![]() |
| Jalan Tengku Ahmad, Pasir Mas (1972) Gambar: http://fakri-awang.blogspot.my |
![]() |
| Jalan Tengku Ahmad, Pasir Mas (2014) |
![]() |
| Persimpangan Jalan Masjid Lama dan Jalan Dato' Hamid, Pasir Mas (1972) Gambar: http://fakri-awang.blogspot.my |
![]() |
| Putu halba |
Semasa saya masih kanak-kanak pada akhir tahun 1960-an dan
awal tahun 1970-an, saya masih ingat lagi bagaimana persediaan yang dibuat oleh
orang tua saya dan masyarakat kampung kami untuk menghadapi musim
banjir. Persediaan yang mereka buat dapat dibahagikan kepada beberapa aspek
iaitu persediaan dari segi makanan, tempat tinggal, pakaian dan keselamatan.
Dari segi makanan, biasanya mereka telah merancang lebih awal contohnya mereka
menanam pelbagai jenis ubi pada awal tahun untuk dimakan semasa musim tengkujuh
pada hujung tahun kerana ubi kayu, ubi badak, ubi keledek, ubi keduduk, ubi keling
(ubi kemili) (Dioscorea bulbifera), ubi torak (ubi itik) (Dioscorea
esculenta), ubi keladi dan sebagainya boleh dituai dalam tempoh 9 hingga 12
bulan. Hidangan utama untuk tetamu yang datang berkunjung musim ini pada zaman itu ialah ubi-ubi tersebut yang direbus terutama ubi kayu yang biasanya dihidang bersama kopi o pekat. Ada kalanya tetamu dihidangkan dengan kueh-mueh yang berasaskan pelbagai
spesis ubi tersebut. Antara kueh yang paling popular ialah ‘putu
halba’ iaitu sejenis kueh yang berasaskan tepung ubi kayu separuh kering yang dicampurkan sedikit biji halba, berintikan gula melaka dan dikukus. Untuk makanan ruji seharian pula mereka telah bersedia dengan beras yang disimpan di tempat yang
agak tinggi. Makanan lain yang wajib ada pada musim ini ialah garam, budu, ikan masin atau ikan kering (sama ada ikan laut atau
ikan darat) dan ikan pekasam yang mereka usahakan sendiri. Pada zaman itu
mereka tidak terlalu mengharapkan kepada sesiapa sebagaimana masyarakat
hari ini yang sentiasa mengharapkan bantuan kerajaan. Dalam keadaan ini mereka hanya mengharapkan bantuan ikhlas sanak saudara atau jiran sekampung sahaja.
Selain persediaan makanan untuk ahli keluarga, makanan
untuk haiwan ternakan juga termasuk dalam persediaan mereka untuk menghadapi
musim banjir. Sebelum tibanya musim tengkujuh mereka terlebih dahulu meninjau
kawasan tanah yang agak tinggi dan berumput untuk menempatkan lembu dan kerbau
mereka. Jika tiada kawasan tanah tinggi yang berumput, mereka bersedia dengan
batang dan pelepah pisang yang akan dicincang untuk menjadi makanan haiwan
ternakan tersebut. Bagi penduduk di kawasan yang berhampiran dengan hutan,
masalah makanan haiwan ternakan tidak menjadi masalah kerana terdapat
semak-samun dan pokok-pokok renek yang boleh menjadi makanan kepada
haiwan-haiwan tersebut. Bagi penduduk yang tinggal di kawasan penanaman padi
perkara ini sangat menjadi masalah. Untuk makanan ayam dan itik biasanya mereka
bersedia dengan batang sagu yang dipotong atau dibelah dan boleh dipagut oleh
haiwan-haiwan tersebut pada bila-bila masa. Mereka tidak perlu lagi bersusah
payah untuk menyediakan makanan untuk haiwan-haiwan itu pada setiap masa.
![]() |
| Persimpangan Jalan Besar dan Jalan Dato' Hamid, Pasir Mas (1972) Gambar: http://depankanta.blogspot.my |
Dari aspek pakaian pula, sebelum tibanya musim tengkujuh
para ibu akan menyediakan beberapa helai kain baju yang sesuai sebagai pakaian
basahan untuk bekerja di sawah atau di kebun supaya mereka tidak terlalu kerap
menukar pakaian dalam keadaan yang sukar ini. Ibu-ibu biasanya akan memberitahu
ahli keluarga mereka agar sentiasa ‘berjimat’ memakai pakaian kerana dalam
keadaan cuaca yang basah itu amat sukar untuk mengeringkan pakaian. Pada zaman
itu tiada lagi kalangan kami masyarakat kampung yang mempunyai mesin basuh, apa
lagi alat pengering. Sebagai alternatif biasanya kain-kain yang basah itu disalai
ke api agar cepat kering untuk dipakai semula kerana ketiadaan cahaya matahari
pada musim ini. Ada di antara mereka yang mendirikan bangsal khas di bahagian
belakang rumah untuk menyalai kain baju yang basah pada musim hujan yang
berpanjangan itu. Kayu api juga disimpan khas untuk digunakan pada musim ini. Namun pakaian yang kering hasil daripada proses salai
tersebut biasanya mengeluarkan bau asap semasa kita memakainya.
Selain aspek makanan, tempat kediaman dan pakaian, masyarakat
kita pada zaman itu juga amat menitikberatkan soal keselamatan semasa
berlakunya bencana banjir. Bagi mereka yang tinggal di kawasan tepi sungai utama
seperti Sungai Kelantan dan Sungai Golok kebanyakan daripada mereka mempunyai
sekurang-kurangnya sampan kecil untuk digunakan pada musim banjir. Bagi mereka yang jauh dari sungai mereka akan membuat rakit buluh untuk kegunaan mereka sekiranya air naik. Meskipun tiada info berkala daripada pihak yang berwajib tentang bencana ini namun penduduk luar bandar pada ketika itu sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk menghadapinya. Mereka juga sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka agar tidak menjadi mangsa banjir meskipun kanak-kanak luar bandar cukup
lasak dan mahir dengan selok belok sungai. ![]() |
| Rantau Panjang (30 November 2017) Gambar: Berita TV1 RTM |







