Semasa
saya mula-mula bersekolah rendah pada tahun 1965,
jalan raya kampung kami masih lagi belum berturap walapun
jalan tersebut merupakan jalan utama yang menghubungkan bandar Pasir Mas dan
Rantau Panjang serta jalan untuk masuk ke negara Thailand. Pada
tahun-tahun berikutnya jalan itu mula diperbaiki dan dinaiktaraf sebagai jalan
negeri. Kerja-kerja menaiktaraf jalan tersebut bermula pada tahun 1966 semasa
saya bersekolah dalam Darjah 2. Semasa kerja-kerja penyelenggaraan dan
menaiktaraf jalan itu dibuat saya berpeluang memerhati dengan
lebih dekat semua jenis kenderaan dan jentera berat yang digunakan oleh
Jabatan Kerja Raya (JKR).
Antara kenderaan dan jentera berat yang digunakan pada ketika itu
ialah lori roda 6 pengangkut tanah, lori roda 10 pengangkut
jentera berat, road grader, jengkaut, traktor dan steamroller yang
digunakan untuk tugas-tugas penyelenggaraan dan proses naik taraf jalan
tersebut. Manakala Land Rover
pula biasanya digunakan untuk membawa penyelia (overseer) atau
orang-orang kampung kami menyebut sebagai ‘abusia’ iaitu pegawai JKR
yang terlibat dengan pemantauan kerja-kerja luar.
![]() |
| Steamroller JKR model Aveling Barford |
![]() |
| Lori JKR model Albion CH13A Chieftain |
Di
bahagian tempat muatan semua lori ditulis dengan akronim JKR serta dikuti huruf
A dan nombor, yang pada hemat saya nombor-nombor tersebut merupakan nombor
siri lori milik JKR di seluruh negeri Kelantan pada ketika itu.
Nombor-nombor yang saya masih ingat ialah nombor A1, A2, A3, A8, A18, A19
dan A56 bagi lori model Albion FT37EL
Chieftain. Manakala A75, A76, A77, A83, A86, A87 bagi lori model Albion CH13A Chieftain dan A49 untuk
lori model Thames Trader. Lori
JKR model Albion CH13A Chieftain
lebih menarik berbanding lori model Albion
FT37EL Chieftain. Saya dan rakan-rakan memanggil lori model Albion CH13A Chieftain sebagai ‘lori kepala bertingkat’. Lori-lori model
Albion FT37EL Chieftain kemudiannya digantikan
dengan lori-lori model baharu iaitu model Ford
L, Bedford MK dan
model Seddon 16/4 yang juga buatan England. Lori model Bedford S-Type pacuan
4 roda pula digunakan untuk membawa mesin khas
untuk kerja-kerja menyelenggara jentera berat seperti steamroller, road grader, jentolak dan sebagainya kerana model
ini lebih tahan lasak.
![]() |
| Road grader JKR model Aveling Barford |
Perkhidmatan bas dari Pasir Mas ke Rantau Panjang oleh Syarikat Kenderaan (Nets) Kelantan Berhad atau NETS yang melalui kampung kami telah bermula pada tahun
1965 semasa jalan tersebut masih lagi belum
berturap. Nama NETS amat sinonim kepada generasi lama di Kelantan yang mana mereka faham NETS (mereka sebut {neʔ}) bermaksud
bas, contohnya “..... Pak
cik naik nets ke Pasir
Mas”. Pada tahun 1967 nama syarikat ini telah ditukar kepada Syarikat Kenderaan Melayu
Kelantan Berhad (SKMK) dan kekal hingga sekarang. Pada awal perkhidmatannya, bas yang
digunakan untuk laluan ini hanya bas-bas pendek model Mercedes
Benz O 319 buatan
German dan Seddon MK17 buatan England
dengan kapasiti 15 tempat duduk. Terdapat juga bas pendek jenis Seddon yang kepalanya seperti kepala lori.
![]() |
| Bas SKMK model Seddon MK17 |
Setelah
jalan raya Pasir Mas ke Rantau Panjang siap diturap pada akhir tahun 1967 serta dengan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan bas, maka pada tahun 1968 perkhidmatan bas
panjang dengan kapasiti 38 hingga 40 tempat duduk mula diperkenalkan untuk
laluan Kota Bharu – Rantau Panjang. Semua bas panjang yang digunakan di laluan
ini pada ketika itu ialah model Seddon MK17.
Bas-bas tersebut kemudiannya digantikan dengan bas-bas panjang model baharu iaitu Mercedes
Benz 608 pada pertengahan tahun 1970-an, kemudiannya pada
akhir tahun 1970-an diganti pula dengan model Mercedes Benz 1113 dan model Tata LP1313. Bas-bas yang digunakan oleh SKMK pada masa itu berwarna biru dengan bumbung berwarna putih dan ditulis nama
syarikat dengan tulisan jawi yang
berwarna kuning emas
serta berlogokan seekor kijang
sedang melompat. Kijang merupakan lambang haiwan lagenda bagi sejarah negeri
Kelantan.
Bas-bas lama kemudiannya dijadikan bas sekolah dengan ditukar warna kepada
warna kuning muda dan ditulis perkataan ‘BAS SEKOLAH’ dengan tulisan berwarna
hitam pada badannya. Kerja-kerja ini dibuat di depoh bas SKMK di Kubang Kerian,
Kelantan.
![]() |
| Bas SKMK model Tata LP1313 |
Pada pertengahan tahun 1970-an juga perkhidmatan bas ekspres antara bandar telah
diperkenalkan antara Kota Bharu ke bandar-bandar utama di Kelantan. Bas ekspres antara bandar ini dipanggil
sebagai Bas Cepat yang mengadakan
perkhidmatan dari Kota Bharu ke destinasi-destinasi seperti Rantau Panjang, Tanah Merah, Tumpat,
Kuala Krai melalui
Machang dan Pasir
Puteh. Perkhidmatan Bas Cepat antara Kota Bharu dan Rantau Panjang
turut melalui jalan raya kampung kami. Perkhidmatan Bas Cepat kemudiannya diadakan ke negeri Terengganu
iaitu ke Jertih,
Kuala Besut
dan Kuala Terengganu.
![]() |
| Bas pendek SKMK model Seddon MK17 |
Selain bas dan lori, kebanyakan kereta yang melalui jalan raya kampung kami untuk ke Rantau Panjang ialah kereta sewa atau teksi. Kereta-kereta persendirian masih lagi belum
banyak pada ketika itu kerana orang awam tidak mampu memilikinya kecuali mereka
yang berjawatan tinggi dalam kerajaan dan ahli perniagaan yang berjaya. Kebanyakan kaki tangan awam dalam kerajaan
seperti guru, kerani dan sebagainya hanya mampu memiliki motosikal sahaja pada
ketika itu. Kebanyakan daripada mereka hanya menaiki pengangkutan awam seperti
bas, kereta api, beca dan basikal sahaja untuk ke tempat kerja.
![]() |
| Teksi Mercedes-Benz 200D |
Pada tahun 1960-an kebanyakan kereta sewa atau teksi yang melalui jalan raya kampung kami ialah model Mercedes-Benz 180D,
Mercedes-Benz 190D, Mercedes-Benz 200D, Mercedes-Benz 220D, Peugeot 403 dan terdapat juga kereta sewa model Morris
Oxford serta Austin Cambridge A60.
Kereta-kereta sewa atau teksi ini beroperasi untuk destinasi Pasir Mas ke Rantau Panjang atau Kota Bharu ke Rantau Panjang. Pada awal tahun 1970-an peranan
kereta
sewa atau teksi model Peugeot 403 buatan Peranchis ini diambilalih oleh model Peugeot 404 yang
sangat popular sebagai teksi dan kereta sewa di seluruh negara, khususnya di
Kuala Lumpur.
Manakala teksi model Morris
Oxford dan Austin Cambridge A60
terus tidak kelihatan dan tiada lagi model pelapis. Kereta-kereta model ini kini telah menjadi sebagai sebahagian
daripada koleksi peminat kereta vintage.
Apa yang jelas pada masa itu kereta-kereta buatan Jepun masih lagi tidak
popular di negara kita seperti hari ini. Kereta-kereta Jepun yang kelihatan di jalan raya pada ketika itu kebanyakannya
model Toyota Corona
P1[29] dan Datsun Bluebird 510. Kini kereta-kereta sewa atau teksi model lama ini sudah tidak digunakan lagi dan telah diambilalih
oleh kereta-kereta model baharu buatan Malaysia, Jepun dan Korea.







Tiada ulasan:
Catat Ulasan