Cuti umum Tahun Baru Cina 2009 telah berlalu kira-kira seminggu yang lalu. Kami diberi cuti seminggu atau lebih tepat 9 hari termasuk dua kali Sabtu dan Ahad mulai 24 Januari hingga 2 Februari 2009. Walau bagaimanapun cuti pada 29 dan 30 Januari 2009 ialah cuti berganti iaitu kuliah diganti pada hari Sabtu 17 Januari 2009 dan 14 Februari 2009. Meskipun cuti agak panjang namun kami tidak ke mana-mana memandangkan cuti persekolahan baru sahaja bermula tiga minggu sebelumnya. Apabila melihat kepada deretan kenderaan yang balik kampung terasa juga untuk berbuat demikian, tetapi apabila memikirkan penatnya perjalanan ditambah pula dengan kesesakan di jalan raya, niat itu kami abaikan.
Untuk menghabiskan cuti yang agak panjang dengan tidak ke mana-mana sebenarnya amat membosankan, lebih malang lagi talian internet di kawasan kediaman kami langsung tidak berfungsi pada sepanjang musim cuti tersebut. Walau bagaimanapun masa tetap juga berjalan tanpa mempedulikan sama ada kita mengisi atau tidak ruang waktunya. Pada hari Tahun Baru Cina iaitu 26 Januari 2009 kami mempunyai dua jemputan kahwin, pertamanya di pekan Merapoh rumah rakan lama semasa bertugas di Sabah dahulu iaitu Cikgu Ibrahim yang kini Penolong Kanan 1 di SK Merapoh dan keduanya di Temerloh rumah rakan setugas En. Dzulkarnain Mat, Ketua Unit
Disiplin Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPTAA. Malangnya kami tidak dapat menghadirkan diri di kedua-dua tempat tersebut kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Kami memohon maaf atas ketidakhadiran tersebut.Melihat keadaan anak-anak yang kelihatan ’boring’ terutama yang pulang bercuti dari KL, maka pada hari Selasa 27 Januari 2009 kami mengambil keputusan untuk berkelah di hutan lipur Pulau Cekas, Raub. Jaraknya kira-kira 60 km dari kediaman kami. Namanya unik ’Pulau Cekas’ walaupun lokasinya di pedalaman bukan di kawasan laut atau pantai. Saya berpendapat bahawa nama ’pulau’ tersebut merujuk kepada tanah yang dikelilingi jeram dan anak sungai
yang terdapat di kawasan itu. Hutan lipur inilah merupakan salah satu tempat berkelah yang terbaik di daerah Pahang Barat ini. Sekiranya saudara mara kami datang berkunjung ke Lipis, tempat ini adalah antara yang termasuk dalam senarai tempat yang kami kunjungi.Semasa kami tiba jam 10.00 pagi Pulau Cekas masih lagi sepi, yang kelihatan cuma lima enam buah kereta sahaja. Jadi kami bebas memilih tempat yang strategik untuk memasang khemah dan meletakkan barang-barang makanan. Namun semakin tinggi matahari, semakin ramai pengunjung yang datang, terutama sekali menjelang tengah hari sehinggalah ke sebelah petang. Mengikut salah seorang penjaja makanan
di situ, hari itu merupakan hari ketiga ramainya pengunjung ke situ sempena musim cuti ini. Itulah sebabnya semasa kunjungan kami keadaannya kelihatan tidak terurus sebagaimana semasa kami datang kira-kira 6 bulan dahulu. Tandas awam kotor, najis melimpah dan air paipnya bocor, surau berhabuk dan paip airnya patah, sampah sarap yang memenuhi tong-tong sampah tidak dikutip dan persekitarannya kelihatan tidak ceria sebagaimana dahulu. Memang benar, berdasarkan koleksi gambar-gambar terdahulu, kami dapat bandingkan suasana persekitaran hutan lipur tersebut masa dahulu dan sekarang.Walau apapun keadaannya kami tetap juga berkelah bagi memenuhi aktiviti pada hari cuti
tersebut. Jam 3.30 petang kami beredar dari Pulau Cekas ke TF Value Supermarket yang terletak di pinggir bandar Raub untuk membeli barangan keperluan. Apabila tiba di simpang Dong, kira-kira 15 km dari bandar Raub kami dapati deretan kenderaan yang tidak putus-putus menuju ke arah Raub atau KL, sebab besoknya 28 Januari 2009 mereka telah mula bekerja semula kecuali bagi yang mengambil cuti pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat. Antara mahu atau tidak kami meneruskan juga perjalanan hingga ke TF dalam keadaan ’traffic jam’ yang bermula dari hadapan SM Sains Tengku Abdullah kira-kira 5 km dari lampu isyarat Simpang Kalang, Raub.
Semasa perjalanan balik selepas membeli-belah, kami dapati deretan kenderaan yang bergerak perlahan menuju ke arah KL bermula dari Kampung Gali Lurus, iaitu kira-kira 10 km dari lampu isyarat tempat berpuncanya ’traffic jam’ tersebut. Sekiranya keadaan kesesakan tersebut berlaku semasa kami dalam perjalanan ke arah Raub tadi, sudah tentu kami membatalkan sahaja niat untuk membeli-belah pada hari berkenaan. Demikian halnya, apabila terdapat cuti umum yang bersambung dengan cuti hujung minggu maka berlakulah kesesakan lalu lintas di sana sini. Sukar untuk saya bayangkan bagaimana keadaan aliran trafik di tol-tol untuk memasuki KL umpamanya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Jalan Ipoh apabila musim cuti seperti itu berakhir. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan