RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

05 Julai 2012

Selamat Tinggal Telegram


Setiap kali permulaan kuliah bahasa Melayu, saya biasanya akan menerangkan tentang tahap-tahap pemerolehan bahasa yang dilalui oleh seseorang kanak-kanak sebelum mereka boleh menguasai ayat-ayat dewasa. Salah satu tahapnya ialah tahap telegrafik (telegraphic stage). Tahap telegrafik adalah merujuk kepada tahap pertuturan kanak-kanak yang menggunakan dua atau tiga patah perkataan sebagaimana bahasa yang digunakan dalam telegram. Lalu rata-rata para pelajar saya akan bertanya “Apa dia telegram? Macam pernah dengar, tetapi tidak tahu apa bendanya.” Saya kemudian terpaksa menerangkan dengan terperinci apa dia maksud telegram kepada ‘generasi baru’ ini supaya mereka dapat memahami sepenuhnya tajuk pengajaran saya tersebut.
Istilah ‘telegram’ bagi generasi lama bukanlah sesuatu yang asing kerana sistem telekomunikasi klasik ini biasa digunakan pada zamannya. Tetapi kepada ‘generasi baru’ yang lahir di tengah-tengah kewujudan sistem telekomunikasi moden ini tentunya amat sukar untuk mereka bayangkan dengan tepat apa dia telegram. Mengikut sejarah sistem telekomunikasi ini digunakan di negara ini seawal tahun 1874, yang digunakan oleh Jabatan Pos dan Telegraf dari Kuala Kangsar ke Taiping. Kemuncak penggunaan telegram di negara ini ialah pada sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, yang mana telegram merupakan satu-satunya alat komunikasi untuk menghantar mesej teks ringkas dengan cepat yang menjadikan ia salah satu perkhidmatan yang paling penting pada masa itu.
Mulai 1 Julai 2012, perkhidmatan telegram telah ditamatkan dengan rasminya memandangkan kos penyelenggaraan yang tinggi serta saingan perkembangan teknologi komunikasi semasa. Ini bermakna sistem telekomunikasi yang diperkenalkan sejak 138 tahun itu telah berakhir dan hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Banyak negara telah menamatkan perkhidmatan telegram atas sebab-sebab yang sama. Salah seorang staf yang telah lama berkhidmat dengan Syarikat Telekom Malaysia berkata "Kami generasi lama TM amat merasai kehilangan telegram kerana ia merupakan satu alat komunikasi yang amat penting terutama untuk menyampaikan berita-berita kecemasan. Bagaimanapun perkembangan teknologi membuatkannya kini terpinggir," Selamat tinggal telegram.

Tiada ulasan: