RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

26 Oktober 2016

Kita dan Usia

Sedar tak sedar dah masuk minggu ke-4 bulan Oktober 2016. Ini bermakna dua bulan lagi kita akan melangkah masuk ke tahun baharu 2017. Masa begitu cepat berlalu disebabkan kesibukan kita terhadap tugas-tugas seharian sehingga kita tidak menyedari masa berlalu. Begitulah tanggapan pemikiran kebanyakan daripada kita apabila bercakap tentang cepatnya masa berlalu. Sebenarnya masa yang berlalu itu menunjukkan usia kita juga telah bertambah dan yang paling penting kita harus menyedari hakikat bahawa baki usia kita sebenarnya semakin sedikit. Kebanyakan daripada kita juga masih merasakan kita masih seperti zaman kanak-kanak atau zaman remaja dahulu lantaran dari dahulu sampai sekarang kita berada dalam lingkungan rakan dan keluarga yang sama. Kita merasakan tiada perubahan yang ketara kelihatan pada wajah masing-masing disebabkan setiap hari kita melihat mereka sejak bertahun-tahun lamanya. Ketidaksedaran tentang usia ini juga ada kalanya turut mempengaruhi tingkah laku kita, terutamanya apabila kita berhadapan dengan rakan-rakan lama yang sebaya dengan kita. Oleh itu pada kebiasaannya kita akan bercakap dan bergurau senda dengan mereka seperti zaman kita kanak-kanak atau remaja dahulu.
Namun demikian lama kelamaan kita mula menyedari usia kita semakin meningkat tatkala orang yang bukan kalangan rakan atau keluarga kita menyapa dengan panggilan ‘saudara’ atau ‘saudari’ sebagai tanda hormat kepada kita. Selepas itu ada orang yang usianya lebih muda daripada kita mula memanggil kita ‘abang’ atau ‘kakak’ yang menunjukkan sedikit peningkatan pada usia kita. Beberapa tahun kemudian kita terdengar pula orang yang lebih muda daripada kita memanggil kita ‘pak cik’ atau ‘mak cik’. Dan akhirnya setelah anak-anak kita sudah berumahtangga dan mempunyai anak orang mula membahasakan kita ‘atuk’, ‘nenek’, ‘aki’, ‘tok wan’, ‘tok ki’ dan sebagainya. Selain itu juga petunjuk yang menyedarkan kita bahawa usia kita sudah meningkat ialah tatkala melihat anak-anak yang kita dukung suatu masa dahulu kini sudah melepasi sekolah menengah dan mula masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi, bekerja, berumahtangga dan sebagainya. Maka sah kita sudah tua.
Oleh itu kita wajib menyedari hakikat bahawa apa jua keadaannya yang dilalui dalam kehidupan kita, usia kita tetap meningkat. Bermula dengan kita ke sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi, bekerja, berumahtangga, beranak-pinak, bercucu, bersara dan akhir sekali dijemput Allah S.W.T. ke alam yang kekal. Justeru, peningkatan usia tidak perlu difikirkan sehingga boleh mengganggu emosi kita, kerana walau tidak suka macam mana sekalipun seseorang itu terhadap pertambahan usianya, dia tetap akan tua juga. Apa yang penting bagi kita semua ialah bagaimana cara kita mengisi usia yang kita lalui itu dari kecil sehingga kita tua. Sabda Nabi Muhammad S.A.W: "Sebaik-baik manusia itu adalah orang yang diberikan usia yang panjang dan usia itu dikerjakan dengan melakukan sebanyak-banyak kebaikan, dan seburuk-buruk manusia ialah orang yang diberi Tuhan usia yang panjang tetapi dia pergunakannya untuk membuat kejahatan". (Hr. Ahmad). Usia yang kita gunakan ini akan dipertanggunjawabkan di hadapan Allah S.W.T. iaitu untuk apa usia ini kita gunakan, untuk apa ianya kita habiskan, semuanya akan ditanya di mahkamah Allah kelak nanti. Sabda Nabi Muhammad S.A.W: "Belum lagi habis jejak telapak kaki seorang hamba sehingga kepadanya disoal tentang usianya ke mana dia habisi". (Hr. Tarmizi)
Marilah kita sama-sama menggunakan kesempatan atau saki baki usia kita yang ada pada hari ini untuk memperbaiki segala kesilapan kita yang lalu agar kita mencapai kehidupan yang mulia di sisi Allah S.W.T. dan seterusnya mendapat kemenangan di dunia dan juga di akhirat. Sekian.

Tiada ulasan: