RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

06 April 2016

Teurimöng gaséh Aceh (Terima kasih Aceh)

Khamis: 17 Mac 2016 
Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda
Setelah kira-kira 11 tahun 3 bulan berlakunya tsunami pada 26 Disember 2004, akhirnya sampai juga saya ke tanah Serambi Mekah Aceh untuk melihat kesan tragedi tersebut. Ketiadaan masa yang sesuai serta sibuk dengan tugas-tugas rasmi menyebabkan niat untuk ke situ telah tertangguh sejak sekian lama. Akhirnya pada 18 Disember 2015 saya telah berjaya membuat tempahan tiket  untuk penerbangan ke Banda Aceh pada 17 Mac 2016. Saya kemudian menghubungi Ustaz Mujiburrizal Shamsuddin (Ustaz Mujib), Duta Kebudayaan Acheh yang pernah datang ke IPGKTAA sempena Sambutan Hari ASEAN pada 20 September 2013 melalui ’e-mail’ memaklumkan hajat saya tersebut. Ustaz Mujib telah menempah tempat penginapan kami di Hotel Medan yang terletak di Jalan Jenderal Ahmad Yani, Peunayong, Kuta Alam. Namun sehari sebelum kedatangan saya dan isteri ke Aceh, Ustaz Mujib terpaksa ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi dan telah mengamanahkan lawatan kami kepada sahabat baiknya, Pak Kisswoyo. Alhamdulillah.
Sekitar Banda Aceh
Pesawat Air Asia AK421 laluan KUL-BTJ yang kami naiki mendarat tepat pada jam 8.15 pagi waktu Indonesia Barat (WIB) di Bandara International Sultan Iskandar Muda (Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda), Banda Aceh setelah kira-kira 1 jam 15 minit penerbangan dari KLIA2 iaitu jam 8.00 pagi waktu Malaysia. Bangunan terminal lapangan terbang yang menarik bercirikan Islam dengan beberapa buah kubah seperti di masjid-masjid besar yang terdapat di rantau ini menampakkan imej Aceh sebagai Serambi Mekah. Di ruang legar Pak Kisswoyo telah menunggu kami dengan satu papan poster kecil yang mengandungi nama penuh saya kerana beliau tidak mengenali saya. Pak Kisswoyo mengucapkan selamat datang kepada kami dan memaklumkan bahawa dia diamanahkan untuk memandu kami selama kami berada di sini selama dua hari.
Kubunran Massal di Desa Siron
Dari lapangan terbang kami telah dibawa oleh Pak Kisswoyo melawat Kubur Massal di Desa Siron kerana lokasinya di laluan antara lapangan terbang yang terletak di Blang Bintang ke Banda Acheh. Kubur Massal merupakan tempat persemadian 46,718 jenazah warga Aceh yang telah terkorban dalam bencana Tsunami pada 26 Disember 2004. Di sini terdapatnya Monumen Tsunami yang ‘diprakarsai’ oleh Badan Geologi, Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral, Indonesia. Kami kemudian dibawa untuk bersarapan di Restoran Dhapukupi yang terletak di Jalan Teuku Imung Leung Bata simpang ke Surabaya, Banda Acheh. Kueh-mueh di Dhapukupi hampir sama sahaja dengan kueh-mueh di Malaysia seperti pulut berinti, bakwan (cucur udang), selir (roti goreng), rom-rom (onde-onde), onde-onde (kueh bom) dan minuman sanger (kopi susu). Kerancakan perbualan para pengunjung Dhapukupi juga hampir sama rancaknya dengan pengunjung kedai kopi di Malaysia.
Hotel Medan
Keadaan kenderaan di Banda Aceh tidak sesibuk kota Semarang yang telah kami kunjungi pada tahun 2014 dan 2015. Kami kemudian dibawa masuk ke kampus Universitas Syiah Kuala, iaitu universiti terbesar dan tertua di Aceh yang terletak di Jalan Soekarno-Hatta dan kemudian terus ke tempat penginapan di Hotel Medan. Lokasi hotel ini sangat memudahkan pergerakan kami di sini kerana terletak di tengah-tengah pusat bandar Banda Aceh. Jalan Sri Ratu Syafiatuddin yang berhadapan dengan hotel ini terdapat banyak kedai cenderamata dan kedai makan, begitu juga di Jalan Panglima Polem dan Jalan Khairil Anwar yang berhampiran. Masjid Raya Baitulrahman hanya terletak di seberang sungai di tengah-tengah bandar ini. Harga bilik penginapan untuk 2 hari 2 malam ialah Rp640,000 iaitu kira-kira RM212.00 mata wang Malaysia. Harganya sangat berpatutan dengan kemudahan yang ada termasuk 2 kali sarapan untuk 2 orang. Kami berehat sambil menunggu waktu solat zohor jam 12.53 WIB sebelum menyambung lawatan pada sebelah petangnya. Cuaca di Aceh agak panas juga atas faktor geografinya yang berhampiran dengan pantai.
Rumoh Acheh
Jam 2.00 petang kami menikmati makan tengah hari di Warung Nasi Kambing Lem Bakrie yang terletak di Jalan Tgl Nyak Makam Lantemen. Kira-kira jam 3.00 petang kami memulakan lawatan ke Muzium Aceh yang terletak di Lorong Imum Geh Jaya Baru, Jalan Sultan Salahuddin, Bitai, Kota Banda Aceh. Antara yang menarik perhatian kami ialah Loceng Cakra Donya dan Rumoh Acheh. Loceng Cakra Donya telah dianugerahkan oleh Laksamana Cheng Ho kepada Raja Pasai pada abad ke-15 yang namanya diberikan oleh Sultan Iskandar Muda sempena nama kapal perang Aceh pada abad ke-17. Loceng ini telah menjadi koleksi Muzium Aceh sejak Disember 1915. Di kawasan muzium tersebut juga terdapat sebuah rumah tradisional suku Aceh dinamakan Rumoh Aceh. Rumah adat ini berbentuk rumah panggung dengan 3 bahagian utama dan 1 bahagian tambahan. Tiga bahagian utama dari rumah Aceh iaitu serambi depan (seuramoë keuë), serambi tengah (seuramoë teungoh) dan serambi belakang (seuramoë likôt). Bahagian tambahannya ialah rumah dapur (rumoh dapu). Rumah ini mempunyai kemasan tradisional yang sangat halus dan menarik.
Muzium Tsunami Aceh
Dari Muzium Aceh kami ke Muzium Tsunami Aceh yang terletak di Jalan Sultan Iskandar Muda, Sukaramai, Baiturrahman, Kota Banda Aceh. Muzium empat lantai ini dibina dengan beberapa fungsi antaranya sebagai tempat pameran, tugu peringatan kepada tragedi Tsunami 2004 dan sekali gus sebagai tempat perlindungan sekiranya berlaku lagi tragedi seperti itu. Memasuki muzium ini akan kedengaran bunyi yang seolah-olah kita berada pada pagi 26 Disember 2004 semasa tragedi dahsyat itu berlaku. Pada dindingnya terdapat catatan ribuan nama mangsa yang telah terkorban dalam tragedi tersebut. Manakala di dalamnya juga terdapat gambar-gambar, sudut geologi dan monumen-monumen peringatan tentang peristiwa yang berlaku tersebut.
Kapal PLTD Apung 1
Kami kemudian dibawa Pak Kisswoyo ke Gampong Punge Blang Cut yang terletak kira-kira 6 km dari pusat Kota Banda Aceh untuk melihat kapal PLTD Apung 1 seberat 2,600 tan dan panjangnya 63 meter yang dihanyutkan ombak Tsunami ke tengah-tengah kampung. Semasa kami melalui pusat bandar, Pak Kisswoyo menunjukkan kami kawasan Blang Padang iaitu kawasan terbuka di mana solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha diadakan pada setiap tahun. Pada setiap kali hari lebaran kawasan itu akan dipenuhi ribuan warga Aceh yang datang dari kawasan-kawasan di sekeliling kota ini. Kami tiba di Gampong Punge Blang Cut semasa cahaya matahari masih lagi agak panas kira-kira waktu asar. Di tengah-tengah kampung ini kelihatan dari jauh kapal yang tersadai sejauh lebih 4 km dari Pelabuhan Ulee Lheue itu. Pada mulanya kapal ini dijadikan sebagai sumber tenaga letrik bagi penduduk kampung, namun fungsinya telah berubah setelah diambilalih oleh Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral (ESDM) dan dijadikan sebagai ‘objek wisata’. Kami difahamkan bahawa gelombang kedua Tsunami 26 Disember 2004 telah menghanyutkan kapal PLTD Apung 1 ke tengah-tengah Gampong Punge Blang Cut dan menjadi sebagai bukti kekal bencana tersebut hingga ke hari ini.
Masjid Baiturrahim, Ulee Lheue
Dari Gampong Punge Blang Cut kami ke Ulee Lheue untuk melihat keteguhan Masjid Baitulrahim yang tidak musnah semasa tragedi 2004 tersebut. Ulee Lheue adalah sebuah desa pinggir pantai yang berada di Kecamatan Meuraxa, Banda Acheh. Masjid Baiturrahim di Ulee Lheue merupakan peninggalan Kesultanan Aceh. Masjid ini didirikan sekitar abad ke-17 Masehi, semasa Sultan Iskandar Muda (1607-1636M) memimpin Kerajaan Aceh Darussalam. Ia dikenali sebagai Masjid Jame' Ulee Lheue (dibaca “olele” dalam dialek Belanda) ketika itu. Semasa kami sampai kira-kira jam 5.30 petang, kelihatan ramai kanak-kanak sedang mengikuti kelas agama yang dikendalikan oleh guru-guru perempuan di bahagian luar masjid tersebut. Kami amat tertarik dengan kaedah kelas pengajaran agama yang dilaksanakan secara tradisional tersebut yang sudah amat jarang terdapat di Malaysia. Kami kemudiannya dibawa untuk menikmati keenakan jagung bakar dan air kelapa di pinggir pantai Ulee Lheue sehingga hampir azan maghrib. Pada sebelah malamnya kami telah dibawa ke Jalan Panglima Polem, Peunayong, Banda Aceh untuk menikmati keenakan mi rebus di Restoran Mi Razali. Jam 10.00 malam WIB kami kembali ke tempat penginapan untuk berehat.
Jumaat: 18 Mac 2016
Pak Baharum 
Semasa menikmati sarapan pagi di hotel tanpa disangka saya telah bertemu dengan rakan sekuliah di UPM (1986-89) Haji Mohd. Salleh Ahmad, mantan pensyarah di IPG Kampus Ipoh. Beliau dan beberapa orang rakannya daripada Persatuan Karyawan Perak telah datang untuk program Kembara Sastera di sekitar Medan dan Banda Aceh. Beliau telah mempelawa kami untuk bersama-sama dalam program berserta para penggiat sastera Aceh di Restoran Rumoh Aceh, Syiah Kuala pada sebelah petangnya. Namun kerana kepadatan atur cara masing-masing menyebabkan kami tidak sempat menyertai program mereka walaupun kami sama-sama berada di Banda Aceh pada masa itu. Kami memulakan acara pertama pagi Jumaat ini dengan mengunjungi kedai cenderamata Sri Ratu Acheh Souvineer yang terletak kira-kira 50 meter dari Hotel Medan sementara menunggu kedatangan Pak Kisswoyo untuk membawa kami ke destinasi seterusnya. Pak Baharum pemilik premis Sri Ratu Acheh Souvineer sangat peramah dan telah menceritakan kepada kami bagaimana detik-detik beliau dan isteri serta seorang anak mereka terselamat daripada bencana 26 Disember tersebut. Cerita beliau amat mengharukan. Beliau membuat kesimpulan ceritanya dengan kata-kata berikut “....dengan izin Allah swt sebenarnya kita tidak akan mati sebelum ajal kita sampai”.
Di rumah Pak Shamsuddin & Ibu Basariah
Pak Kisswoyo kemudiannya membawa kami ke Gampong Lampulo, iaitu kampung tempat tinggal Ustaz Mujib untuk melihat bot yang tersangkut di atas bumbung rumah. Secara kebetulan pula tempat bot yang tersangkut di atas rumah tersebut bersebelahan dengan rumah Ustaz Mujib. Di situ kami telah dipelawa masuk oleh Ibu Basariah Nordin dan Pak Samsuddin Mahmud, iaitu ibu dan bapa kepada Ustaz Mujib ke rumah mereka. Semasa bencana itu berlaku hanya dua buah rumah sahaja terselamat di kampung tersebut pada ketika itu iaitu rumah Pak Samsuddin dan rumah yang berhadapan dengan rumahnya. Mereka telah menceritakan tentang detik-detik cemas tersebut dengan menunjukkan jam dinding yang menunjukkan jam 8.47 pagi semasa kejadian itu berlaku. Jarum jam yang mati pada waktu tersebut tidak diubahnya sampai sekarang sebagai saksi mati kepada mereka yang melawat ke situ. Mereka yang terselamat pula adalah terdiri daripada mereka yang berlindung di dalam bot yang tersangkut di atas rumah tersebut. Demikian hebatnya kudrat Allah swt terhadap makhluknya di muka bumi ini.
Kubah masjid di Gampong Gurah
Kira-kira jam 10.00 pagi kami dibawa dari Gampong Lampulo ke Gampong Gurah untuk melihat kubah masjid seberat hampir 100 tan dengan lebar diameter 4X4 meter yang diperbuat daripada konkrit dihanyutkan gelombang besar tersebut sejauh 2.5 km. Kubah masjid Jamik di Desa Lamteungoh, Peukan Bada, Aceh Besar itu telah dihanyutkan ke tengah-tengah sawah di Gampung Gurah. Kejadian yang amat menakjubkan ini kini telah menjadi salah satu tarikan pelancong ke Aceh. Satu jalan kecil untuk laluan kenderaan ringan telah dibina untuk ke lokasi kubah itu bagi memudahkan para pengunjung yang datang melawatnya. Kehadiran kubah masjid yang hanyut di kampung tersebut telah menjadikan penduduk setempat mempunyai sumber pendapatan tambahan dengan menjual cenderamata, hasil kraftangan, makanan tempatan dan perkhidmatan sewa motosikal. Bagi mereka yang datang dengan menaiki bas, mereka boleh menyewa motosikal yang dikendalikan oleh para penduduk kampung tersebut dengan harga yang sangat berpatutan untuk ke lokasi kubah itu.
Solat Jumaat di Masjid Raya Baitulrahman
Jam 11.30 kami telah meninggalkan lokasi kubah tersebut untuk bersedia ke Masjid Raya Baitulrahman kerana hari ini ialah hari Jumaat. Sejak sebelum datang ke Aceh lagi saya sudah mempunyai niat untuk solat berjemaah di Masjid Raya Baitulrahman, Banda Aceh. Masjid yang mula dibina pada tahun 1879 dan siap pada tahun 1881 ini dalam proses pengubahsuaian di bahagian luarnya, jadi sudut untuk merakam gambar dari aspek kecantikan dan keunikan masjid itu adalah amat terhad. Oleh kerana kami datang awal maka Alhamdulillah saya sempat merebut peluang untuk duduk di saf pertama semasa solat tersebut. Saya amat kagum dengan khutbah Jumaat oleh khatib yang amat jelas dan tersusun bahasanya walaupun disampaikan tanpa teks. Begitu juga dengan bacaan imam yang sangat jelas dan sedap didengar semasa solat menjadikan kita lebih khusyuk dan sangat tersentuh mendengar akan bacaannya. Demikian kehebatan roh Masjid Raya Baitulrahman yang menjadikannya sebagai satu destinasi wajib bagi setiap pengunjung ke Aceh.
Restoran Rumoh Aceh
Selepas solat Jumaat kira-kira jam 2.30 WIB semasa dalam perjalanan ke destinasi berikutnya kami singgah makan tengah hari di Restoran Rumoh Acheh yang terletak di Jalan Rawa Sakti Timur Lorong 5, Syiah Kuala. Kami dihidangkan ‘nasi kulah’ dengan 15 jenis lauk pauk resipi tradisional tempatan yang mengikut Pak Kisswoyo antaranya terdiri daripada pepes, ikan bandeng, ikan masam keeng dan lain-lain dengan minuman kopi Gayo asli dengan bayaran sebanyak Rp110,000 (RM36.00). Gayo merupakan kawasan tanah tinggi pengeluar kopi utama di Aceh. Selepas makan kami ke makam Sheikh Abdul Rauf Al-Sinkil di muara Krueng (Sungai) Acheh, iaitu salah seorang ulama besar Aceh yang telah meninggal dunia pada tahun 1693. Beliau telah mengajar ilmu agama Islam kepada seluruh masyarakat Aceh semasa hayatnya di pondok pengajian agama di sekitar kuala Sungai Aceh dan makamnya juga berhampiran kuala sungai tersebut yang akhirnya kawasan ini diberi nama Syiah Kuala.
Gampong Lampuuk
Dari Syiah Kuala kami ke Gampong Lampuuk di mana terletaknya Masjid Rahmatullah yang tidak musnah walaupun semua bangunan dan pokok-pokok di kawasan itu habis dihanyutkan gelombang besar pada 26 Disember 2004 tersebut. Perjalanan kami mengambil masa sekitar 30 minit dari Syiah Kuala dengan jarak kira-kira 30 km. Dalam perjalanan ke Lampuuk kami melalui kawasan sawah padi yang menguning dan sedang dituai di sebelah kiri jalan raya utama yang sayup dipagari banjaran gunung yang sangat indah pemandangannya bagi mereka yang kecerdasan pelbagainya naturalistik. Kami tiba di Masjid Rahmatullah kira-kira jam 3.45 petang WIB ketika azan asar sedang berkumandang. Kami sempat solat sunat di situ kerana sudah menunaikan solat jamak qasar semasa di Masjid Raya Baitulrahman. Melihatkan keadaan sekitar Lampuuk, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku lebih 10 tahun lepas kerana semua rumah penduduk kampung sudah dibina semula dengan bantuan kerajaan Turki dan pokok-pokok sekitarnya sudah tumbuh dengan tinggi dan sangat subur.
Masjid Rahmatullah, Lampuuk
Di Masjid Rahmatullah masih terdapat kesan Tsunami di ruang bahagian belakangnya yang kelihatan retak sedikit struktur bangunannya dan dilarang untuk orang ramai memasuki ruang tersebut. Di ruang legar bahagian belakang masjid itu juga dipamerkan gambar-gambar tragedi dahsyat itu untuk tontonan orang ramai yang datang ke situ. Selepas jemaah solat asar kami berkesempatan bertemu dengan mereka untuk mendengar cerita dari mulut mereka sendiri tentang peristiwa tersebut, antaranya Ibu Rohani (69 tahun) yang kini tinggal sebatang kara. Kesemua ahli keluarga Ibu Rohani dihanyutkan gelombang besar semasa mereka sedang bersarapan pada pagi Ahad itu dan semua mayat mereka langsung tidak ditemui. Ibu Rohani hanya sempat berpaut pada sebatang kayu yang merempuh rumahnya dan dihanyutkan sehingga ke kaki bukit yang agak jauh juga dari kampung itu. Seorang lagi ibu menceritakan bagaimana beliau beberapa jam berada di atas sebatang pokok sehingga gelombang itu surut. Demikian antara ujian serta pengalaman pahit yang mereka lalui semasa tragedi itu. Kami beredar dari Masjid Rahmatullah kira-kira jam 5.00 petang WIB melalui jalan pintas Gampong Lamlhom untuk balik ke Banda Aceh.
Gunongan di Jalan Teuku Umar
Jam 5.30 petang kami singgah di Gunongan atau dipanggil Taman Putroe Phang (Taman Putri Pahang) yang terletak di Jalan Teuku Umar iaitu taman yang dibina oleh Sultan Iskandar Muda (1607-1636) untuk permaisurinya Putri Khamalia yang berasal dari Pahang. Taman ini dibina kerana sultan sangat mencintai Putri Pahang dan agar sang permaisuri tidak kesepian apabila ditinggalkan semasa sultan menjalankan tugas pemerintahan. Gunongan menjadi simbol cinta dan keagungan yang berdiri megah di pusat kota Banda Aceh. Di tepi gunongan terdapatnya kerusi batu tempat dayang-dayang mencuci rambut permaisuri yang bersebelahan Krueng (Sungai) Daroy yang dikatakan paling jernih dan bersih di Aceh pada ketika itu. Kami meninggalkan Gunongan kira-kira jam 6.00 petang untuk ke Pasar Aceh. Kami hanya meronda sahaja di bahagian jualan pakaian Pasar Aceh yang tidak jauh bezanya dengan pasar-pasar lain di rantau ini. Jam 6.30 petang kebanyakan kedai sudah ditutup kerana waktu maghrib di sini sekitar jam 6.50 petang.
Gerai makanan di Jalan Jenderal Ahmad Yani
Pada sebelah malamnya kami dengan atur cara bebas tanpa Pak Kisswoyo. Kami hanya berjalan-jalan sekitar Jalan Sri Ratu Syafiatuddin, Jalan Panglima Polem, Jalan Khairil Anwar dan  Jalan Jenderal Ahmad Yani yang banyak gerai makanan termasuk gerai sate, bakso, kerang rebus, nasi goreng, bubur kanji dan sebagainya. Kami telah makan di sebuah gerai sate di Jalan Jenderal Ahmad Yani tidak jauh dari Hotel Medan. Pada malam itu juga kami telah membeli kueh bingka ubi dan bingka tepung produk Kue Adee Kak Nah dari kawasan Meuraksa yang terkenal di Aceh. Bagi kami kuehnya memang sedap, walaupun kebanyakan makanan di sini mempunyai rasa yang hampir sama dengan makanan di Malaysia tetapi rasa bingka Kak Nah sangat berbeza dengan rasa bingka yang dijual di Malaysia. Kami telah kembali ke bilik penginapan kira-kira jam 10.30 malam.
Sabtu: 19 Mac 2016
Kira-kira jam 5.15 pagi saya berjalan kaki ke Masjid Babul Mawaddah Korem 012/TU milik Tentera Nasional Indonesia yang terletak di Jalan Sri Ratu Syafiatuddin tidak jauh dari hotel penginapan kami untuk solat fardu subuh. Kira-kira jam 7.00 pagi WIB kami bersarapan awal pagi ini kerana pada jam 7.30 pagi Pak Kisswoyo akan mengambil kami untuk ke lapangan terbang memandangkan penerbangan kami pada jam 8.50 pagi WIB. Tepat jam 8.50 pagi WIB pesawat Air Asia AK420 laluan BTJ – KUL (Banda Aceh – KLIA2) berlepas dari Bandara International Sultan Iskandar Muda dan kira-kira jam 11.10 pagi waktu Malaysia kami selamat mendarat di KLIA2. Setelah keluar daripada terminal KLIA2 dengan izin Allah kami dapat pula bertemu dengan Ustaz Mujib dan keluarganya yang kebetulan sedang menunggu penerbangan untuk balik ke Aceh pada jam 1.30 tengah hari pada hari tersebut. Terima kasih Pak Kisswoyo dan Ustaz Mujib kerana membantu mempermudahkan segala urusan kami semasa di Aceh. Alhamdulillah danteurimöng gaséh Aceh’.