RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

24 Julai 2012

Malam Wacana Dialektologi 2012


Jabatan Pengajian Melayu IPGKTAA telah berjaya mengadakan Malam Wacana Dialektologi 2012 pada hari Selasa 10 Julai 2012 di Dewan Darul Makmur IPGKTAA. Acara penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh En. Mohd. Nordin Abdullah, Setiausaha Akademik IPGKTAA mewakili Tuan Pengarah. Program budaya yang bercorak pertandingan ini telah menampilkan 10 persembahan yang berkonsepkan budaya dan dialek mengikut negeri-negeri yang terdapat di Malaysia. Persembahan selama 2 setengah jam yang julung kali diadakan ini telah menarik minat pelajar semua kaum.  
Penyelaras Program, En. Zakaria Khalid menyatakan program ini merupakan satu usaha untuk membudayakan aktiviti perkongsian idea dan maklumat terkini yang berkaitan dengan dialek dan budaya yang terdapat di negara ini. Persembahan Malam Wacana Dialektologi 2012 menggambarkan penggunaan dialek-dialek serta amalan berbudaya dan berbahasa yang diamalkan mengikut kawasan atau isogloss dialek masing-masing.  Melalui program ini diharapkan akan dapat memberi peluang kepada guru-guru pelatih menerapkan amalan berbudaya dan berbahasa di samping dapat melontarkan pelbagai idea baru berkaitan dengan amalan terkini untuk dikongsi bersama oleh para pendidik.

Program ini juga diharapkan akan membuka minda seluruh warga pendidik tentang perlunya pemahaman dan menghayati dialek-dialek Melayu ke arah peningkatan profesionalisme keguruan keseluruhannya. Program ini berhasrat untuk melahirkan individu guru yang mantap dari sudut berbahasa dan berbudaya semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas apabila mereka berada di pasaran kerja nanti.

Antara kumpulan yang mempersembahkan persembahan mereka ialah kumpulan pelajar Sarawak dengan judul ‘Lagenda Puteri Santubung’, kumpulan pelajar Utara bertajuk ‘Mai Cheq Mai Utaqa’, kumpulan pelajar Pahang bertajukMatwe Koi’, kumpulan pelajar Selangor dan Kuala Lumpur bertajuk ‘Ngetin Tahunan’, kumpulan pelajar Negeri Sembilan bertajuk ‘Ongbak Tinju’, kumpulan pelajar Perak bertajuk ‘Durian Runtuh’, kumpulan pelajar Kelantan bertajuk ‘Kelate Kito’, kumpulan pelajar Terengganu bertajuk ‘Mari Gok Ganu Kite Ni’, kumpulan pelajar Sabah bertajuk ‘Tadau Tagazo do Kaamatan’ dan kumpulan pelajar Johor bertajuk ‘Rewang’.
Selain 10 kumpulan yang bertanding, para penonton juga dihiburkan dengan persembahan kumpulan pelajar kaum Cina yang berjudul ‘Lagu Rakyat’, kumpulan pelajar kaum India mempersembahkan ‘Colours of India’ yang berkonsepkan tarian dan nyanyian, dan persembahan yang agak menarik ialah daripada kumpulan pelajar kaum Peribumi yang berjudul ‘Cermor Mai Hik Bah Loit’. Johan Malam Wacana Dialektologi 2012 telah dimenangi oleh kumpulan pelajar Terengganu yang bertajuk ‘Mari Gok Ganu Kite Ni’, Naib Johan ialah kumpulan pelajar Kelantan yang bertajuk ‘Kelate Kito’ dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan pelajar Pahang yang bertajukMatwe Koi’. Sekian.

Tiada ulasan: