![]() |
| Achom Luji |
Achom
Luji telah dilahirkan pada 3 Ogos 1949 di Kampung Orang Asli Kuala Koyan, Kuala Lipis, Pahang. Kampung Orang Asli Kuala Koyan terletak kira-kira 50 km dari pekan Kuala Lipis, yang
merupakan salah sebuah pekan kecil di Pahang Barat. Beliau merupakan salah
seorang aktivis masyarakat suku kaum Semai. Beliau mendapat pendidikan menengah
sehingga ke peringkat Sijil Rendah Pelajaran (SRP) di SMK Orang Kaya Haji, Kuala
Lipis, Pahang pada tahun 1968. Pada tahun 1969 setelah tamat lulus SRP beliau telah berkhidmat dengan kerajaan sebagai Pembantu Pejabat di Ibu Pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang
(JHEOA), Kuala Lumpur. Kemudian sebagai Pembantu Luar Tingkatan II (Perubatan)
dan Pembantu Luar Kanan (Ketua Unit Penerangan) di jabatan tersebut hingga
tahun 1975.
Pada tahun
yang sama juga beliau telah menyambung
perkhidmatan ke Unit Siaran Orang Asli (Asyik FM) RTM dengan jawatan Pembantu Siaran Tingkatan III, Pembantu Siaran kanan (Mengetuai
Siaran Luar), Penerbit Rancangan (Penolong Penyelia Siaran Orang Asli) dan Penerbit
Rancangan (Pengurus Asyik FM). Antara tugas utama beliau ialah bertugas di
bilik hubungan, Penerbit Rancangan, liputan rakam dan luar, Pengacara Majlis, Pengulas,
dan merakam lagu-lagu atau muzik tradisional masyarakat Orang Asli di seluruh negara
untuk simpanan rakam khanah di RTM.
Beliau juga telah bertugas di RTM Ipoh sebagai wakil
Siaran Orang Asli di kawasan utara dan DJ di Rangkaian Nasional (Klasik FM) pada
tahun 1977 hingga 1989.
Sebagai
aktivis kepada masyarakat suku kaum Semai, Achom telah terlibat dengan banyak
aktiviti kemasyarakatan, antaranya:
- menubuhkan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) pada tahun 1973 dan pernah menyandang Jawatan Naib Presiden, Setiausaha dan Ketua Penerangan persatuan tersebut.
- terlibat mengasaskan Penubuhan Koperasi Kijang Mas Berhad di Ibu Pejabat (Gombak) dan pernah menyandang Jawatan sebagai Timbalan Pengerusi, Ketua Penerangan dan ahli Lembaga Pengarah pada tahun 1980 hingga 1992.
- Ahli majlis Pergerakan Kesatuan Kerja JAKOA (KANTAS).
- Pengasas Penubuhan Umno Cawangan Batu 12 Gombak (1972) dan Penubuhan Persatuan Belia Orang Asli Hospital Gombak (NYAMNYAM).
- menerima undangan membentang kertas kerja mengenai Seni dan Budaya Orang Asli di UKM, USM, UPM, USIM, UM, Muzium Negara dan Agensi-Agensi Kerajaan yang lain.
- Menganggotai Panel untuk Seminar Pembangunan Orang Asli 2000 anjuran JAKOA pada tahun 1989, Seminar Antarabangsa Kaum Pribumi Sedunia di Kuala Lumpur pada tahun 1993 anjuran Kerajaan Malaysia dan Seminar Bicara Orang Asli menuju Wawasan 2020 anjuran JAKOA pada tahun 1994.
1.
Anugerah dan Penghargaan Khas
Kerajaan Negeri Perak 1984.
2.
Anugerah Kepujian Khidmat Cemerlang RTM 1988.
3.
Anugerah Khidmat Cemerlang RTM Host
Broadcaster The Commonwealth Heads of Government Meeting (CHOGM) 1989
4.
Anugerah Hari "Q" RTM
(Individu) 1996.
5.
Anugerah Hari "Q" RTM
(Individu) 2001.
6.
Anugerah Penghargaan Jubli Perak
oleh Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) 2002.
7.
Pengurniaan Darjah Kebesaran PPN
oleh Kebawah DYMM Yang Di-Pertuan Agong 2003.
Beliau bersara daripada perkhidmatan
kerajaan pada 23 Ogos 2005 setelah berkhidmat selama kira-kira 30 tahun.
Selepas bersara beliau telah kembali menetap di kampung halamannya di Kampung
Kuala Koyan, Kuala Lipis dengan tekad untuk membangunkan masyarakat di
kampungnya dari aspek pembangunan fizikal dan pembangunan insan. Sebagai
seorang yang berpengalaman di peringkat pusat, selepas bersara beliau telah
dilantik untuk menerajui badan-badan berikut:
1.
Pengerusi JKKK dan kini dilantik
sebagai Penasihat JKKK.
2.
Penasihat PIBG Sekolah Kebangsaan
Kuala Koyan.
3.
Penasihat SMK Sungai Koyan.
4.
Penasihat TABIKA KEMAS Kampung Kuala
Koyan.
5.
Ketua Penerangan UMNO Cawangan Kampung
Orang Asli Kuala Koyan.
6. Pengerusi Koperasi Orang Asli Bah
Luj Berhad Kampung Kuala Koyan dan kini dilantik sebagai Penasihat.
7.
Penasihat Lembaga Adat Kampung Orang
Asli Kuala Koyan.
8. Penceramah undangan di IPTA
tempatan, sekolah-sekolah dan Agensi-Agensi Kerajaan.
9.
Aktif dalam bidang pertanian dan di
antara tanaman yang diusahakan seperti kelapa sawit, getah, koko, petai,
gelugor, salak, bunga kantan, pisang, limau dan pelbagai dusun buah-buahan.
Jejaka berketurunan Semai yang
berkaliber ini telah menamatkan zaman bujangnya pada 2 November 1974 dengan
pilihan hati Pong
a/p Panjang, iaitu anak sulung daripada 14 adik beradik kepada pasangan Panjang
Lila Perkasa dan Embin Long pekebun kecil getah dari Perkampungan Orang Asli
Daun Labu Kubung, Teluk Intan, Perak. Pong telah mendapat pendidikan awal di
Sekolah Rendah Chendorong Balai, Teluk Intan dan pendidikan menengah di Sekolah
Menengah Hamid Khan, Tapah, Perak dari tahun 1966 hingga 1974. Setelah tamat
SPM di sekolah tersebut, Pong telah ditawarkan sebagai Pembantu Pemaju Masyarakat
di JHEOA dan berkhidmat selama 20 tahun sehingga beliau bersara pada tahun
1992. Hasil perkongsian hidup tersebut mereka telah dikurniakan 5 orang cahaya
mata iaitu Saliah Susanti, Amelia Susanti, Eime
Susanti, Arma and Vicky Eleq.
![]() |
| Syarikat Asli Craft Sdn. Bhd. |
Meskipun ramai kawan yang memandang sinis terhadap
kemampuan mereka, tetapi ternyata akhirnya mereka berjaya, iaitu pada tahun 1996 mereka telah menubuhkan Syarikat Asli Kraf
Sdn. Bhd. yang terletak di G-23, Tingkat Bawah, Pasar
Budaya (Central Market), Jalan Hang Kasturi, 50050, Kuala Lumpur. Pengurusan syarikat ini dimiliki sepenuhnya oleh keluarga
mereka. Jenis perniagaan syarikat ini merangkumi hasil kraftangan Orang Asli
seperti buluh sumpitan, ukiran patung, anyaman mengkuang, ukiran buluh, tongkat
dan peralatan serta permainan tradisional. Syarikat ini juga terlibat secara
langsung dengan menyertai pameran kraftangan anjuran agensi kerajaan, swasta
dan mempromosi kraftangan Malaysia di peringkat antarabangsa seperti di London,
Milan, New York dan Paris. Atas sokongan pihak JAKOA dan Pusat Kraftangan Malaysia,
syarikat ini telah menerima Anugerah Pengiktirafan Kecemerlangan dari JAKOA dan
Kementerian Pelancongan sebagai usahawan yang berjaya. Produk pengeluaran
barang krafftangan diusahakan oleh masyarakat Orang Asli tempatan dan syarikat
sendiri.
![]() |
| Buku tulisan saya dan Achom |
Secara peribadi saya sangat
terhutang budi kepada Achom dan isterinya, Puan Pong
serta Munan Yai menantu mereka kerana dengan rela hati menjadi responden utama
kajian saya tentang peribahasa Orang Asli suku kaum Semai sehingga terhasilnya
buku Peribahasa Orang Asli Suku Kaum
Semai (Lembah Jelai) yang diterbitkan oleh Pusat Kecemerlangan Pedagogi
Peribumi Kebangsaan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2012. Kawasan Lembah Jelai merupakan kawasan
lembangan Sungai Jelai yang mengalir melalui Kuala Medang, Kuala Koyan, Bukit
Betong, Padang Tengku hingga ke Kuala Lipis. Kebanyakan masyarakat Orang Asli
suku kaum Semai kawasan Lembah Jelai tinggal di sekitar Kuala Koyan, tempat di
mana Achom dilahirkan dan membesar. Bagi saya Achom dan Pong merupakan simbol
kegigihan masyarakat Orang Asli suku kaum Semai yang sepatutnya dicontohi bukan
sahaja oleh penduduk Kampung Kuala Koyan malah patuh dicontohi oleh seluruh masyarakat
Orang Asli suku kaum Semai dan masyarakat Orang Asli di negara ini keseluruhannya.







