RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

01 Januari 2014

Kedah-Perlis Akhiri Kalendar 2013

Selamat Tahun Baharu 2014, selepas kita semua melalui 365 hari dalam tahun 2013 yang lepas. Tahun 2013 dirasakan pergi begitu cepat sekali lantaran kita terlalu sibuk dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Cuti akhir tahun selama kira-kira sebulan setengah baru-baru ini semacam tidak terasa disebabkan tugas hakiki dan aktiviti-aktiviti harian yang agak banyak. Cuti yang bemula pada 16 November dan berakhir pada 31 Disember 2013 itu seolah-olah berlalu dalam tempoh yang singkat. Saya sekeluarga hanya sempat balik kampung selama empat hari tiga malam sahaja iaitu pada 13 hingga 16 Disember 2013. Namun bagi mengakhiri cuti tahun ini kami telah mengunjungi negeri Kedah dan Perlis dengan tiga tujuan iaitu pertamanya untuk menghantar anak yang menuntut di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis yang pulang untuk cuti pertengahan semester. Keduanya untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudara sebelah isteri di Simpang Empat, Perlis dan ketiganya, untuk mengunjungi adik ipar yang baru bertukar dari Johor Bahru ke Sungai Petani, Kedah pada akhir bulan November 2013 yang lalu.
Khamis 26 Disember 2013: Perjalanan kami bermula seawal jam 7.30 pagi melalui jalan Kuala Lipis-Sungai Koyan-Cameron Highlands-Simpang Pulai. Kami sekeluarga seramai 5 orang telah singgah bersarapan di masjid Kampung Raja, Cameron Highlands kira-kira jam 10.00 pagi sebelum meneruskan perjalanan melalui jalan Kampung Raja-Simpang Pulai sejauh kira-kira 80 km. Keadaan cuaca yang baik pada hari itu memudahkan perjalanan kami khususnya di kawasan yang berbukit-bukau dan berbengkang-bengkok tersebut. Selain itu oleh kerana kami melalui kawasan Cameron Highlands (Ringlet, Tanah Rata, Brinchang, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja) agak awal sedikit, maka kami terselamat daripada kesesakan kenderaan yang sememangnya teruk pada musim cuti.
Kami tiba di rumah adik ipar di Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah kira-kira jam 1.45 tengah hari. Rumah kampung yang disewa ini terletak di tepi sawah yang cukup indah pemandangannya dengan udara bersih yang cukup nyaman. Sawah padi yang menghijau subur luas terbentang seumpama karpet yang dibentang sayup mata memandang. Saya amat teruja dengan suasana yang amat damai tersebut seolah-olah berada di kampung sendiri semasa zaman kanak-kanak dahulu. Pada sebelah petangnya terdapat beberapa orang warga tua memancing ikan di tali air kecil yang dibina sebagai cawangan kepada tali air utama untuk mengalirkan air ke kawasan sawah yang berhampiran. Saya dapati ikan seperti haruan, pepuyu, sepat dan beberapa spesis lagi amat mudah mereka pancing, mungkin kerana kepakaran pemancingnya atau kerana banyaknya ikan dalam tali air kecil tersebut.
Jumaat 27 Disember 2013: Pada sebelah paginya saya telah mengunjungi seorang rakan lama, Cikgu Azmi Bakar yang sama-sama menuntut di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu pada tahun 1980-1981 dahulu. Setelah tamat latihan perguruan pada tahun 1982 beliau telah ditugaskan di SMK Bongawan, Papar dan SMK Benoni, Papar sebelum balik bertugas di Langkawi pada tahun 2001. Cikgu Azmi kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal tidak jauh dari rumahnya. Setelah kira-kira 32 tahun berpisah, saya telah dapat mengesan beliau melalui laman sosial Facebook kira-kira 3 tahun yang lepas dan hanya bertanya khabar melalui telefon sahaja. Banyak kisah lama yang telah dirungkaikan meskipun pertemuan kami tersebut hanya dalam masa yang singkat. Alhamdulillah Cikgu Azmi dan isterinya Cikgu Normah sihat walafiat dengan 4 orang cahayamata perempuan.
Pada sebelah petangnya kami telah meninggalkan Sungai Petani ke Kuala Perlis untuk majlis perkahwinan anak buah isteri pada keesokan harinya di Kampung Chantek Bangun, Simpang Empat. Perjalanan dari Sungai Petani ke Kuala Perlis mengambil masa kira-kira 2 jam melalui Lebuh Raya Utara Selatan (Sungai Petani-Changlon) dan Lebuh Raya Changlon-Kuala Perlis. Di Kuala Perlis kami telah menginap di Homestay Semarak, Taman Semarak dengan bayaran RM170 untuk satu malam. Homestay ini bagi saya tidak berapa selesa memandangkan persekitarannya yang amat padat yang menyebabkan kami sukar untuk meletakkan kenderaan. Kami yang datang dengan 3 buah kereta terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di merata-rata tempat dalam kawasan perumahan tersebut.
Kira-kira jam 6.00 petang kami kemudian telah meronda di sekitar Jeti Kuala Perlis yang penuh dengan kenderaan yang diparkir kerana pemiliknya menyeberang ke Pulau Langkawi. Menurut penjaja makanan di sekitar jeti tersebut, limpahan pengunjung ke Pulau Langkawi pada musim cuti kali ini amat luar biasa sekali kerana para pelancong tidak dapat melancong ke Thailand disebabkan tragedi letupan bom di Padang Besar dan Danok baru-baru ini. Mereka menyatakan bahawa masalah di selatan Thailand telah memberi banyak rahmat kepada para peniaga di Perlis dan Pulau Langkawi. Kami juga telah pekena laksa yang dikatakan amat popular di Kuala Perlis di warung yang terletak berhampiran dengan jeti utama tersebut.
Sabtu 28 Disember 2013: Jam 9.30 pagi kami telah keluar daripada homestay yang disewa dan menuju ke destinasi seterusnya, iaitu ke Kampung Chantik Bangun, Simpang Empat, Perlis. Kampung yang terletak kira-kira 15 km dari Kuala Perlis ini cukup keliru untuk dicari disebabkan oleh jalannya mempunyai banyak simpang. Kami tiba di kampung tersebut kira-kira jam 10.30 pagi dan di sana sudah sedia menunggu rombongan pengantin lelaki (anak buah sebelah isteri) dengan sebuah bas yang tiba dari Kelantan sehari sebelumnya. Mereka menginap di dua buah rumah yang disediakan khas oleh pihak pengantin perempuan di kampung tersebut. Rombongan kami ke rumah pengantin perempuan kira-kira jam 12.30 tengah hari. Majlis perkahwinan yang diadakan secara agak besar-besaran ini, saya jangka telah dihadiri oleh kira-kira 2,500 orang tetamu semasa kehadiran rombongan kami. Majlis ini juga turut diserikan dengan persembahan gendang dan pencak silat Kumpulan Seri Mawar, Santan, Perlis. Menu untuk meja biasa di majlis ini ialah rendang daging, gulai kuning ikan talang dicampur pisang, ayam goreng berempah, ikan masin, acar buah dan ulam-ulaman. Kami beredar dari tempat kenduri kira-kira jam 2.30 petang. Kami dengan konvoi 3 buah kereta kemudian balik ke Sungai Petani melalui jalan Kangar-Alor Setar, dan melalui ke Lebuh Raya Utara Selatan dari Alor Setar ke Sungai Petani.

Ahad 29 Disember 2013: Bertolak dari Sungai Petani melalui Simpang Pulai, Cameron Highlands dan Sungai Koyan ke Kuala Lipis. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Tiada ulasan: