Sedar tak sedar dah masuk minggu ke-4 bulan Oktober 2016.
Ini bermakna dua bulan lagi kita akan melangkah masuk ke tahun baharu 2017.
Masa begitu cepat berlalu disebabkan kesibukan kita terhadap tugas-tugas
seharian sehingga kita tidak menyedari masa berlalu. Begitulah tanggapan
pemikiran kebanyakan daripada kita apabila bercakap tentang cepatnya masa
berlalu. Sebenarnya masa yang berlalu itu menunjukkan usia kita juga telah
bertambah dan yang paling penting kita harus menyedari hakikat bahawa baki usia
kita sebenarnya semakin sedikit. Kebanyakan daripada kita juga masih merasakan
kita masih seperti zaman kanak-kanak atau zaman remaja dahulu lantaran dari dahulu
sampai sekarang kita berada dalam lingkungan rakan dan keluarga yang sama. Kita merasakan
tiada perubahan yang ketara kelihatan pada wajah masing-masing disebabkan setiap
hari kita melihat mereka sejak bertahun-tahun lamanya. Ketidaksedaran tentang usia
ini juga ada kalanya turut mempengaruhi tingkah laku kita, terutamanya
apabila kita berhadapan dengan rakan-rakan lama yang sebaya dengan kita. Oleh itu pada kebiasaannya kita akan bercakap
dan bergurau senda dengan mereka seperti zaman kita kanak-kanak atau remaja
dahulu.
Namun demikian lama kelamaan kita mula menyedari usia kita semakin
meningkat tatkala orang yang bukan kalangan rakan atau keluarga kita menyapa dengan panggilan ‘saudara’ atau
‘saudari’ sebagai tanda hormat kepada kita. Selepas itu ada orang yang usianya lebih muda daripada kita mula memanggil kita ‘abang’ atau ‘kakak’ yang
menunjukkan sedikit peningkatan pada usia kita. Beberapa tahun kemudian kita terdengar pula orang yang lebih muda daripada kita memanggil kita ‘pak cik’ atau ‘mak cik’.
Dan akhirnya setelah anak-anak kita sudah berumahtangga dan mempunyai anak
orang mula membahasakan kita ‘atuk’, ‘nenek’, ‘aki’, ‘tok wan’, ‘tok ki’ dan
sebagainya. Selain itu juga petunjuk yang menyedarkan kita bahawa usia kita sudah meningkat ialah tatkala melihat
anak-anak yang kita dukung suatu masa dahulu kini sudah melepasi sekolah
menengah dan mula masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi, bekerja,
berumahtangga dan sebagainya. Maka sah kita sudah tua.
Oleh itu kita wajib menyedari hakikat bahawa apa jua
keadaannya yang dilalui dalam kehidupan kita, usia kita tetap meningkat. Bermula dengan kita
ke sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi, bekerja,
berumahtangga, beranak-pinak, bercucu, bersara dan akhir sekali dijemput Allah S.W.T. ke
alam yang kekal. Justeru, peningkatan usia tidak perlu difikirkan sehingga
boleh mengganggu emosi kita, kerana walau tidak suka macam mana sekalipun seseorang itu terhadap
pertambahan usianya, dia tetap akan tua juga. Apa yang penting bagi kita semua
ialah bagaimana cara kita mengisi usia yang kita lalui itu dari kecil sehingga
kita tua. Sabda Nabi Muhammad S.A.W: "Sebaik-baik
manusia itu adalah orang yang diberikan usia yang panjang dan usia itu
dikerjakan dengan melakukan sebanyak-banyak kebaikan, dan seburuk-buruk manusia
ialah orang yang diberi Tuhan usia yang panjang tetapi dia pergunakannya untuk
membuat kejahatan". (Hr. Ahmad). Usia yang kita gunakan ini akan
dipertanggunjawabkan di hadapan Allah S.W.T. iaitu untuk apa usia ini kita gunakan,
untuk apa ianya kita habiskan, semuanya akan ditanya di mahkamah Allah kelak
nanti. Sabda Nabi Muhammad S.A.W: "Belum
lagi habis jejak telapak kaki seorang hamba sehingga kepadanya disoal tentang usianya
ke mana dia habisi". (Hr. Tarmizi)



