RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

26 Februari 2009

Savvy, Myvi, Viva dan Exora: Sukarnya Melestarikan Bahasa Melayu

Memetik tulisan Zin Mahmud dalam ruangan Untung Sabut Timbul di muka 9, akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 22 Februari 2009, yang berbunyi:
“Ketika kereta nasional mula diperkenalkan, tentunya rakyat negara ini berbangga dengan nama Saga, Iswara, Satria, Waja dan Juara. Begitu juga dengan Perodua yang memiliki nama seperti Kancil, Rusa, Kelisa dan Kenari. Lepas itu nama Melayu hilang.
Nasib baik Naza memperkenalkan nama Citra, Ria dan Sutra. Kadang kala rakyat negara ini sudah tidak berbangga dengan nama ibunda, kononnya tidak sedap didengar”.
Teruja dengan tulisan tersebut, saya terpanggil untuk memberi sedikit pandangan berhubung dengan isu ini memandangkan kepesatan industri otomobil negara yang turut dikongsi kebanggaannya oleh seluruh rakyat Malaysia nampaknya sudah mula lari daripada unsur patriotisme terhadap bahasa sendiri dalam pemberian nama kereta keluaran negara. Buktinya beberapa model terakhir kereta buatan Malaysia kini telah ‘mendapat’ nama yang tersimpang jauh daripada istilah bahasa Melayu yang ternyata kaya dengan segala unsur keindahannya. Umpamanya dua model terakhir keluaran Perodua diberi nama Myvi dan Viva. ‘Myvi’ yang ditafsirkan sebagai ‘My Vehicle’ atau ‘Keretaku’, manakala istilah ‘viva’ mengikut kamus Longman Dictionary of Contemporary English membawa maksud menunjukkan reaksi gembira terhadap sesuatu kejayaan yang diperolehi. Sebenarnya banyak nama indah dalam bahasa kita sendiri yang boleh mengambil tempat nama-nama tersebut.
Syarikat Proton pula telah memberi nama kepada kereta keluarannya Savvy dan yang mutakhir ialah Exora bagi kereta pelbagai guna terbarunya. Perkataan ‘savvy’ mengikut kamus Longman Dictionary of Contemporary English i. tergolong sebagai kata nama bagi sesuatu benda yang tidak boleh dikira (uncountable) dengan maksud informal practical knowledge and ability ii. tergolong sebagai kata adjektif dalam bahasa Inggeris Amerika (American English). Proton tentunya mempunyai alasan tersendiri mengapa nama ini dipilih untuk produk tersebut. Namun walau apapun alasan yang diberikan, yang nyata nama yang berteraskan unsur-unsur tempatan sebagaimana yang diberikan kepada keluaran-keluaran terdahulu telah hilang sama sekali.
Lebih mengecewakan lagi nama Exora bagi kereta pelbagai guna terbaru Proton tidak tergolong dalam leksikal mana-mana bahasa. Ini dinyatakan sendiri oleh pihak Proton dalam kenyataan akhbar pada 19 Februari 2009 dengan menyatakan “....Perkataan Exora tidak wujud”. Sedih kita mendengar pernyataan sedemikian yang seolah-seolah tiada satu pun leksikal tempatan yang layak diketengahkan ke peringkat global, tidak sebagaimana orang lain yang sentiasa mengambil peluang keemasan untuk mempromosikan bahasa mereka melalui medium yang berprestij seperti ini. Memanglah nama Exora lebih glamor dan lebih lunak untuk disebut berbanding dengan istilah-istilah tempatan yang mungkin dianggap oleh ‘sesetengah pihak’ sebagai istilah kampungan yang tidak layak untuk diantarabangsakan, tetapi asas yang kukuh kepada penentuan tersebut perlu dinyatakan kepada umum.
Mungkin dari perspektif ekonomi ada yang menganggap nama-nama yang berunsurkan tempatan ini tidak menunjukkan nilai komersial yang tinggi di kalangan pengguna khususnya di peringkat global. Namun bukti secara empirikal terhadap persoalan ini perlu ditunjukkan dengan jelas, sebab dalam masa yang sama pasaran Proton Waja dengan nama Proton Impian tetap mendapat sambutan baik di negara-negara Eropah, Asia Barat dan Pasifik meskipun namanya berasaskan tempatan. Nampaknya kita sudah semakin lari daripada paksi nilai patriotisme mengikut acuan kita sendiri. Nilai serta jati diri kita sedikit demi sedikit sudah mula longgar akibat daripada pengaruh dan nilai asing (khususnya nilai barat) yang sebenarnya kita sendiri dambakan. Itulah sebabnya satu persatu istilah bahasa kita sewenang-wenangnya digantikan dengan istilah orang lain atas nama ‘perkembangan positif’ dalam bahasa Melayu, tempat sudah menjadi lokasi, kedudukan sudah menjadi posisi, keadaan sudah menjadi situasi, tawaran sudah menjadi promosi, pertubuhan sudah menjadi organisasi dan entah apa-apa lagi perkataan yang pada hujungnya ‘si’ itu adalah kata pinjaman daripada perkataan bahasa Inggeris yang hujungnya ‘tion’. Alangkah sukarnya untuk melestarikan bahasa Melayu sekiranya kita sendiri tidak mencintai bahasa kita dengan sebenar-benarnya. Sekian.

20 Februari 2009

KL-Chini-‘KL’ via New Zealand

Jam 1.45 tengah hari, Rabu 18 Februari 2009 saya bergegas dari Kuala Lumpur ke Felda Gugusan Chini, Pekan, Pahang setelah bermesyuarat selama dua hari di Hotel Regency, Jalan Raja Alang. Perjalanan dari KL ke Chini mengambil masa kira-kira 4 jam melalui jalan lama Karak, Temerloh, Maran, Sri Jaya, jalan Kg. Belimbing, Paloh Hinai melalui Lebuh Raya Tun Razak dan terus ke simpang yang menghala ke Tasik Chini melalui Gugusan Felda Chini Timur. Saya tiba di simpang tersebut kira-kira jam 5.40 petang. Dari simpang tersebut saya terus ke tempat penginapan iaitu Kak Tam Homestay (Tel: 0148042881/0199165783) yang diuruskan oleh SPRJ Angkut Sdn. Bhd di Felda Chini 2. Tempatnya agak selesa siap dengan bilik berhawa dingin dan bayaran yang dikenakan ialah RM70 untuk satu malam. Jaraknya kira-kira satu km dari pekan kecil Chini. Kedai runcit dan gerai makan banyak terdapat di pusat pentadbiran pekan kecil ini. Pendeknya tiada masalah untuk makan dan minum bagi mereka yang bermusafir ke sini.
Jam 7.30 pagi 19 Februari 2009, saya bersarapan di salah sebuah gerai makanan di situ sebelum ke Sekolah Kebangsaan (LKTP) Chini 3 dan 5 yang terletak kira-kira 2 km dari tempat penginapan saya. Untuk ke sekolah ini saya melintasi dua buah sekolah iaitu SMK Chini dan SK (LKTP) Chini 2. Di hadapan kedua-dua buah sekolah ini didapati banyak motosikal diparkirkan berhampiran dengan pintu masuk utama sekolah. Ini menggambarkan sebahagian daripada murid-murid di situ menggunakan motosikal untuk ke sekolah. Saya tiba di SK (LKTP) Chini 3 dan 5 jam 8.25 pagi untuk menyelia latihan mengajar guru pelatih KPLI j-QAF Ambilan Januari 2008, Ustaz Zul Hairi bin Ahmad. Kelas yang akan dimasuki Ustaz Zul Hairi ialah Kelas 1 Iqra’ pada jam 9.15 hingga 10.15 pagi. Sebelum itu saya telah bertemu dengan Penolong Kanan 1 sekolah tersebut iaitu En. Hassan bin Ahmad dan beliau telah memaklumkan bahawa SK (LKTP) Chini 3 dan 5 kini mempunyai seramai 590 orang murid dan 40 orang guru. Seperti sekolah-sekolah lain yang saya pernah lawati, sekolah ini kelihatan ceria dan tenang sesuai dengan lokasinya di kawasan penempatan yang tersusun.
Melalui New Zealand
Saya beredar dari sekolah tersebut setelah membuat penyeliaan termasuk pencerapan klinikal keseluruhannya pada kira-kira jam 10.30 pagi. Kali ini saya tidak perlu melalui Gugusan Felda Chini Timur lagi, kerana dinasihatkan oleh guru-guru di situ agar saya melalui jalan Felda Chini 2 ke Mambang dan terus ke jambatan Paloh Hinai yang jaraknya lebih dekat berbanding melalui Felda Gugusan Chini Timur. Perjalanan dari Felda Chini 2 ke Paloh Hinai mengambil masa kira-kira setengah jam, manakala perjalanan dari Paloh Hinai melalui jalan Kg. Belimbing keluar ke jalan utama Sri Jaya mengambil masa kira-kira setengah jam lagi sekiranya perjalanan tidak terganggu memandangkan jalan-jalan tersebut lebih sempit dan tiada kaki lima. Sebelum dan selepas Kg. Sri Makmur terdapat dua kawasan tanah runtuh yang sedang dalam proses penyelenggaraan oleh pihak JKR. Ini merupakan kali kelima saya melalui jalan Kg. Belimbing yang sebelumnya saya melaluinya untuk ke bandar Pekan dan ke Program Bina Insan Guru (BIG) yang biasanya dibuat di Kg. Merchong, kira-kira 60 km dari bandar Pekan.
Dari jalan Kg. Belimbing saya tidak memasuki Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sebaliknya saya melalui pekan Sri Jaya dan terus menghala ke Maran. Apa yang menarik, saya telah melalui ‘New Zealand’ untuk ke Maran sebelum memasuki LPT. Tentu ada yang kurang percaya kerana umum hanya mengetahui terdapat satu New Zealand sahaja di dunia ini, iaitu negara New Zealand. Sebenarnya ‘New Zealand’ yang saya maksudkan ialah Kg. New Zealand yang nama asalnya Kg. Sungai Kertam, terletak kira-kira 13 km dari pekan Maran, Pahang dan 196 km dari Kuala Lumpur. Kg. New Zealand ialah salah sebuah tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang dibangunkan pada awal tahun 1960-an dahulu sebagaimana Felda Lurah Bilut, Felda LB Johnson, Felda Sendayan dan lain-lain lagi.
Saya memasuki LPT di Plaza Tol Maran tepat pada jam 12.00 tengah hari dan tiba di Plaza Tol Temerloh jam 12.30 tengah hari dengan bayaran tol RM6.00. Tiba di bandar Jerantut waktu azan Zohor dan singgah makan tengah hari di situ. Saya sekali lagi singgah di Masjid Kuala Tembeling untuk solat Zohor sebelum meneruskan perjalanan. Saya tiba di Kuala Lipis pada jam 2.15 petang. Demikian episod perjalanan yang meletihkan tetapi sarat dengan pengalaman baru dari KL-Chini-‘KL’ (Kuala Lipis) via New Zealand. Sekian.

15 Februari 2009

Pengkebumian Bapa Datuk Siti Nurhaliza

Hari ini Ahad 15 Februari 2009, jam 10.45 pagi bapa Datuk Siti Nurhaliza, Encik Taruddin bin Ismail telah meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang, Kuala Lumpur selepas tiga hari menjalani pembedahan jantung. Allahyarham sebelumnya jatuh di rumahnya akibat serangan jantung dan dibawa ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Saya sempat singgah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyang, Kuala Lipis yang terletak kira-kira 3 km dari kediaman kami semasa pengkebumian jenazah Allahyarham dibuat kira-kira jam 6.45 petang. Saya dapati ramai sanak saudara, rakan-rakan dan kenalan Allahyarham khususnya warga Lipis yang hadir di upacara tersebut memandangkan Allahyarham merupakan bapa kepada penyanyi nombor satu negara. Deretan kereta memenuhi kedua-dua belah jalan raya utama dan didapati pihak polis turut membuat kawalan lalu lintas berhampiran kawasan tersebut.
Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya Dato’ K, termasuk ibunya serta saudara terdekat kelihatan duduk di bawah kanopi yang disediakan semasa bacaan talkin dibuat oleh Tuan Imam Masjid Kampung Tempoyang. Cahaya lampu flash dari kamera para wartawan dan orang perseorangan tidak putus-putus menerangi suasana hampir senja di sepanjang upacara tersebut. Alfatihah untuk Allahyarham.

13 Februari 2009

SK Sulaiman, Bentong

Hari Khamis 12 Februari 2009, saya ke Sekolah Kebangsaan Sulaiman, Bentong untuk menyelia dua orang guru pelatih KPLI LPBS j-QAF Ambilan Januari 2008 iaitu Mohd Afiq Firdaus bin Mashudi dan Mohd Nazari bin Mansor. Mereka telah menjalani praktikum bermula pada 19 Januari 2009 dan akan berakhir pada 17 April 2009 iaitu selama 12 minggu. Dalam tempoh tersebut semua penyelia praktikum dikehendaki menyelia sebanyak 4 kali termasuk penyeliaan bersama Guru Pembimbing guru pelatih masing-masing. Oleh kerana minggu ini merupakan minggu keempat mereka menjalani praktikum, maka saya terpaksa membuat penyeliaan pertama untuk mereka.
Saya tiba di SK Sulaiman yang terletak kira-kira 98 km dari Kuala Lipis ini kira-kira jam 9.30 pagi. Dua orang guru pelatih tersebut telah sedia menunggu kedatangan saya kerana mereka telah dimaklumkan lebih awal. Saya kemudian dibawa berjumpa dengan Guru Besar sekolah iaitu En. Azor bin Yusof (gambar) yang baru sebulan lebih bertugas di sekolah ini. Guru Besar sebelumnya ialah Tn. Hj. Mansor bin Hj. Ridwan. Saya sudah mengenali En. Azor kira-kira 10 bulan dahulu semasa beliau menjadi Guru Besar di SK (LKTP) Sertik, Karak. Saya mengenalinya semasa membuat penyeliaan guru pelatih KPLI LPBS j-QAF dari Institut Perguruan Kuala Terengganu (kini IPGM, Kampus Datuk Razali Ismail, Kuala Terengganu) pada 17 dan 23 April 2008 yang lalu.
SK Sulaiman merupakan sekolah yang tertua dan terbesar di Daerah Bentong. Sekolah yang asalnya bernama Anglo Chinese School dan Government English School, Bentong ini kini mempunyai 67 orang guru dan 929 orang murid termasuk murid-murid Prasekolah. Oleh kerana kedudukannya yang terletak di tengah-tengah bandar Bentong, bagi saya sekolah ini merupakan contoh yang terbaik sebagai sekolah yang berbilang kaum murid-muridnya. Saya juga amat tertarik dengan bangunan klasik (dipercayai asalnya sebuah gereja) yang masih dikekalkan dan dijadikan dewan atau gymnasium sekolah selain daripada beberapa blok bangunan lama yang masih digunakan.
Jam 10.10 pagi, penyeliaan bermula di Bilik j-QAF dengan Ustaz Mohd Afiq Firdaus mengajar Pemulihan Jawi. Murid pemulihan yang diajarnya seramai 5 orang dari kelas 1 Wira, tetapi seorang didapati tidak hadir ke sekolah. Kelas tersebut berakhir pada jam 11.10 pagi. Manakala penyeliaan kedua iaitu Ustaz Mohd Nazari bermula jam 11.40 pagi dan berakhir sejam kemudian. Kelas ini mempunyai seramai 8 orang murid pemulihan, juga seorang murid tidak hadir. Saya dapati kedua-dua orang guru pelatih ini dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik, terutama sekali Ustaz Mohd Nazari yang sudah biasa menjadi GSTT sebelum menjadi guru pelatih KPLI LPBS j-QAF mulai Januari 2008. Saya beredar dari sekolah tersebut kira-kira jam 1.00 tengah hari setelah mengadakan apa yang dikatakan dalam pencerapan klinikal ‘konferen pospemerhatian’ selepas pengajaran guru pelatih dibuat. Sekian.

09 Februari 2009

Syabas SMTSHAS

Pada 7 Februari 2009, saya menghadiri Program Bicara Kecemerlangan di sekolah anak keempat kami, Sekolah Menengah Teknik Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah, Kuala Lipis (SMTSHAS) yang terletak kira-kira 12 km dari kediaman kami. Program ini merupakan program yang dirangka khas untuk kecemerlangan pelajar yang bakal menduduki SPM pada akhir tahun 2009 nanti. Sebagai ibu bapa, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga SMTSHAS kerana menjadi salah sebuah daripada dua SMT yang mendapat Anugerah Kecemerlangan Kualiti sepanjang tahun 2008 yang lepas.
Menurut taklimat yang disampaikan, dari segi kecemerlangan akademik SMTSHAS kini berada di tempat ke 25 daripada 90 SMT di seluruh negara, tempat ke 4 daripada 69 buah SMT yang naikkan taraf vokasional kepada teknik dan tempat ke 2 daripada 10 buah SMT di seluruh Pahang. Selain itu SMTSHAS juga mengatasi 8 buah SMT tulen di seluruh negara. Sebanyak 13 daripada 26 mata pelajaran di sekolah ini menduduki tempat pertama dari segi kecemerlangan di kalangan SMT seluruh negeri Pahang. Kini SMTSHAS ke arah sekolah kluster cemerlang menjelang 2010 dengan target kelulusan SPM 100% dan GPS 4.00. Kita doakan agar dengan sokongan dan kesungguhan para pelajar, guru, PIBG dan ibu bapa hasrat ini akan tercapai.
Oleh itu, untuk menjayakan objektif tersebut SMTSHAS akan mengadakan Program Kecemerlangan Pelajar Tingkatan 5 2009 dengan pelbagai aktiviti yang tentunya memerlukan banyak perbelanjaan. Pihak sekolah telah mencadangkan setiap ibu bapa menyumbangkan RM100 seorang (untuk program setahun) bagi membiayai pelbagai aktiviti dalam program tersebut dengan dua kali bayaran. Cadangan ini telah mendapat pelbagai pandangan daripada para ibu bapa, ada yang menyokong dengan jumlah dan cara bayaran tersebut, ada yang menyokong jumlahnya tetapi cara bayarannya dipanjangkan, tidak kurang juga ada yang tidak bersetuju dengan jumlah itu dengan alasan-alasan yang tertentu dan sebagainya.
Saya turut memberi pandangan dalam sesi perbincangan tersebut. Saya bersetuju dengan jumlah itu tetapi cara pembayarannya dicadangkan dibuat sebanyak tiga kali dalam masa tiga bulan. Memang benar wang RM100 dapat dilihat dalam perspektif yang berbeza, orang kaya mengatakan terlalu kecil nilainya, yang sederhana mengatakan mencukupi dan yang miskin tentunya mengatakan nilai itu terlalu banyak bagi mereka. Malangnya masih ada ibu bapa yang sanggup mempertikaikan apabila isu sumbangan kewangan untuk pendidikan anak-anak dibangkitkan. Masalah seperti ini sering kali dibahaskan dengan penuh emosi dalam mana-mana Mesyuarat Agung PIBG. Tetapi dalam masa yang sama kita terlupa bahawa setiap bulan kita sebenarnya banyak menghabiskan wang lebih daripada RM100 untuk membelanjakan terhadap benda-benda yang tidak sepatutnya diberi keutamaan. Ada yang sanggup melanggan Astro dengan pakej melebihi RM100.00 sebulan, ada yang membiayai top-up telefon bimbit anak-anak yang masih bersekolah berpuluh-puluh RM sebulan dan sebagainya.
Wang RM100 kalau kita cerakinkan kepada 10 bulan, baru RM10.00 sebulan dan jika dikecilkan lagi kepada hari, baru 33 sen sahaja sehari. Kadang-kadang kita tidak menyedari ketika anak-anak memerlukan wang untuk perbelanjaan di sekolah, dalam masa yang sama kita menukar rim sport kereta, membeli pakaian berjenama yang mahal-mahal dan sebagainya tanpa banyak berfikir. Justeru itu, sebagai ibu bapa atau penjaga marilah kita sama-sama merenung kembali agar kita dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam keutamaan perbelanjaan kita seharian. Sebaik-baiknya kita utamakanlah perbelanjaan untuk pendidikan dan kesihatan anak-anak dan keluarga. Syabas SMTSHAS. Sekian.

05 Februari 2009

Cuti Tahun Baru Cina: Anda Ke Mana?

Cuti umum Tahun Baru Cina 2009 telah berlalu kira-kira seminggu yang lalu. Kami diberi cuti seminggu atau lebih tepat 9 hari termasuk dua kali Sabtu dan Ahad mulai 24 Januari hingga 2 Februari 2009. Walau bagaimanapun cuti pada 29 dan 30 Januari 2009 ialah cuti berganti iaitu kuliah diganti pada hari Sabtu 17 Januari 2009 dan 14 Februari 2009. Meskipun cuti agak panjang namun kami tidak ke mana-mana memandangkan cuti persekolahan baru sahaja bermula tiga minggu sebelumnya. Apabila melihat kepada deretan kenderaan yang balik kampung terasa juga untuk berbuat demikian, tetapi apabila memikirkan penatnya perjalanan ditambah pula dengan kesesakan di jalan raya, niat itu kami abaikan.
Untuk menghabiskan cuti yang agak panjang dengan tidak ke mana-mana sebenarnya amat membosankan, lebih malang lagi talian internet di kawasan kediaman kami langsung tidak berfungsi pada sepanjang musim cuti tersebut. Walau bagaimanapun masa tetap juga berjalan tanpa mempedulikan sama ada kita mengisi atau tidak ruang waktunya. Pada hari Tahun Baru Cina iaitu 26 Januari 2009 kami mempunyai dua jemputan kahwin, pertamanya di pekan Merapoh rumah rakan lama semasa bertugas di Sabah dahulu iaitu Cikgu Ibrahim yang kini Penolong Kanan 1 di SK Merapoh dan keduanya di Temerloh rumah rakan setugas En. Dzulkarnain Mat, Ketua Unit Disiplin Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPTAA. Malangnya kami tidak dapat menghadirkan diri di kedua-dua tempat tersebut kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Kami memohon maaf atas ketidakhadiran tersebut.
Melihat keadaan anak-anak yang kelihatan ’boring’ terutama yang pulang bercuti dari KL, maka pada hari Selasa 27 Januari 2009 kami mengambil keputusan untuk berkelah di hutan lipur Pulau Cekas, Raub. Jaraknya kira-kira 60 km dari kediaman kami. Namanya unik ’Pulau Cekas’ walaupun lokasinya di pedalaman bukan di kawasan laut atau pantai. Saya berpendapat bahawa nama ’pulau’ tersebut merujuk kepada tanah yang dikelilingi jeram dan anak sungai yang terdapat di kawasan itu. Hutan lipur inilah merupakan salah satu tempat berkelah yang terbaik di daerah Pahang Barat ini. Sekiranya saudara mara kami datang berkunjung ke Lipis, tempat ini adalah antara yang termasuk dalam senarai tempat yang kami kunjungi.
Semasa kami tiba jam 10.00 pagi Pulau Cekas masih lagi sepi, yang kelihatan cuma lima enam buah kereta sahaja. Jadi kami bebas memilih tempat yang strategik untuk memasang khemah dan meletakkan barang-barang makanan. Namun semakin tinggi matahari, semakin ramai pengunjung yang datang, terutama sekali menjelang tengah hari sehinggalah ke sebelah petang. Mengikut salah seorang penjaja makanan di situ, hari itu merupakan hari ketiga ramainya pengunjung ke situ sempena musim cuti ini. Itulah sebabnya semasa kunjungan kami keadaannya kelihatan tidak terurus sebagaimana semasa kami datang kira-kira 6 bulan dahulu. Tandas awam kotor, najis melimpah dan air paipnya bocor, surau berhabuk dan paip airnya patah, sampah sarap yang memenuhi tong-tong sampah tidak dikutip dan persekitarannya kelihatan tidak ceria sebagaimana dahulu. Memang benar, berdasarkan koleksi gambar-gambar terdahulu, kami dapat bandingkan suasana persekitaran hutan lipur tersebut masa dahulu dan sekarang.
Walau apapun keadaannya kami tetap juga berkelah bagi memenuhi aktiviti pada hari cuti tersebut. Jam 3.30 petang kami beredar dari Pulau Cekas ke TF Value Supermarket yang terletak di pinggir bandar Raub untuk membeli barangan keperluan. Apabila tiba di simpang Dong, kira-kira 15 km dari bandar Raub kami dapati deretan kenderaan yang tidak putus-putus menuju ke arah Raub atau KL, sebab besoknya 28 Januari 2009 mereka telah mula bekerja semula kecuali bagi yang mengambil cuti pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat. Antara mahu atau tidak kami meneruskan juga perjalanan hingga ke TF dalam keadaan ’traffic jam’ yang bermula dari hadapan SM Sains Tengku Abdullah kira-kira 5 km dari lampu isyarat Simpang Kalang, Raub.
Semasa perjalanan balik selepas membeli-belah, kami dapati deretan kenderaan yang bergerak perlahan menuju ke arah KL bermula dari Kampung Gali Lurus, iaitu kira-kira 10 km dari lampu isyarat tempat berpuncanya ’traffic jam’ tersebut. Sekiranya keadaan kesesakan tersebut berlaku semasa kami dalam perjalanan ke arah Raub tadi, sudah tentu kami membatalkan sahaja niat untuk membeli-belah pada hari berkenaan. Demikian halnya, apabila terdapat cuti umum yang bersambung dengan cuti hujung minggu maka berlakulah kesesakan lalu lintas di sana sini. Sukar untuk saya bayangkan bagaimana keadaan aliran trafik di tol-tol untuk memasuki KL umpamanya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Jalan Ipoh apabila musim cuti seperti itu berakhir. Sekian.