solo. Kami hampir tidak tidur langsung pada malam itu, kerana terlalu sejuk walaupun berada dalam ‘sleeping bag’. Oleh kerana tidak dapat tidur, masing-masing buka cerita sampai hampir jam 2.00 pagi baru terlelap sedikit.
13 September 1981, jam 2.15 pagi: Douni telah mengejutkan kami dari tidur. Kami diarahkan agar memakai baju yang tebal lebih daripada satu lapis, memakai krim atau gincu pada bibir untuk mengelakkan daripada melepuh kerana suhu yang rendah, memakai sarung tangan sekurang-kurangnya selapis dan membawa lampu suluh. Makanan yang dibawa hanyalah coklat bar, epal dan setengah liter air untuk tenaga. Alhamdulillah, cuaca pada pagi itu amat baik sekali. Mereka yang tidak sihat dinasihatkan supaya berehat di asrama ini. Dua orang pelajar perempuan (sudah lupa siapa) daripada kumpulan kami tidak dapat meneruskan pendakian kerana mengalami demam selsema (altitude sickness atau acute mountain sickness) akibat daripada perubahan cuaca yang mendadak.
Saya memakai empat lapis baju bermula daripada kemeja T lengan pendek, kemeja T lengan panjang, sweater dan jaket. Selain itu saya juga memakai dua lapis seluar dan dua lapis sarung tangan, tuala melilit kepala dan topi. Rakan-rakan lain juga bersedia memakai pakaian yang sepatutnya untuk menghindarkan daripada cuaca sejuk. Rakan-rakan lelaki kelihatan seperti badut apabila bibir mereka merah disapu dengan sedikit gincu yang diberikan oleh guru-guru pelatih perempuan. Kami ketawa sesama sendiri apabila melihat keadaan muka masing-masing di cermin.
Jam 2.50 pagi: Kami memulakan perjalanan. Douni di hadapan dan Gampat mengawasi mereka yang berjalan paling belakang. Pendakian di antara Panar Laban dan Puncak Low (4,095.2 meter) iaitu kemuncak tertinggi Gunung Kinabalu ini lebih mencabar berbanding perjalanan sebelumnya kerana keadaan cerunnya yang semakin tinggi dan berbahaya. Cabaran ini ditambah pula dengan kegelapan malam yang amat terhad pemandangannya. Keadaan batu-batan pula lembab dan licin disebabkan oleh cuaca dan embun pagi yang dingin. Ada tempat yang kami terpaksa menggunakan tangga kayu serta tali mendaki dan ada tempat yang memerlukan bantuan jurupandu serta rakan-rakan untuk melepasinya.
Cuaca semakin sejuk dengan anggaran suhu kurang daripada 9°C kerana di Panar Laban suhunya sekitar 9.5°C. Kami berjalan berderetan mengikut jurupandu di celah-celah laluan yang berbatu-batan dan akar-akar pokok renik yang seakan-akan pokok bonsai. Kami melalui Sayat-Sayat Hut pada kira-kira waktu fajar mula menyinsing. Nama Sayat-Sayat Hut adalah daripada nama pokok sayat-sayat atau leptospermum (Leptospermum recurvum) yang banyak terdapat di kawasan ini. Pokok-pokok lain ialah daripada spesis pokok renik seperti Dacrydium gibbsiae, Lithocarpus havilandii, Phyllocladus hypophyllus dan Rhododendron spp.
Cahaya lampu suluh para pendaki yang mendahului kami kelihatan seperti kunang-kunang. Mereka bermalam di Sayat-Sayat Hut yang membolehkan mereka bertolak lebih awal. Oleh kerana suhu di Sayat-Sayat lebih rendah berbanding suhu di Panar Laban, kebanyakan mereka yang bermalam di sini terdiri daripada pendaki asing kerana mereka sudah biasa dengan cuaca sejuk. Perjalanan antara Sayat-Sayat Hut dan kemuncak Kinabalu agak kurang mencabar berbanding perjalanan dari Panar Laban ke Sayat-Sayat kecuali beberapa tempat tertentu kerana cerunnya semakin curam. Silap langkah kami boleh bergolek jatuh entah ke mana kerana jika kita melihat ke bawah seolah-olah kita melihat ke atas. Oleh kerana keheningan pagi dan tiada gangguan lain, berserta dengan kedudukan yang tinggi maka suara mereka yang berada hampir dengan kemuncak jelas kedengaran. Semangat kami juga semakin tinggi kerana kemuncak tertinggi tersebut sudah semakin hampir.
Orang pertama dari kumpulan kami yang tiba di Puncak Low (4,095.2m) ialah Raymund Simin dan diikuti oleh Haimin Dusilin, kedua-duanya berasal dari Ranau. Saya tiba di kemuncak tersebut pada jam 6.25 pagi bersama rakan-rakan lain setelah sebahagian pendaki lain sudah berada di kemuncak. Kami sempat bergambar di papan tanda yang tercatat nama orang tempatan pertama yang sampai di kemuncak tertinggi Asia Tenggara tersebut iaitu Gunting bin Lagadan. Papan tanda yang diperbuat daripada logam tebal tersebut bertulis “ID KAHANDAMAN DI GUNTING BIN LAGADAN HUGUAN MANA-NANUD ID NULOHON KINABALU 1888 – 1966” dalam bahasa Kadazan.
Cuaca baik pada pagi itu menampakkan kami panorama alam yang cukup indah semasa matahari mula terbit. Indahnya alam maya anugerah Allah kepada penghuni bumi ini. Cahaya lampu bandar-bandar utama Sabah kelihatan sayup-sayup berkelipan bagai kunang-kunang. Di sebelah utaranya terdapat lurah berkabus Low’s Gully yang amat curam memanjang sehingga 10 km dari kemuncak Kinabalu. Puncak St. John, Puncak Victoria dan Puncak Alexandra jelas kelihatan. Puncak St. John (4,090.75m) merupakan kemuncak kedua tertinggi selepas Puncak Low. Di puncak inilah terjumpanya mayat pelajar Ellie James, 17 tahun dari Cornwall, England yang terkorban kerana tersesat jalan akibat cuaca buruk semasa mendaki bersama keluarganya pada 16 Ogos 2001.
Setelah bergambar kami semua mula bergerak turun kerana kami dinasihat supaya meninggalkan kemuncak sebelum matahari naik. Sekiranya melebihi jam 8.00 pagi, kabus tebal akan menyelubungi kawasan kemuncak tersebut dan boleh menyebabkan pendaki kehilangan arah untuk mengikuti trek ke bawah. Keadaan inilah yang berlaku kepada Ellie, pelajar British yang terkorban di puncak St. John terutama sekali semasa cuaca buruk. Apabila melihat keadaan sekeliling barulah kami sedar betapa bahayanya trek yang kami lalui semasa mendaki dalam kegelapan awal pagi tadi. Kami tiba di Gunting Lagadan Hut kira-kira jam 10.00 pagi dan terus mengambil haversack yang kami tinggalkan di situ. Jam 2.00 petang kami sudah tiba di Power Station dan menaiki 2 buah kenderaan pick-up terus ke Pejabat Taman Kinabalu. Kami bertolak pulang jam 4.30 petang dan tiba di maktab kira-kira jam 7.00 petang. Alhamdulillah, misi kami untuk menawan puncak Kinabalu telah tercapai.
14 September 1981: Jam 8.00 pagi. Kebanyakan daripada kami terpaksa merangkak menuruni tangga asrama maktab kerana kejang saraf akibat tiada latihan dan stamina sebelum membuat pendakian tersebut.

12 Januari 2009

Selamat Datang Pelajar KPLI dan KPLI j-QAF

Warga Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis mengucapkan selamat datang kepada para pelajar baru KPLI dan KPLI j-QAF yang mula mendaftarkan diri pada hari ini. Jumlah tempat yang ditawarkan untuk kedua-dua program tersebut bagi IPGM ini pada tahun ini ialah sebanyak 341 tempat iaitu 205 untuk KPLI dan 136 untuk KPLI j-QAF. Daripada jumlah 205 tempat untuk KPLI seramai 20 orang ditawarkan untuk Kursus Pengajian Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, 38 orang untuk Kursus Pengajian Bahasa Cina Sekolah Rendah, 40 orang untuk Kursus Pengajian Bahasa Melayu, 30 orang untuk Kursus Pengajian Bahasa Tamil Sekolah Rendah, masing-masing 19 orang untuk Kursus Pendidikan Khas, Kursus Pengajian Matematik dan Pendidikan Seni Visual, dan 20 orang untuk Kursus Pendidikan Jasmani.
Manakala daripada jumlah 136 tempat untuk KPLI j-QAF, seramai 65 orang ditawarkan untuk Kursus Pengajian Islam dan 71 orang untuk Kursus Pengajian Bahasa Arab. Daripada jumlah keseluruhan KPLI dan KPLI j-QAF tersebut seramai 86 orang atau 25.2% adalah lelaki dan seramai 255 orang atau 74.8% adalah perempuan. Mereka yang mendaftar akan mengikuti Minggu Pengurusan Pelajar Baru (MPPB) selama 4 hari bermula 12 hingga 15 Januari 2009. Antara objektif MPPB ialah:
1. Mengetahui dan memahami visi dan misi sebagai pelajar di IPGM.
2. Boleh menyesuaikan diri dengan budaya maktab serta dapat mewujudkan sifat dan sikap yang ceria dan komited sebagai warga baru institut.
3. Mewujudkan interaksi yang positif, memupuk kerjasama dan perasaan muhibah serta komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab antara pelajar baru dengan warga institut.
4. Membina keupayaan, bakat dan kepemimpinan, ketahanan diri, fizikal dan emosi ke tahap profesion keguruan yang sebenar.
5. Membina perwatakan pelajar yang mempunyai sahsiah yang sepadu, beretika, berdisiplin, berpotensi dan berketrampilan.
6. Membina ketahanan diri dan penghargaan terhadap sistem pentadbiran IPGM, semangat patriotik dan kekitaan serta pembinaan negara bangsa melalui pendidikan.
Pengarah IPGM, Kampus Tengku Ampuan Afzan, Encik Mazlan bin Mohamad dalam Kata Alu-Aluan buku program MTTB antara lain menyatakan, Program MTTB dirancang dan dilaksanakan bagi memenuhi matlamat ke arah mewujudkan guru yang berkualiti pada masa depan. Ini bersesuaian dengan tema program itu sendiri iaitu ”Saya Bangga Menjadi Guru”. Tema ini harus dihayati oleh bukan sahaja pelajar baru malahan warga pendidik seluruhnya.

07 Januari 2009

Selamat Berpisah: InsyaAllah Jumpa di Tawau

Jabatan Pengajian Melayu, Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis telah mengadakan jamuan perpisahan pada 7 Januari 2009 jam 1.00 tengah hari di Anjung Selera IPTAA bagi meraikan En. Abdullah Musa yang akan bertukar ke Institut Perguruan Tawau, Sabah mulai 12 Januari 2009. Majlis ringkas yang diadakan oleh para pensyarah Jabatan Pengajian Melayu yang diterajui oleh Ketua Jabatan, Pn. Hjh. Ramlah Abd. Rahman ini turut dihadiri Yang Berbahagia Pengarah Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan, En. Mazlan bin Mohamad, Timbalan Pengarah, Tuan Hj. Johar bin Othman dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, En. Roselan Ahmad.
En. Abdullah mula bertugas di institut perguruan ini mulai 1 November 2005 setelah berkhidmat kira-kira 15 tahun di Sabah, iaitu sebagai guru di SMK Bingkor, Keningau mulai 3 Disember 1990 dan kemudian menjadi pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Institut Perguruan Keningau pada 1 April 1997. Di IPTAA beliau pada mulanya ditempatkan di Jabatan Ilmu Pendidikan selama kira-kira dua tahun, kemudian dilantik sebagai Penolong Ketua Unit Praktikum dan pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu.
Kami para pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu yang terdiri daripada Ketua Jabatan, Pn. Hjh. Ramlah Abd. Rahman, En. Mohd Rasdi Saamah, En. Mohd. Hanifah Moideen, En. Zakaria Khalid, En. Mohd. Asri Abdul Razak, En. Shahnam Abd. Rashid, En. Aminuddin Mohamad, En. Mohamad Zaim Mohd Hassan, En. Dzulkarnain Mat, En. Mohd Nor Mohamad, Cik Nor Asiah Ismail, Pn. Walaini Abu Bakar dan Pn. Rogayah Osman mengucapkan selamat berpisah kepada En. Abdullah, dan mendoakan semoga beliau dapat menjalankan tugas dengan lebih baik di tempat yang baru. Selamat berpisah, InsyaAllah jumpa di Tawau.

05 Januari 2009

Kemalangan Maut: Kesedaran Pengguna Penting

Pada hari kedua (2 Januari 2009) penguatkuasaan tali pinggang keledar belakang yang bertujuan untuk mengurangkan kecederaan dan kehilangan nyawa, kita telah dikejutkan oleh berita 10 kematian akibat kemalangan tiga buah kereta di Gua Musang, Kelantan. Mereka yang meninggal dunia ialah 5 orang yang menaiki kereta Perodua Kancil dan 5 orang lagi mereka yang menaiki kereta Perodua Kenari. Kemalangan dikatakan bermula apabila kereta Perodua Kancil tersebut yang datang dari arah Gua Musang bertembung dengan Nissan Murano dan dilanggar dari belakang oleh Perodua Kenari dari arah yang sama.
Mereka yang meninggal dunia ialah pemandu Kancil, Hasliza Mat Zin serta 3 orang anaknya, Mohd. Rahiza Yuswa, Norashidah dan Shaha serta adik Hasliza, Maziatul Shamlia yang berasal dari Bachok, Kelantan. Manakala lima orang lagi yang maut dari satu keluarga iaitu Lau Sin Eik, Lee Bee Seng, Lau Chai Soon, Ho Kin Hum dan Shareen Lau Ming Min yang kesemuanya berasal dari Pasir Mas, Kelantan. Semua mangsa meninggal di tempat kejadian, kecuali dua orang anak kepada Hasliza yang meninggal dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang.
Salah seorang mangsa yang maut, iaitu Lee Bee Seng merupakan rakan sekolah saya semasa belajar di Sekolah Menengah Sultan Ibrahim, Pasir Mas antara tahun 1972 hingga 1976 dahulu. Walaupun tidak pernah belajar dalam kelas yang sama, tetapi beliau merupakan angkatan yang sama dengan saya. Beliau merupakan seorang ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan jualan langsung dengan membuka stokis Cosway di No. 647, Jalan Sekolah China, Pasir Mas, Kelantan. Saya dan isteri pernah mengunjungi ke kedainya untuk mendapatkan barangan Cosway semasa cuti persekolahan pada awal tahun 2008 yang lalu. Kami sempat berbual tentang zaman persekolahan dahulu semasa kunjungan tersebut.
Manakala pada 3 Januari 2009 kita dikejutkan lagi dengan 7 korban jalan raya iaitu 4 orang di Lebuh Raya MRR 2, Kuala Lumpur dan tiga orang lagi di Johor. Nampaknya kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya semakin bertambah walaupun pelbagai peraturan dan undang-undang dikuatkuasakan. Penguatkuasaan peraturan dan undang-undang memang wajib dilaksanakan, tetapi sejauhmanakah tahap kesedaran para pengguna terhadap harga diri mereka semasa di jalan raya? Kita amat kesal dengan realiti yang menunjukkan statistik musibah ini tidak pernah mencatatkan sebarang penurunan. Setelah kurikulum sekolah memandu dikemaskinikan, pelbagai kempen dijalankan dan pelbagai peraturan dan undang-undang dikuatkuasakan, apa lagi yang perlu diwajibkan? Pengguna jalan raya seharusnya dididik mindanya agar lebih berdisiplin semasa di jalan raya. Sama-samalah kita renungi. Sekian.