Memetik tulisan Zin Mahmud dalam ruangan Untung Sabut Timbul di muka 9, akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 22 Februari 2009, yang berbunyi:“Ketika kereta nasional mula diperkenalkan, tentunya rakyat negara ini berbangga dengan nama Saga, Iswara, Satria, Waja dan Juara. Begitu juga dengan Perodua yang memiliki nama seperti Kancil, Rusa, Kelisa dan Kenari. Lepas itu nama Melayu hilang.
Nasib baik Naza memperkenalkan nama Citra, Ria dan Sutra. Kadang kala rakyat negara ini sudah tidak berbangga dengan nama ibunda, kononnya tidak sedap didengar”.
Teruja dengan tulisan tersebut, saya terpanggil untuk memberi sedikit pandangan berhubung dengan isu ini memandangkan kepesatan industri otomobil negara yang turut dikongsi kebanggaannya oleh seluruh rakyat Malaysia nampaknya sudah mula lari daripada unsur patriotisme terhadap bahasa sendiri dalam pemberian nama kereta keluaran negara. Buktinya beberapa model terakhir kereta buatan Malaysia kini telah ‘mendapat’ nama yang tersimpang jauh daripada istilah bahasa Melayu yang ternyata kaya dengan segala unsur keindahannya. Umpamanya dua model terakhir keluaran
Perodua diberi nama Myvi dan Viva. ‘Myvi’ yang ditafsirkan sebagai ‘My Vehicle’ atau ‘Keretaku’, manakala istilah ‘viva’ mengikut kamus Longman Dictionary of Contemporary English membawa maksud menunjukkan reaksi gembira terhadap sesuatu kejayaan yang diperolehi. Sebenarnya banyak nama indah dalam bahasa kita sendiri yang boleh mengambil tempat nama-nama tersebut.Syarikat Proton pula telah memberi nama kepada kereta keluarannya Savvy dan yang mutakhir ialah Exora bagi kereta pelbagai guna terbarunya. Perkataan ‘savvy’ mengikut kamus Longman Dictionary of Contemporary English i. tergolong sebagai kata nama bagi sesuatu benda yang tidak boleh dikira (uncountable) dengan maksud informal practical knowledge and ability ii. tergolong sebagai kata adjektif dalam bahasa Inggeris Amerika (American English). Proton
tentunya mempunyai alasan tersendiri mengapa nama ini dipilih untuk produk tersebut. Namun walau apapun alasan yang diberikan, yang nyata nama yang berteraskan unsur-unsur tempatan sebagaimana yang diberikan kepada keluaran-keluaran terdahulu telah hilang sama sekali.Lebih mengecewakan lagi nama Exora bagi kereta pelbagai guna terbaru Proton tidak tergolong dalam leksikal mana-mana bahasa. Ini dinyatakan sendiri oleh pihak Proton dalam kenyataan akhbar pada 19 Februari 2009 dengan menyatakan “....Perkataan Exora tidak wujud”.
Sedih kita mendengar pernyataan sedemikian yang seolah-seolah tiada satu pun leksikal tempatan yang layak diketengahkan ke peringkat global, tidak sebagaimana orang lain yang sentiasa mengambil peluang keemasan untuk mempromosikan bahasa mereka melalui medium yang berprestij seperti ini. Memanglah nama Exora lebih glamor dan lebih lunak untuk disebut berbanding dengan istilah-istilah tempatan yang mungkin dianggap oleh ‘sesetengah pihak’ sebagai istilah kampungan yang tidak layak untuk diantarabangsakan, tetapi asas yang kukuh kepada penentuan tersebut perlu dinyatakan kepada umum.Mungkin dari perspektif ekonomi ada yang menganggap nama-nama yang berunsurkan tempatan ini tidak menunjukkan nilai komersial yang tinggi di kalangan pengguna khususnya di peringkat global. Namun bukti secara empirikal terhadap persoalan ini perlu ditunjukkan dengan jelas, sebab dalam masa yang sama pasaran Proton Waja dengan nama Proton Impian tetap mendapat sambutan baik di negara-negara Eropah, Asia Barat dan Pasifik meskipun namanya berasaskan tempatan. Nampaknya kita sudah semakin lari daripada paksi nilai patriotisme mengikut acuan kita sendiri. Nilai serta jati diri kita sedikit demi sedikit sudah mula longgar akibat daripada pengaruh dan nilai asing (khususnya nilai barat) yang sebenarnya kita sendiri dambakan. Itulah sebabnya satu persatu istilah bahasa kita sewenang-wenangnya digantikan dengan istilah orang lain atas nama ‘perkembangan positif’ dalam
bahasa Melayu, tempat sudah menjadi lokasi, kedudukan sudah menjadi posisi, keadaan sudah menjadi situasi, tawaran sudah menjadi promosi, pertubuhan sudah menjadi organisasi dan entah apa-apa lagi perkataan yang pada hujungnya ‘si’ itu adalah kata pinjaman daripada perkataan bahasa Inggeris yang hujungnya ‘tion’. Alangkah sukarnya untuk melestarikan bahasa Melayu sekiranya kita sendiri tidak mencintai bahasa kita dengan sebenar-benarnya. Sekian.
1 ulasan:
Salam.
Ulasan ini bernas dan menarik. Mari kita tingkatkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan kita dalam kalangan anak didik kita.
Teruskan usaha tuan di sini. Bersuaralah di alam nyata.
Wassalam.
Catat Ulasan