Hari Raya Aidil Adha atau
Hari Raya Haji tahun ini ialah pada hari Isnin 12 September 2016, bersamaan 10
Zulhijah 1437. Secara kebetulan Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini berada di
tengah-tengah cuti pertengahan semester sekolah, maka ramai perantau pulang berhari raya di kampung masing-masing. Pada kebiasaannya cuti umum
ini hanya satu hari sahaja bagi kebanyakan negeri kecuali bagi negeri Kelantan
dan Terengganu. Oleh kerana kebetulan dengan cuti sekolah maka Hari Raya Aidil
Adha kali ini dianggap lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Semua laluan
dari ibu kota ke utara, selatan dan timur dikhabarkan sesak dua hari sebelum
hari raya. Laluan ke pantai timur umpamanya sesak teruk pada hari Sabtu dan
Ahad sebelum hari raya terutama sekali sebelum masuk ke Plaza Tol Gombak dan
Plaza Tol Bentong. Mengikut mereka yang melalui laluan tersebut, kesesakan
menjelang Hari Raya Haji tahun ini sama seperti kesesakan lalu lintas semasa
cuti Hari Raya Aidilfitri dua bulan yang lepas.
Setelah kami mendapati banyak
kenderaan yang balik kampung, maka pada jam 5.15 pagi Sabtu 10 September 2016
kami bertolak dari Kuala Lipis melalui jalan lama iaitu Jalan Felda Kechau,
Bukit Tujuh dan masuk semula Lebuh Raya di Chegar Perah. Kami hanya mengalami
kesesakan di kawasan itu apabila laluan dua lorong ke laluan satu lorong yang bermula di Kampung Kubang Rusa, Merapoh. Kami
tiba di Gua Musang kira-kira jam 8.00 pagi dan kami seterusnya melalui jalan Gua Musang –
Jeli untuk mengelakkan kesesakan di jalan utama Gua Musang – Kuala Krai – Machang - Kota
Bharu. Jalan Gua Musang – Jeli tidak banyak kenderaan sebagaimana jalan utama
tersebut. Kami bersarapan dengan makanan yang dibawa sendiri di Masjid Meranto sebelum
meneruskan perjalanan pada jam 9.30 pagi. Kami tiba di Pasir Mas kira-kira jam
1.00 tengah hari setelah singgah di Tanah Merah dan beberapa tempat lain.
Di kampung kaum keluarga
sudah membeli seekor lembu untuk qurban anak beranak bernilai RM3,920.00 yang
satu bahagian daripada tujuh bahagiannya adalah untuk kami. Kami telah berpakat
anak beranak membeli lembu tersebut di Rantau Panjang dengan RM560.00 seorang
untuk satu bahagian. Lembu jantan berwarna hitam pekat itu sudah dibawa oleh
pemiliknya dua hari sebelum hari raya. Melihat akan kesepakatan kami anak
beranak ini mengingatkan saya kemeriahan Hari Raya Haji di Kelantan pada
masa-masa yang lalu. Pada masa dahulu Hari Raya Haji di Kelantan lebih meriah
berbanding Hari Raya Aidilfitri. Tetapi keadaan tersebut sudah mula berubah
atas beberapa faktor antaranya faktor generasi tua yang sudah semakin tiada, kebanyakan
generasi muda telah berhijrah ke bandar, cuti Hari Raya Haji yang terlalu
singkat dan pengaruh persekitaran.
Solat sunat Aidil Adha di surau kampung kami telah dijalankan
tepat jam 8.30 pagi dan berakhir kira-kira setengah jam selepas itu. Kira-kira
jam 9.30 pagi kami ke lokasi di mana ibadah qurban akan dijalankan. Semua yang
mengambil bahagian sudah bersedia untuk urusan jual beli bahagian masing-masing
dan mewakilkan untuk sembelihan dengan mematuhi syarat-syarat sah qurban yang
antara lain hendaklah binatang yang diqurbankan itu tidak mempunyai sebarang
kecacatan yang menyebabkan kekurangan kuantiti dagingnya ataupun menyebabkan
kemudharatan terhadap kesihatan. Contohnya cacat yang teruk pada salah satu matanya,
berpenyakit yang teruk, tempang atau kurus yang melampau. Hendaklah qurban itu
dalam masa yang tertentu iaitu selepas sembahyang Hari Raya Haji pada 10
Zulhijjah hingga sebelum terbenam matahari pada akhir Hari Tasyrik iaitu pada
13 Zulhijjah. Hendaklah disembelih oleh orang Islam. Orang yang berkongsi
mengorbankan unta atau lembu tidak lebih dari tujuh orang di mana masing–masing
menyumbang 1/7 bahagian.
Semua urusan selesai sebelum azan zohor yang mana 2/3 daging
qurban kami telah sedekahkan kepada mereka yang sepatut menerimanya sebagaimana
firman Allah swt yang bermaksud “Dengan
yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang qurban itu dan
berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (Surah Al-Hajj,
22:28). InsyaAllah pada tahun hadapan kita berpakat lagi untuk berqurban bersama. Sekian.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan