Balik kampung
baru-baru ini, meskipun untuk empat hari sahaja (14-17 Disember 2013) namun
amat bermakna kerana dapat berkunjung ke beberapa buah rumah saudara mara
setelah kira-kira 3 bulan tidak menjenguk kampung halaman. Alhamdulillah
semuanya sihat walafiat dapat menjalankan aktiviti harian dengan sempurna.
Walau bagaimanapun seperti biasa, setelah beberapa ketika tidak balik
terdapatlah khabar seorang dua warga emas yang telah kembali ke Rahmatullah
kerana sakit tua dan sebagainya. Alfatihah untuk mereka yang telah dijemput
Allah untuk selama-lamanya. Kita sememangnya menyedari hakikat bahawa kita ke
situ jua akhirnya.
Semasa di kampung, saya
sempat bersembang tentang pengalaman hidup salah seorang warga emas sementara
menunggu masuknya waktu Insya’ di surau keluarga kami. Warga emas yang saya
maksudkan ialah Pak Muda Umat atau nama gelarannya Pakcu Pak Muda yang berusia
kira-kira 77 tahun. Beliau telah menceritakan bahawa dalam pengalaman hidupnya
dua bencana yang amat menyulitkan masyarakat kampung untuk menghadapinya iaitu
Perang Jepun (Perang Dunia Kedua) 1941 dan bencana banjir besar pada tahun 1967.
Semasa Jepun menakluki Tanah Melayu beliau pada ketika itu berusia kira-kira 6
tahun dan sudah boleh mengingati betapa peritnya berjalan kaki bersama keluarga
dan orang kampung untuk melarikan diri ke Thailand. Penduduk kampung melarikan
diri setelah beberapa bulan Jepun menakluki Tanah Melayu kerana pihak Jepun
berkehendakan kaum lelaki untuk dijadikan buruh paksa bagi tujuan membina landasan
kereta api maut di Burma sejauh 415 km yang bermula pada Oktober 1942 dan
berakhir di Konkoita, utara Thailand pada Oktober 1943.
Menurut beliau
sesiapa yang engkar atau enggan menurut perintah akan dibunuh oleh tentera
Jepun. Pihak Jepun pada ketika itu telah melantik agen-agennya yang terdiri
daripada kalangan orang kampung sendiri untuk memaksa kaum lelaki ke Burma.
Sekiranya mereka ke Burma, khabarnya belum tentu mereka akan dapat kembali ke
Tanah Melayu lagi kerana mereka dilayan dengan cara yang sangat kejam, seperti
memberi makan sekali sehari, penyakit malaria dan kolera tanpa rawatan dan tiada
waktu rehat yang mencukupi. Sesiapa yang cuba melarikan diri akan ditembak atau
dipancung. Oleh kerana ketakutan dan tidak sanggup meninggalkan keluarga maka
penduduk kampung telah bersepakat melarikan diri ke Thailand dengan berjalan
kaki pada waktu malam.
Beliau telah
menceritakan betapa siksanya berjalan kaki pada waktu malam, apa lagi pada
waktu itu beliau masih lagi kanak-kanak. Orang-orang dewasa tidak dapat mendukung
atau menggendong anak-anak yang sudah boleh berjalan kerana masing-masing
terpaksa membawa barangan berharga termasuk pakaian dan makanan untuk dimakan
semasa perjalanan. Mereka bergerak secara berkumpulan selepas waktu maghrib dan
melalui kawasan yang jauh dari jalan raya agar tidak dapat dikesan oleh tentera
atau agen pihak Jepun. Mereka terpaksa meninggalkan sawah padi yang pada ketika
itu sudah mula bunting, binatang ternakan seperti kamping, biri-biri, lembu,
kerbau, ayam dan itik. Mereka tiba di sempadan Thailand kira-kira pada waktu
Subuh dan masing-masing berpecah mencari saudara mara atau sahabat handai untuk
menumpang sementara keadaan di kampung stabil. Kebanyakan penduduk kampung kami
mempunyai pertalian saudara dengan penduduk di Selatan Thailand, khususnya di
kawasan sepanjang Sungai Golok.
Umum
mengetahui serangan tentera Jepun ke atas Tanah Melayu semasa Perang Dunia
Kedua bermula di Kelantan apabila mereka mendarat di Pantai Sabak, Pengkalan
Chepa pada 8 Disember 1941. Namun mengikut Pegawai
Penyelidik Perbadanan Muzium Negeri, Datuk Salleh Mohd. Akib , mungkin ramai tidak menyedari bahawa
serangan itu sebenarnya menandakan bermulanya Perang Dunia Kedua dan serangan
Jepun ke atas negara-negara di Asia Pasifik setelah Eropah mula diserang pada
1939 oleh Jerman, salah satu negara pakatan 'Axis' selain Itali dan Jepun.
Jelas beliau "Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik bermula di Kelantan, bukan
Thailand atau Pearl Harbour, Hawaii”.
Menurut beliau,
beberapa waktu selepas pukul 12 tengah malam 8 Disember 1941, tentera Jepun
seramai 5,200 orang yang dipimpin Pemerintah Tentera Darat, Mejar Jeneral
Hiroshi Takumi telah melepaskan tembakan pertama ke atas tentera British yang
berkawal di kubu kebal Pantai Sabak. Sebelum itu, kelibat lima kapal pengangkut
dan pembinasa yang berlabuh beberapa kilometer dari pantai, dikesan tentera
British berketurunan India-Punjab yang berkubu di kubu kebal tersebut. Katanya,
konvoi tentera Jepun yang lain juga pada masa sama bergerak ke Teluk Siam dan
masuk ke wilayah Nakhon Sri Thamarat, Patani dan Sanggora. Serangan tentera
Jepun di Thailand itu juga lewat dua jam daripada serangan mereka ke atas
Pantai Sabak. 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan