RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

19 Oktober 2012

Selamat Bersara, En. Roselan Ahmad


Setelah 36 tahun menabur bakti sebagai pendidik, maka pada 30 November 2012 Encik Roselan Ahmad, Timbalan Pengarah IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan akan bersara daripada perkhidmatannya. Beliau yang berasal dari Kota Tinggi, Johor telah mula berkhidmat sebagai guru penolong di SMK Laksamana, Kota Tinggi pada 1 Februari 1976 hingga 31 Disember 1979 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980 hingga 1982. Selepas mendapat ijazah  Sarjana Muda Pengajian Melayu di UKM, beliau sekali lagi kembali ke Johor dan berkhidmat di SMK Sultan Ismail, Johor Bahru pada 1 Ogos 1982 hingga 31 Disember 1982. Pada 1 Januari 1983 beliau kembali berkhidmat di Kota Tinggi iaitu di SMK Tun Habab sehingga 31 Disember 1986. Encik Roselan mula berkhidmat di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (dahulunya Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan dan Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan) mulai 1 Januari 1987 hingga sekarang.

Sebagai seorang pendidik dan pentadbir yang berpengalaman, beliau telah memulakan karier perguruan sebagai Guru Penolong (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah C2) setelah mendapat latihan perguruan di Institut Bahasa, Kuala Lumpur pada tahun 1975. Beliau kemudian telah dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG3 pada tahun 1982 selepas mendapat ijazah daripada UKM. Pada tahun 2002 beliau telah dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG44 dan seterusnya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG48 KUP pada tahun 2004 dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG52 pada tahun 2008. Pada tahun 2012 beliau telah dilantik sebagai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG54.
Apa yang menarik dalam tempoh 36 tahun perkhidmatannya sebagai pendidik, kira-kira 25 tahun atau 69 peratus daripada perkhidmatannya ialah di Institut Pendidikan Guru (IPG). Di IPG beliau telah memegang pelbagai jawatan bermula dengan Pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Warden Kolej Kediaman, Ketua Unit Disiplin dan Tatatertib di Jabatan Hal Ehwal Pelajar pada 1 Januari 1996 hingga 30 Julai 2006, Ketua Jabatan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar mulai 1 Ogos 2006 hingga 30 Mac 2009, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu dan akhirnya sebagai Timbalan Pengarah di IPG ini mulai 1 Februari 2010 hingga sekarang. Selain itu beliau pernah menjadi Konsultan Tadbir Urus dan Kepimpinan IPGKTAA mulai 1 April 2009 hingga 30 Januari 2010 dan melibatkan diri dalam banyak program di peringkat Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kementerian Pelajaran Malaysia.
Selama hampir 10 tahun saya berkhidmat bersamanya, banyak perkara yang boleh dimanfaatkan daripadanya. Beliau merupakan seorang yang lemah lembut, mesra, mudah dibawa berbincang, dan penuh kasih sayang serta penuh rasa empati kepada sesiapa sahaja yang berhadapan dengannya. Beliau juga seorang yang sentiasa ‘turun padang’ dalam apa jua program yang melibatkan IPG ini. Namun demikian, beliau juga seorang yang tegas dalam prinsip pentadbirannya. Beliau telah banyak berjasa dan menempuh pelbagai pengalaman pahit dan manis dalam membangunkan IPG ini yang bermula dari kampus Semambu sehinggalah ke kampus di Kuala Lipis ini. Tempoh perkhidmatan yang bukan sedikit masanya ini menjadikan beliau seorang yang telah banyak menyumbangkan jasa bakti, pendapat dan pandangan yang berkualiti bagi membolehkan IPG (dahulunya maktab perguruan) ini melahirkan guru-guru yang memiliki Sijil, Diploma dan kini Ijazah Perguruan.
Untuk itu kita doakan agar Encik Roselan dapat meneruskan kehidupan selepas bersara nanti dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan di samping keluarga yang tercinta. Pada hakikatnya persaraan bukanlah suatu penghujung kepada sesuatu kehidupan itu, tetapi anggaplah ianya sebagai suatu permulaan ke arah kehidupan yang paling indah tanpa sebarang masalah yang formal dalam hayat kita. Justeru itu, kita berharap agar beliau dapat manfaatkan saat yang paling indah tersebut dengan penuh ketenangan serta penuh ketakwaan. Selamat bersara kepada Encik Roselan.

04 Oktober 2012

Pameran Literasi Bahasa V


Pameran Literasi Bahasa Kali Ke-5 anjuran Jabatan Pengajian Melayu IPGKTAA telah diadakan pada hari Selasa, 2 Oktober 2012 bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Pusat Sumber Al-Kindi, IPGKTAA. Pameran yang disertai oleh para pelajar Semester 2 Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Januari 2012 ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha En. Roselan bin Ahmad, Timbalan Pengarah IPGKTAA. Pameran ini merupakan salah satu syarat wajib yang terdapat dalam Pro Forma Kursus WAJ3104 Literasi Bahasa bagi para pelajar Semester 2. Sebanyak 12 unit PISMP ambilan tersebut telah menyertai pameran yang telah diadakan pada setiap tahun sejak 2008 ini. 

Bahan-bahan yang dipamerkan dalam pameran ini ialah bahan-bahan bantu mengajar yang dibina sendiri oleh para pelajar mengikut unit masing-masing berdasarkan tajuk-tajuk yang telah ditetapkan mengikut pro forma kursus iaitu bahan untuk aktiviti prabacaan, bengkel asas membaca: kaedah fonetik, kaedah abjad, kaedah pandang dan sebut, bengkel aktiviti pratulisan, bengkel aktiviti penulisan mekanis, bengkel penyerapan pemulihan membaca dan menulis dalam mata pelajaran Pendidikan Muzik, Pendidikan Seni Visual, dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, membina dan menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran bukan elektronik.
Selain itu bahan-bahan bantu mengajar yang dibina melalui bengkel pengajaran menggunakan boneka, bengkel pembelajaran secara individu, berpasangan dan berkumpulan, bengkel pembinaan bahan pemulihan dengan power point dan bengkel membuat rakaman bunyi-bunyian dengan menggunakan alat perakam digital.  Kursus wajib ini juga telah menetapkan agar pada setiap akhir semester para pelajar perlu sama ada mengadakan seminar atau mengadakan pameran, atau kedua-duanya sekali bagi tujuan untuk memanfaatkan bahan pemulihan bahasa Melayu tersebut.
Penyelaras Literasi Bahasa, En. Zakaria Khalid menjelaskan bahawa pada tahun 2010 Jabatan Pengajian Melayu telah mengadakan seminar dan pameran serentak selama dua hari bagi tujuan mendedahkan kepada pelajar tentang kaedah-kaedah pengajaran literasi bahasa khususnya kepada murid-murid pemulihan. Beliau membayangkan bahawa seminar seperti itu akan diadakan lagi pada tahun 2013 akan datang. Pakar-pakar yang berkaitan akan dijemput untuk membentangkan kertas kerja dalam seminar yang dijangka akan diadakan pada akhir tahun hadapan. sekian.