 |
| Laluan ke SK Lenjang |
Pada 8 Oktober 2013 (Selasa) saya bersama Ketua
Unit Khidmat Pengurusan, En Mohd. Faizal Hassan dan Puan Rofida Hassan, Ketua
Unit Prasekolah IPGKTAA telah ditugaskan untuk mengiringi lawatan Rektor
Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Encik Sulaiman Wak dan Dr. Noriati A.
Rashid, Pengarah Pusat Pembangunan Akademik, IPGM dan tiga orang lagi pegawai
IPGM ke Sekolah Kebangsaan Lenjang (SK Lenjang) dan Sekolah Kebangsaan Titom
(SK Titom) di
pedalaman Daerah Lipis, Pahang. Rombongan kami telah menggunakan empat buah
pacuan empat roda termasuk kenderaan milik Jurulatih Kokurikulum IPGKTAA, Encik
Sarudin Mat Amin dan Guru Besar SK Titom, Encik Ramli Mukhtar. Kami memulakan perjalanan
seawal jam 6.45 pagi dari pekarangan Hotel Lipis Plaza, tempat penginapan ahli
rombongan daripada IPGM tersebut. Oleh kerana Tuan Rektor dan rombongannya ingin melihat pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran kelas Prasekolah murid-murid Orang Asli di sekolah-sekolah tersebut, maka kami perlu sampai di kedua-dua sekolah
tersebut sebelum murid-murid Prasekolah balik.
 |
| Konvoi tiba di SK Lenjang |
Perjalanan rombongan kami melalui pekan kecil Felda
Sungai Koyan kira-kira 35 km dari Kuala Lipis dan melalui Pos Betau yang
terletak kira-kira 25 km dari Sungai Koyan. Pos Betau yang suatu ketika dahulu
merupakan satu penempatan terpencil masyarakat Orang Asli suku kaum
Semai, kini telah menjadi laluan utama dari Raub dan Kuala Lipis untuk ke
Cameron Highlands. Pos Betau merupakan hasil daripada Projek Penempatan Semula
Orang Asli di kawasan Titiwangsa di bawah Rancangan Malaysia Keempat
(1981-1985) dengan kos sebanyak RM10.5 juta. Jalan ke SK Lenjang tidak
mempunyai masalah kerana semua jalannya berturap, cuma boleh dilalui oleh hanya
sebuah kenderaan sahaja. Sekiranya ada kenderaan yang berselisih, salah
sebuahnya terpaksa mengalah sama ada mengundur atau mencari tempat yang sesuai
untuk berselisih.
 |
| Rombongan disambut warga SK Lenjang |
Rombongan kami tiba di SK Lenjang kira-kira jam
10.45 pagi dan disambut oleh Guru Besar, Encik Zainal dan guru-gurunya. Di
sini kami telah dihidangkan dengan pulut jagung, (pulut yang dikukus bersama
jagung), sambal bilis, rendang daging dan sardin tumis petai. Inilah pertama
kalinya bagi kami makan hidangan unik tempatan yang cukup enak ini. Semua orang rasanya boleh mencuba resepi ini kerana
resepinya agak mudah untuk dipraktikkan. Lauknya terpulang kepada citarasa masing-masing. Selepas menikmati
hidangan minum pagi tersebut kami dipertontonkan pula dengan tarian sewang oleh
murid-murid SK Lenjang, dan lagu ‘babola’
sudah pasti menjadi salah satu lagu iringan bagi tarian tersebut.
 |
| Tarian Sewang SK Lenjang |
Kami
kemudiannya telah ditaklimatkan oleh Guru Besar dan dibawa melawat sesi
pembelajaran murid-murid Prasekolah yang terdiri daripada kira-kira 12 orang
murid. Sebagaimana biasa murid-murid Orang Asli sangat pasif apabila bertemu
orang yang baharu mereka temui. Ada di antara mereka yang langsung tidak mahu
bercakap apabila ditanya oleh Rektor meskipun mengikut gurunya mereka sangat aktif
pada hari-hari biasa.
SK Lenjang merupakan sekolah yang 100% muridnya terdiri
daripada murid Orang Asli suku kaum Semai. SK Lenjang yang terletak kira-kira 118 km dari Kuala Lipis telah ditubuhkan pada tahun 1956, yang
mana pada awalnya tenaga pengajar ketika itu terdiri daripada Askar Melayu
DiRaja. Kemudahan pada masa itu amatlah terbatas dan terdapat pelbagai
kekurangan daripada aspek fizikal. Pada awal penubuhan sekolah ini hinggalah
penghujung tahun 1994, pengurusan sekolah berada di bawah tanggungjawab Jabatan
Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pada 1 Januari 1995, Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) telah mengambil alih pengurusan SK Lenjang, dan pada tahun 2000
bangunan baharu mula dibina. Bangunan baharu tersebut mula digunakan sepenuhnya
pada bulan Mac 2003 dengan bilangan guru seramai 9 orang berbanding 5 orang
sebelumnya.
 |
| Laluan ke SK Titom |
Pada penghujung tahun 2011,
kemudahan jalan raya berturap dan tenaga elektrik 24 jam telah dibekalkan ke sekolah dengan
menggunakan tenaga solar hydbrid. Perjalanan ke SK Lenjang dari Kuala Lipis mengambil masa selama 2 jam 30 minit melalui pekan kecil Sungai Koyan dan Pos Betau. Kampung-kampung yang perlu dilalui sebelum sampai
ke sekolah ini ialah Kampung Bandar, Ngening, Simoi Lama, Dayok, Rakoh, Kenderong,
Chaang, Sop, Serdang, Bakul dan Pagar yang kesemua penduduknya terdiri
daripada masyarakat Orang Asli suku kaum
Semai. Pada tahun 2013 SK Lenjang mempunyai 24 orang guru, 454 orang murid
berdaftar dan 5 orang staf sokongan.
 |
| Mengharungi sungai |
Kira-kira jam 12.00 tengah hari kami meninggalkan
SK Lenjang. Jalan ke SK Titom agak mencabar kerana apabila masuk sahaja simpang
ke kampung tersebut, maka bermulalah cabaran sebenar kerana kenderaan yang kami
naiki terpaksa melalui jalan yang bercerun, berbukit-bukau, berbatu-batan dan berlopak.
Selain itu terdapat dua tempat yang
kenderaan kami terpaksa merentasi sungai yang mengalir pada paras 1 kaki dalam
keadaan cuaca biasa, jika musim hujan kenderaan perlu ditinggalkan dan perlu
berjalan kaki untuk sampai ke SK Titom. Selepas menyeberangi anak sungai kedua,
kenderaan yang kami naiki terpaksa ditarik dengan menggunakan winch sebuah lagi
kenderaan kerana terlalu curam dan berbatu-batan. Namun pengalaman ini bukan kali
pertama saya melalui jalan yang mencabar seperti ini untuk melawat ke sekolah
pedalaman. Saya pernah beberapa kali ke Sekolah Kebangsaan Senderut yang juga
sekolah murid Orang Asli antara tahun 2006 dan 2008 yang terletak kira-kira 42
km daripada jalan utama melalui jalan balak dengan menggunakan kenderaan pacuan
4 roda (Toyota Hi Lux) milik pembekal makanan asrama sekolah tersebut.
 |
| 4X4 yang kami naiki tersangkut batu |
SK Titom terletak kira-kira 140 dari Kuala Lipis
iaitu hampir dua jam perjalanan lagi dari SK Lenjang melalui jalan bukit yang sangat mencabar terutama sekali semasa musim
hujan. Sekolah murid Orang Asli ini mula dibuka pada tahun 1965 kemudian
ditutup dan dibuka semula oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada tahun
1978. Sekolah yang pada asalnya dibina berasaskan bangunan buluh itu telah
diganti dengan bangunan baharu pada tahun tersebut dengan menerima murid Tahun
1, 2 dan 3 sahaja. Pada tahun 1999 SK Titom mula menerima murid-murid Tahun 4
yang menduduki UPSR pada tahun 2001. Pada tahun 2001 hingga 2002 sekolah ini
telah mendapat 3 blok bangunan baharu dan pada tahun 2009 dua blok bangunan
asrama dan satu blok dewan makan dibina. Sebagaimana SK Lenjang, sekolah ini
juga mendapat bekalan elektrik melalui tenaga solar hydbrid dan
bekalan air paip graviti. Pada tahun 2013 SK Titom mempunyai seramai 11 orang
guru, 179 orang murid berdaftar dan 7 orang staf sokongan.
 |
| Dr. Noriati bersama murid-murid Prasekolah |
 |
| Rombongan Tuan Rektor dan guru-guru SK Titom |
Kami tiba di SK Titom pada jam 1.30 tengah hari
dan disambut oleh warga sekolah yang diketuai Guru Besar, Encik Ramli Mukhtar.
Oleh kerana objektif kami hendak meninjau pelaksanaan kelas Prasekolah, maka
kami terus dibawa ke kelas tersebut memandangkan masa pembelajaran mereka sudah
hampir tamat. Guru Kelas Prasekolah ialah Cikgu Mohammad Noor Mohd Ideris bekas
pelajar kami di MPTAA pada tahun 2004-2006 dahulu. Berdasarkan tinjauan dan
pemerhatian kami, Cikgu Mohammad Noor merupakan seorang guru Prasekolah yang
sangat dedikasi dan komited dengan tugasnya. Beliau dan pembantunya telah
berjaya menjadikan kelas Prasekolah tersebut kemas dan sangat menarik, kondusif
sebagai tempat kanak-kanak belajar. Jumlah murid Prasekolah SK Titom yang
berdaftar ialah seramai 25 orang. Seperti juga murid-murid Prasekolah di SK
Lenjang, murid-murid di sini juga pasif apabila ditanya soalan atau meminta
mereka menyebut nama huruf. Namun apabila diminta menyanyi oleh gurunya, mereka
menyanyi dengan penuh perasaan. Apa yang mengkagumkan kami, semasa mereka
berjalan balik selepas tamat kelas mereka berjalan dengan berpimpin
tangan secara berkumpulan sehingga sampai ke rumah masing-masing. Kami
kemudiannya ditaklimatkan oleh Guru Besar dan dihidangkan dengan jamuan makan
tengah hari. Kami meninggalkan SK Titom pada jam 2.30 petang dan tiba di
IPGKTAA pada jam 5.30 petang. Meskipun penat digoncang kenderaan, namun kami
puas.
 |
| Perjalanan balik |
Tahniah kepada semua warga SK Lenjang dan SK Titom atas ketabahan
mendidik anak-anak bangsa yang memerlukan pendidikan sempurna sebagaimana
murid-murid arus perdana yang lain di negara ini. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan kalian akan mendapat pembalasan yang sewajarnya daripada Allah swt.