RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

27 November 2017

Musim Banjir: Persediaan Masyarakat Masa Lalu

Jalan Tengku Ahmad, Pasir Mas (1972) 
Gambar: http://fakri-awang.blogspot.my
Cepatnya masa berlalu, pejam celik pejam celik dah sampai ke penghujung bulan November. Ini bermakna tahun 2017 akan berakhir kira-kira sebulan lebih sahaja lagi untuk masuk ke tahun 2018. Seperti biasa keadaan cuaca pada penghujung tahun ini sudah cenderung kepada musim tengkujuh yang mengikut teori geografi disebabkan faktor ketibaan Monsun Timur Laut yang selalunya menjejaskan aktiviti harian penduduk di kawasan pantai timur. Namun jika diperhatikan pada akhir-akhir ini teori geografi itu sudah tidak tepat lagi kerana negeri-negeri utara di pantai barat Semenanjung Malaysia mengalami banjir terlebih dahulu berbanding negeri-negeri di pantai timur. Pada awal November 2017 baru-baru ini Pulau Pinang dan Kedah mengalami banjir yang agak teruk walaupun sepatutnya Monsun Timur Laut membawa taburan hujan yang banyak di kawasan pantai timur. Selepas itu beberapa kawasan di negeri Sabah pula dilanda banjir.
Jalan Tengku Ahmad, Pasir Mas (2014)
Sejak dahulu lagi para penduduk di Pantai Timur khususnya di Kelantan dan Terengganu, sudah sedia maklum bahawa bulan November atau dipanggil ‘bulan sebelas’ merupakan permulaan musim tengkujuh pada setiap tahun. Sehari dua ini dikhabarkan hujan sudah mula turun di pantai timur khususnya di negeri Kelantan. Mereka sudah sedia maklum bahawa hujan tanpa henti dua tiga hari pada hujung tahun merupakan fenomena biasa yang akhirnya akan membawa kepada banjir. Kawasan berhampiran Sungai Golok yang bersempadan dengan Thailand biasanya mengalami banjir terlebih dahulu akibat limpahan air sungai tersebut ke kawasan-kawasan yang rendah di negeri ini. Kawasan yang kerap terjejas ialah kawasan sempadan yang bermula dari Daerah Jeli, Daerah Tanah Merah, Daerah Pasir Mas dan berakhir di Daerah Tumpat. Bagi Daerah Pasir Mas kawasan-kawasan sempadan yang biasa terjejas ialah Kampung Lubuk Setol, Telaga Mas, Kubang Rambutan, pekan Rantau Panjang, Lubuk Gong, Gual Tok Deh, Bukit Lata, Jeram Perdah, Siram, Kedai Tanjung, Bakong, Kubang Pak Hitam, Meranti, Gelang Mas, Lubuk Jambu dan kampung-kampung lain di sepanjang sungai tersebut.
Persimpangan Jalan Masjid Lama dan 
Jalan Dato' Hamid, Pasir Mas (1972)
Gambar: http://fakri-awang.blogspot.my
Musim banjir yang kerap dialami penduduk negeri Kelantan bukan sahaja mengubah cuaca dan keadaan di negeri ini, tetapi juga turut mempengaruhi budaya hidup penduduknya. Perubahan ini termasuklah cara berpakaian, jenis makanan, pekerjaan dan lain-lain yang bersangkutan dengan sosio budaya masyarakat di sini khususnya masyarakat di kawasan luar bandar. Mereka yang membesar dan hidup di kawasan bandar atau pinggir bandar tidak dapat merasai keadaan tersebut kerana mereka sudah diresapi dengan budaya hidup masyarakat bandar. Apa yang menarik masyarakat di luar bandar sudah sentiasa ‘bersedia’ dengan kedatangan musim ini pada setiap tahun. Mereka menganggap peringatan yang dihebahkan oleh pihak yang berkuasa melalui media massa hanyalah untuk mereka yang belum pernah menghadapi bencana tersebut. Mereka tidak perlu pengumuman kerana mereka sentiasa bersedia untuk menghadapinya pada setiap hujung tahun atau pada awal tahun berikutnya.
Putu halba
Semasa saya masih kanak-kanak pada akhir tahun 1960-an dan awal tahun 1970-an, saya masih ingat lagi bagaimana persediaan yang dibuat oleh orang tua saya dan masyarakat kampung kami untuk menghadapi musim banjir. Persediaan yang mereka buat dapat dibahagikan kepada beberapa aspek iaitu persediaan dari segi makanan, tempat tinggal, pakaian dan keselamatan. Dari segi makanan, biasanya mereka telah merancang lebih awal contohnya mereka menanam pelbagai jenis ubi pada awal tahun untuk dimakan semasa musim tengkujuh pada hujung tahun kerana ubi kayu, ubi badak, ubi keledek, ubi keduduk, ubi keling (ubi kemili) (Dioscorea bulbifera), ubi torak (ubi itik) (Dioscorea esculenta), ubi keladi dan sebagainya boleh dituai dalam tempoh 9 hingga 12 bulan. Hidangan utama untuk tetamu yang datang berkunjung musim ini pada zaman itu ialah ubi-ubi tersebut yang direbus terutama ubi kayu yang biasanya dihidang bersama kopi o pekat. Ada kalanya tetamu dihidangkan dengan kueh-mueh yang berasaskan pelbagai spesis ubi tersebut. Antara kueh yang paling popular ialah ‘putu halba’ iaitu sejenis kueh yang berasaskan tepung ubi kayu separuh kering yang dicampurkan sedikit biji halba, berintikan gula melaka dan dikukus. Untuk makanan ruji seharian pula mereka telah bersedia dengan beras yang disimpan di tempat yang agak tinggi. Makanan lain yang wajib ada pada musim ini ialah garam, budu, ikan masin atau ikan kering (sama ada ikan laut atau ikan darat) dan ikan pekasam yang mereka usahakan sendiri. Pada zaman itu mereka tidak terlalu mengharapkan kepada sesiapa sebagaimana masyarakat hari ini yang sentiasa mengharapkan bantuan kerajaan. Dalam keadaan ini mereka hanya mengharapkan bantuan ikhlas sanak saudara atau jiran sekampung sahaja.
Selain persediaan makanan untuk ahli keluarga, makanan untuk haiwan ternakan juga termasuk dalam persediaan mereka untuk menghadapi musim banjir. Sebelum tibanya musim tengkujuh mereka terlebih dahulu meninjau kawasan tanah yang agak tinggi dan berumput untuk menempatkan lembu dan kerbau mereka. Jika tiada kawasan tanah tinggi yang berumput, mereka bersedia dengan batang dan pelepah pisang yang akan dicincang untuk menjadi makanan haiwan ternakan tersebut. Bagi penduduk di kawasan yang berhampiran dengan hutan, masalah makanan haiwan ternakan tidak menjadi masalah kerana terdapat semak-samun dan pokok-pokok renek yang boleh menjadi makanan kepada haiwan-haiwan tersebut. Bagi penduduk yang tinggal di kawasan penanaman padi perkara ini sangat menjadi masalah. Untuk makanan ayam dan itik biasanya mereka bersedia dengan batang sagu yang dipotong atau dibelah dan boleh dipagut oleh haiwan-haiwan tersebut pada bila-bila masa. Mereka tidak perlu lagi bersusah payah untuk menyediakan makanan untuk haiwan-haiwan itu pada setiap masa.
Persimpangan Jalan Besar
dan Jalan Dato' Hamid, Pasir Mas (1972)
Gambar: http://depankanta.blogspot.my
Dari aspek tempat tinggal pula oleh kerana pada ketika itu hampir semua rumah penduduk kampung beratapkan rumbia, maka sebelum menjelang musim tengkujuh mereka menukar atap rumah yang telah usang atau mana-mana bahagian atap yang didapati telah reput dan bocor. Apabila tiba musim hujan mereka tidak berpeluang lagi untuk menukarnya kerana hujan yang tidak berhenti-henti pada sepanjang hari. Penukaran atap tersebut tidak terhad kepada rumah kediaman sahaja, malah atap baloh padi (tempat menyimpan padi) juga ditukar untuk mengelakkan daripada tiris yang boleh merosakkan padi yang disimpan. Bangsal binatang ternakan dan reban ayam juga dipastikan tidak tiris semasa musim hujan tersebut. Pokok-pokok di tepi kawasan rumah yang dijangka tidak selamat juga dibuang dahannya untuk mengelakkan daripada sekah atau patah akibat tiupan angin kencang serta untuk mengelakkan daripada kejadian yang tidak diingini berlaku.
Dari aspek pakaian pula, sebelum tibanya musim tengkujuh para ibu akan menyediakan beberapa helai kain baju yang sesuai sebagai pakaian basahan untuk bekerja di sawah atau di kebun supaya mereka tidak terlalu kerap menukar pakaian dalam keadaan yang sukar ini. Ibu-ibu biasanya akan memberitahu ahli keluarga mereka agar sentiasa ‘berjimat’ memakai pakaian kerana dalam keadaan cuaca yang basah itu amat sukar untuk mengeringkan pakaian. Pada zaman itu tiada lagi kalangan kami masyarakat kampung yang mempunyai mesin basuh, apa lagi alat pengering. Sebagai alternatif biasanya kain-kain yang basah itu disalai ke api agar cepat kering untuk dipakai semula kerana ketiadaan cahaya matahari pada musim ini. Ada di antara mereka yang mendirikan bangsal khas di bahagian belakang rumah untuk menyalai kain baju yang basah pada musim hujan yang berpanjangan itu. Kayu api juga disimpan khas untuk digunakan pada musim ini. Namun pakaian yang kering hasil daripada proses salai tersebut biasanya mengeluarkan bau asap semasa kita memakainya.
Selain aspek makanan, tempat kediaman dan pakaian, masyarakat kita pada zaman itu juga amat menitikberatkan soal keselamatan semasa berlakunya bencana banjir. Bagi mereka yang tinggal di kawasan tepi sungai utama seperti Sungai Kelantan dan Sungai Golok kebanyakan daripada mereka mempunyai sekurang-kurangnya sampan kecil untuk digunakan pada musim banjir. Bagi mereka yang jauh dari sungai mereka akan membuat rakit buluh untuk kegunaan mereka sekiranya air naik. Meskipun tiada info berkala daripada pihak yang berwajib tentang bencana ini namun penduduk luar bandar pada ketika itu sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk menghadapinya. Mereka juga sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka agar tidak menjadi mangsa banjir meskipun kanak-kanak luar bandar cukup lasak dan mahir dengan selok belok sungai.
Rantau Panjang (30 November 2017)
Gambar: Berita TV1 RTM
Demikian gambaran persediaan masyarakat luar bandar khususnya di Pantai Timur pada masa dahulu untuk menghadapi suasana musim tengkujuh pada setiap hujung tahun. Pendeknya musim tengkujuh bukan sahaja mengubah keadaan cuaca di kawasan Pantai Timur malah turut mengubah budaya kehidupan masyarakat di kawasan-kawasan yang terlibat. Sekian.

21 Julai 2017

Buletin SMVP/SMTPM 1996 - 2000

Sebagai Pengerusi Pusat Sumber Sekolah saya telah cuba sedaya upaya untuk para pelajar tanamkan sifat suka membaca dan cuba menulis walaupun dalam bentuk catatan ringkas. Hasrat ini bermanfaat untuk memudahkan mereka menjawab kertas soalan Bahasa Melayu SPM khususnya Bahasa Melayu 1 iaitu Karangan. Sebagai permulaannya kami menerbitan buletin sekolah untuk menggalakan para pelajar membaca berita-berita ringkas dan di samping itu mereka juga mendapat maklumat terkini tentang apa yang berlaku di sekolah. Sebagai langkah pertama pada akhir bulan Jun tahun 1996 saya telah membentuk Jawatankuasa Buletin SMVP (kemudiannya mulai Januari 1997 namanya ditukar kepada Jawatankuasa Buletin SMTPM[1]). 
Pada 1 Julai 1996 jawatankuasa ini telah memulakan penerbitan sulungnya iaitu Buletin SMVP yang memuatkan berita dan maklumat tentang peperiksaan. Buletin ini dicetak dan dibahagikan secara percuma kepada setiap kelas dan ditampal di papan-papan kenyataan yang strategik untuk tatapan para pelajar. Oleh kerana berita di dalamnya ringkas dan meliputi skala yang sempit iaitu di sekitar sekolah ini sahaja, maka para pelajar tidak keberatan untuk membacanya. Berita utama dalam buletin bilangan pertama itu ialah tentang makluman tarikh Ujian Lisan Bahasa Melayu SPM/SPMV, pendaftaran awal calon SPM/SPMV 1997 dan makluman perubahan tarikh SPM/SPMV 1997 berikutan perubahan sesi persekolahan kembali kepada bulan Januari pada setiap tahun mulai tahun 1997[2]. Selain daripada itu di bahagian berita kaki dimasukkan ruangan “Tahukah Anda?”, yang mana terbitan pertama ini memuatkan maklumat “Tahukah anda bahawa lebih 200,000 calon menduduki peperiksaan SPM/SPMV pada tahun ini? (1996). Saingan anda ialah semua pelajar MRSM, SMS, Asrama Penuh, SMT, MTD, sekolah-sekolah harian biasa, sekolah-sekolah swasta dan calon persendirian”. Ruangan seperti nota kaki ini merupakan maklumat yang berbentuk pengetahuan am yang bermanfaat kepada para pelajar.
Buletin SMVP yang mula diterbitkan pada 1 Julai 1996 ini berakhir pada terbitan Bilangan 9 yang diterbitkan pada 2 Oktober 1996 yang kemudiannya ditukar kepada nama Buletin SMTPM mulai terbitan Bilangan 10 yang mula diterbitkan pada 19 Januari 1997. Buletin SMVP yang diterbitkan selama 3 bulan itu tidak dimasukkan gambar kerana tiada kemudahan teknologi penerbitan pada ketika itu. Walau bagaimanapun Buletin SMTPM mula diterbitkan dengan berita yang berserta dengan gambar setelah pihak sekolah menerima beberapa set komputer baharu. Gambar-gambar yang dimasukkan kebanyakannya yang berkaitan dengan sesuatu berita seperti gambar Pengetua, Penolong Kanan dan guru-guru lain yang berkenaan. Berita-berita yang dimuatkan ialah berita tentang apa yang berlaku di sekitar sekolah termasuk pengumuman atau makluman penting yang wajib diketahui oleh para pelajar seperti makluman tentang peperiksaan, latihan sukan, perlawanan bola sepak dan permainan-permainan lain, dan aktiviti-aktiviti lain yang melibatkan para pelajar. Saya mendapati bahawa makluman melalui buletin ini lebih berkesan kerana para pelajar lebih minat membacanya berbanding notis-notis biasa yang ditampal di papan-papan kenyataan sekolah.
Dalam tempoh 4 tahun iaitu 1 Julai 1996 hingga 24 Mei 2000, Buletin SMTPM telah diterbitkan sebanyak 77 kali iaitu terbitan Bilangan 1 hingga 77. Dalam tempoh penerbitannya buletin ini sangat memainkan peranan dalam penyebaran maklumat sekolah kepada para pelajar dan guru-guru. Antara yang menarik dalam buletin dua muka surat ini ialah laporan lengkap analisis peperiksaan penggal, peperiksaan percubaan dan peperiksaan SPMV, keputusan lengkap Kejohanan Olahraga Tahunan, keputusan lengkap Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring SMT/SMV Piala Dato’ Dr. Abdul Shukor Abdullah[3] dan analisis setiap perlawanan dalam kejohanan tersebut. Selain analisis tentang perlawanan sukan, buletin ini juga menyiarkan laporan lengkap keputusan SPM/SPMV dalam tempoh penerbitan tersebut. 
Manakala dalam penerbitan terakhirnya pada 24 Mei 2000, buletin ini telah menyiarkan berita utamanya tentang Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di sekolah ini pada 22 Mei 2000 dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan pada ketika itu iaitu YB Datuk Abd. Aziz Shamsuddin. Lebih 1,000 orang guru dari seluruh negeri Kelantan hadir dalam majlis tersebut. Selepas penerbitan Bilangan 77 ini penerbitan Buletin SMTPM telah terhenti atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan khususnya yang berkaitan dengan tugas hakiki guru yang semakin meningkat dan peranan jawatankuasanya yang semakin tidak aktif. Demikian berakhirnya riwayat sebuah saluran maklumat yang bertemakan “Wadah Pengetahuan Bermaklumat” yang telah banyak berjasa kepada semua warga sekolah ini.



[1] SMV Perdagangan dinaikkan taraf kepada SM Teknik Pasir Mas (SMTPM) mulai 1 Januari 1997.
[2]Kementerian Pendidikan telah memulakan sesi persekolahan bermula pada bulan Disember pada setiap tahun berkuatkuasa pada 1 Disember 1989 untuk mengelakkan peperiksaan SPM dan STPM terjejas akibat berlakunya banjir pada setiap akhir tahun.
[3] Piala ini diadakan di peringkat zon dan johan akan mewakili zon untuk ke peringkat kebangsaan. SMT/SMV di negeri Kelantan dan Terengganu adalah dalam Zon 8 kejohanan tersebut.

11 Julai 2017

Program Integrasi Mesra SMTPM – SMK Dabong 1999

Peluang menaiki kereta api local serta menikmati pemandangan yang menarik di sepanjang perjalanannya merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dirasai oleh semua orang. Untuk itu pada awal bulan April 1999 saya selaku Ketua Penasihat Persatuan Bahasa Melayu dan Pidato telah merangka satu kertas kerja untuk satu program iaitu Program Integrasi Mesra SMTPM – SMK Dabong yang merupakan sebuah sekolah menengah yang terletak di kawasan agak pedalaman dalam Jajahan Kuala Krai yang perhubungan utamanya melalui jalan kereta api pada ketika itu. Tarikh yang dicadangkan untuk program tersebut ialah pada 30 April hingga 1 Mei 1999 sempena cuti umum Hari Pekerja yang bersambung dengan cuti hujung minggu. Program ini bertujuan untuk memberi pengalaman kepada para pelajar menaiki kereta api local, serta memberi mereka peluang untuk merasai kehidupan masyarakat luar bandar dengan segala kemudahan yang sangat terhad dan mededahkan kepada rakan-rakan sebaya mereka yang berada di sekolah luar bandar tentang peluang-peluang melanjutkan pelajaran di sekolah-sekolah teknik dan vokasional. Para pelajar yang terlibat dalam program ini ialah seramai 26 orang ahli  Persatuan Bahasa Melayu dan Pidato dengan diiringi 5 orang guru, iaitu Penolong Kanan HEM SMTPM, Tn. Hj. Abd. Rahman Mamat, saya sendiri selaku Ketua Penasihat Persatuan Bahasa Melayu dan Pidato, YM Cikgu Tuan Mohd. Suhaimi Tuan Muda, Cikgu Rohana Awang Isa dan Cikgu Rohana Rahim.
Setelah Pengetua meluluskan kertas kerja cadangan saya tersebut saya telah menefon pihak SMKD untuk mendapatkan persetujuan lisan pihak sekolah berkenaan dengan program tersebut. Mereka telah bersetuju dan mengucapkan terima kasih atas cadangan program tersebut. Apa yang sangat menarik perancangan program ini dilaksanakan dengan tanpa sebarang mesyuarat rasmi antara kedua-dua belah pihak kecuali perbincangan melalui telefon dan melalui utusan surat rasmi sahaja. Oleh kerana masalah kekangan masa dan lokasi yang jauh, mesyuarat hanya diadakan di peringkat sekolah masing-masing sahaja dan apa-apa keputusan dimaklumkan melalui telefon sebagai makluman awal. Makluman rasmi dihantar secara surat rasmi yang dikirim melalui Kiriman Ekspres KTM untuk sampai lebih cepat berbanding kiriman melalui Pejabat Pos kerana Dabong pada masa itu merupakan kawasan yang agak jauh dan popular dengan pengangkutan kereta api. Meskipun ada jalan raya ke pekan kecil itu tetapi keadaan jalannya sangat teruk, sempit dan sangat bahaya pada masa itu. Beberapa hari sebelum itu saya telah menguruskan borang tambang konsensi KTM yang memerlukan tanda tangan Pengetua dan pihak KTM. Tambang konsesi tersebut membolehkan mereka mendapat diskaun sebanyak 50% untuk perjalanan menggunakan perkhidmatan KTM ke mana-mana destinasi. Selain daripada itu satu taklimat telah diberikan kepada para peserta bahawa program ini bukan program makan angin semata-mata tetapi program ini berkehendakkan mereka merasai pengalaman kehidupan rakan-rakan mereka yang belajar di sekolah luar bandar dan berkongsi maklumat tentang peluang-peluang belajar di sekolah ini serta laluan kerjaya pada masa hadapan.  
30 April 1999
Oleh kerana kami terpaksa bertolak pada awal pagi, maka makanan untuk sarapan pagi kami tempah dengan pihak kantin sekolah dan disediakan dalam bentuk tapau untuk dimakan semasa perjalanan. Kami telah ke stesen kereta api Pasir Mas seawal jam 4.30 pagi lagi dengan menggunakan bas sekolah untuk menaiki kereta api pada jam 4.57 pagi. Mengikut jadual kereta api dari Tumpat ke Gua Musang itu bertolak dari stesen Tumpat kira-kira pada jam 4.20 pagi dan akan tiba di stesen Dabong[1] pada jam 7.40 pagi. Pada pagi tersebut kereta api local yang dilarikan dengan lokomotif model YDM itu tiba tepat pada waktunya di stesen Pasir Mas. Kami telah bersarapan dengan tempahan makanan yang berupa nasi lemak dan Nescafe yang telah dibungkus setelah lebih sejam kereta api bertolak dari Pasir Mas. Stesen dan perhentian kereta api yang kami lalui antara Pasir Mas dan Dabong ialah To’ Uban, Bukit Panau, Tanah Merah, Temangan, Sungai Nal, Kuala Krai, Pahi, Manik Urai, Kg. Baru Sungai Mengkuang, Ulu Temiang, Kg. Baru Bukit Abu, Bukit Abu, Kuala Gris dan tiba di Dabong hampir jam 8.00 pagi. Di stesen Dabong kami telah disambut oleh Penolong Kanan 1 SMKD, dua tiga orang guru dan para pelajar yang mungkin AJK Sambutan dengan sepanduk “Selamat Datang ke Program Integrasi Mesra SMTPM – SMK Dabong”. Semasa kami tiba di stesen terdapat ramai orang yang sedang bersarapan di kedai-kedai kopi yang terletak bersebelahan dengan stesen tersebut. Suasana di sekitar stesen yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari SMKD itu kelihatan agak meriah semasa ketibaan kami dan kami dimaklumkan begitulah keadaan di situ pada setiap hari khususnya semasa ketibaan kereta api kerana itulah kenderaan utama bagi masyarakat di sekitar Dabong sejak dahulu lagi. Keadaan ini lebih meriah lagi pada hujung minggu atau hari cuti umum kerana semakin ramai kaum lelaki dewasa khususnya keluar untuk bersarapan pagi di kedai-kedai kopi di sekitar stesen tersebut.
Kami kemudian terus dibawa ke Dewan Makan untuk bersarapan sekali lagi walaupun sudah bersarapan semasa dalam perjalanan tadi. Di situ kami juga diberi taklimat ringkas tentang program selama 2 hari kami berada di situ dan pembahagian tempat penginapan. Para pelajar ditempatkan di Asrama Putera dan Asrama Puteri, manakala para guru ditempatkan di Rumah Tamu dan kuarters guru yang terletak dalam kawasan sekolah tersebut. Program bermula dengan atur cara pertama iaitu Ceramah Motivasi oleh penceramah jemputan untuk semua peserta SMTPM dan SMKD yang bermula pada jam 10.30 pagi. Atur cara pertama tersebut berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari untuk makan tengah hari dan persiapan diri. Atur cara kedua ialah pada sebelah petang kira-kira jam 2.30 petang iaitu lawatan ke Gua Ikan yang terletak kira-kira 3 km dari pekan kecil Dabong menghala ke Sungai San. Pihak SMKD telah menyewa dua buah lori kecil untuk membawa para peserta ke gua tersebut. Gua Ikan merupakan destinasi yang mesti dilawati sekiranya sesiapa datang ke Dabong. Masyarakat di sini mengatakan bahawa nama Gua Ikan diperolehi kerana terdapatnya batu yang kelihatan seperti ikan di gua itu. Ada mitos mengatakan pada masa dahulu terdapat sejumlah ikan menghuni di gua itu dan ia dijadikan lokasi masyarakat Melayu kuno mengadakan majlis perkahwinan. Terdapatnya batu yang kelihatan seperti sisek ikan tercipta dari titisan air dalam gua bahkan titisan air itu juga menghasilkan pelbagai formasi yang menarik. Ia mempamerkan keindahan binaan stalagmit dan stalaktit berkilauan seperti kerlipan kristal. Kami telah masuk ke gua tersebut dengan dibantu oleh penduduk tempatan sebagai jurupandu. Kami kembali semula ke tempat penginapan di SMKD kira-kira jam 6.15 petang. Pada sebelah malamnya diadakan Majlis Makan Malam dan sesi beramah mesra antara semua peserta kedua-dua buah sekolah sesuai dengan objektif utama program ini.
 1 Mei 1999
Tarikh 1 Mei 1999 merupakan hari Ahad yang bersamaan dengan cuti umum Hari Pekerja yang sepatutnya hari bekerja bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah (kini Johor). Atur cara pagi dimulakan dengan solat subuh berjamaah dan kuliah subuh oleh Tn. Hj. Abd. Rahman Mamat, PK HEM SMTPM. Selepas kuliah subuh ialah acara senaman pagi di pekarangan Blok Pentadbiran SMKD. Selepas senaman pagi ialah acara berjalan kaki mengelilingi kawasan sekitar kawasan Dabong melalui tebing Sungai Galas tidak jauh dari SMKD. Acara ini memberi pengalaman kepada para pelajar tentang situasi suasana kehidupan masyarakat desa yang harmoni di samping dapat menghirup udara yang bersih. Jika di bandar pada setiap pagi mereka biasa melihat rata-rata penduduk bergegas ke tempat kerja masing-masing sama ada ke pejabat, ke kilang atau ke premis-premis perniagaan, tetapi di sini mereka dapat melihat para penduduk kampung bergegas dengan hala tuju masing-masing untuk ke kebun getah, kebun kelapa sawit atau ke dusun buah-buahan mereka. Semasa berjalan itu kami juga bertemu dengan dua tiga orang penduduk kampung yang dalam perjalanan balik membawa hasil tangkapan ikan sungai dari Sungai Galas dan katanya ikan-ikan itu akan dijual kepada peraih di sekitar stesen kereta api pada pagi itu. Demikian sebahagian daripada cara hidup masyarakat setempat yang mereka dapat lihat semasa sesi pagi itu. Kira-kira jam 8.00 pagi kami sampai kembali ke SMKD untuk bersarapan. Jam 8.30 hingga 10.00 pagi merupakan sesi untuk kami menyampaikan taklimat tentang peluang-peluang melanjutkan pelajaran di sekolah-sekolah teknik dan vokasional. Taklimat telah disampaikan oleh Tn. Hj. Abd. Rahman Mamat, PK HEM SMTPM. Selepas minum pagi para peserta diberi peluang untuk membuat persiapan untuk Majlis Penutupan Rasmi program yang akan disempurnakan oleh Tuan Pengetua SMKD pada jam 11.30 pagi. Program ini perlu berakhir sebelum 1.00 tengah hari kerana kereta api dari Gua Musang untuk kami naiki untuk perjalanan balik akan tiba di stesen Dabong pada jam 2.40 petang.
Majlis Penutupan Rasmi telah diadakan pada kira-kira jam 11.30 pagi dan telah disempurnakan oleh Tuan Pengetua SMKD. Tn. Hj. Abd. Rahman Mamat, PK HEM SMTPM telah berucap bagi pihak kami dan beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak SMKD yang telah memberi kerjasama yang sangat baik pada sepanjang program ini berlangsung. Majlis perasmian berakhir kira-kira jam 12.30 pagi dan kami terus makan tengah hari dan membuat persiapan untuk perjalanan balik. Rombongan kami berkumpul di hadapan stesen kira-kira jam 2.00 petang selepas semua persiapan selesai. Sebahagian daripada peserta program SMKD termasuk beberapa orang guru mereka berada di stesen untuk sama-sama mengucapkan selamat jalan kepada kami. Meskipun tempoh program tidak sampai dua hari, tetapi mereka kelihatan sangat mesra seperti telah lama berkawan. Saya amat kagum dengan kemesraan mereka kerana para peserta kami yang terdiri daripada para pelajar dari pelbagai negeri itu telah sedikit sebanyak dapat menyelami keadaan rakan-rakan sebaya mereka yang berada di daerah-daerah pedalaman ini. Kami mengharapkan agar selepas program ini mereka dapat berkomunikasi antara satu sama lain terutama sekali dalam soal-soal yang berkaitan dengan peluang akademik dan seterusnya tentang hala tuju masa hadapan masing-masing. Para pelajar di kawasan bandar sepatutnya membantu rakan-rakan mereka yang berada agak jauh di kawasan-kawasan pedalaman untuk sebarang maklumat terkini tentang peluang-peluang yang perlu mereka rebut untuk masa hadapan mereka. Kini dengan kecanggihan teknologi dalam sistem komunikasi di seluruh dunia sebahagian besar masalah-masalah yang berkaitan dengan keciciran maklumat tersebut sudah dapat diatasi. Namun apa yang menghalang atau menjadi gangguan kepada sistem komunikasi pada masa kini ialah tahap kelajuan lebuh raya maklumat yang ada bagi satu-satu kawasan tersebut.
Kereta api yang akan kami naiki tiba kira-kira jam 2.45 petang. Selain rombongan kami ramai juga bilangan penumpang yang naik dan turun di stesen ini kerana keesokan harinya merupakan hari bekerja atau hari persekolahan. Saya agak para penumpang yang turun di stesen ini terdiri daripada para pelajar sekolah dari kampung-kampung di sepanjang laluan kereta api yang menghuni asrama SMKD dan mereka yang bekerja di sekitar pekan kecil ini yang balik bercuti selama tiga hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad, cuti umum Hari Pekerja. Manakala para penumpang yang naik kereta api ini pula merupakan mereka yang berasal dari Dabong yang terdiri daripada para pelajar sekolah yang akan kembali ke asrama di sekolah-sekolah menengah sama ada di bandar Kuala Krai atau di Tanah Merah. Setelah kira-kira 15 minit kereta api bertolak, kelihatan kebanyakan para pelajar kami mula terlena di tempat duduk masing-masing kerana keletihan selepas mengikuti program tersebut. Kami tiba di Pasir Mas kira-kira jam 5.30 petang dan bas sekolah kami telah sedia menunggu. Selamat tinggal SMKD.


[1] Stesen Dabong dibina dalam Fasa 3 pembinaan sistem jalan kereta api sektor laluan pantai timur Tanah Melayu antara tahun 1910 – 1931. Stesen ini merupakan lokasi transit bagi pelancong yang akan mendaki Gunung Stong. Kini kereta api yang singgah di stesen ini ialah Ekspres Rakyat Timuran Tumpat – JB Sentral (ERT26 & ERT27), Shuttle Timur Tumpat – Kuala Lipis (SH51, SH53, SH58 & SH60), Tumpat – Dabong (SH55 & SH56) dan Tumpat – Gua Musang (SH52 & SH57). 

12 Jun 2017

Kampung Kami dan Selatan Thailand

Stesen KTM Rantau Panjang
Jarak kampung saya dari pekan Rantau Panjang ialah kira-kira 18 km, yang mana 12 km daripada jalan rayanya melalui kawasan tebing Sungai Golok yang memisahkan dua negara, Malaysia dan Thailand. Kampung-kampung yang terdapat di sepanjang jalan dari Pasir Mas ke Rantau Panjang ialah Kg. Dangar, Kubang Badak, Banggol Chicha, Banggol Ara, Gajah Mati (kampung saya), Jakar, Lubuk Kawah, Pohon Tanjung, Siram, Jeram Perdah, Bukit Lata, Tersang, Gual Tok Deh, Lubok Gong, Kedap dan Kg. Dangar. Bersetentangan dengan Kampung Bukit Lata di sebelah Thailand terdapatnya Kampung Munok (Kampung Dato Muno atau Tambon Muno) yang merupakan tempat kunjungan penduduk daerah Pasir Mas dan kawasan-kawasan sekitarnya untuk membeli barangan keperluan harian di pasar minggu yang diadakan pada setiap hari Isnin dan Jumaat atau dipanggil 'thalat nat Muno. Pengkalan haram Bukit Lata di sebelah Kelantan merupakan jeti utama bagi perahu-perahu penambang yang mengenakan tambang RM1.00 bagi setiap penumpang dewasa untuk sehala. Di kawasan ini terdapat tidak kurang daripada 5 buah pengkalan haram yang bukan sahaja untuk orang ramai menyeberang tanpa dokumen yang sah, tetapi juga merupakan laluan untuk kegiatan penyeludupan barangan Thailand ke Malaysia seperti beras, kain dan pakaian, tembakau dan sebagainya. Harga barang di Munok jauh lebih murah berbanding di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Kota Bharu yang menyebabkan pekan kecil itu menjadi tumpuan pada setiap hujung minggu. Para pengunjung tidak perlu menukar wang kepada mata wang Bhat kerana semua urusniaga untuk warga Malaysia boleh menggunakan nilai Ringgit Malaysia (RM).
Stesen KTM Pasir Mas (1969)
Di seberang Sungai Golok bersebelahan pekan Rantau Panjang pula terletaknya bandar Sungai Golok[1] (Amphoe Su-Ngai Kolok) yang kedua-duanya seolah-olah seperti bandar kembar. Kedua-dua pekan ini dihubungi oleh Jambatan Muhibah Malaysia-Thailand[2] yang telah dirasmikan pada 21 Mei 1973 oleh YAB Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu. Jambatan Muhibah yang juga dikenali sebagai Jambatan Golok dibina atas usaha sama antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Thailand yang menjadi lambang hubungan erat antara rakyat dan kerajaan keduadua negara. Kebanyakan penduduk di kedua-dua belah tebing sungai dua negara ini mempunyai pertalian keluarga yang rapat. Mereka hanya dipisahkan oleh Sungai Golok yang luasnya kurang daripada 50 meter. Hubungan kekeluargaan antara penduduk yang bersempadan dengan negara ini dipercayai ekoran sejarah lampau antara Kelantan - Siam khususnya Wilayah Patani dan Legeh dalam abad ke-17 dan ke-18[3]. Ada di antara keluarga sebelah ayah dan ibu saya yang bermastautin di kampung-kampung di sepanjang jalan utama antara bandar Sungai Golok dan pekan Takbai, seperti di Kampung Kedai Baru, Kampung Munok (Kampung Dato Muno atau Tambon Muno), Lubuk Lesung dan Kampung Dusun Nyior. Namun kini oleh kerana ketiadaan ibu bapa dan orang tua di kedua-dua belah pihak, hubungan kami semakin agak renggang meskipun sekali-sekala kami bertanya khabar tentang mereka.
Stesen Kereta Api Sungai Golok, Thailand
Semasa saya belum bersekolah dan semasa berada di sekolah rendah, saya pernah beberapa kali dibawa oleh keluarga ke ‘alik Siam[4] untuk menghadiri kenduri kendara atau menziarahi sanak saudara kami yang sakit walaupun pada ketika itu ayah tidak mempunyai kenderaan sendiri. Untuk ke Sungai Golok kami terpaksa berjalan kaki sejauh 1½  batu dahulu ke perhentian kereta api Batu 3 Repek[5] dan menaiki kereta api laluan Tumpat – Sungai Golok atau dipanggil oleh masyarakat setempat sebagai “Kereta api Golok” yang masih beroperasi pada ketika itu. Perhentian kereta api Batu 3 Repek merupakan perhentian pertama bagi laluan Pasir Mas – Sungai Golok[6]. Perhentian lain ialah Lubuk Batil, Stesen Gual Periuk, Gual Sitok, Stesen Rantau Panjang dan Stesen Sungai Golok[7] di sebelah Thailand. Lokomotif yang diguna oleh KTM pada masa itu ialah model Standard Pacific O Class 56 buatan Syarikat North British Locomotive Company, Glassgow yang mengeluarkan asap hitam pekat. Pada tahun 1972, keluarga kami menghantar arwah nenek menaiki kereta api melalui Thailand untuk ke pelabuhan Pulau Pinang semasa hendak menunaikan fardu haji di Mekah. Mereka menaiki kereta api laluan Sungai Golok – Haatyai – Padang Besar – Butterworth. Semasa di sekolah menengah saya dan kawan-kawan telah beberapa kali menempah seluar di Sungai Golok kerana kebanyakan tukang jahit di bandar ini dapat menyiapkan seluar tempahan pelanggannya dalam masa 4 atau 5 jam sahaja berbanding dua minggu atau sebulan di Malaysia. Kelebihan ini tidak terdapat di mana-mana kedai jahit di negara kita. Pada ketika itu terdapat dua tiga buah kedai jahit di Worakamin Road yang menjadi tumpuan kami.
Perhentian KTM  Gual Sitok (1977)
Sehingga kini Thailand bukanlah menjadi tempat yang asing bagi keluarga kami kerana meskipun tidak lagi berlaku kunjung mengunjung antara satu sama lain seperti masa dahulu tetapi kami masih bertanya khabar. Ayah sentiasa berpesan agar sentiasa menjaga tali persaudaraan antara keluarga supaya berterusan sampai bila-bila. Demikian akrabnya hubungan silaturrahim dan tali persaudaraan antara keluarga dalam masyarakat Melayu kita pada masa dahulu berbanding hari ini. Hubungan kekeluargaan masyarakat kita hari ini sudah semakin longgar kerana terlalu sibuk dengan tugas dan urusan peribadi masing-masing. Apa yang jelas pada hari ini kebanyakan generasi baharu tidak lagi mengutamakan tali persaudaraan sebaliknya lebih mengutamakan apa yang mereka boleh capai untuk diri sendiri dan melayan gajet pada setiap waktu. Fenomena ini amat membimbangkan dari aspek kesan jangka panjangnya khususnya aspek jati diri rakyat negara ini.


[1] Salah satu daripada 12 daerah pentadbiran dalam wilayah Narathiwat, Thailand. Kira-kira 82% daripada penduduk kawasan ini beragama Islam dan 18% beragama Buddha. 80.4% daripada penduduknya bertutur dalam bahasa Melayu.
[2] Jabatan Muhibah Kedua menghubungkan pekan Bukit Bunga dan Buketta telah dirasmikan pada 21 Disember 2007.
[3] Lihat Abdullah Mohamed (Nakula), Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Bersejarah, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1981. Hal. 26.
[4] Dialek Kelantan yang bermaksud ‘sebelah Thailand’.
[5] Perhentian kereta api pertama laluan Pasir Mas – Sungai Golok yang terletak kira-kira 3 batu dari pekan Pasir Mas.
[6] Landasan kereta api Pasir Mas – Sungai Golok mula digunakan pada 1 September 1920.
[7] Stesen Sungai Golok dibuka pada 1 November 1921.

02 Jun 2017

Menjelang Syawal: Baju Melayu vs Kurta

Pada hari Sabtu 1 Ramadan 1438 (27 Mei 2017) iaitu hari pertama puasa yang lepas, saya dan isteri telah ke Kuala Lumpur kerana urusan peribadi. Selesai urusan kami mengambil sedikit masa untuk meronda-ronda di Jalan Masjid India, yang merupakan sebatang jalan yang popular bagi warga Kuala Lumpur dan Lembah Klang untuk membeli-belah pada musim perayaan. Terdapat banyak deretan kedai dan gerai menjual pelbagai jenis tekstil dan perhiasan diri dijual pada harga yang murah. Jalan ini setanding dengan Jalan Petaling yang terletak berdekatan dengan Puduraya. Saya berpandangan bahawa kebanyakan pakaian yang dijual di sini ialah pakaian wanita. Terlanjur pergi ke situ saya sempat meninjau pakaian untuk Hari Raya tahun ini. Oleh kerana hari pertama Ramadan, maka keadaan di jalan itu masih lagi tidak sibuk. Biasanya pada hujung minggu kedua orang ramai mula memenuhi bazar-bazar di sekitar kawasan tersebut sehinggalah sehari dua sebelum Hari Raya. Semasa kunjungan kami ini kebanyakan kedai dan bazar kelihatan masih lagi tidak ramai pelanggan.
Namun apa yang menarik perhatian saya ialah kebanyakan kedai pakaian yang menjual pakaian lelaki banyak yang menjual kurta berbanding baju Melayu. Meskipun jualan sempena Hari Raya masih awal lagi tetapi keadaan ini agak membimbangkan juga kerana jualan tersebut pastinya menggambarkan trend minat pembeli yang kini semakin memilih kurta berbanding baju Melayu. Peranan baju Melayu semasa perayaan nampaknya semakin diambilalih oleh kurta terutama dalam kalangan generasi muda di negara ini. Kurta ialah sejenis pakaian tradisional yang dipakai di Afghanistan, Bangladesh, India, Pakistan, Nepal dan Sri Lanka. Kurta merupakan pakaian yang longgar yang bahagian bawahnya mencapai paras lutut. Kurta dipakai oleh lelaki dan wanita yang biasanya dipakai oleh masyarakat India dengan pijama, salwar, churidar atau dhotis, tetapi pada zaman ini kurta juga sering dipakai bersama seluar jean.
Semasa tinjauan singkat itu kelihatan kebanyakan kedai dan bazar di sekitar Jalan Masjid India menjual kurta dan pakaian ala India yang lain. Trend ini sedikit sebanyak menggambarkan amalan pemakaian baju Melayu semasa hari-hari perayaan Islam khususnya Hari Raya sudah semakin terhakis terutamanya dalam kalangan generasi muda. Saya berpendapat bahawa generasi muda di negara ini semakin meminati pakaian ala India ini disebabkan oleh beberapa faktor iaitu pertamanya disebabkan pengaruh trend fesyen pakaian remaja pada zaman sekarang, keduanya bagi mereka kurta boleh dipadankan dengan pelbagai jenis pakaian lain seperti seluar slek, jean, kain pelikat dan lain-lain. Ketiganya kurta lebih mudah untuk dipakai berbanding baju Melayu yang memerlukan seluar yang sama dengan baju dan kain samping yang sesuai dari segi warna dan corak. Terakhirnya mereka berpendapat bahawa kurta lebih kasual berbanding baju Melayu yang kelihatan lebih formal.
Ini merupakan antara faktor-faktor utama yang menyebabkan kurta semakin menjadi pilihan generasi muda kerana majoriti generasi sekarang mempunyai pemikiran yang lebih simpel walaupun dari satu aspek yang lain trend ini telah mengorbankan nilai budaya Melayu yang telah sekian lama menjadi amalan masyarakat Melayu. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana dalam tempoh jangka panjang trend ini boleh ‘menguburkan’ budaya berbaju Melayu terutama sekali semasa menyambut Hari Raya. Kita tidak boleh semata-mata menyalahkan para peniaga yang berkecenderungan menjual pakaian jenis ini kerana mereka mempunyai pelan pemasaran berdasarkan minat pengguna atau pembeli untuk meraih pendapatan dan keuntungan. Namun kita sebagai pengguna dalam kalangan masyarakat Melayu perlu menyedari hakikat ini dan sama-samalah kita renungi agar budaya pemakaian baju Melayu pada hari-hari perayaan terutamanya semasa Hari Raya kekal untuk selama-lamanya. Terima kasih. 

14 Mei 2017

GRU40 SMKA Sabah Limauan: Kemenjadian Insan

Setelah membuka blog sendiri sedar tak sedar rupa-rupanya sudah 4 bulan saya tidak menulis apa-apa dalam blog tersebut. Kali terakhir saya menulis ialah pada 31 Disember 2016 sempena tahun baharu 2017. Saya berfikir bahawa ini adalah disebabkan oleh kekangan tugas hakiki, masa dan faktor usia yang menjadikan kita ‘semakin letih’ waima hanya untuk menulis sebuah rencana ringkas. Namun kali ini saya gagahkan semula semangat untuk menulis kembali terutama selepas balik dari menghadiri Grand Reunion 40 Tahun (GRU40) SMK Agama Sabah Limauan, Kota Kinabalu, iaitu sekolah pertama saya berkhidmat sebagai seorang pendidik mulai 2 Januari 1982 hingga 29 Jun 1986. GRU40 tersebut telah diadakan pada 29 April hingga 1 Mei 2017 dengan bertujuan untuk mengumpul serta merapatkan kembali bekas pelajar SMKA Sabah Limauan ambilan pertama 1977 hingga ambilan terakhir pada tahun 2002 sebelum sekolah tersebut dipindahkan ke Kimanis, Papar. GRU40 ini telah diadakan sempena ulang tahun ke-40 penubuhan SMKA Sabah Limauan yang bermula pengambilan pertamanya pada tahun 1977 dengan menumpang di SMK Manggatal (kini SMK Bandaraya). Pengetua pertama sekolah ini ialah Ustaz Hj. Ismail bin Hassan dengan dibantu oleh beberapa orang guru.
Cetusan idea untuk mengadakan GRU40 ini dikatakan hasil daripada reunion secara kecil-kecilan yang diadakan dari semasa ke semasa oleh para bekas pelajar mengikut ambilan masing-masing. Untuk tujuan tersebut satu jawatankuasa telah dibentuk yang diketuai oleh Tn. Hj. Salman Datuk Hj. Ismail sebagai Pengarah, Tn. Hj. Samin Ongki, Pn. Hajah Maznah Abd. Ghani dan En. Abdul Razak Hj. Jamil sebagai Timbalan Pengerusi. Setiausaha GRU40 ialah Pn. Khadijah Hj. Adenan, En. Sulaiman Awang dan Dayang Rahmah Ampuan Ismail. Bendahari GRU40 ialah En. Ruslan Kamarudin dan dibantu ahli-ahli jawatankuasa mengikut agihan tugas yang telah ditetapkan.  Apa yang sangat istimewa GRU40 ini ialah kehadiran semua guru dan pasangan masing-masing ditaja sepenuhnya oleh para bekas pelajar. Terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang pada hemat saya tidak pernah dibuat oleh mana-mana alumni di negara ini kecuali untuk kes-kes khas sahaja. Saya menyatakan demikian kerana kebanyakan daripada bekas guru sekolah ini berasal dari Semenanjung yang melibatkan kos tiket penerbangan, penginapan dan makan minum untuk 3 hari dan 3 malam. Guru-guru dan pasangan masing-masing telah ditaja oleh bekas pelajar mengikut ambilan yang berbeza.
28 April 2017 (Jumaat)
Saya dan isteri serta seorang lagi bekas guru SMKA Sabah Limauan (1977-1981), Tn. Hj. Ahmad Mat Lazim berlepas dari KLIA dengan pesawat MAS MH2606 pada jam 3.40 petang setelah ‘delay’ dua kali yang penerbangan sepatutnya pada jam 1.55 petang. Kami tiba di KKIA pada jam 6.20 petang dan dibawa menginap di Hotel Courtyard yang terletak di 1Borneo Hypermall, kira-kira 50 meter daripada tempat berlangsungnya GRU40 iaitu The Klagan Regency Hotel. Pada sebelah malamnya kami dibawa untuk makan malam di rumah Timbalan Pengerusi GRU40 merangkap Pengarah YADIM Negeri Sabah, Tn. Hj. Samin Ongki di Bandar Sabindo, Taman Pantai Lok Kawi. Beliau merupakan bekas pelajar sekolah ini pada tahun 1979-1983. Di situ kami telah berjumpa dengan sebahagian daripada rakan-rakan guru yang sudah lebih 30 tahun tidak bertemu antaranya Cikgu Zulkifli Ahmad dan isteri, Cikgu Zakaria Abd. Hamid dan isteri, Ustazah Aminah Mohamad dan suami, Ustaz Ahmad Bakar dan isteri, Cikgu Awang Talip dan isterinya Cikgu Lasminah Lamin yang kesemuanya sudah bersara daripada perkhidmatan. Selain itu turut hadir ialah sebahagian daripada bekas pelajar tahun 1979-1983. Kami kembali ke hotel penginapan kira-kira jam 11.00 malam.
29 April 2017 (Sabtu)
Acara pagi ini ialah Simposium GRU40 di Galeri Majlis, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Pengisian Simposium ialah Sesi 1 pembentangan kertas kerja oleh Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknlogi dan Inovasi), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi. Pembentang ke-2 Prof. Madya Dr. Saidatul Nornis Mahali, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS, Pembentang ke-3 Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimi bin Abd. Karim, Pengarah Pusat Pelaburan dan Endowmen UMS, dan Pembentang ke-4 En. Mohamad Shaukhi bin Mohd. Radzi, Pensyarah Kanan, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS. Kesemua pembentang kecuali Prof. Madya Dr. Ramzah merupakan anak didik SMKA Sabah Limauan pada tahun 1980-an. Kesemua kertas kerja yang dibentangkan berkaitan dengan peranan yang perlu dimainkan oleh alumni SMKA Sabah Limauan dalam pembangunan negeri Sabah daripada perpektif sains dan teknologi, ekonomi, kemanusiaan dan sejarah.
Manakala Sesi 2 ialah Forum yang bertemakan “Keunikan Tarbiyah Limauan: Dari Kepayahan Hingga Kejayaan”. Semua Ahli Panel Forum juga terdiri daripada bekas warga SMKA Sabah Limauan iaitu Dr. Hj. Mohd Kassim Tussin, Ketua Sektor Pengurusan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Tn. Hj. Samin Ongki, Pengarah YADIM Negeri Sabah dan saya sendiri. Forum ini dipengerusikan oleh Tn. Hj. Issraq Haji Ramli, Ketua Program Pendarasan Islam, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS. Perbincangan forum berkisar kepada pengalaman serta corak tarbiyah yang disampaikan oleh para guru kepada para pelajar dalam suasana yang serba kekurangan pada ketika itu yang akhirnya membuahkan hasil yang sangat 'lumayan' dalam konteks kemenjadian insan. Ramai lulusan sekolah ini telah berjaya dalam kerjaya masing-masing baik dalam sektor awam mahupun dalam sektor swasta dan NGO. Syabas anak-anak Limauan. Ucaptama dan Majlis Perasmian Penutup Simposium GRU40 telah disempurnakan oleh YB Datuk Hj. Mohd. Arifin Arif, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah merangkap Adun Membakut.
Pada sebelah petangnya ialah acara riadah iaitu Pertandingan Bowling di U-Bowl, 1Borneo Hypermall. Pertandingan ini dilaksanakan berdasarkan rumah sukan sekolah iaitu Wardah (merah), Yasmin (hijau), Raihan (kuning) dan Zaharah (biru) dengan objektif untuk mengembalikan nostalgia semangat kesukanan secara berpasukan seperti di zaman persekolahan dahulu. Pada sebelah malamnya iaitu antara waktu maghrib hingga isya ialah Majlis Tahlil yang diadakan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Majlis ini dikelolakan oleh Tn. Hj. Rafihi Derim dan Tn. Hj. Issraq Haji Ramli. Majlis tahlil diakhiri dengan jamuan makan malam di pekarangan masjid tersebut.
30 April 2017 (Ahad)
Sebelah pagi ialah acara sukaneka dan Pertandingan Futsal di Kompleks Sukan UMS. Acara sukan melibatkan peserta lelaki dan wanita yang melibatkan guru-guru dan bekas pelajar. Manakala pada sebelah petangnya para pelajar telah terlibat dengan raptai penuh  untuk Grand Dinner pada sebelah malamnya.
Kemuncak GRU40 ialah Grand Dinner di The Klagan Regency Ballroom yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Bungsu @ Aziz bin Hj. Jaafar, Mufti Kerajaan Negeri Sabah. Antara tetamu yang hadir ialah kira-kira 90 orang bekas guru dengan pasangan masing-masing dan lebih kurang 500 orang bekas pelajar sekolah ini. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Cikgu Muhammad bin Rissi yang telah beberapa kali menjadi qari wakil sekolah di Peringkat PPD pada tahun 1980-an dahulu. Pengarah GRU40, Tn. Hj. Salman Datuk Hj. Ismail dalam ucapannya menyatakan bahawa perhimpunan secara besar-besaran ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya tiada kerjasama semua pihak. Beliau telah menyatakan setinggi-tinggi penghargaan khususnya kepada semua bekas pelajar yang sanggup ‘Berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ untuk menjayakan pertemuan mega ini meskipun mereka mempunyai profesion yang berbeza. Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas segala sumbangan daripada semua pihak sama ada dalam bentuk kewangan, material dan juga tenaga demi kejayaan majlis ini. Turut diberi penghargaan untuk berucap ialah Ustaz Hj. Ismail Hassan iaitu Pengetua yang pertama sekolah ini dan En. Mohd. Ghazali Abu Bakar yang mewakili bekas guru-guru. Turut diundang ialah penyanyi nasyid Hafiz Hamidun.
Di majlis ini juga Mufti Kerajaan Negeri Sabah telah menyempurnakan  Pelancaran Alumni SMKA Sabah Limauan, Penyerahan Tanah Wakaf dan Pelancaran Kolej Limauan dan Tabung Wakaf. Kesemua pakej ini diharapkan bakal dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat Islam di negeri ini demi pembangunan ummah untuk generasi yang akan datang. Majlis tersebut berakhir dengan salawat beramai-ramai dan sesi fotografi para bekas guru dan bekas pelajar mengikut ambilan masing-masing. Apa yang amat membanggakan kami guru-guru, kesemua mereka masih berkeadaan seperti mereka di sekolah dahulu meskipun mereka sudah lebih 30 tahun berpisah daripada suasana persekolahan dan berada dalam karier yang berbeza. Meskipun tidak semua yang dapat hadir namun kemesraan kalangan mereka yang hadir sebenarnya telah menggambarkan keseluruhan mereka. Inilah sebenarnya apa yang dikatakan keunikan tarbiyah yang mereka perolehi semasa belajar di SMKA Sabah Limauan.
Akhir sekali saya mewakili bekas guru-guru mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas segalanya sehingga terhasilnya pertemuan yang sangat bermakna ini. Kami amat kagum dengan komitmen kalian untuk tujuan yang amat murni ini. Ikhlas saya katakan bahawa kemenjadian kalian adalah amat membanggakan kami para guru. Hadiah yang paling bermakna kepada seseorang guru ialah kemenjadian para pelajarnya. Tahniah semua dan semoga semua lepasan SMKA Sabah Limauan menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ummah di negeri Sabah dan seluruhnya. Kami pulang dengan penuh harapan, doa dan keyakinan bahawa suatu masa nanti Sabah adalah di tangan anda semua.