RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

21 Julai 2017

Buletin SMVP/SMTPM 1996 - 2000

Sebagai Pengerusi Pusat Sumber Sekolah saya telah cuba sedaya upaya untuk para pelajar tanamkan sifat suka membaca dan cuba menulis walaupun dalam bentuk catatan ringkas. Hasrat ini bermanfaat untuk memudahkan mereka menjawab kertas soalan Bahasa Melayu SPM khususnya Bahasa Melayu 1 iaitu Karangan. Sebagai permulaannya kami menerbitan buletin sekolah untuk menggalakan para pelajar membaca berita-berita ringkas dan di samping itu mereka juga mendapat maklumat terkini tentang apa yang berlaku di sekolah. Sebagai langkah pertama pada akhir bulan Jun tahun 1996 saya telah membentuk Jawatankuasa Buletin SMVP (kemudiannya mulai Januari 1997 namanya ditukar kepada Jawatankuasa Buletin SMTPM[1]). 
Pada 1 Julai 1996 jawatankuasa ini telah memulakan penerbitan sulungnya iaitu Buletin SMVP yang memuatkan berita dan maklumat tentang peperiksaan. Buletin ini dicetak dan dibahagikan secara percuma kepada setiap kelas dan ditampal di papan-papan kenyataan yang strategik untuk tatapan para pelajar. Oleh kerana berita di dalamnya ringkas dan meliputi skala yang sempit iaitu di sekitar sekolah ini sahaja, maka para pelajar tidak keberatan untuk membacanya. Berita utama dalam buletin bilangan pertama itu ialah tentang makluman tarikh Ujian Lisan Bahasa Melayu SPM/SPMV, pendaftaran awal calon SPM/SPMV 1997 dan makluman perubahan tarikh SPM/SPMV 1997 berikutan perubahan sesi persekolahan kembali kepada bulan Januari pada setiap tahun mulai tahun 1997[2]. Selain daripada itu di bahagian berita kaki dimasukkan ruangan “Tahukah Anda?”, yang mana terbitan pertama ini memuatkan maklumat “Tahukah anda bahawa lebih 200,000 calon menduduki peperiksaan SPM/SPMV pada tahun ini? (1996). Saingan anda ialah semua pelajar MRSM, SMS, Asrama Penuh, SMT, MTD, sekolah-sekolah harian biasa, sekolah-sekolah swasta dan calon persendirian”. Ruangan seperti nota kaki ini merupakan maklumat yang berbentuk pengetahuan am yang bermanfaat kepada para pelajar.
Buletin SMVP yang mula diterbitkan pada 1 Julai 1996 ini berakhir pada terbitan Bilangan 9 yang diterbitkan pada 2 Oktober 1996 yang kemudiannya ditukar kepada nama Buletin SMTPM mulai terbitan Bilangan 10 yang mula diterbitkan pada 19 Januari 1997. Buletin SMVP yang diterbitkan selama 3 bulan itu tidak dimasukkan gambar kerana tiada kemudahan teknologi penerbitan pada ketika itu. Walau bagaimanapun Buletin SMTPM mula diterbitkan dengan berita yang berserta dengan gambar setelah pihak sekolah menerima beberapa set komputer baharu. Gambar-gambar yang dimasukkan kebanyakannya yang berkaitan dengan sesuatu berita seperti gambar Pengetua, Penolong Kanan dan guru-guru lain yang berkenaan. Berita-berita yang dimuatkan ialah berita tentang apa yang berlaku di sekitar sekolah termasuk pengumuman atau makluman penting yang wajib diketahui oleh para pelajar seperti makluman tentang peperiksaan, latihan sukan, perlawanan bola sepak dan permainan-permainan lain, dan aktiviti-aktiviti lain yang melibatkan para pelajar. Saya mendapati bahawa makluman melalui buletin ini lebih berkesan kerana para pelajar lebih minat membacanya berbanding notis-notis biasa yang ditampal di papan-papan kenyataan sekolah.
Dalam tempoh 4 tahun iaitu 1 Julai 1996 hingga 24 Mei 2000, Buletin SMTPM telah diterbitkan sebanyak 77 kali iaitu terbitan Bilangan 1 hingga 77. Dalam tempoh penerbitannya buletin ini sangat memainkan peranan dalam penyebaran maklumat sekolah kepada para pelajar dan guru-guru. Antara yang menarik dalam buletin dua muka surat ini ialah laporan lengkap analisis peperiksaan penggal, peperiksaan percubaan dan peperiksaan SPMV, keputusan lengkap Kejohanan Olahraga Tahunan, keputusan lengkap Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring SMT/SMV Piala Dato’ Dr. Abdul Shukor Abdullah[3] dan analisis setiap perlawanan dalam kejohanan tersebut. Selain analisis tentang perlawanan sukan, buletin ini juga menyiarkan laporan lengkap keputusan SPM/SPMV dalam tempoh penerbitan tersebut. 
Manakala dalam penerbitan terakhirnya pada 24 Mei 2000, buletin ini telah menyiarkan berita utamanya tentang Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di sekolah ini pada 22 Mei 2000 dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan pada ketika itu iaitu YB Datuk Abd. Aziz Shamsuddin. Lebih 1,000 orang guru dari seluruh negeri Kelantan hadir dalam majlis tersebut. Selepas penerbitan Bilangan 77 ini penerbitan Buletin SMTPM telah terhenti atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan khususnya yang berkaitan dengan tugas hakiki guru yang semakin meningkat dan peranan jawatankuasanya yang semakin tidak aktif. Demikian berakhirnya riwayat sebuah saluran maklumat yang bertemakan “Wadah Pengetahuan Bermaklumat” yang telah banyak berjasa kepada semua warga sekolah ini.



[1] SMV Perdagangan dinaikkan taraf kepada SM Teknik Pasir Mas (SMTPM) mulai 1 Januari 1997.
[2]Kementerian Pendidikan telah memulakan sesi persekolahan bermula pada bulan Disember pada setiap tahun berkuatkuasa pada 1 Disember 1989 untuk mengelakkan peperiksaan SPM dan STPM terjejas akibat berlakunya banjir pada setiap akhir tahun.
[3] Piala ini diadakan di peringkat zon dan johan akan mewakili zon untuk ke peringkat kebangsaan. SMT/SMV di negeri Kelantan dan Terengganu adalah dalam Zon 8 kejohanan tersebut.

11 Julai 2017

Program Integrasi Mesra SMTPM – SMK Dabong 1999

Peluang menaiki kereta api local serta menikmati pemandangan yang menarik di sepanjang perjalanannya merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dirasai oleh semua orang. Untuk itu pada awal bulan April 1999 saya selaku Ketua Penasihat Persatuan Bahasa Melayu dan Pidato telah merangka satu kertas kerja untuk satu program iaitu Program Integrasi Mesra SMTPM – SMK Dabong yang merupakan sebuah sekolah menengah yang terletak di kawasan agak pedalaman dalam Jajahan Kuala Krai yang perhubungan utamanya melalui jalan kereta api pada ketika itu. Tarikh yang dicadangkan untuk program tersebut ialah pada 30 April hingga 1 Mei 1999 sempena cuti umum Hari Pekerja yang bersambung dengan cuti hujung minggu. Program ini bertujuan untuk memberi pengalaman kepada para pelajar menaiki kereta api local, serta memberi mereka peluang untuk merasai kehidupan masyarakat luar bandar dengan segala kemudahan yang sangat terhad dan mededahkan kepada rakan-rakan sebaya mereka yang berada di sekolah luar bandar tentang peluang-peluang melanjutkan pelajaran di sekolah-sekolah teknik dan vokasional. Para pelajar yang terlibat dalam program ini ialah seramai 26 orang ahli  Persatuan Bahasa Melayu dan Pidato dengan diiringi 5 orang guru, iaitu Penolong Kanan HEM SMTPM, Tn. Hj. Abd. Rahman Mamat, saya sendiri selaku Ketua Penasihat Persatuan Bahasa Melayu dan Pidato, YM Cikgu Tuan Mohd. Suhaimi Tuan Muda, Cikgu Rohana Awang Isa dan Cikgu Rohana Rahim.
Setelah Pengetua meluluskan kertas kerja cadangan saya tersebut saya telah menefon pihak SMKD untuk mendapatkan persetujuan lisan pihak sekolah berkenaan dengan program tersebut. Mereka telah bersetuju dan mengucapkan terima kasih atas cadangan program tersebut. Apa yang sangat menarik perancangan program ini dilaksanakan dengan tanpa sebarang mesyuarat rasmi antara kedua-dua belah pihak kecuali perbincangan melalui telefon dan melalui utusan surat rasmi sahaja. Oleh kerana masalah kekangan masa dan lokasi yang jauh, mesyuarat hanya diadakan di peringkat sekolah masing-masing sahaja dan apa-apa keputusan dimaklumkan melalui telefon sebagai makluman awal. Makluman rasmi dihantar secara surat rasmi yang dikirim melalui Kiriman Ekspres KTM untuk sampai lebih cepat berbanding kiriman melalui Pejabat Pos kerana Dabong pada masa itu merupakan kawasan yang agak jauh dan popular dengan pengangkutan kereta api. Meskipun ada jalan raya ke pekan kecil itu tetapi keadaan jalannya sangat teruk, sempit dan sangat bahaya pada masa itu. Beberapa hari sebelum itu saya telah menguruskan borang tambang konsensi KTM yang memerlukan tanda tangan Pengetua dan pihak KTM. Tambang konsesi tersebut membolehkan mereka mendapat diskaun sebanyak 50% untuk perjalanan menggunakan perkhidmatan KTM ke mana-mana destinasi. Selain daripada itu satu taklimat telah diberikan kepada para peserta bahawa program ini bukan program makan angin semata-mata tetapi program ini berkehendakkan mereka merasai pengalaman kehidupan rakan-rakan mereka yang belajar di sekolah luar bandar dan berkongsi maklumat tentang peluang-peluang belajar di sekolah ini serta laluan kerjaya pada masa hadapan.  
30 April 1999
Oleh kerana kami terpaksa bertolak pada awal pagi, maka makanan untuk sarapan pagi kami tempah dengan pihak kantin sekolah dan disediakan dalam bentuk tapau untuk dimakan semasa perjalanan. Kami telah ke stesen kereta api Pasir Mas seawal jam 4.30 pagi lagi dengan menggunakan bas sekolah untuk menaiki kereta api pada jam 4.57 pagi. Mengikut jadual kereta api dari Tumpat ke Gua Musang itu bertolak dari stesen Tumpat kira-kira pada jam 4.20 pagi dan akan tiba di stesen Dabong[1] pada jam 7.40 pagi. Pada pagi tersebut kereta api local yang dilarikan dengan lokomotif model YDM itu tiba tepat pada waktunya di stesen Pasir Mas. Kami telah bersarapan dengan tempahan makanan yang berupa nasi lemak dan Nescafe yang telah dibungkus setelah lebih sejam kereta api bertolak dari Pasir Mas. Stesen dan perhentian kereta api yang kami lalui antara Pasir Mas dan Dabong ialah To’ Uban, Bukit Panau, Tanah Merah, Temangan, Sungai Nal, Kuala Krai, Pahi, Manik Urai, Kg. Baru Sungai Mengkuang, Ulu Temiang, Kg. Baru Bukit Abu, Bukit Abu, Kuala Gris dan tiba di Dabong hampir jam 8.00 pagi. Di stesen Dabong kami telah disambut oleh Penolong Kanan 1 SMKD, dua tiga orang guru dan para pelajar yang mungkin AJK Sambutan dengan sepanduk “Selamat Datang ke Program Integrasi Mesra SMTPM – SMK Dabong”. Semasa kami tiba di stesen terdapat ramai orang yang sedang bersarapan di kedai-kedai kopi yang terletak bersebelahan dengan stesen tersebut. Suasana di sekitar stesen yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari SMKD itu kelihatan agak meriah semasa ketibaan kami dan kami dimaklumkan begitulah keadaan di situ pada setiap hari khususnya semasa ketibaan kereta api kerana itulah kenderaan utama bagi masyarakat di sekitar Dabong sejak dahulu lagi. Keadaan ini lebih meriah lagi pada hujung minggu atau hari cuti umum kerana semakin ramai kaum lelaki dewasa khususnya keluar untuk bersarapan pagi di kedai-kedai kopi di sekitar stesen tersebut.
Kami kemudian terus dibawa ke Dewan Makan untuk bersarapan sekali lagi walaupun sudah bersarapan semasa dalam perjalanan tadi. Di situ kami juga diberi taklimat ringkas tentang program selama 2 hari kami berada di situ dan pembahagian tempat penginapan. Para pelajar ditempatkan di Asrama Putera dan Asrama Puteri, manakala para guru ditempatkan di Rumah Tamu dan kuarters guru yang terletak dalam kawasan sekolah tersebut. Program bermula dengan atur cara pertama iaitu Ceramah Motivasi oleh penceramah jemputan untuk semua peserta SMTPM dan SMKD yang bermula pada jam 10.30 pagi. Atur cara pertama tersebut berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari untuk makan tengah hari dan persiapan diri. Atur cara kedua ialah pada sebelah petang kira-kira jam 2.30 petang iaitu lawatan ke Gua Ikan yang terletak kira-kira 3 km dari pekan kecil Dabong menghala ke Sungai San. Pihak SMKD telah menyewa dua buah lori kecil untuk membawa para peserta ke gua tersebut. Gua Ikan merupakan destinasi yang mesti dilawati sekiranya sesiapa datang ke Dabong. Masyarakat di sini mengatakan bahawa nama Gua Ikan diperolehi kerana terdapatnya batu yang kelihatan seperti ikan di gua itu. Ada mitos mengatakan pada masa dahulu terdapat sejumlah ikan menghuni di gua itu dan ia dijadikan lokasi masyarakat Melayu kuno mengadakan majlis perkahwinan. Terdapatnya batu yang kelihatan seperti sisek ikan tercipta dari titisan air dalam gua bahkan titisan air itu juga menghasilkan pelbagai formasi yang menarik. Ia mempamerkan keindahan binaan stalagmit dan stalaktit berkilauan seperti kerlipan kristal. Kami telah masuk ke gua tersebut dengan dibantu oleh penduduk tempatan sebagai jurupandu. Kami kembali semula ke tempat penginapan di SMKD kira-kira jam 6.15 petang. Pada sebelah malamnya diadakan Majlis Makan Malam dan sesi beramah mesra antara semua peserta kedua-dua buah sekolah sesuai dengan objektif utama program ini.
 1 Mei 1999
Tarikh 1 Mei 1999 merupakan hari Ahad yang bersamaan dengan cuti umum Hari Pekerja yang sepatutnya hari bekerja bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah (kini Johor). Atur cara pagi dimulakan dengan solat subuh berjamaah dan kuliah subuh oleh Tn. Hj. Abd. Rahman Mamat, PK HEM SMTPM. Selepas kuliah subuh ialah acara senaman pagi di pekarangan Blok Pentadbiran SMKD. Selepas senaman pagi ialah acara berjalan kaki mengelilingi kawasan sekitar kawasan Dabong melalui tebing Sungai Galas tidak jauh dari SMKD. Acara ini memberi pengalaman kepada para pelajar tentang situasi suasana kehidupan masyarakat desa yang harmoni di samping dapat menghirup udara yang bersih. Jika di bandar pada setiap pagi mereka biasa melihat rata-rata penduduk bergegas ke tempat kerja masing-masing sama ada ke pejabat, ke kilang atau ke premis-premis perniagaan, tetapi di sini mereka dapat melihat para penduduk kampung bergegas dengan hala tuju masing-masing untuk ke kebun getah, kebun kelapa sawit atau ke dusun buah-buahan mereka. Semasa berjalan itu kami juga bertemu dengan dua tiga orang penduduk kampung yang dalam perjalanan balik membawa hasil tangkapan ikan sungai dari Sungai Galas dan katanya ikan-ikan itu akan dijual kepada peraih di sekitar stesen kereta api pada pagi itu. Demikian sebahagian daripada cara hidup masyarakat setempat yang mereka dapat lihat semasa sesi pagi itu. Kira-kira jam 8.00 pagi kami sampai kembali ke SMKD untuk bersarapan. Jam 8.30 hingga 10.00 pagi merupakan sesi untuk kami menyampaikan taklimat tentang peluang-peluang melanjutkan pelajaran di sekolah-sekolah teknik dan vokasional. Taklimat telah disampaikan oleh Tn. Hj. Abd. Rahman Mamat, PK HEM SMTPM. Selepas minum pagi para peserta diberi peluang untuk membuat persiapan untuk Majlis Penutupan Rasmi program yang akan disempurnakan oleh Tuan Pengetua SMKD pada jam 11.30 pagi. Program ini perlu berakhir sebelum 1.00 tengah hari kerana kereta api dari Gua Musang untuk kami naiki untuk perjalanan balik akan tiba di stesen Dabong pada jam 2.40 petang.
Majlis Penutupan Rasmi telah diadakan pada kira-kira jam 11.30 pagi dan telah disempurnakan oleh Tuan Pengetua SMKD. Tn. Hj. Abd. Rahman Mamat, PK HEM SMTPM telah berucap bagi pihak kami dan beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak SMKD yang telah memberi kerjasama yang sangat baik pada sepanjang program ini berlangsung. Majlis perasmian berakhir kira-kira jam 12.30 pagi dan kami terus makan tengah hari dan membuat persiapan untuk perjalanan balik. Rombongan kami berkumpul di hadapan stesen kira-kira jam 2.00 petang selepas semua persiapan selesai. Sebahagian daripada peserta program SMKD termasuk beberapa orang guru mereka berada di stesen untuk sama-sama mengucapkan selamat jalan kepada kami. Meskipun tempoh program tidak sampai dua hari, tetapi mereka kelihatan sangat mesra seperti telah lama berkawan. Saya amat kagum dengan kemesraan mereka kerana para peserta kami yang terdiri daripada para pelajar dari pelbagai negeri itu telah sedikit sebanyak dapat menyelami keadaan rakan-rakan sebaya mereka yang berada di daerah-daerah pedalaman ini. Kami mengharapkan agar selepas program ini mereka dapat berkomunikasi antara satu sama lain terutama sekali dalam soal-soal yang berkaitan dengan peluang akademik dan seterusnya tentang hala tuju masa hadapan masing-masing. Para pelajar di kawasan bandar sepatutnya membantu rakan-rakan mereka yang berada agak jauh di kawasan-kawasan pedalaman untuk sebarang maklumat terkini tentang peluang-peluang yang perlu mereka rebut untuk masa hadapan mereka. Kini dengan kecanggihan teknologi dalam sistem komunikasi di seluruh dunia sebahagian besar masalah-masalah yang berkaitan dengan keciciran maklumat tersebut sudah dapat diatasi. Namun apa yang menghalang atau menjadi gangguan kepada sistem komunikasi pada masa kini ialah tahap kelajuan lebuh raya maklumat yang ada bagi satu-satu kawasan tersebut.
Kereta api yang akan kami naiki tiba kira-kira jam 2.45 petang. Selain rombongan kami ramai juga bilangan penumpang yang naik dan turun di stesen ini kerana keesokan harinya merupakan hari bekerja atau hari persekolahan. Saya agak para penumpang yang turun di stesen ini terdiri daripada para pelajar sekolah dari kampung-kampung di sepanjang laluan kereta api yang menghuni asrama SMKD dan mereka yang bekerja di sekitar pekan kecil ini yang balik bercuti selama tiga hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad, cuti umum Hari Pekerja. Manakala para penumpang yang naik kereta api ini pula merupakan mereka yang berasal dari Dabong yang terdiri daripada para pelajar sekolah yang akan kembali ke asrama di sekolah-sekolah menengah sama ada di bandar Kuala Krai atau di Tanah Merah. Setelah kira-kira 15 minit kereta api bertolak, kelihatan kebanyakan para pelajar kami mula terlena di tempat duduk masing-masing kerana keletihan selepas mengikuti program tersebut. Kami tiba di Pasir Mas kira-kira jam 5.30 petang dan bas sekolah kami telah sedia menunggu. Selamat tinggal SMKD.


[1] Stesen Dabong dibina dalam Fasa 3 pembinaan sistem jalan kereta api sektor laluan pantai timur Tanah Melayu antara tahun 1910 – 1931. Stesen ini merupakan lokasi transit bagi pelancong yang akan mendaki Gunung Stong. Kini kereta api yang singgah di stesen ini ialah Ekspres Rakyat Timuran Tumpat – JB Sentral (ERT26 & ERT27), Shuttle Timur Tumpat – Kuala Lipis (SH51, SH53, SH58 & SH60), Tumpat – Dabong (SH55 & SH56) dan Tumpat – Gua Musang (SH52 & SH57).