Bulan
Ramadan sudah berlalu lebih seminggu yang lalu dan kita sudah hampir masuk minggu
yang ketiga bulan Syawal 1435. Umat Islam di seluruh dunia telah menyambut Hari
Raya pada 1 Syawal yang bersamaan dengan 28 Julai 2014, iaitu hari Isnin dua
minggu lepas. Setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan yang lalu, maka semuanya
telah menyambut Aidilfitri dengan kemeriahan mengikut cara dan kemampuan
masing-masing. Justeru itu tidak sedikit daripada kita yang telah
berhabis-habisan berbelanja untuk menyambut ketibaan hari yang mulia tersebut, yang
seolah-olah hari-hari selepasnya kita tidak lagi perlu berbelanja. Oleh itu
selepas tamatnya musim perayaan, ada di antara masyarakat kita yang menghadapi
masalah kewangan akibat daripada sikap ‘berhabis-habisan’ atau ‘pulun sakan’ sebelum
Hari Raya tersebut.
Mengikut
Pengurus Besar Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), “Sudah menjadi trend, bila habis Hari Raya
pasti ramai datang untuk mendapatkan kaunseling dan mengadu masalah kewangan.
Kebanyakan mereka mengaku berbelanja terlalu boros tanpa mengambil kira
kemampuan diri dan ramai juga yang terbeban dengan komitmen hutang yang tidak
berbayar”. Trend bergaya dengan kemewahan yang sebenarnya kita tidak mampu
miliki ini merupakan tindakan yang sangat besar risikonya.
Malangnya
ada di antara golongan ini yang sanggup membuat pinjaman peribadi daripada bank
atau koperasi tertentu semata-mata untuk mengadakan rumah terbuka yang gah
dengan hidangan yang lazat-lazat. Mereka akan merasa megah jika namanya
disebut-sebut kerana dapat mengadakan majlis rumah terbuka yang begitu hebat
dengan kunjungan yang ramai. Tetapi pada hakikatnya mereka tidak menyedari
bahawa akhirnya mereka terpaksa membayar hutang kepada apa yang telah di’gah’nya
tersebut.
Oleh
itu sama-samalah kita saling ingat mengingati antara satu sama lain agar pada
masa akan datang kita semua dapat berbelanja secara berhemah dengan kadar
kemampuan sendiri demi kesejahteraan hidup keluarga masing-masing. Sekian.
