RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

23 Disember 2013

Pengalaman Zaman Jepun


Balik kampung baru-baru ini, meskipun untuk empat hari sahaja (14-17 Disember 2013) namun amat bermakna kerana dapat berkunjung ke beberapa buah rumah saudara mara setelah kira-kira 3 bulan tidak menjenguk kampung halaman. Alhamdulillah semuanya sihat walafiat dapat menjalankan aktiviti harian dengan sempurna. Walau bagaimanapun seperti biasa, setelah beberapa ketika tidak balik terdapatlah khabar seorang dua warga emas yang telah kembali ke Rahmatullah kerana sakit tua dan sebagainya. Alfatihah untuk mereka yang telah dijemput Allah untuk selama-lamanya. Kita sememangnya menyedari hakikat bahawa kita ke situ jua akhirnya.
Semasa di kampung, saya sempat bersembang tentang pengalaman hidup salah seorang warga emas sementara menunggu masuknya waktu Insya’ di surau keluarga kami. Warga emas yang saya maksudkan ialah Pak Muda Umat atau nama gelarannya Pakcu Pak Muda yang berusia kira-kira 77 tahun. Beliau telah menceritakan bahawa dalam pengalaman hidupnya dua bencana yang amat menyulitkan masyarakat kampung untuk menghadapinya iaitu Perang Jepun (Perang Dunia Kedua) 1941 dan bencana banjir besar pada tahun 1967. Semasa Jepun menakluki Tanah Melayu beliau pada ketika itu berusia kira-kira 6 tahun dan sudah boleh mengingati betapa peritnya berjalan kaki bersama keluarga dan orang kampung untuk melarikan diri ke Thailand. Penduduk kampung melarikan diri setelah beberapa bulan Jepun menakluki Tanah Melayu kerana pihak Jepun berkehendakan kaum lelaki untuk dijadikan buruh paksa bagi tujuan membina landasan kereta api maut di Burma sejauh 415 km yang bermula pada Oktober 1942 dan berakhir di Konkoita, utara Thailand pada Oktober 1943.
Menurut beliau sesiapa yang engkar atau enggan menurut perintah akan dibunuh oleh tentera Jepun. Pihak Jepun pada ketika itu telah melantik agen-agennya yang terdiri daripada kalangan orang kampung sendiri untuk memaksa kaum lelaki ke Burma. Sekiranya mereka ke Burma, khabarnya belum tentu mereka akan dapat kembali ke Tanah Melayu lagi kerana mereka dilayan dengan cara yang sangat kejam, seperti memberi makan sekali sehari, penyakit malaria dan kolera tanpa rawatan dan tiada waktu rehat yang mencukupi. Sesiapa yang cuba melarikan diri akan ditembak atau dipancung. Oleh kerana ketakutan dan tidak sanggup meninggalkan keluarga maka penduduk kampung telah bersepakat melarikan diri ke Thailand dengan berjalan kaki pada waktu malam.
Beliau telah menceritakan betapa siksanya berjalan kaki pada waktu malam, apa lagi pada waktu itu beliau masih lagi kanak-kanak. Orang-orang dewasa tidak dapat mendukung atau menggendong anak-anak yang sudah boleh berjalan kerana masing-masing terpaksa membawa barangan berharga termasuk pakaian dan makanan untuk dimakan semasa perjalanan. Mereka bergerak secara berkumpulan selepas waktu maghrib dan melalui kawasan yang jauh dari jalan raya agar tidak dapat dikesan oleh tentera atau agen pihak Jepun. Mereka terpaksa meninggalkan sawah padi yang pada ketika itu sudah mula bunting, binatang ternakan seperti kamping, biri-biri, lembu, kerbau, ayam dan itik. Mereka tiba di sempadan Thailand kira-kira pada waktu Subuh dan masing-masing berpecah mencari saudara mara atau sahabat handai untuk menumpang sementara keadaan di kampung stabil. Kebanyakan penduduk kampung kami mempunyai pertalian saudara dengan penduduk di Selatan Thailand, khususnya di kawasan sepanjang Sungai Golok.
Umum mengetahui serangan tentera Jepun ke atas Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua bermula di Kelantan apabila mereka mendarat di Pantai Sabak, Pengkalan Chepa pada 8 Disember 1941. Namun mengikut Pegawai Penyelidik Perbadanan Muzium Negeri, Datuk Salleh Mohd. Akib , mungkin ramai tidak menyedari bahawa serangan itu sebenarnya menandakan bermulanya Perang Dunia Kedua dan serangan Jepun ke atas negara-negara di Asia Pasifik setelah Eropah mula diserang pada 1939 oleh Jerman, salah satu negara pakatan 'Axis' selain Itali dan Jepun. Jelas beliau "Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik bermula di Kelantan, bukan Thailand atau Pearl Harbour, Hawaii”.
Menurut beliau, beberapa waktu selepas pukul 12 tengah malam 8 Disember 1941, tentera Jepun seramai 5,200 orang yang dipimpin Pemerintah Tentera Darat, Mejar Jeneral Hiroshi Takumi telah melepaskan tembakan pertama ke atas tentera British yang berkawal di kubu kebal Pantai Sabak. Sebelum itu, kelibat lima kapal pengangkut dan pembinasa yang berlabuh beberapa kilometer dari pantai, dikesan tentera British berketurunan India-Punjab yang berkubu di kubu kebal tersebut. Katanya, konvoi tentera Jepun yang lain juga pada masa sama bergerak ke Teluk Siam dan masuk ke wilayah Nakhon Sri Thamarat, Patani dan Sanggora. Serangan tentera Jepun di Thailand itu juga lewat dua jam daripada serangan mereka ke atas Pantai Sabak. 

18 Disember 2013

Pasar Muno' di Pasir Mas


Sekali sekala balik kampung amat menyeronokkan, lebih-lebih lagi tatkala musim tengkujuh sudah semakin ke penghujungnya. Sekiranya balik kampung pada musim hujan, kata orang ‘langkah pendek’ kerana tidak dapat ke mana-mana kerana hujan turun pada sepanjang hari siang dan malam. Berdasarkan pengalaman balik kampung pada musim tengkujuh, kami hanya duduk di rumah sahaja tanpa dapat bergerak ke destinasi yang dirancang. Namun mengikut orang tua-tua di kampung musim tengkujuh pada tahun ini masih belum berakhir kerana baru sekali ‘air memenuh’ iaitu pada awal bulan Disember 2013 baru-baru ini. Ketika itu beberapa kawasan pantai timur khususnya Daerah Kuantan, Pekan dan Kemaman di Terengganu dilanda banjir yang teruk. Mereka menyatakan bahawa biasanya hujan lebat akan turun sehingga menyebabkan ‘air memenuh’ sebanyak 3 pusingan barulah musim tengkujuh dikira berakhir pada setiap tahun. Itu pandangan tradisi mengenai musim banjir berdasarkan pengalaman orang tua-tua di kampung.
Balik kampung pada musim cuaca yang tidak menentu ini banyak mengembalikan nostalgia kepada saya yang membesar di kampung dan bersekolah di pekan kecil yang bernama Pasir Mas ini. Mengunjungi pasar Pasir Mas, khususnya Pasar Muno’ (pasar pagi) yang terletak bersebelahan dengan Stesen KTMB seolah-olah saya mengunjungi pasar tersebut semasa saya masih di bangku sekolah dahulu daripada segi suasana dan barangan jualannya. Pasar ini masih kekal dengan ciri-ciri tradisinya, iaitu pengaruh daripada corak perniagaan masyarakat Selatan Thailand. Malah nama jolokan Pasar Muno’ ini diberi kerana pasar ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan pasar minggu di Kampung Muno’ yang terletak di pinggir Sungai Golok kira-kira 15 km dari pekan kecil ini. Ciri-ciri persamaan yang dimaksudkan ialah daripada segi barangan jualannya seperti beras, sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya yang dibawa daripada Thailand.
Aktiviti urus niaga yang rancak oleh para ‘tok peraih’ yang ‘menolak’ hasil jualan borong mereka di pasar ini bermula sejak awal pagi lagi. Berdasarkan dialek yang digunakan, kebanyakan daripada mereka terdiri daripada kaum wanita dari sebelah Thailand (khususnya Sungai Golok). Hasil jualan mereka kemudian dibeli oleh peniaga tempatan dan dijual secara runcit di pasar tersebut. Aktiviti perniagaan yang melibatkan barangan keperluan harian ini sudah berlaku sejak dahulu lagi memandangkan daerah ini bersempadan dengan Thailand. Mengunjungi pasar ini seolah-olah kita berada di seberang Sungai Golok yang memisahkan negara kita Malaysia dan Thailand.
Memasuki pasar yang kekal dengan imej tradisi dan tidak tersusun ini menjadikan saya amat teruja dengan pelbagai jualan yang cukup murah harganya. Deretan payung dan khemah sementara dengan pelbagai bentuk di sepanjang tembok yang memisahkan dengan landasan kereta api itu penuh dengan pelbagai barangan jualan seperti ikan, daging hinggalah ke pakaian lelong (bundle). Teriakan para peniaga khususnya para penjual ikan untuk menarik perhatian orang ramai yang lalu lalang tidak putus-putus kedengaran. Hiruk pikuk di pasar pagi ini juga masih kekal seperti dahulu, seperti semasa saya masih di bangku sekolah lagi meskipun penjualnya sudah silih berganti. Keunikan ini biarlah berterusan agar ciri-ciri ketulenan tersebut dapat dirasai oleh generasi baharu yang semakin tidak menghargai nilai-nilai seperti itu.

Saya amat tertarik dengan jualan pelbagai jenis makanan seperti kueh mueh tradisional, ikan darat, ikan laut dan pelbagai jenis ulam kampung yang sukar didapati di pasar-pasar lain. Di pasar ini kita boleh membeli pelbagai spesis ikan darat seperti ikan sepat, puyu atau pepuyu, haruan, keli, selat, terbul, belut, siput sedut dan sebagainya yang merupakan hasil tangkapan masyarakat sekitar. Belut dijual dengan harga RM18.00 sekilogram siap disiang dan dibersihkan. Selain itu sekiranya kita teringin untuk makan unggas liar seperti ayam-ayam atau ayam mei, juga ada dijual di pasar ini dengan harga lebih kurang RM15.00 seekor. Pelbagai jenis ulam-ulaman kampung dijual dengan harga yang berpatutan meskipun sukar diperolehi seperti pucuk putat, pucuk gajus, pucuk jenerih, pucuk mata ayam, keladi boceh, lemidin dan lain-lain selain daripada ulam-ulaman dan sayur-sayuran biasa seperti ulam raja, jering, petai, kerdas, pucuk paku, lobak, kobis, kangkung dan sebagainya. Di bahagian kueh-mueh pula terdapat pelbagai jenis kueh-mueh yang masih boleh dibeli dengan harga RM1.00 bagi 4 biji kueh, antaranya tepung bungkus, cek mek molek, apam limas, karipap, ulat bulu, lepat pisang, tepung manis, poli ubi kayu, tepung boko, buah gomok, kasui, tepung pelita dan sebagainya yang cukup menggamit masa lalu generasi tua. Pendeknya semua nak dibeli. Sekian, datanglah ke Pasir Mas.