RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebutkan oleh lidah secara dusta ini halal dan ini haram untuk mengadakan pembohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengada-adakan pembohongan terhadap Nama Allah tidak akan beruntung." Surah An-Nahl Ayat 116.

11 Februari 2012

Teater Keliling 'Pernikahan Perak'

Sesuatu perayaan memang selalu ditunggu-tunggu lebih-lebih lagi perayaan perkahwinan yang ke-25 tahun atau perayaan perak, tentu menjadi momentum yang luar biasa bagi sepasang suami isteri. Perayaan Perak terasa wajib untuk dirayakan, bahkan seorang isteri yang sudah menyiapkan diri rela menunggu suaminya berjam-jam. Dia hampir tidak percaya bahawa suaminya tidak pulang tepat pada waktunya, demi perayaan yang telah dijanjikan. Perselisihan faham mula terjadi. Si isteri mula mengungkapkan kekesalannya dan cuba menanyakan perihal kenapa suaminya pulang lewat. Si suami cuba memberikan pengertian. Namun, alasan-alasan yang keluar daripada sang suami seakan tidak dapat diterima isteri. Perselisihan faham yang berlaku semakin teruk sehingga masing-masing membuka 'aib' satu sama lain yang tidak sepatutnya diungkit. Namun begitu, akhirnya kedua-dua suami dan isteri tersebut kembali berbaik semula.”

Demikian sinopsis teater 'Pernikahan Perak' yang dipentaskan di Dewan Darul Makmur, IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang pada 3 Mac 2012 sebagai salah satu program pengantarabangsaan Pusat Kecemerlangan Bahasa Melayu IPGKTAA dengan kerjasama Ahli Grup Insan Teater Afzan (GITA). Teater lakonan pelakon handalan Din Nuun Wahyudin dan Nani Ranisah dari Sanggar Nuun, Yogyakarta, Indonesia ini merupakan Teater Keliling anjuran bersama Majlis Teater Negeri Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka, Anggun Performing Arts, KS Pictures House Studio dan Sanggar Nuun, Yogyakarta, Indonesia yang dibawa khas dari Yogyakarta, Indonesia. Teater arahan Roslan Madun ini bertemakan 'Teater Menjadikan Kita Bijaksana' yang antara lain objektifnya ialah untuk mendidik masyarakat melalui persembahan teater.

Saudara Roslan Madun, selaku Presiden Majlis Teater Negeri Pahang menyatakan, oleh kerana teater merupakan sesuatu yang masih agak asing bagi masyarakat di negara ini, maka Majlis Teater Negeri Pahang dan rakan-rakan penganjur memikirkan adalah wajar "teater dibawa kepada penonton, bukan penonton datang kepada teater". Beliau yakin bahawa teater merupakan salah satu wadah yang boleh membentuk masyarakat secara positif, walaupun sehingga kini masih 'dipandang sepi' oleh kebanyakan pihak, khususnya pihak yang berwajib.

Persembahan mantap dua pelakon dari Sanggar Nuun yang dimulai dengan suasana klasik di meja makan dengan alunan dua lagu keroncong klasik antaranya lagu 'Di Bawah Sinar Bulan Purnama' ciptaan R. Maladi pada tahun 1943-1945 itu menjadikan prop ringkas itu seolah-olah situasi sebenar pada zaman penulisan karya asalnya, Silver Wedding oleh John Bown. Persembahan Teater Keliling yang bermula pada pertengahan Januari 2012 tersebut telah membuat persembahan di Kuantan, Seremban, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur, sebelum dipentaskan di sini. Majlis juga dilengkapkan dengan Bual Bicara Teater yang dipengerusikan oleh En. Dzulkarnain Mat, manakala ahli panelnya terdiri daripada Saudara Roslan Madun, Din Nuun Wahyudin dan Nani Ranisah. Turut hadir pada malam tersebut ialah YBhg. Pengarah dan Timbalan Pengarah IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, AJK Majlis Teater Negeri Pahang dan para pensyarah IPGKTAA. Meskipun ramai pelajar pulang bercuti pada hujung minggu itu, namun Dewan Darul Makmur turut dipenuhi oleh ahli-ahli Grup Teater Daerah Lipis, Ahli Grup Insan Teater Afzan (GITA), para pelajar SM Sains Tengku Abdullah, SM Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah dan SMK Seri Lipis. Syabas Pusat Kecemerlangan Bahasa Melayu IPGKTAA.

31 Januari 2012

Catatan Memori 4 – Program Anak Angkat Daerah Tenom (1985)

Salah satu program yang agak menarik semasa berkhidmat di SMK Agama Limauan ialah Program Anak Angkat Daerah Tenom, iaitu program selepas peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang diadakan pada 25 - 30 Oktober 1985 melibatkan 75 orang pelajar Tingkatan 3. Program ini menarik bagi saya berdasarkan kepada beberapa faktor, pertamanya kesungguhan Cikgu Khairuddin Hasran (Pak Din - nama timangan kalangan warga sekolah), Penyelaras Peperiksaan SRP pada ketika itu melaksanakan program ini. Pak Din sanggup menghadiri mesyuarat di Tenom dengan hanya menaiki motosikal. Saya kagum dengan kegigihan Pak Din yang mampu memikul tanggungjawab tersebut sehingga menjadi kenyataan dan memberi manfaat kepada semua pelajar. Saya bersama Cikgu Hidayat Yahya ditugaskan sebagai guru pengiring bagi membantu Pak Din dalam program tersebut.

Keduanya, program ini merupakan program peringkat daerah yang agak jauh iaitu kira-kira 134 km dari tempat kami melalui jalan kereta api. Ketiganya, program ini melibatkan kebanyakan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di pekan Tenom yang tentunya memerlukan kepada banyak penyelarasan dan persetujuan bersama. Ianya bukan mudah untuk dilaksanakan dalam konteks masa itu, lebih-lebih lagi negeri Sabah pada ketika itu baharu sahaja bertukar tampuk pemerintahan daripada kerajaan Berjaya kepada kerajaan PBS pimpinan Datuk Pairin Kitingan yang memenangi Pilihanraya Negeri Sabah pada 20 & 21 April 1985. Ini bermakna agensi kerajaaan negeri tidak lagi sama dengan agensi kerajaan Persekutuan. Namun program ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Pelajaran Sabah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tenom, Pejabat Daerah Tenom dan lain-lain.
25 Oktober 1985 (Jumaat) – Kami menaiki 2 buah bas ke Beaufort (salah sebuahnya bas Sekolah Berasrama Penuh Sabah (SBPS), Bukit Padang) untuk menaiki kereta api ke Tenom pada sebelah petangnya. Pada sebelah paginya kami menjadi tetamu kepada Pejabat Daerah Beaufort yang secara kebetulannya pada ketika itu Pegawai Daerah Beaufort iaitu En. Jumahad Miasin, merupakan salah seorang daripada AJK PIBG sekolah kami. Kami telah ditaklimatkan tentang pembangunan Daerah Beaufort oleh En. Jumahad dan kami dijamu dengan jamuan ringan selepas taklimat tersebut.
Selepas solat Jumaat kami bergegas ke stesen kereta api Beaufort untuk menaiki kereta api pada jam 1.30 petang. Ini merupakan pengalaman pertama saya menaiki kereta api milik Keretapi Negeri Sabah (KNS), walaupun sistem pengangkutan Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Semenanjung Malaysia tidak asing bagi saya sejak zaman persekolahan lagi. Kedua-dua syarikat pengangkutan rel ini amat berbeza sama sekali. Mungkin disebabkan oleh faktor kemampuan kewangan syarikat, pada ketika itu koc milik KNS yang ditubuhkan pada 1 Ogos 1914 (di bawah Railway Ordinance - Cap.116) itu tidaklah sebagaimana koc milik KTM.
Jarak Beaufort ke Tenom ialah kira-kira 49 km tetapi memerlukan jangka masa perjalanan kira-kira 2 jam lebih. Keadaan ini disebabkan oleh faktor fizikal landasan yang melalui lereng bukit menyusuri Sungai Padas, di kawasan Banjaran Crocker. Kelajuan kereta api semasa melalui landasan yang siap dibina pada tahun 1905 ini ada kalanya lebih perlahan daripada berjalan kaki. Silap perhitungan kereta api boleh terjunam masuk ke Sungai Padas yang mengalir ke Laut China Selatan itu. Panorama semulajadi yang indah di sepanjang perjalanan ini menarik minat para pelancong yang menaiki kereta api ini, khususnya pelancong asing.
Stesen-stesen yang dilalui antara pekan Beaufort ke Tenom ialah Saliwangan, Halogilat, Rayoh, Pangi dan Tenom. Kami tiba di stesen Tenom kira-kira jam 3.30 petang dan disambut oleh AJK Peringkat Daerah Tenom. Semua pelajar dibawa ke Dewan Sri Antanom untuk dibahagikan kepada keluarga angkat masing-masing. Tuan Pegawai Daerah Tenom (Tn. Hj. Jumahat – kalau tidak silap) sendiri telah turut menyambut ketibaan rombongan kami pada petang tersebut. Setelah semua pelajar dibahagikan kepada keluarga angkat masing-masing, kami guru-guru pengiring disediakan tempat menginap di Rumah Rehat Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), Tenom.
26 Oktober 1985 (Sabtu) – Program kami yang pertama di sini ialah melawat sekitar pekan Tenom iaitu pada sebelah paginya ke Pejabat Daerah Tenom (PDT) dan Hotel Tenom Lodge. Di PDT kami telah ditaklimatkan oleh En. Mohd Rizal Chu, Penolong Pegawai Daerah Tenom pada ketika itu. Manakala pada sebelah petangnya kami dibawa melawat Empangan Hidro Tenom-Pangi milik Lembaga Letrik Sabah (kini Sabah Electricity Sdn. Bhd.) yang mempunyai kuasa 66MVV dan dapat menjana tenaga letrik sebanyak 400GWh. Empangan ini mula beroperasi pada tahun 1984. Semasa perjalanan balik salah sebuah kenderaan pacuan 4 roda yang membawa pelajar kami terlibat dengan kemalangan, tetapi syukur tiada yang cedera.
27 Oktober 1985 (Ahad) – Pada sebelah pagi semua pelajar bebas bersama keluarga angkat masing-masing. Saya sempat berjalan-jalan meninjau Tamu Pekan Tenom bersama-sama dengan beberapa orang rakan setugas dan Ustaz Arben Siregar dari Pejabat Dakwah Tenom. Tamu di sini tidak banyak perbezaan dengan tama-tamu lain di negeri Sabah. Manakala pada sebelah petangnya para pelajar dibawa melawat SMK Kemabong, sekitar Kg. Kemabong dan Kg. Kuala Tomani. Kami sempat beramah mesra dengan penduduk setempat yang diketuai oleh Tn. Hj. Untung Sabar, Imam Kg. Kemabong. Kami kemudiannya mengadakan program gotong-royong di Masjid Kuala Tomani bersama-sama dengan penduduk setempat.
28 Oktober 1985 (Isnin) – Pada sebelah paginya para pelajar dibawa melawat Pusat Penyelidikan Pertanian Lagud Seberang, Tenom. Pusat ini terletak kira-kira 12 kilometer dari Pekan Tenom. Di sini terdapat Muzium Tanaman Hidup, Taman Orkid dan Lebah Madu. Pelbagai jenis tanaman yang mempunyai nilai serta kegunaan dalam pertanian dan perindustrian terdapat di sini, antaranya pelbagai tanaman yang telahpun dibahagikan mengikut kegunaan seperti sayur-sayuran, rempah-ratus, buah-buahan, tanaman minuman, wangi-wangian dan sebagainya.
29 Oktober 1985 (Selasa) – Pada sebelah pagi hari terakhir ini kami telah mengadakan gotong royong di Masjid Tenom bersama-sama dengan semua keluarga angkat yang terlibat dengan program ini. Manakala pada sebelah malamnya ialah kemuncak program iaitu Majlis Penutup yang diadakan di Dewan Sri Antanom. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Tenom, Tn. Hj. Jumahat. Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Tenom, ASP Hj. Sanali Hj Amit, En. Mohd Rizal Chu, Penolong Pegawai Daerah Tenom dan para ibu bapa yang terlibat. Saya telah berucap mewakili Pengetua SMKAL pada majlis tersebut. Bagi pihak warga sekolah, kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang menerima kami dalam program 5 hari tersebut.
30 Oktober 1985 (Rabu) - Jam 10.00 pagi kereta api yang kami naiki meninggalkan Stesen Tenom.
Nama-nama lain yang terlibat dan masih tercatat dalam catatan saya ialah Tn. Hj. Untung Sabar (Imam Kg. Kemabong), Tn. Hj. Jamal Karia (Kg. Chinta Mata), Tn. Hj. Mandaud (Imam Kg. Chinta Mata), En. Lahari Lasari (Pejabat Pertanian Tenom), En. Jismil Yakop (MUIS, Tenom), Insp. Sirajuddin Yang (Ibu Pejabat Polis Daerah Tenom), En. Mohd Saidin Ismail (Jabatan Keretapi Sabah), Ustaz Arben Siregar (Pejabat Dakwah Tenom), En. Ahmad Muhadi Hj Mahfod, En. Gulam Bani Gulamdin, En. Mohd Bahar Hj Kahar (Lembaga Tabung Getah) dan En. Perlin Amsun (Pertubuhan Peladang Berusaha, Tenom). Semoga Allah SWT memberkati jasa baik kalian.

08 Januari 2012

30 Tahun Sudah Berlalu

4 Januari 1982: Saya mula mendaftarkan diri sebagai guru permulaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Limauan (SMKA Limauan), Kota Kinabalu setelah tamat menjalani kursus perguruan asas selama dua tahun (1980-1981) di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu. Oleh kerana bidang pengkhususan saya ialah Pengajian Melayu dan Ilmu Alam (PMIA), maka saya ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran BM dan Geografi. Selain mengajar saya juga ditugaskan sebagai Setiausaha Peperiksaan SPM dan Penyelaras Tiket Penerbangan Pelajar (rasanya tugas ini hanya terdapat di sekolah ini sahaja kerana murid-muridnya datang dari seluruh pelusuk negeri Sabah). Di sekolah ini saya sempat berkhidmat di bawah dua orang pengetua iaitu Tn. Hj. Abd Rahim Hj. Raffie dan Tn. Hj. Abd. Rahman Hj. Halim yang kedua-duanya berasal dari negeri Perak. Tn. Hj. Abd. Rahim Hj. Raffie telah bersara dengan jawatan terakhir sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), manakala Tn. Hj. Abd. Rahman Hj. Halim telah bersara dengan jawatan terakhir sebagai Pengetua Maktab Perguruan Islam, Bangi, Selangor. Saya bertugas di sekolah ini sehingga akhir bulan Jun 1986 setelah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di UPM.

30 Jun 1986: Melaporkan diri di Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM untuk pengajian Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama) dengan mod cuti belajar separuh gaji. Belajar di universiti dengan separuh gaji tatkala sudah berkeluarga (meskipun masih belum ada anak pada ketika itu) tentunya terpaksa berhadapan dengan masalah kewangan dan sebagainya yang memerlukan tahap ketabahan, kesabaran dan pengorbanan yang amat tinggi. Terima kasih kepada semua pensyarah yang telah membimbing saya selama 3 setengah tahun tersebut. Alhamdulillah, tujuh semester pengajian dapat diharungi tanpa apa-apa masalah yang besar, dan pada 31 Oktober 1989 saya telah berjaya menamatkan pengajian di UPM.

4 Disember 1989: Mula melaporkan diri di Sekolah Menengah Vokasional Perdagangan (SMVP), Pasir Mas, Kelantan. Sekolah yang baru berusia dua tahun ini, pada ketika itu merupakan sekolah menengah vokasional perdagangan yang kedua di Malaysia selepas Sekolah Menengah Vokasional Perdagangan Johor Bahru. Di sini saya ditugaskan untuk mengajar BM untuk Tingkatan 4 dan 5. Pada tahun 1997 SMVP telah dinaiktaraf menjadi Sekolah Menengah Teknik Pasir Mas (SMTPM) serentak dengan kenaikan taraf semua sekolah vokasional di seluruh negara. Selain tugas mengajar saya juga merupakan Setiausaha Peperiksaan SPM sekolah, AJK Perancang Sekolah dan juga AJK PIBG. Di sekolah ini saya juga sempat berkhidmat di bawah dua orang pengetua iaitu Tn. Hj. Ali Md. Nor dan Allahyarham Tn. Hj. Saari Hassan. Tn. Hj. Ali Md. Nor telah bersara dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Pasir Mas/Tumpat, manakala Allahyarham Tn. Hj. Saari Hassan telah bersara dengan jawatan terakhir sebagai Pengetua di SMK Chetok, Pasir Mas, Kelantan. Saya bertugas di sekolah ini sehingga akhir bulan Mei 2001 setelah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

30 Jun 2001: Melaporkan diri di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia untuk pengajian Sarjana Pendidikan (Pendidikan Bahasa Melayu) dengan mod cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa. Belajar dengan cuti bergaji penuh, biasiswa dan elaun sewa rumah yang dibayar oleh kerajaan tentunya amat membantu saya yang mempunyai keluarga yang agak besar. Semasa pengajian di UKM saya amat bertuah kerana mendapat bimbingan daripada salah seorang ahli akademik terkemuka iaitu Yang Berbahagia Prof. Datin Dr. Juriah Long. Beliau telah menjadi Penyelia Akademik untuk penulisan tesis saya. Saya telah menamatkan pengajian saya di UKM pada awal Mac 2003.

27 Mei 2003: Melaporkan diri di Jabatan Pengajian Melayu, Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan (kini Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan) (IPGKTAA), Kuala Lipis, Pahang. Di sini saya telah ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu Komunikasi dan Bahasa Melayu Major untuk para pelajar Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM), Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) dan Kursus Dalam Cuti (KDC). Selain mengajar mata pelajaran akademik, menjadi penasihat kokurikulum dan menyelia praktikum merupakan sebahagian daripada tugas rasmi kami di IPG. Tugas-tugas utama yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya di sini ialah sebagai Setiausaha Majlis Pengurusan, Profesional dan Pengurusan (M3P) dari tahun 2004 hingga 2008 dan Penolong Ketua Unit Peperiksaan dari tahun 2006 hingga 2008.

25 Ogos 2008 hingga sekarang: Dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu di IPGKTAA. Di IPG ini saya telah berkhidmat di bawah lima orang Pengarah iaitu Yang Hormat Dato’ Hj. Mohd. Baharin Harun, Tn. Hj. Othman Ramli, Tn. Hj. Roslan Abd. Hamid, Yang Hormat Dato’ Hj. Mazlan Mohamad dan sekarang En. Jaafar Idris. Yang Hormat Dato’ Hj. Mohd. Baharin Harun dan Tn. Hj. Othman Ramli masing-masing bersara pada tahun 2006 dan 2008 di MPTAA/IPGKTAA, manakala Tn. Hj. Roslan Abd. Hamid telah bersara dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah, IPG Kampus Teknik, Kuala Lumpur. Yang Hormat Dato’ Hj. Mazlan Mohamad pula bertukar menjadi Pengarah Pelajaran Negeri Pahang mulai Januari 2011 kemudian bertukar ke Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya mulai November 2011 dan kini sebagai Pengarah Bahagian Sekolah-Sekolah Harian.

4 Januari 2012: Hari ini genap 30 tahun saya bertugas sebagai seorang pendidik. Bagi saya segala perubahan yang berlaku dan pengalaman yang dilalui di bawah sembilan orang ketua dalam dunia pendidikan sehingga kini merupakan sesuatu yang tiada ternilai harganya. Tempoh dan pengalaman tersebut telah benar-benar mematangkan saya yang masih kekal sebagai seorang pendidik sampai ke hari ini meskipun pada platform yang sedikit berbeza daripada berada di sekolah. Sebagai pendidik alaf ini, saya menyedari hakikat bahawa perkembangan serta kemajuan mutakhir dalam dunia pendidikan sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pendidik dalam melaksanakan tugas masin-masing. Kecanggihan teknologi dalam pendidikan pada hari ini seharusnya disertakan dengan kebolehan dan kemampuan para pendidik untuk menggunakannya.

Tiga puluh tahun sudah berlalu, kini komputer, e-mail, fotostat, facebook, twitter, blog, laman sesawang (website) dan pelbagai rangkaian maya lagi telah mengambilalih peranan mesin taip, stensil, gestetner, mesin pendua, surat kiriman, poskad, telegram dan pelbagai aplikasi manual lagi. Justeru, tiada alasan lagi untuk kita tidak cemerlang dalam menjalankan tugas harian. Sekian.

31 Disember 2011

Selamat Tahun Baru 2012

Hari ini merupakan hari terakhir bagi tahun 2011 dan tepat pada jam 12.00 tengah malam nanti maka masuklah ke tahun baru iaitu tahun 2012. Ekoran daripada perubahan tahun tersebut maka bertambah setahun lagi usia kita. Lalu apabila menjelang sahaja tahun baru semua orang mula memasang azam baru untuk menghadapinya. Ramai orang mahu meninggalkan kenangan tahun 2011 dan berazam untuk membuka lembaran baru 2012. Oleh itu tidak sedikit daripada masyarakat kita (khususnya di bandar-bandar besar) yang pada setiap hujung tahun menunggu detik 12 tengah malam bagi meraikan kedatangan tahun baru tersebut. Masing-masing tidak melepaskan peluang dengan meniru 'budaya orang lain’ yang seolah-olah rugi jika tidak menyertainya. Mereka menunggu kedatangan tahun baru dengan pelbagai aktiviti yang kebanyakannya 'tiada kena mengena' dengan semangat tahun baru.

Hakikatnya sejauhmanakah kita berubah pada setiap kali datangnya tahun baru? Sejauhmanakah kita memahami bahawa perubahan tahun baru itu juga menuntut kepada perubahan kepada diri kita? Apa yang jelas, tiada sempadan perubahan yang ketara yang memisahkan tahun baru dengan tahun lama yang berkaitan dengan diri kita. Yang nyata kita tetap mengharungi masa yang sama iaitu 24 jam sehari dengan aktiviti rutin yang hampir sama pada setiap hari. Kita tetap bangun pagi dan bekerja seperti biasa setiap hari pada sepanjang tahun sebelumnya. Berdasarkan kepada keghairahan menunggu detik 12 tengah malam tahun baru tersebut, maka sepatutnya masing-masing dapat menunjukkan perbezaan yang ketara daripada semua aspek kehidupan seharian pada setiap kali menjelangnya tahun baru.

Justeru itu sempena kedatangan tahun baru 2012 ini marilah kita sekurang-kurangnya memasang azam agar apa jua yang kita lakukan pada hari ini adalah lebih baik daripada semalam. Kata Pepatah Arab, “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam”. Selain itu semoga apa juga yang kita lakukan pada masa-masa yang mendatang akan diberkati Allah SWT hendaknya. Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Selamat tahun baru 2012.

04 Disember 2011

Tetamu Konvo UMS 25-28 Nov 2011

Kini jarak Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak nampaknya semakin dekat. Oleh itu sejak tahun 2006, setiap tahun saya sampai ke Negeri Di Bawah Bayu ini sama ada atas urusan rasmi atau urusan peribadi dan keluarga. Pada tahun 2011 ini, sekali lagi kami ke sana atas tujuan meraikan anak kedua kami yang menerima ijazah di Majlis Konvokesyen Kali Ke-13, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 25 – 29 November 2011. Kami berlepas dengan pesawat Air Asia AK5100 dari LCCT, Kuala Lumpur pada jam 6.45 pagi Jumaat, 25 November 2011 dan tiba di Terminal 2 Kota Kinabalu kira-kira jam 9.10 pagi.
Di Kota Kinabalu kami disambut oleh Cikgu Sulaiman Awang, bekas pelajar saya semasa berkhidmat di SMK Agama Limauan (SMKAL) pada tahun 1982-86 yang lalu. Alhamdulillah, beliau juga telah menyediakan sebuah kereta Hyundai Getz SAA727M untuk kegunaan kami semasa berada di Sabah selama 4 hari tersebut. Terima kasih banyak-banyak kepada Cikgu Sulaiman.
Di Kota Kinabalu kami menginap di Sri Intan Homestay, Putatan (No. tel. 012-8386598/012-8676598 atau intanhomestay@gmail.com) yang telah kami tempah beberapa minggu sebelum tiba di sana.
Sri Intan Homestay merupakan perniagaan sebuah keluarga (3 beradik) yang terdiri daripada 3 buah banglo 3 tingkat di satu kawasan berhampiran Tanjung Dumpil, salah satu tempat pencerapan anak bulan Ramadan dan Syawal pada setiap tahun. Sri Intan Homestay boleh disewa dalam bentuk satu bilik atau tiga bilik dengan harga yang berpatutan untuk penghuninya. Oleh kerana lokasinya agak jauh sedikit dari jalan utama Putatan - Kota Kinabalu, maka sesiapa yang ingin menginap di sini perlu memiliki kenderaan sendiri.
25 November 2011 (Jumaat) Petang: Kami berehat sampai ke petang kerana pada sebelah paginya telah bangun seawal jam 3.30 pagi untuk ke LCCT memandangkan penerbangan jam 6.45 pagi. Pada sebelah malamnya kami menikmati ikan bakar di belakang Pasar Filipina.
26 November 2011 (Sabtu) Jam 8.00 pagi: Ke Tamu Putatan untuk meninjau dan membeli makanan untuk sarapan pagi anak-anak sambil mengimbau kenangan lalu. Tamu Putatan masih dalam tradisinya sebagaimana kami meninggalkan Sabah kira-kira 25 tahun yang lalu. Kami membeli beberapa jenis kueh tradisional Sabah yang pernah kami makan dahulu antaranya pinjaram atau pinyaram. Yang lain-lain hampir sama dengan kueh-mueh di sini kecuali cara pembungkusannya yang agak berbeza seperti pulut, ketupat daun palas, tapai pulut dan sebagainya. Begitu juga dengan buah-buahan, yang berbeza hanya buah tarap dan buah bambangan sahaja. Harga kueh-mueh dan buah-buahan juga hampir sama dengan harga di Semenanjung Malaysia.
Jam 11.00 pagi: Ke UMS melalui Jalan Lintas, Luyang dan Likas untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di Bandar Raya Kota Kinabalu. Bandar raya ini telah mengalami kesesakan lalu lintas yang terus sejak kebelakangan ini akibat daripada pertambahan kenderaan dan kekurangan jalan raya utama dan jalan pintas.
Kami tiba di UMS kira-kira jam 12.00 tengah hari sebaik sahaja penerima ijazah sesi pertama keluar. Kami sempat meraikan Cikgu Sulaiman yang menerima ijazah Sarjana Kaunseling pada sesi tersebut. Cikgu Sulaiman merupakan pelajar saya dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 semasa di SMKAL. Selain itu saya juga ditakdirkan bertemu dengan Datu Roslin Datu Siabuk (juga bekas pelajar SMKAL) yang mengiringi isterinya menerima ijazah sarjana pada hari tersebut. Tahniah atas kejayaan-kejayaan tersebut.
Jam 2.30 petang: Ke rumah Cikgu Awang Talip dan Cikgu Lasminah di Kampung Seberang Benoni, Papar. Di sini saya juga bertemu dengan bekas staf SMKAL, Saudara Jaidin Abdul Rashid yang kebetulan biras kepada Cikgu Awang Talip. Bertemu selepas 25 tahun berpisah, tentunya banyak cerita lama yang dikeluarkan. Kunjungan kami ini merupakan timbal balik lawatan Cikgu Lasminah ke rumah kami pada bulan April 2011 yang lalu. Kami kemudian beredar ke rumah Jaidin di Kampung Kuala Padang, Papar dan kembali semula ke homestay jam 6.15 petang.
27 November 2011 (Ahad) Jam 8.00 pagi: Sekali lagi ke UMS untuk bergambar sebelum kami ke Kota Belud untuk melihat keadaan Tamu Mingguan di situ. Jarak KK – Kota Belud kira-kira 70km yang mengambil masa sejam perjalanan. Saya sudah dua kali sampai di pekan ini, iaitu pada tahun 1980 dan 1984 melalui jalan lama KK-Tamparuli-Tenghilan-KB yang berliku-liku. Kini jalan ke Kota Belud tidak lagi melalui jalan Tamparuli sebaliknya melalui Tuaran-Tenghilan-Kota Belud. Kami tiba jam 9.30 pagi dan ini merupakan kali ketiga saya sampai di situ.
Antara jualan yang popular di sini ialah hasil pertanian, ternakan, kraftangan dan tangkapan ikan masyarakat kampung sekitar sebagaimana konsep pekan sehari di Pahang. Saya tertarik dengan beberapa item yang tidak terdapat di pekan sehari di sini iaitu jualan parang buatan tempatan, kraftangan yang berupa anyaman dan tenunan tempatan, dan ikan tilapia yang disalut serbuk kayu hitam (tidak pasti jenis kayunya).
Bekas pelajar saya, Cikgu Milus memaklumkan bahawa Tamu Besar yang diadakan sekali setahun sudah diadakan beberapa bulan yang lepas. Kami meninggalkan Kota Belud pada jam 1.30 tengah hari.
Jam 3.00 petang: Singgah di Bangunan Yayasan Sabah dan ke PC Fair di Stadium Likas. Kemudian kami ke Pasar Kraftangan (Pasar Filipina) sehingga jam 6.30 petang. Pada sebelah malam saya sekeluarga dan Sulaiman memenuhi jemputan Razak Jamil dan keluarga untuk makan malam di sebuah restoran di sekitar Lintas, Luyang. Razak Jamil juga bekas pelajar SMKAL yang merupakan salah seorang peguam yang terkenal di KK. Kami beredar dari restoran tersebut jam 10.00 malam.
28 November 2011 (Isnin) Jam 8.00 pagi: Kami ke SMK Tun Datu Mustapha, Limauan untuk melawat tapak SMKAL dahulu. Bangunan baru sekolah tersebut nampaknya hampir siap dan telah mengubah sama sekali panorama lama. Saya berpandangan bahawa sepatutnya nama SMKAL kekal di puncak bukit itu, bukan dibawa ke Kimanis. Roh SMKAL sebenarnya di puncak bukit itu, tidak di tempat lain. Kami mengambil masa kira-kira 40 minit di situ sebelum beredar ke Pekan Kinarut. Pekan ini tentunya tidak terlepas daripada kunjungan saya sekiranya ke SMKAL dan sasaran saya ialah Kedai Runcit Teck Hong, iaitu kedai di mana tempat saya membeli barang-barang koperasi sekolah selain daripada Kedai Kojasa di KK pada masa itu. Sebagaimana biasa taukeh Teck Hong memberikan dua tin minuman untuk kami minum. Kami kemudian bersarapan di sebuah restoran mamak di Taman Lok Kawi.
Jam 10.30 pagi: Ke UMS lagi untuk menghantar anak ke kolej kediaman sebagai persediaan konvokesyen sesi ke-6 pada keesokan harinya (29 November 2011). Saya tidak sempat untuk menghadiri sesi konvonya kerana kesilapan teknik semasa membeli tiket balik pada 28 November 2011 jam 6.05 petang. Jadi kami terpaksa pulang lebih awal dari tarikh sesi tersebut diadakan. Namun tiada apa yang merungsingkan kami memandangkan kebanyakan daripada rakan-rakannya, khususnya dari Semenanjung hadir untuk menerima ijazah tanpa kehadiran keluarga masing-masing. Keadaan ini tentunya disebabkan oleh jarak dan kos perjalanan yang terpaksa mereka tanggung sekiranya ingin menghadiri majlis tersebut. Apa yang mengagumkan saya, mereka semua nampak gembira walaupun tanpa kehadiran keluarga masing-masing. Apa pun tahniah kepada mereka yang telah berjaya dalam bidang pengajian masing-masing.
Jam 2.00 petang: Kami meninggalkan UMS ke KK melalui Signal Hill untuk melihat keindahan panorama Bandar Raya Kota Kinabalu, kemudian kami terus ke Terminal 2 KK.
Jam 6.35 petang: Meninggalkan bumi Sabah dengan pesawat Airbus A320 Air Asia AK5109 BKI-KUL.
Jam 9.00 malam: Tiba di LCCT, KL. Letih wooo.

12 November 2011

Tradisi Musim Tengkujuh

Bulan November sudah sampai ke pertengahannya yang menandakan tahun 2011 akan berakhir kira-kira sebulan setengah sahaja lagi. Penduduk di Pantai Timur, khususnya Kelantan dan Terengganu, bulan November atau dipanggil ‘bulan sebelas’ merupakan permulaan bagi musim tengkujuh pada setiap tahun. Beberapa hari lepas, seorang rakan lama dari Seremban telah menelefon saya menyatakan hujan tidak berhenti-henti di sepanjang perjalanan bersama keluarganya untuk bercuti di Kelantan.
Dua hari kemudian dia menelefon lagi juga menyatakan keadaan yang sama dalam tempoh 2 hari mereka berada di sana. Saya memaklumkannya bahawa itu adalah fenomena biasa pada setiap hujung tahun.
Hujan tanpa henti dua tiga hari merupakan fenomena biasa bagi kami yang tinggal di negeri-negeri Pantai Timur yang terdedah kepada Monsun Timur Laut ini. Cuaca yang basah dan sejuk ini bukan sahaja mengubah keadaan di Pantai Timur khususnya di Kelantan, malah turut mengubah rutin kehidupan masyarakatnya. Perubahan ini termasuklah cara berpakaian, jenis makanan, pekerjaan dan lain-lain yang bersangkutan dengan sosio budaya masyarakat di sini. Pendeknya musim tengkujuh telah mengubah sama sekali sebahagian besar daripada rutin kehidupan bagi kebanyakan masyarakat di kawasan ini.
Pada kebiasaannya masyarakat luar bandar telah membuat persediaan awal bagi menghadapi bencana yang saban tahun melanda kawasan mereka, khususnya mereka yang tinggal di kawasan tepi sungai atau kawasan tanah rendah. Mereka yang berkemampuan biasanya sudah bersedia dengan perahu di rumah masing-masing. Manakala bagi mereka yang tidak berkemampuan akan menghadapinya dengan bantuan pihak yang berwajib atau jiran-jiran yang berhampiran. Mereka akan berpindah bergantung kepada keadaan sekiranya hujan membawa kepada air naik ke paras merbahaya.
Pada masa dahulu sebelum tibanya musim tengkujuh para ibu akan menyediakan kain baju yang sesuai sebagai pakaian basahan semasa bekerja di sawah atau di kebun supaya tidak terlalu kerap menukar pakaian dalam keadaan yang sukar ini. Oleh kerana kemampuan dan kemudahan yang amat terhad, biasanya kain-kain yang basah disalai ke api agar cepat kering untuk dipakai semula kerana ketiadaan cahaya matahari pada musim ini. Ada kalangan masyarakat luar bandar yang mendirikan bangsal khas di bahagian belakang rumah untuk menyalai kain baju yang basah pada musim hujan yang berpanjangan itu. Anak-anak dinasihatkan supaya ‘berjimat’ memakai pakaian kerana sukar untuk mengeringkan pakaian dalam suasana cuaca yang basah ini.
Pada musim ini biasanya ubi-ubi yang mereka tanam selepas musim menanam padi pada awal tahun digali untuk dijadikan makanan sampingan pada musim tengkujuh. Pelbagai jenis ubi ditanam untuk dijadikan hidangan pada musin tengkujuh, antaranya ubi kayu, ubi badak, ubi keledek, ubi keduduk, ubi keling (ubi kemili) (Dioscorea bulbifera), ubi torak (ubi itik) (Dioscorea esculenta), ubi keladi dan sebagainya. Tetamu atau jiran-jiran yang berkunjung ke rumah pada musim ini akan dihidangkan dengan ubi rebus, terutamanya ubi kayu atau ubi keledek rebus. Ubi kayu rebus enak dimakan dengan kelapa parut dan kopi ‘o’.
Pada musim ini juga kueh tradisi yang berasaskan ubi kayu akan muncul, antara yang paling popular ialah ‘putu halba’. ‘Putu halba’ merupakan kueh yang berasaskan tepung ubi kayu separuh kering yang dicampurkan sedikit biji halba, dibalutkan dengan kain putih dan diletakkan gula melaka sebagai intinya kemudian dikukus dengan menggunakan alat pengukus khas yang (dahulunya) dibuat daripada tin minyak masak. Kini alat pengukus kueh tradisi ini telah dibuat dalam bentuk yang lebih moden hasil daripada pemikiran inovatif masyarakat desa tersebut. Konsepnya sama dengan membuat 'putu piring', cuma resepinya sahaja yang berbeza.
Pendeknya musim tengkujuh bukan sahaja mengubah keadaan cuaca di Pantai Timur malah turut mengubah budaya kehidupan penduduk di kawasan-kawasan yang terlibat. Sekian.

20 Oktober 2011

Pameran Literasi Bahasa IV

Pameran Literasi Bahasa Kali Ke-4 telah diadakan pada hari Khamis, 20 Oktober 2011 bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Pusat Sumber Al-Kindi, IPGKTAA. Pameran yang disertai oleh para pelajar Semester 2 Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Januari 2011 ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha En. Roselan bin Ahmad, Timbalan Pengarah IPGKTAA. Pameran ini merupakan salah satu syarat wajib yang terdapat dalam Pro Forma Kursus WAJ3104 Literasi Bahasa bagi para pelajar Semester 2.
Kursus ini menjelaskan dan mengaplikasikan aktiviti prabacaan, bengkel asas membaca: kaedah fonetik, kaedah abjad, kaedah pandang dan sebut, bengkel aktiviti pratulisan, bengkel aktiviti penulisan mekanis, bengkel penyerapan pemulihan membaca dan menulis dalam mata pelajaran Pendidikan Muzik, Pendidikan Seni Visual, dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, membina
dan menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran bukan elektronik, bengkel pengajaran menggunakan boneka, bengkel pembelajaran secara individu, berpasangan dan berkumpulan, bengkel pembinaan bahan pemulihan dengan power point, bengkel membuat rakaman bunyi-bunyian dengan menggunakan alat perakam digital, seminar dan pameran bahan pemulihan bahasa Melayu.
Kursus ini telah menggariskan empat hasil pembelajaran, iaitu:
1. Menjelaskan dan menghuraikan Teori Pemerolehan Bahasa, Konsep KIA2M, Kemahiran-kemahiran Asas KIA2M, Prinsip dan Kriteria
Pemilihan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran KIA2M.
2. Membina bahan elektronik dan bukan elektronik dalam pengajaran dan pembelajaran KIA2M.
3. Melaksanakan pengajaran dan pembelajaran KIA2M dalam mata pelajaran Pendidikan Muzik, Pendidikan Seni Visual, dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
4. Menilai dan memilih strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk melaksanakan KIA2M kepada murid-murid yang pelbagai latar belakang.

Pameran ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada seluruh warga IPGKTAA. Timbalan Pengarah telah melawat kesemua gerai pameran tersebut di samping menemubual para pelajar bagi unit-unit berkenaan. Beliau berharap agar pameran seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai satu usaha untuk mempamerkan hasil kreativiti serta pemikiran inovatif pelajar dalam menghasilkan bahan bantu mengajar. Beliau amat berpuas hati terhadap komitmen yang diberikan oleh para pelajar dengan bimbingan pensyarah unit masing-masing. Tegasnya semua bahan yang dipamerkan boleh dimanfaat oleh para pelajar terutama sekali semasa latihan mengajar dan terdapat juga bahan-bahan tersebut yang boleh diterbit dan dikomersialkan untuk kegunaan di tadika atau di sekolah. Sekian.

13 September 2011

Aidilfitri dan Lagu Raya

Minggu ini masuk minggu kedua bulan Syawal dan suasana Hari Raya masih lagi terasa. Kebanyakan premis sama ada premis awam atau swasta rancak mengadakan ‘Rumah Terbuka’ masing-masing sebelum Syawal melabuhkan tirainya. Radio, tv dan akhbar masih lagi menonjolkan susasana Hari Raya melalui iklan, rencana dan slot-slot tertentu, tidak terkecuali melalui dendangan lagu-lagu raya. Pelbagai jenis lagu Hari Raya masih ke udara yang antaranya cukup menyentuh perasaan bagi sesetengah pendengar yang menghayatinya. Sejak tahun 1950-an hingga kini pelbagai versi lagu raya telah dicipta berdasarkan citarasa masyarakat mengikut zamannya. Lagu Selamat Hari Raya nyanyian Saloma, Dendang Perantau (versi asal) nyanyian P. Ramlee, Aidilfitri (versi asal) nyanyian Nona Asiah dan Kamsani, Suara Takbir nyanyian P. Ramlee dan Manusia Miskin Kaya (versi asal) nyanyian Nona Asiah merupakan antara lagu-lagu raya awal yang diciptakan pada tahun 1950-an.
Manakala lagu Selamat Hari Raya nyanyian Fazidah Joned, Dendang Perantau (versi 60-an) nyanyian P. Ramlee dan Selamat Hari Raya nyanyian Ahmad Jais adalah lagu-lagu yang diciptakan pada tahun 1960-an. Kesemua lagu ini merupakan antara lagu-lagu raya yang malar segar yang irama lagu dan liriknya masih sukar digugat hingga ke hari ini, serta diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Manakala pada tahun 1970-an pula lebih kurang 28 buah lagu raya telah diterbitkan, antara lagu-lagu yang terawal ialah lagu Manusia Miskin Kaya (versi 70-an) nyanyian Eddy Nor Ali, Bersabarlah Sayang dan Aidilfitri nyanyian Sanisah Huri, Selamat Hari Raya (versi 70-an) nyanyian Saloma, Hari Yang Mulia nyanyian Sharifah Aini, Bila Takbir Bergema nyanyian Rafeah Buang, Suasana Riang (Di Hari Raya) nyanyian Junainah M. Amin dan banyak lagi.

Pada tahun 1980-an pula lebih 30 buah lagu raya telah diterbitkan yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi yang popular pada masa itu antaranya DJ Dave, Sudirman Hj. Arshad, Kumpulan Black Dog Bone, Zaleha Hamid, Sharifah Aini, Rahimah Rahim, Herman Tino, Hail Amir, Uji Rashid dan lain-lain. Semenjak itu lagu-lagu raya tumbuh bagai cendawan yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi popular sezaman, kumpulan-kumpulan nasyid malah turut dinyanyikan oleh kumpulan-kumpulan rock. Mungkin disebabkan oleh faktor citarasa masyarakat mengikut zaman ini, maka secara peribadinya saya berani menyatakan bahawa lagu-lagu raya pada dekad ini langsung tidak menjiwai suasana hari raya berbanding lagu-lagu raya terdahulu. Keadaan ini boleh dilihat daripada pelbagai sudut, baik daripada sudut irama lagu, lirik maupun sudut moral lagunya. Ini belum diambilkira nyanyian semula lagu-lagu raya lama oleh penyanyi-penyanyi baru yang turut ‘mengorbankan’ dan 'melenyapkan' ketiga-tiga aspek tersebut. Biarlah lagu-lagu raya lama itu kekal dalam versinya yang tersendiri yang sangat tinggi nilainya. Sekian.

07 September 2011

Belasungkawa: Allahyarham En. Md. Zulfakar bin Mohd. Salleh

Hari ke-7 selepas Hari Raya Aidilfitri 1432 bersamaan 5 September 2011 (Isnin), seluruh warga IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis dikejutkan dengan pemergian salah seorang pensyarah, iaitu Allahyarham Encik Md. Zulfakar bin Mohd. Salleh, 48 yang percayai akibat serangan jantung pada kira-kira jam 10.00 pagi. Allahyarham mula berkhidmat di IPG ini (dahulunya Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuantan) mulai 1 Oktober 1998 sebagai Pegawai Grafik dan kemudiannya dilantik sebagai Pensyarah di Jabatan Teknologi Pendidikan mulai 3 Februari 2004. Allahyarham yang berasal dari Pekan, Pahang telah meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

Semasa hayatnya, Allahyarham telah banyak menyumbangkan tenaganya dengan tugas-tugas yang berkaitan dengan TMK di peringkat IPGKTAA, Bahagian Pendidikan Guru KPM, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, IPG KPM dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Selain itu Allahyarham juga turut terlibat dengan persiapan untuk Sambutan Hari Kemerdekaan di peringkat Negeri dan Kebangsaan pada setiap tahun, termasuk pada tahun ini. Oleh itu sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah, semoga roh Allahyarham berada di sisi mereka yang dirahmati Allah hendaknya.

18 Ogos 2011

Juadah 'Air Tangan' Ibu

Hari Rabu 17 Ramadan merupakan Hari Nuzul Al-Quran bagi tahun 1432 Hijrah yang mana semua penjawat awam di negeri Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu menikmati cuti umum. Manakala bagi negeri-negeri lain cuti tersebut diambilalih oleh cuti umum yang lain. Ini bermakna Ramadan 1432 sudah melalui fasa separuh kedua yang lebih mencabar khususnya kepada kanak-kanak. Bagi golongan dewasa pula meskipun Ramadan sudah melebihi separuh jalan namun seolah-olah baru semalam kita mula berpuasa. Keadaan ini menunjukkan bahawa masa berjalan begitu pantas dan kita sudah alah bisa tegal biasa dalam menjalani ibadah ini. Faktor cuaca yang tidak terlalu panas pada kali ini juga turut membantu kita.

Bagi para ibu pula sehingga separuh Ramadan ini semua menu yang diketahui telah disajikan untuk keluarga masing-masing, sama ada semasa berbuka maupun semasa bersahur. Malah ada yang sudah dua tiga kali mengulangi menu yang sama dan tiada lagi menu baru yang agak istimewa untuk disediakan. Ada juga yang telah kembali kepada menu yang paling ringkas, umpamanya sekadar nasi putih dan telur goreng mata kerbau atau ikan bakar dicicah kicap yang diperah asam limau nipis dan cili padi. Mungkin kita lebih berselera sekadar dengan ulam-ulaman sahaja. Rasanya menu sedemikian lebih enak berbanding menu-menu yang pelik di luar daripada tradisi kita.
Kalau diimbas kembali semasa zaman kanak-kanak dahulu, orang-orang tua kita amat mengutamakan soal juadah untuk berbuka dan bersahur sebagai tanda menghormati dan meraikan bulan Ramadan. Mereka mula masuk ke dapur seawal selepas solat Zohor untuk memulakan tugas rutinnya. Langkah pertama ialah mengisar beras pulut yang telah direndam pada sebelah paginya dengan menggunakan kisaran batu untuk membuat kueh-mueh. Tepung beras yang dikisar itu ditapis dan ditindih supaya sejat airnya sebelum dijadikan kueh-kueh tertentu.
Dalam tempoh menunggu sejatan tepung beras itu mereka mula menyediakan menu untuk lauk-pauk pula. Untuk menyediakan lauk ayam misalnya mengambil masa yang agak panjang. Pada masa dahulu belum ada lagi ayam proses dijual sebagaimana hari ini, sebaliknya yang ada hanya ayam kampung. Para suami biasanya menangkap ayam pada awal pagi semasa memberi makan ayam tersebut, kalau tidak amat sukar untuk menangkapnya. Ayam tersebut disembelih dan dibuang segala isi perutnya. Ayam ya
ng telah disembelih itu kemudian dicelur beberapa minit ke dalam air panas untuk memudahkan bulunya dicabut.
Selepas itu ayam tersebut dilayur ke api bagi memastikan tiada lagi bulu-bulu halus sebelum dipotong mengikut resepi yang hendak dimasak. Tidak banyak resepi yang diketahui oleh ibu-ibu pada masa itu selain daripada gulai kari, goreng atau bakar, atau yang agak moden pada ketika itu masak kicap. Juga tidak semua ibu yang pandai membuat ayam percik. Pendeknya untuk menyediakan sesuatu menu yang berasaskan ayam kampung mengambil masa dua hingga tiga jam barulah selesai. Ini bermakna lebih 50% dari waktu zohor hingga ke maghrib itu digunakan untuk menyediakan lauk-pauk. Manakala waktu selebihnya mereka gunakan untuk membuat kueh-mueh yang biasanya sejam atau dua jam sebelum masuknya waktu berbuka.
Meskipun di Kelantan kaya dengan pelbagai jenis kueh-mueh tradisi, namun yang lazim disediakan untuk berbuka pada masa itu ialah kueh-mueh yang berasaskan pulut iaitu puteri mandi atau dipanggil juga kepik hidung, ondeh-ondeh atau sesetengah warga tua memanggilnya golek bulu atau telur korang (kukuran). Selain itu terdapat juga poli beras dan butir nangka. Manakala kueh yang berasaskan beras biasa ialah lompat tikam, cendul, caca dan lain-lain. Kueh yang berasaskan ubi kayu pula seperti poli ubi kayu, tepung boka, kueh manis dan lain-lain. Ada juga yang berasaskan pisang dan keledek seperti sira pisang, sira keledek dan lepat pisang. Pendeknya masyarakat dahulu tidak membeli juadah berbuka sebaliknya mereka memasak sendiri juadah tersebut. Kini pelbagai jenis kueh-mueh boleh dibeli di mana-mana, namun yang pasti rasanya tidak seenak air tangan ibu-ibu kita dahulu. Sekian.