RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya" Surah Al-Maidah Ayat 2.

08 Mac 2011

Kuala Lipis Dalam "Sejarah Pahang"

Nama Kuala Lipis telah dicatat dalam 23 halaman buku Sejarah Pahang hasil tulisan Haji Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 1984. Berikut ialah sebahagian daripada keseluruhan petikan berkaitan yang terdapat dalam buku tersebut:

  1. Clifford dan rombongannya telah bertolak meninggalkan Penjum dengan sebuah rakit besar lengkap dengan rumah rehat di atasnya, menghilir lagi di Sungai Lipis, sampai ke Kuala Lipis dan masuk ke Sungai Jelai, menghilir lagi, sampai ke Kuala Tembeling di persimpangan Sungai Jelai dengan Sungai Tembeling dan menghilir Sungai Pahang pula (m.s. 246).
  2. Pada akhir bulan September itu juga anggota polis bangsa Sikh seramai lima puluh orang lagi di bawah pimpinan seorang pegawai polis bernama Suraim Singh dari Singapura telah dihantar ke Pahang, dan kebanyakan dari mata-mata itu telah ditempatkan di Kuala Lipis (hulu Pahang) (m.s. 284).
  3. Beberapa tahun kemudian apabila dikemukakan cadangan kepada Sultan Ahmad supaya ibu negeri Pahang di Kuala Lipis itu dipindahkan ke satu tempat lain yang lebih sesuai, baginda tidak bersetuju untuk meninggalkan Kuala Lipis, kerana menurut baginda, tanah tempat itu telah disucikan dengan pertumpahan darah (Haji Wan Daud) (m.s. 287).
  4. Dalam tahun itu ditambah lagi lima puluh orang mata-mata Sikh. Pada masa itulah Kuala Lipis telah dijadikan ibu pejabat pasukan polis bagi daerah Hulu Pahang dan Inspektor Summer dijadikan inspektor polis mengetuai pasukan polis di situ (m.s. 288).
  5. Pada pertengahan bulan Februari 1890 itu juga, Hugh Clifford yang telah menghabiskan cutinya telah kembali ke Pekan. Dari Pekan ia telah memudiki Sungai Pahang pergi ke Kuala Lipis dan pada 1 haribulan Mac 1890 ia mula memegang jawatannya di Kuala Lipis menggantikan pemangkunya W. C. Mitchell sebagai Penguasa di Hulu Pahang (m.s. 293).
  6. Dalam penghujung bulan Disember 1890 itu, Sultan Ahmad dengan diiringi oleh orang-orang besar serta pengawal baginda telah melawat Kuala Lipis dan di sana baginda telah diraikan oleh Pemangku Residen British (Hugh Clifford). Setelah itu baginda berangkat melawat Bukit Betong dan telah disambut dengan meriahnya oleh Maharaja Perba orang besar di Jelai itu (m.s. 294).
  7. Esoknya Sultan Pahang dan Rodger serta Tengku Ali putera baginda (adik Tengku Mahmud) dengan beberapa orang besar Pahang, yang membawa satu angkatan mengandungi lebih kurang seribu orang telah memasuki lembangan Sungai Semantan. Hugh Clifford telah pergi dan berjaga di Kuala Lipis. Pada masa itu Tengku Mahmud sedang gering di Pekan (m.s. 307).
  8. Apabila Tok Raja dan Orang Kaya Lipis sampai di Pulau Tawar dan berjumpa Sultan Pahang, baginda telah mengajak mereka bersama-sama mudik balik ke Kuala Lipis. Pada 25 haribulan April 1892 Ahmad serta kedua orang besar itu telah sampai di Kuala Lipis. Dalam pertemuan dengan Hugh Clifford di Kuala Lipis itu antara lain Sultan Ahmad telah mengatakan kepada Clifford bahawa orang besar baginda tidak lagi mentaati perintah baginda, dan rancangan hendak menyerang Kuala Lipis itu bukanlah baginda yang membuatnya. Esoknya Sultan Ahmad berangkat pulang ke Pulau Tawar, dua hari selepas itu Tok Raja dan Orang Kaya Lipis balik ke tempat masing-masing (m.s. 320).
  9. Apabila Batu Hampar dan Lubuk Terua dapat diambil semula oleh pihak kerajaan, Haji Muhammad Nur yang dibantu oleh Imam Perang Sanggang, Orang Kaya Indera Segara Temerloh, Tok Umbi, Pahlawan Lawi, Tok Jenid Chenor, Wan Ahmad Tembeling dan Panglima Raja Ya’akub membawa satu pasukan kerajaan telah meneruskan gerakan mereka mengejar orang-orang Melayu pengikut Datuk Bahaman yang lari ke dalam hutan yang terletak antara Semantan dengan Daerah Lipis. Hugh Clifford di Kuala Lipis diperintahkan membawa pasukannya mencari dan mengejar pihak penentang British itu dari arah Kuala Lipis pula (m.s. 322).
  10. Pada 14 haribulan Ogos 1945 itu juga, Sultan Abu Bakar Pahang telah dipersilakan oleh pegawai tinggi Jepun yang menjadi “Gabenor Pahang” datang ke Kuala Lipis untuk satu perjumpaan. Dalam perjumpaan yang telah diadakan di Kuala Lipis pada 15 haribulan Ogos 1945 baginda telah mendengar ucapan “Gabenor Pahang” itu mengenai “Tindakan Tidak Bekerjasama” (non co-operation) dan “Gabenor” itu telah menghadiahkan kepada baginda beberapa helai kain tetapi tidak sedikitpun pegawai Jepun itu membayangkan atau menceritakan mengenai kerajaan Jepun telah menyerah kalah itu (m.s. 422).

2 ulasan:

Dr. Aminudin Abdul Karim berkata...

Sejarah Lipis lebih agong dari itu, sila lihat buku kajian saya tentang Lembah Bama (kuala Lipis) sebagai Pusat Perdagangan Asia Tenggara Yang Terawal (buku ini boleh didapati diPerpustakaan Awam Kuala Lipis atau Perpustakaan Desa Kg Relong.Saya juga percaya Sejarah Melayu yang dikatakan ditulis oleh Tansri Lanang adalah tidak betul tetapi ditulis oleh orang Lembah Bama (kuala Lipis) ini berdasarkan Kajian saya terhadap Hikayat Seri Rama Sebagai Naskhah Tertua diNusantara.Buku ini boleh didapati diPerpustakaan Negara Jalan Tun Razak,KL.Hugh Clifford juga saya kira menyembunyikan khazanah kesusasteraan Melayu diGua Sai (dekat padang tengku ) dari diketahui oleh pengkaji masa itu.Sebab Sejarah Melayu datangnya dari Gua Sai bukannya dari Gua India berdasarkan kajian Profesor dari USM.

Dr Aminudin

Dzulkefli Abdul Rahman berkata...

Terima kasih diatas ulusan dan penjelasan Doktor. Saya akan berusaha mendapatkan Hikayat Seri Rama apabila kelapangan.