RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

03 September 2016

Festival Teater 6 Bahasa (FT6B) Gegari Dewan Darul Makmur

Pusat Kecemerlangan Bahasa Melayu (PKBM) Zon Timur, Jawatankuasa Extra Curricular dan Gabungan Insan Teater Afzan (GITA), Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan telah berjaya menganjurkan Festival Teater 6 Bahasa (FT6B) pada hari Selasa, 30 Ogos 2016 yang dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Abd. Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Lipis. FT6B turut dihadiri En. Mohd. Jusoh Majid, mewakili Ketua Pengarah DBP dan Puan Nani Hayati Razikin mewakili Pengarah Sektor Hal Ehwal Pelajar IPGM. Festival yang melibatkan pementasan teater 6 bahasa ini mempunyai objektif:
  1. Meningkatkan kemahiran dan penguasaan bahasa lisan, bahasa tubuh dan penulisan dalam kalangan peserta.
  2.  Meningkatkan dan mengemaskini perkongsian penyampaian teknik drama dalam pengajaran dan pembelajaran tanpa sempadan bahasa.
  3. Menerbitkan kompilasi skrip drama dalam enam bahasa beserta dengan terjemahannya dalam bahasa Melayu.
  4. Mengesan bakat dalam kalangan pelajar dalam bidang teater dan penulisan skrip.
  5. Memberi pengalaman kepada kumpulan sasar sebagai satu persediaan menghadapi situasi sebenar alam pendidikan di sekolah.
  6. Meningkatkan kesedaran perpaduan antara kaum selaras dengan sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan tanah air kali ke-59.
  7. Menyambut ulang tahun ke-10 Gabungan Insan Teater Afzan (GITA) yang menjadi nadi aktiviti di IPGKTAA.

Mengikut Penyelaras PKBM Zon Timur, Tuan Haji Dzulkarnain Mat, FT6B ini merupakan pementasan pertama yang melibatkan 6 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab dan Bahasa Semai yang kesemuanya merupakan kursus teras di IPG ini. Pementasan ini penting bagi latihan kemahiran berkomunikasi kepada keenam-enam bahasa tersebut. Selain daripada itu pementasan ini juga mendedahkan beberapa teknik pengajaran dan pembelajaran antaranya teknik simulasi, main peranan, drama dan teater yang merupakan teknik pengajaran dan pembelajaran yang amat menarik dan berkesan dalam menyampaikan isi pelajaran. Antara teknik drama ialah mimos, area, improvisasi, main peranan, simulasi, teater bercerita, pentomin, mestamu, dekon dan seumpamanya. Drama sering digunakan dalam kaedah komunikatif dan kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah terus, elektik dan audiobilingual. Jelasnya kemahiran teknik ini perlu dikuasai oleh semua bakal guru, maka dengan itu FT6B dirancang dengan melibatkan penguasaan enam bahasa bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, bahasa Tamil, bahasa Arab dan bahasa Semai.
Merriam-Webster Dictionary (2011) mendefinisikan teater sebagai "...is a collaborative form of fine art that use live performers, typically actors, to present the experience of a real or imagined event before a live audience in a specific place, often a stage. The performers may communicate this experience to the audience through combinations gesture, speech, song, music, and dance. Elements of art, such as painted scenery and stagecraft such as lighting are use to enhance the physicality, presence and immediacy of the experience..."
Selain itu FT6B dipentaskan sempena sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia kali ke-59 dan ulang tahun ke-10 Gabungan Insan Teater Afzan (GITA). GITA yang telah bertahan sekian lama juga di bawah bimbingan Tuan Haji Dzulkarnain Mat yang mengambilalih tugas penasihat awalnya Puan Walaini Abu Bakar yang telah bertukar ke PPD Temerloh. GITA yang bergerak di bawah Majlis Teater Negeri Pahang serta dengan sokongan dan bimbingan Grup Teater Purba Jelai, Kuala Lipis telah melahirkan nama-nama aktivis teater seperti Fazita Muhammad, Salmah Edi, Fazri, Paan, Jessica dan lain-lain lagi yang sehingga kini masih sudi membantu ‘adik-adiknya’ walaupun mereka sudah bertebaran di seluruh negara. Tahniah kepada GITA yang telah berjaya bukan sahaja melahirkan aktivis teater yang berpotensi besar malah berjaya mengekalkan reputasi serta ikatan silaturahim ahli-ahlinya sehingga ke hari ini.
FT6B juga telah dimeriahkan dengan persembahan-persembahan selingan oleh para siswa pendidik. Selain daripada para siswa guru, para pelajar sekolah yang berhampiran juga telah dijemput untuk bersama-sama memeriahkan FT6B kali ini. Semasa ucapan perasmiannya YB Ahli Parlimen dengan sukacitanya meluluskan peruntukan RM5,000 untuk menampung segala aktiviti yang dijalankan oleh PKBM dan GITA. Terima kasih YB. Saya selaku Pengerusi JK Pelaksana FT6B bagi pihak semua AJK mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang terlibat sama ada secara langsung atau secara tidak langsung sehingga FT6B dapat direalisasikan. Tahniah kepada semua.

Sinopsis Teater Bahasa Tamil
Encik Mano merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Kehidupan mewah serta keluarga yang bahagia merupakan aset tidak ternilai dalam hidup Encik Mano. Namun, ketenangan yang dicari tidak dapat ditemui apabila konflik terjadi antara isterinya, Puan Barathi dan ibunya. Puan Barathi merasa amat rimas apabila terpaksa menjaga ibu mertuanya yang bersikap seakan kanak - kanak apabila sering menumpahkan makan yang diberi. Akhirnya, Encik Mano terpaksa menghantar ibunya ke rumah orang tua kerana tidak tahan mendengar keluhan isterinya. Anak - anak Encik Mano iaitu Kayal, Thanesh dan Vani tercari - cari akan nenek mereka dan mereka mendapati bahawa ayah mereka telah menghantar nenek mereka di rumah orang tua. Kayal, anak sulung Encik Mano mendapat idea untuk medapatkan nenek mereka kembali iaitu bercerita sebuah kisah sehingga didengari oleh Encik Mano. Encik Mano berasa amat menyesal dengan tindakannya menghantar ibunya ke rumah orang tua. Apakah kisah yang diceritakan oleh Kayal itu? Sedarkah Encik Mano dan Puan Barathi akan kesilapan mereka? Saksikanlah.
Sinopsis Teater Bahasa Arab
Panggilan telefon dariada pihak sekolah merungkai sebuah masalah dalaman Ahmad yang sebenarnya dahagakan kasih sayang seorang ayah. Ibu yang telah membesarkannya ibarat menatang minyak yang penuh telah ditengkingnya tatkala mencari jawapan kepada 'Aina Abi?' Akhirnya, si ibu yang tidak sanggup menahan perit dan duka telah menjawab segala tanda tanya Ahmad. Mampukah Ahmad menerima hakikat sebenar berkaitan ayahnya? Mampukah luahan hati si ibu melembutkan kembali hati anak tunggalnya itu? Nantikan.
Sinopsis Teater Bahasa Melayu
Di sebuah kampung, tinggal sepasang suami isteri yang bernama Pak Dollah dan Mak Bedah. Mereka mempunyai seorang anak yang bernama Leman yang sedang melanjutkan pelajaran di luar negara. Hari-hari Pak Dollah dan mak Bedah sunyi tanpa anak tunggalnya itu. Setelah sekiar 'ama menyepi, tiba - tiba Pak Dollah dan Mak Bedah dikejutkan dengan surat yang dikirim oleh Leman untuk mereka yang menyatakan hasrat beliau untuk pulang ke kampung tapi dalam suratnya juga Leman menyatakan bahawa dia akan membawa pulang menantu Korea. Adakah Pak Dollah dan Mak Bedah dapat menerima kenyataan ini? Dan bagaimanakah pula reaksi orang kampung dengan berita mengejutkan ini?
Sinopsis Teater Bahasa Inggeris
Kisah ini menceritakan mengenai seorang pemuda licik bernama Jamil. Jamil berhasrat untuk berpoligami namun cuba merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahauan isteri-isterinya. Dengan bantuan rakannya, Syah, adakah hasrat Jamil Berjaya direalisasikannya?
Sinopsis Teater Bahasa Semai
Teater ini mengisahkan seorang tok batin perkampungan orang asli semai yang digelar Moyang Jelema yang mempunyai kuasa sakti di mana dia boleh menukarkan daun lalang menjadi sutera sakti setajam pedang.Konflik bermula apabila Gagak Hitam iaitu ketua lanun bersama dua orang anak kapalnya datang ke kampung Moyang Jelema untuk merampas kampung tersebut. Namun Moyang Jelema berkeras untuk tidak menyerahkan kampung itu kepada Gagak Hitam. Sebagai balasannya, sewaktu Moyang Jelema pulang dari hutan, dia telah diberitahu oleh orang kampung bahawa anak dan isterinya telah dibunuh oleh Gagak Hitam dan anak kapalnya. Lalu berlakulah pertempuran antara Moyang Jelema dan Gagak Hitam untuk menuntut bela kematian isteri dan anaknya. Dapatkah Moyang Jelema menewaskan Gagak Hitam? Apakah kesudahannya? Saksikan teater Moyang Jelema.
Sinopsis Teater Bahasa Cina
Soorang anak telah berkahwin dengan seorang lelaki Amerika yang amat kaya. Dia membawa balik cucu ke rumah ibu bapanya semasa hari sebelum Tahun Baru Cina. Ibu bapa yang lama tidak berjumpa anak berasa amat gembira dan ingin menyediakan makanan kegemaran anaknya semasa 'reunion dinner'. Semasa makan bersama, anak sentiasa bermain telefon pintarnya walaupun ibu bapa sedang bertanya kehidupannya di luar negara. Ibu bapa amat kecewa kerana perangai anak mereka yang sombong dan biadab apabila selepas makan anak mereka terus membawa cucu mereka masuk tidur. Semasa anak dan cucu duduk di ruang tamu, anak terjumpa satu laporan kesihatan ayahnya. Rupa-rupanya ayahnya menghidap penyakit kronik, namun anak tidak pernah ambil tahu akan perihal ibu bapanya. Saksikan apakah kesudahan anak yang seakan lupa diri itu.

Tiada ulasan: