RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

13 Disember 2018

Kenderaan Dalam Memoriku

Semasa saya mula-mula bersekolah rendah pada tahun 1965, jalan raya kampung kami masih lagi belum berturap walapun jalan tersebut merupakan jalan utama yang menghubungkan bandar Pasir Mas dan Rantau Panjang serta jalan untuk masuk ke negara Thailand.  Pada tahun-tahun berikutnya jalan itu mula diperbaiki dan dinaiktaraf sebagai jalan negeri. Kerja-kerja menaiktaraf jalan tersebut bermula pada tahun 1966 semasa saya bersekolah dalam Darjah 2. Semasa kerja-kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf jalan itu dibuat saya berpeluang memerhati dengan lebih dekat semua jenis kenderaan dan jentera berat yang digunakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Antara kenderaan dan jentera berat yang digunakan pada ketika itu ialah lori roda 6 pengangkut tanah, lori roda 10 pengangkut jentera berat, road grader, jengkaut, traktor dan steamroller yang digunakan untuk tugas-tugas penyelenggaraan dan proses naik taraf jalan tersebut. Manakala Land Rover pula biasanya digunakan untuk membawa penyelia (overseer) atau orang-orang kampung kami menyebut sebagai ‘abusia’ iaitu pegawai JKR yang terlibat dengan pemantauan kerja-kerja luar. 
Steamroller JKR model Aveling Barford
Kedatangan jentera-jentera tersebut merupakan satu ‘hiburan’ bagi kami budak-budak kampung pada ketika itu. Kami begitu seronok dan kagum melihat kecekapan pengendali jentera seperti road grader dan steamroller menjalankan kerja-kerja mereka itu dengan teliti dan kemas. Kerja-kerja tersebut juga pernah saya lihat sebelumnya semasa mereka melakukan kerja rutin setiap kali selepas musim tengkujuh pada setiap tahun. Jenis-jenis jentera berat yang digunakan oleh JKR pada ketika itu ialah road grader, jengkaut dan steamroller model Aveling Barford, MichiganCaterpillar dan lain-lain yang saya tidak berapa pasti namanya. Kebanyakan traktor yang digunakan ialah model Ford, manakala hampir semua lori pengangkut batu dan tanah pada ketika itu ialah lori model Albion FT37EL Chieftain, Albion CH13A Chieftain dan Thames Trader
Lori JKR model Albion CH13A Chieftain
Di bahagian tempat muatan semua lori ditulis dengan akronim JKR serta dikuti huruf A dan nombor, yang pada hemat saya nombor-nombor tersebut merupakan nombor siri lori milik JKR di seluruh negeri Kelantan pada ketika itu. Nombor-nombor yang saya masih ingat  ialah nombor A1, A2, A3, A8, A18, A19 dan A56 bagi lori model Albion FT37EL Chieftain. Manakala A75, A76, A77, A83, A86, A87 bagi lori model Albion CH13A Chieftain dan A49 untuk lori model Thames Trader. Lori JKR model Albion CH13A Chieftain lebih menarik berbanding lori model Albion FT37EL Chieftain. Saya dan rakan-rakan memanggil lori model Albion CH13A Chieftain sebagai ‘lori kepala bertingkat’. Lori-lori model Albion FT37EL Chieftain kemudiannya digantikan dengan lori-lori model baharu iaitu model Ford L, Bedford MK dan model Seddon 16/4 yang juga buatan England. Lori model Bedford S-Type pacuan 4 roda pula digunakan untuk membawa mesin khas untuk kerja-kerja menyelenggara jentera berat seperti steamrollerroad grader, jentolak dan sebagainya kerana  model ini lebih tahan lasak. 
Road grader JKR model Aveling Barford
Manakala lori 10 roda  pula terdiri daripada lori model Thames Trader dan Austin 503 yang digunakan untuk mengangkut jentera berat seperti bulldozer dan sebagainya. Kini JKR tidak lagi menggunakan lori-lori model vintage tersebut, sebaliknya lori-lori  model lama telah digantikan dengan lori-lori model Hino dan Mitsubishi buatan Jepun dan juga lori buatan India model Tata LPT 2516.  Apa yang menarik, JKR masih lagi menggunakan warna asalnya sampai sekarang iaitu warna kuning, kelabu dan hitam untuk semua kenderaannya yang sentiasa menggamit kenangan saya semasa zaman kanak-kanak dahulu.
Perkhidmatan bas dari Pasir Mas ke Rantau Panjang oleh Syarikat Kenderaan (Nets) Kelantan Berhad atau NETS yang melalui kampung kami telah bermula pada tahun 1965 semasa jalan tersebut masih lagi belum berturap. Nama NETS amat sinonim kepada generasi lama di Kelantan yang mana mereka faham NETS (mereka sebut {neʔ}) bermaksud bas, contohnya ..... Pak cik naik nets ke Pasir Mas. Pada tahun 1967 nama syarikat ini telah ditukar kepada Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) dan kekal hingga sekarang. Pada awal perkhidmatannya, bas yang digunakan untuk laluan ini hanya bas-bas pendek model Mercedes Benz O 319 buatan German dan Seddon MK17 buatan England dengan kapasiti 15 tempat duduk. Terdapat juga bas pendek jenis Seddon yang kepalanya seperti kepala lori.
Bas SKMK model Seddon MK17
Setelah jalan raya Pasir Mas ke Rantau Panjang siap diturap pada akhir tahun 1967 serta dengan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan bas, maka pada tahun 1968 perkhidmatan bas panjang dengan kapasiti 38 hingga 40 tempat duduk mula diperkenalkan untuk laluan Kota Bharu – Rantau Panjang. Semua bas panjang yang digunakan di laluan ini pada ketika itu ialah model Seddon MK17. Bas-bas tersebut kemudiannya digantikan dengan bas-bas panjang model baharu iaitu Mercedes Benz 608 pada pertengahan tahun 1970-an, kemudiannya pada akhir tahun 1970-an diganti pula dengan model Mercedes Benz 1113 dan model Tata LP1313. Bas-bas yang digunakan oleh SKMK pada masa itu berwarna biru dengan bumbung berwarna putih dan ditulis nama syarikat dengan tulisan jawi yang berwarna kuning emas serta berlogokan seekor kijang sedang melompat. Kijang merupakan lambang haiwan lagenda bagi sejarah negeri Kelantan. Bas-bas lama kemudiannya dijadikan bas sekolah dengan ditukar warna kepada warna kuning muda dan ditulis perkataan ‘BAS SEKOLAH’ dengan tulisan berwarna hitam pada badannya. Kerja-kerja ini dibuat di depoh bas SKMK di Kubang Kerian, Kelantan.
Bas SKMK model Tata LP1313
Pada pertengahan tahun 1970-an juga perkhidmatan bas ekspres antara bandar telah diperkenalkan antara Kota Bharu ke bandar-bandar utama di Kelantan. Bas ekspres antara bandar ini dipanggil sebagai Bas Cepat yang mengadakan perkhidmatan dari Kota Bharu ke destinasi-destinasi seperti Rantau Panjang, Tanah Merah, Tumpat, Kuala Krai melalui Machang dan Pasir Puteh. Perkhidmatan Bas Cepat antara Kota Bharu dan Rantau Panjang turut melalui jalan raya kampung kami. Perkhidmatan Bas Cepat kemudiannya diadakan ke negeri Terengganu iaitu ke Jertih, Kuala Besut dan Kuala Terengganu.
Bas pendek SKMK model Seddon MK17
Kali pertama saya menaiki bas dalam hidup ialah semasa berada dalam Darjah Satu, yang pada ketika itu ayah membawa saya untuk membeli baju dan kasut untuk Hari Raya di bandar Pasir Mas. Saya terpaksa berdiri di sebelah pemandu bas tersebut kerana penumpangnya terlalu ramai. Bas pendek 15 penumpang itu tidak mempunyai konduktor sebaliknya pemandu yang mengutip tambang semasa penumpang naik. Tambang bas dari kampung kami ke bandar Pasir Mas pada ketika itu hanya 30 sen dan tambang untuk ke Rantau Panjang ialah $1.20 bagi orang dewasa. Pada ketika itu stesen bas Pasir Mas terletak di antara Jalan Masjid Lama dan Jalan Market, berhampiran dengan sebuah musalla di tengah-tengah bandar Pasir Mas. Kini stesen bas tersebut telah dipindahkan ke Jalan Tengku Ahmad di atas tanah milik Keretapi Tanah Melayu (KTM) berhampiran dengan Bazar Mara.
Selain bas dan lori, kebanyakan kereta yang melalui jalan raya kampung kami untuk ke Rantau Panjang ialah kereta sewa atau teksi. Kereta-kereta persendirian masih lagi belum banyak pada ketika itu kerana orang awam tidak mampu memilikinya kecuali mereka yang berjawatan tinggi dalam kerajaan dan ahli perniagaan yang berjaya. Kebanyakan kaki tangan awam dalam kerajaan seperti guru, kerani dan sebagainya hanya mampu memiliki motosikal sahaja pada ketika itu. Kebanyakan daripada mereka hanya menaiki pengangkutan awam seperti bas, kereta api, beca dan basikal sahaja untuk ke tempat kerja.
Teksi Mercedes-Benz 200D
Pada tahun 1960-an kebanyakan kereta sewa atau teksi yang melalui jalan raya kampung kami ialah model Mercedes-Benz 180D, Mercedes-Benz 190D, Mercedes-Benz 200D, Mercedes-Benz 220D, Peugeot 403 dan terdapat juga kereta sewa model Morris Oxford serta Austin Cambridge A60. Kereta-kereta sewa atau teksi ini beroperasi untuk destinasi Pasir Mas ke Rantau Panjang atau Kota Bharu ke Rantau Panjang. Pada awal tahun 1970-an peranan kereta sewa atau teksi model Peugeot 403 buatan Peranchis ini diambilalih oleh model Peugeot 404 yang sangat popular sebagai teksi dan kereta sewa di seluruh negara, khususnya di Kuala Lumpur.
Manakala teksi model Morris Oxford dan Austin Cambridge A60 terus tidak kelihatan dan tiada lagi model pelapis. Kereta-kereta model ini kini telah menjadi sebagai sebahagian daripada koleksi peminat kereta vintage. Apa yang jelas pada masa itu kereta-kereta buatan Jepun masih lagi tidak popular di negara kita seperti hari ini. Kereta-kereta Jepun yang kelihatan di jalan raya pada ketika itu kebanyakannya model Toyota Corona P1[29] dan Datsun Bluebird 510. Kini kereta-kereta sewa atau teksi model lama ini sudah tidak digunakan lagi dan telah diambilalih oleh kereta-kereta model baharu buatan Malaysia, Jepun dan Korea.

11 September 2018

Mengimbau Rakan-Rakan UPM 1986-1989

Saya telah mendapat tawaran memasuki Universiti Pertanian Malaysia[1] (UPM) pada 21 Jun 1986 melalui surat tawaran universiti tersebut yang bertarikh 16 Jun 1986[2]. Saya kemudiannya telah melaporkan diri di UPM, Serdang pada 30 Jun 1986 dalam Program Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama)[3] Ambilan Jun 1986. Jumlah pelajar yang mendaftar dalam program ini ialah seramai 123 orang, iaitu 110 orang terdiri daripada bekas guru (termasuk saya) dan 13 orang pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Program Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama) pada ketika itu diletakkan di bawah Fakulti Pengajian Pendidikan[4] UPM, yang mana program tersebut kini telah diletakkan di bawah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi[5]. 
Dalam tempoh 7 semester atau 3 setengah tahun di UPM itu kami telah mengikuti kuliah sebanyak 50 kursus dengan jumlah 134 jam kredit. Kebanyakan daripada kalangan guru dalam program ini berusia lebih daripada 30 tahun kecuali beberapa orang sahaja yang berusia kurang dari 30 tahun termasuk saya yang berusia 28 tahun pada ketika itu. Pelajar bekas guru yang paling tua dalam kelas kami pada ketika itu berumur 40 tahun semasa mendaftar masuk Semester 1. Manakala pelajar lepasan STPM kesemuanya berusia awal 20-an yang kesemuanya pelajar lepasan Tingkatan 6. Oleh kerana majoriti daripada kami terdiri daripada kalangan pelajar dewasa, maka terlalu banyak cabaran yang kami terpaksa hadapi. Cabaran-cabaran tersebut antaranya cabaran menghadapi pelajaran, tanggungjawab terhadap ahli keluarga, kekangan kewangan kerana cuti belajar separuh gaji dan sebagainya. Namun segala cabaran tersebut telah kami tempuhi dengan sabar dan akhirnya dengan izin Allah SWT kami berjaya melepasinya.  
Selepas hampir 30 tahun berlalu, saya telah berusaha mengesan rakan-rakan yang telah sama-sama berjuang dalam Program Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama)  di UPM bagi pada tahun 1986-1989 dahulu iaitu Ab. Maulod Mohamad, Abd. Rahim Talib, Abdul Rahim Sohaimi[6], Abdullah Mamat[7], Abdullah Ngah, Abu Bakar Surin[8], Adam Sukarno Haji Mansor[9], Ahmad Abu[10], Ahmad Salleh Haji Ahmad[11],  Amiruddin Nordin[12], Anipah Haji Wahap, Aslie Sahat[13], Azlina Ahmad[14], Azmin Hassan[15], Basri Jabar, Che Soh Husin[16], Chong Kean Chong, Dayang Hajah Tiawa Awang Hamid[17], Dindi Guliga[18], Dzulkifli Ramli, Eyu Bee Ling, Faridah Jaafar, Dr. Haji Rosana Awang Haji Bolhasan[19], Hamdan Kamaruddin, Hamdiah Othman[20], Hashim Joko[21], Hasmah Othman[22], Hussin Salleh, Ibrahim Daud, Ida Aswani Abdullah, Ishak Harun, Jamal Mohamed Mohd. Ebrahim, Profesor Madya Dr. Jamaluddin Haji Badusah[23],  Dr. Jamaluddin Tubah[24], Jamilah Juhari, Judy Yeoh Phaik Choo, Juhari Abd. Hamid, Junaidah Haji Le’at[25], Kamariah Mohd. Kamil[26], Latifah Abd. Razak, Lokman Abd. Wahid[27], Mahmud Jusoh, Maimunah Ibrahim, Manap Awang[28], Marzuki Mustapha[29], Maslina Rejoh[30], Masod Yunus.
Mat Saberi Abd. Hamid, Mat Yaman Abdullah, Maznah Ahmad Zain, Md. Ishak Haji Rahman, Md. Rashid Suib, Misri Thariano[31], Mohamad Alias Haji Chik[32], Dr. Mohamad Haji Bokhari, Mohamed Shahar Shaari, Mohd. Arshad Hussin, Mohd. Jaffri Sarif, Mohd. Mortadza Bohari[33], Mohd. Najid Md. Zain, Profesor Madya Dr. Mohd. Nasir Masran[34], Mohd. Rasdi Saamah[35], Mohd. Saderi Haji Dahali, Mohd. Safian Hashim, Mohd. Salim Ahmad, Mohd. Salleh Yahya[36], Mohd. Sharom Mohd Shariff[37], Mohd. Sidek Mohd Dolah[38], Mohd. Toha Mohd. Ali[39], Mohd. Yusof Mohd. Ali, Mohd. Zin Abd. Aziz, Mohtar Roslan, Mokhtar Ali, Mor Seman[40], Mudin Sulaiman, Muhamad Ibrahim[41], Mutakal Haton[42], Nadzeri Isa[43], Nasrol Mohd. Noor[44], Nawi Ismail [45], Nik Daud Haji Mat Yunus.
Nik Hassan Basri Haji Nik Abd. Kadir[46], Nordin Mohamad[47], Norizan Ismail, Norma Abd. Samad, Normah Maarop, Norman Ngah Mudi[48], Olen Tabor[49], Othman Hamid, Radzuan Haji Kamaruddin, Rahmah Illias, Ramli Hasbi, Ramliy Ahmad, Roslan Ismail[50], Rosni Yusof, Sahbudin Harun[51], Salasiah Maria Talib[52], Dr. Seman Salleh[53], Shamsuddin Abu Bakar, Shoeb Man[54], Siti Hawa Othman, Siti Maryati Md. Dasin[55], Sk. Mohd. Saupi Lawi[56], Suaidi Otek[57], Syed Mohd. Azhan Syed Hassan, Tan Huat Chye, Tommy Nollie[58], Wan Munah Wan Hamid, Yahaya Suip[59], Yusuf Mustanir[60], Zabibiwati Abu Mansor[61], Zahariah Darus, Zainal Abidin Daud[62], Zainal Abidin Samsuddin, Zaitun Normah Kamaruddin, Zaleha Fadzil[63], Zawiah Shukor[64], Zubaidah Haji Mahmood, Zubir Mohd. Nor dan Zulkiffly Ujang.
Nama dan jawatan sebahagian daripada mereka yang saya nyatakan tersebut merupakan maklumat semasa data ini dikutip. Saya yakin bahawa majoriti daripada mereka sudah bersara daripada perkhidmatan kerajaan. Saya juga memohon maaf kepada mereka yang saya tidak nyatakan maklumat tempat bertugas atau maklumat terkini mereka kerana tiada maklumat yang pasti untuk saya masukkan dalam penulisan ini. Kepada mereka yang telah kembali ke Rahmatullah, sama-samalah kita berdoa agar roh mereka diletakkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah.


[1] Universiti Pertanian Malaysia telah ditukar nama kepada Universiti Putra Malaysia pada tahun 1997.
[2] Rujukan UPM V4 bertarikh 16 Jun 1986.
[3] Program ini mula ditawarkan oleh UPM mulai sesi pengajian 1981/1982 dengan mengambil pelajar pertama dalam kalangan guru-guru Bahasa Melayu lepasan maktab.
[4] Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) ditubuhkan pada 15 Januari 1975. Pada awal penubuhannya, FPP dikenali sebagai Fakulti Perkhidmatan Pendidikan selaras dengan fungsi utama fakulti pada ketika itu.
[5] Pada 1 Januari 1999, Jabatan Komunikasi Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia dipindahkan ke Fakulti Pengajian Bahasa Moden dengan nama baharunya Jabatan Komunikasi. Dengan pemindahan ini juga, Fakulti Pengajian Bahasa diberi nama baharu, iaitu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK).
[6] Bersara dengan jawatan pensyarah Maktab Perguruan Sains, Bintulu, Sarawak.
[7] Pegawai SIPartner+ PPD Kuala Terengganu.
[8] Bersara sebagai pegawai kanan di Kementerian Pendidikan Malaysia.
[9] Pengetua SMK Kg. Soeharto, Kuala Kubu Bharu, Selangor (2009-2014).
[10] Bersara dengan jawatan Pensyarah Kanan IPG Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor.
[11] Bersara dengan jawatan Pensyarah Kanan IPG Kampus Ipoh, Perak.
[12] Bersara dengan jawatan Pengetua SMK Manchis, Bentong, Pahang.
[13] Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan Sabah.
[14] Timbalan Pengarah, IPG Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan.
[15] Bersara sebagai pendidik di SMK Klebang Besar, Melaka.
[16] Bersara sebagai pendidik di SMK Jalan Batu, KL.
[17] Centre of Excellence (CoE), Educational Multimedia Department (FP), Universiti Teknologi Malaysia.
[18] Bersara sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
[19] Pensyarah Kanan di IPG Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak.
[20] Guru di SMK Georgetown, Pulau Pinang.
[21] Bersara sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang.
[22] Bersara dengan jawatan Pengetua di SMK Mambau, Seremban, Negeri Sembilan.
[23]  Timbalan Dekan Jaringan dan Penjanaan, Fakulti Pendidikan, UKM.
[24] Pensyarah di Jabatan Dasar dan Pengurusan Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
[25] Bersara dengan jawatan Pensyarah Kanan IPG Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor.
[26] Bersara Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Kampong Jawa, Klang, Selangor.
[27] Pensyarah Kanan di IPG Kampus Bahasa Melayu, KL.
[28] Telah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.
[29] Telah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.
[30] Guru di SMK Bandar Putra, Kulai, Johor.
[31] Pegawai SIPartner+, PPD Kulai, Johor.
[32] Bersara dengan jawatan Pegawai Pendidikan Daerah Rompin, Pahang.
[33] Telah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.
[34] Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.
[35] Bersara dengan jawatan Setiausaha Akademik, IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang.
[36] Bersara sebagai pensyarah Maktab Perguruan Sri Pinang, Pulau Pinang.
[37] Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, di PPD Melaka Tengah.
[38] Bersara dengan jawatan Pengetua di SMK Bandar Tasik Selatan, KL.
[39] Bersara sebagai Pegawai Kanan di Kementerian Pendidikan Malaysia.
[40] Telah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.
[41] Telah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.
[42] Pegawai Pendidikan Daerah Jempol/Jelebu, Negeri Sembilan.
[43] - Bersara dengan jawatan Pensyarah Kanan di IPG Kampus Bahasa Melayu, KL.
[44] Telah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.
[45] Bersara dengan jawatan Gred Khas C di Sekolah Menengah Teknik Terengganu dan Tokoh Guru Negeri Terengganu 2018.
[46] Bersara dengan jawatan Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.
[47] Bersara dengan jawatan Guru Kanan di SMK Kuala Krai, Kelantan.
[48] Telah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.
[49] Bersara dengan jawatan Pensyarah Kanan di IPG Kampus Rajang, Bintangor, Sarawak.
[50] Telah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.
[51] Telah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.
[52] Penolong Kanan SMS Seri Puteri, Shah Alam, Selangor.
[53] Pensyarah Kanan di IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, KL.
[54] Telah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.
[55] Telah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.
[56] Ketua Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Pulau Pinang.
[57] Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sarawak.
[58] Bersara dengan jawatan Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan di IPG Kampus Kent, Tuaran, Sabah.
[59] Bersara dengan jawatan Pengetua di Bandar Seri Alam, Masai, Johor.
[60] Bergiat aktif dengan aktiviti penulisan dan aktivis kesusasteraan Melayu di Kuching, Sarawak.
[61] Pegawai SIPartner+, PPD Petaling Perdana, Selangor.
[62] Bersara dengan jawatan Pegawai Pendidikan Daerah Jerantut, Pahang.
[63] Pensyarah Kanan di IPG Kampus Teknik, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
[64] Bersara dengan jawatan Pensyarah Kanan di IPG Kampus Bahasa Melayu, KL.