RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

31 Disember 2011

Selamat Tahun Baru 2012

Hari ini merupakan hari terakhir bagi tahun 2011 dan tepat pada jam 12.00 tengah malam nanti maka masuklah ke tahun baru iaitu tahun 2012. Ekoran daripada perubahan tahun tersebut maka bertambah setahun lagi usia kita. Lalu apabila menjelang sahaja tahun baru semua orang mula memasang azam baru untuk menghadapinya. Ramai orang mahu meninggalkan kenangan tahun 2011 dan berazam untuk membuka lembaran baru 2012. Oleh itu tidak sedikit daripada masyarakat kita (khususnya di bandar-bandar besar) yang pada setiap hujung tahun menunggu detik 12 tengah malam bagi meraikan kedatangan tahun baru tersebut. Masing-masing tidak melepaskan peluang dengan meniru 'budaya orang lain’ yang seolah-olah rugi jika tidak menyertainya. Mereka menunggu kedatangan tahun baru dengan pelbagai aktiviti yang kebanyakannya 'tiada kena mengena' dengan semangat tahun baru.

Hakikatnya sejauhmanakah kita berubah pada setiap kali datangnya tahun baru? Sejauhmanakah kita memahami bahawa perubahan tahun baru itu juga menuntut kepada perubahan kepada diri kita? Apa yang jelas, tiada sempadan perubahan yang ketara yang memisahkan tahun baru dengan tahun lama yang berkaitan dengan diri kita. Yang nyata kita tetap mengharungi masa yang sama iaitu 24 jam sehari dengan aktiviti rutin yang hampir sama pada setiap hari. Kita tetap bangun pagi dan bekerja seperti biasa setiap hari pada sepanjang tahun sebelumnya. Berdasarkan kepada keghairahan menunggu detik 12 tengah malam tahun baru tersebut, maka sepatutnya masing-masing dapat menunjukkan perbezaan yang ketara daripada semua aspek kehidupan seharian pada setiap kali menjelangnya tahun baru.

Justeru itu sempena kedatangan tahun baru 2012 ini marilah kita sekurang-kurangnya memasang azam agar apa jua yang kita lakukan pada hari ini adalah lebih baik daripada semalam. Kata Pepatah Arab, “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam”. Selain itu semoga apa juga yang kita lakukan pada masa-masa yang mendatang akan diberkati Allah SWT hendaknya. Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka mafhum Hadith Rasulullah SAW.

Selamat tahun baru 2012.

12 November 2011

Tradisi Musim Tengkujuh

Bulan November sudah sampai ke pertengahannya yang menandakan tahun 2011 akan berakhir kira-kira sebulan setengah sahaja lagi. Penduduk di Pantai Timur, khususnya Kelantan dan Terengganu, bulan November atau dipanggil ‘bulan sebelas’ merupakan permulaan bagi musim tengkujuh pada setiap tahun. Beberapa hari lepas, seorang rakan lama dari Seremban telah menelefon saya menyatakan hujan tidak berhenti-henti di sepanjang perjalanan bersama keluarganya untuk bercuti di Kelantan.
Dua hari kemudian dia menelefon lagi juga menyatakan keadaan yang sama dalam tempoh 2 hari mereka berada di sana. Saya memaklumkannya bahawa itu adalah fenomena biasa pada setiap hujung tahun.
Hujan tanpa henti dua tiga hari merupakan fenomena biasa bagi kami yang tinggal di negeri-negeri Pantai Timur yang terdedah kepada Monsun Timur Laut ini. Cuaca yang basah dan sejuk ini bukan sahaja mengubah keadaan di Pantai Timur khususnya di Kelantan, malah turut mengubah rutin kehidupan masyarakatnya. Perubahan ini termasuklah cara berpakaian, jenis makanan, pekerjaan dan lain-lain yang bersangkutan dengan sosio budaya masyarakat di sini. Pendeknya musim tengkujuh telah mengubah sama sekali sebahagian besar daripada rutin kehidupan bagi kebanyakan masyarakat di kawasan ini.
Pada kebiasaannya masyarakat luar bandar telah membuat persediaan awal bagi menghadapi bencana yang saban tahun melanda kawasan mereka, khususnya mereka yang tinggal di kawasan tepi sungai atau kawasan tanah rendah. Mereka yang berkemampuan biasanya sudah bersedia dengan perahu di rumah masing-masing. Manakala bagi mereka yang tidak berkemampuan akan menghadapinya dengan bantuan pihak yang berwajib atau jiran-jiran yang berhampiran. Mereka akan berpindah bergantung kepada keadaan sekiranya hujan membawa kepada air naik ke paras merbahaya.
Pada masa dahulu sebelum tibanya musim tengkujuh para ibu akan menyediakan kain baju yang sesuai sebagai pakaian basahan semasa bekerja di sawah atau di kebun supaya tidak terlalu kerap menukar pakaian dalam keadaan yang sukar ini. Oleh kerana kemampuan dan kemudahan yang amat terhad, biasanya kain-kain yang basah disalai ke api agar cepat kering untuk dipakai semula kerana ketiadaan cahaya matahari pada musim ini. Ada kalangan masyarakat luar bandar yang mendirikan bangsal khas di bahagian belakang rumah untuk menyalai kain baju yang basah pada musim hujan yang berpanjangan itu. Anak-anak dinasihatkan supaya ‘berjimat’ memakai pakaian kerana sukar untuk mengeringkan pakaian dalam suasana cuaca yang basah ini.
Pada musim ini biasanya ubi-ubi yang mereka tanam selepas musim menanam padi pada awal tahun digali untuk dijadikan makanan sampingan pada musim tengkujuh. Pelbagai jenis ubi ditanam untuk dijadikan hidangan pada musin tengkujuh, antaranya ubi kayu, ubi badak, ubi keledek, ubi keduduk, ubi keling (ubi kemili) (Dioscorea bulbifera), ubi torak (ubi itik) (Dioscorea esculenta), ubi keladi dan sebagainya. Tetamu atau jiran-jiran yang berkunjung ke rumah pada musim ini akan dihidangkan dengan ubi rebus, terutamanya ubi kayu atau ubi keledek rebus. Ubi kayu rebus enak dimakan dengan kelapa parut dan kopi ‘o’.
Pada musim ini juga kueh tradisi yang berasaskan ubi kayu akan muncul, antara yang paling popular ialah ‘putu halba’. ‘Putu halba’ merupakan kueh yang berasaskan tepung ubi kayu separuh kering yang dicampurkan sedikit biji halba, dibalutkan dengan kain putih dan diletakkan gula melaka sebagai intinya kemudian dikukus dengan menggunakan alat pengukus khas yang (dahulunya) dibuat daripada tin minyak masak. Kini alat pengukus kueh tradisi ini telah dibuat dalam bentuk yang lebih moden hasil daripada pemikiran inovatif masyarakat desa tersebut. Konsepnya sama dengan membuat 'putu piring', cuma resepinya sahaja yang berbeza.
Pendeknya musim tengkujuh bukan sahaja mengubah keadaan cuaca di Pantai Timur malah turut mengubah budaya kehidupan penduduk di kawasan-kawasan yang terlibat. Sekian.

20 Oktober 2011

Pameran Literasi Bahasa IV

Pameran Literasi Bahasa Kali Ke-4 telah diadakan pada hari Khamis, 20 Oktober 2011 bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Pusat Sumber Al-Kindi, IPGKTAA. Pameran yang disertai oleh para pelajar Semester 2 Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Januari 2011 ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha En. Roselan bin Ahmad, Timbalan Pengarah IPGKTAA. Pameran ini merupakan salah satu syarat wajib yang terdapat dalam Pro Forma Kursus WAJ3104 Literasi Bahasa bagi para pelajar Semester 2.
Kursus ini menjelaskan dan mengaplikasikan aktiviti prabacaan, bengkel asas membaca: kaedah fonetik, kaedah abjad, kaedah pandang dan sebut, bengkel aktiviti pratulisan, bengkel aktiviti penulisan mekanis, bengkel penyerapan pemulihan membaca dan menulis dalam mata pelajaran Pendidikan Muzik, Pendidikan Seni Visual, dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, membina
dan menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran bukan elektronik, bengkel pengajaran menggunakan boneka, bengkel pembelajaran secara individu, berpasangan dan berkumpulan, bengkel pembinaan bahan pemulihan dengan power point, bengkel membuat rakaman bunyi-bunyian dengan menggunakan alat perakam digital, seminar dan pameran bahan pemulihan bahasa Melayu.
Kursus ini telah menggariskan empat hasil pembelajaran, iaitu:
1. Menjelaskan dan menghuraikan Teori Pemerolehan Bahasa, Konsep KIA2M, Kemahiran-kemahiran Asas KIA2M, Prinsip dan Kriteria
Pemilihan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran KIA2M.
2. Membina bahan elektronik dan bukan elektronik dalam pengajaran dan pembelajaran KIA2M.
3. Melaksanakan pengajaran dan pembelajaran KIA2M dalam mata pelajaran Pendidikan Muzik, Pendidikan Seni Visual, dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
4. Menilai dan memilih strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk melaksanakan KIA2M kepada murid-murid yang pelbagai latar belakang.

Pameran ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada seluruh warga IPGKTAA. Timbalan Pengarah telah melawat kesemua gerai pameran tersebut di samping menemubual para pelajar bagi unit-unit berkenaan. Beliau berharap agar pameran seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai satu usaha untuk mempamerkan hasil kreativiti serta pemikiran inovatif pelajar dalam menghasilkan bahan bantu mengajar. Beliau amat berpuas hati terhadap komitmen yang diberikan oleh para pelajar dengan bimbingan pensyarah unit masing-masing. Tegasnya semua bahan yang dipamerkan boleh dimanfaat oleh para pelajar terutama sekali semasa latihan mengajar dan terdapat juga bahan-bahan tersebut yang boleh diterbit dan dikomersialkan untuk kegunaan di tadika atau di sekolah. Sekian.

13 September 2011

Aidilfitri dan Lagu Raya

Minggu ini masuk minggu kedua bulan Syawal dan suasana Hari Raya masih lagi terasa. Kebanyakan premis sama ada premis awam atau swasta rancak mengadakan ‘Rumah Terbuka’ masing-masing sebelum Syawal melabuhkan tirainya. Radio, tv dan akhbar masih lagi menonjolkan susasana Hari Raya melalui iklan, rencana dan slot-slot tertentu, tidak terkecuali melalui dendangan lagu-lagu raya. Pelbagai jenis lagu Hari Raya masih ke udara yang antaranya cukup menyentuh perasaan bagi sesetengah pendengar yang menghayatinya. Sejak tahun 1950-an hingga kini pelbagai versi lagu raya telah dicipta berdasarkan citarasa masyarakat mengikut zamannya. Lagu Selamat Hari Raya nyanyian Saloma, Dendang Perantau (versi asal) nyanyian P. Ramlee, Aidilfitri (versi asal) nyanyian Nona Asiah dan Kamsani, Suara Takbir nyanyian P. Ramlee dan Manusia Miskin Kaya (versi asal) nyanyian Nona Asiah merupakan antara lagu-lagu raya awal yang diciptakan pada tahun 1950-an.
Manakala lagu Selamat Hari Raya nyanyian Fazidah Joned, Dendang Perantau (versi 60-an) nyanyian P. Ramlee dan Selamat Hari Raya nyanyian Ahmad Jais adalah lagu-lagu yang diciptakan pada tahun 1960-an. Kesemua lagu ini merupakan antara lagu-lagu raya yang malar segar yang irama lagu dan liriknya masih sukar digugat hingga ke hari ini, serta diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Manakala pada tahun 1970-an pula lebih kurang 28 buah lagu raya telah diterbitkan, antara lagu-lagu yang terawal ialah lagu Manusia Miskin Kaya (versi 70-an) nyanyian Eddy Nor Ali, Bersabarlah Sayang dan Aidilfitri nyanyian Sanisah Huri, Selamat Hari Raya (versi 70-an) nyanyian Saloma, Hari Yang Mulia nyanyian Sharifah Aini, Bila Takbir Bergema nyanyian Rafeah Buang, Suasana Riang (Di Hari Raya) nyanyian Junainah M. Amin dan banyak lagi.

Pada tahun 1980-an pula lebih 30 buah lagu raya telah diterbitkan yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi yang popular pada masa itu antaranya DJ Dave, Sudirman Hj. Arshad, Kumpulan Black Dog Bone, Zaleha Hamid, Sharifah Aini, Rahimah Rahim, Herman Tino, Hail Amir, Uji Rashid dan lain-lain. Semenjak itu lagu-lagu raya tumbuh bagai cendawan yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi popular sezaman, kumpulan-kumpulan nasyid malah turut dinyanyikan oleh kumpulan-kumpulan rock. Mungkin disebabkan oleh faktor citarasa masyarakat mengikut zaman ini, maka secara peribadinya saya berani menyatakan bahawa lagu-lagu raya pada dekad ini langsung tidak menjiwai suasana hari raya berbanding lagu-lagu raya terdahulu. Keadaan ini boleh dilihat daripada pelbagai sudut, baik daripada sudut irama lagu, lirik maupun sudut moral lagunya. Ini belum diambilkira nyanyian semula lagu-lagu raya lama oleh penyanyi-penyanyi baru yang turut ‘mengorbankan’ dan 'melenyapkan' ketiga-tiga aspek tersebut. Biarlah lagu-lagu raya lama itu kekal dalam versinya yang tersendiri yang sangat tinggi nilainya. Sekian.

07 September 2011

Belasungkawa: Allahyarham En. Md. Zulfakar bin Mohd. Salleh

Hari ke-7 selepas Hari Raya Aidilfitri 1432 bersamaan 5 September 2011 (Isnin), seluruh warga IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis dikejutkan dengan pemergian salah seorang pensyarah, iaitu Allahyarham Encik Md. Zulfakar bin Mohd. Salleh, 48 yang percayai akibat serangan jantung pada kira-kira jam 10.00 pagi. Allahyarham mula berkhidmat di IPG ini (dahulunya Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuantan) mulai 1 Oktober 1998 sebagai Pegawai Grafik dan kemudiannya dilantik sebagai Pensyarah di Jabatan Teknologi Pendidikan mulai 3 Februari 2004. Allahyarham yang berasal dari Pekan, Pahang telah meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

Semasa hayatnya, Allahyarham telah banyak menyumbangkan tenaganya dengan tugas-tugas yang berkaitan dengan TMK di peringkat IPGKTAA, Bahagian Pendidikan Guru KPM, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, IPG KPM dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Selain itu Allahyarham juga turut terlibat dengan persiapan untuk Sambutan Hari Kemerdekaan di peringkat Negeri dan Kebangsaan pada setiap tahun, termasuk pada tahun ini. Oleh itu sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah, semoga roh Allahyarham berada di sisi mereka yang dirahmati Allah hendaknya.

18 Ogos 2011

Juadah 'Air Tangan' Ibu

Hari Rabu 17 Ramadan merupakan Hari Nuzul Al-Quran bagi tahun 1432 Hijrah yang mana semua penjawat awam di negeri Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu menikmati cuti umum. Manakala bagi negeri-negeri lain cuti tersebut diambilalih oleh cuti umum yang lain. Ini bermakna Ramadan 1432 sudah melalui fasa separuh kedua yang lebih mencabar khususnya kepada kanak-kanak. Bagi golongan dewasa pula meskipun Ramadan sudah melebihi separuh jalan namun seolah-olah baru semalam kita mula berpuasa. Keadaan ini menunjukkan bahawa masa berjalan begitu pantas dan kita sudah alah bisa tegal biasa dalam menjalani ibadah ini. Faktor cuaca yang tidak terlalu panas pada kali ini juga turut membantu kita.

Bagi para ibu pula sehingga separuh Ramadan ini semua menu yang diketahui telah disajikan untuk keluarga masing-masing, sama ada semasa berbuka maupun semasa bersahur. Malah ada yang sudah dua tiga kali mengulangi menu yang sama dan tiada lagi menu baru yang agak istimewa untuk disediakan. Ada juga yang telah kembali kepada menu yang paling ringkas, umpamanya sekadar nasi putih dan telur goreng mata kerbau atau ikan bakar dicicah kicap yang diperah asam limau nipis dan cili padi. Mungkin kita lebih berselera sekadar dengan ulam-ulaman sahaja. Rasanya menu sedemikian lebih enak berbanding menu-menu yang pelik di luar daripada tradisi kita.
Kalau diimbas kembali semasa zaman kanak-kanak dahulu, orang-orang tua kita amat mengutamakan soal juadah untuk berbuka dan bersahur sebagai tanda menghormati dan meraikan bulan Ramadan. Mereka mula masuk ke dapur seawal selepas solat Zohor untuk memulakan tugas rutinnya. Langkah pertama ialah mengisar beras pulut yang telah direndam pada sebelah paginya dengan menggunakan kisaran batu untuk membuat kueh-mueh. Tepung beras yang dikisar itu ditapis dan ditindih supaya sejat airnya sebelum dijadikan kueh-kueh tertentu.
Dalam tempoh menunggu sejatan tepung beras itu mereka mula menyediakan menu untuk lauk-pauk pula. Untuk menyediakan lauk ayam misalnya mengambil masa yang agak panjang. Pada masa dahulu belum ada lagi ayam proses dijual sebagaimana hari ini, sebaliknya yang ada hanya ayam kampung. Para suami biasanya menangkap ayam pada awal pagi semasa memberi makan ayam tersebut, kalau tidak amat sukar untuk menangkapnya. Ayam tersebut disembelih dan dibuang segala isi perutnya. Ayam ya
ng telah disembelih itu kemudian dicelur beberapa minit ke dalam air panas untuk memudahkan bulunya dicabut.
Selepas itu ayam tersebut dilayur ke api bagi memastikan tiada lagi bulu-bulu halus sebelum dipotong mengikut resepi yang hendak dimasak. Tidak banyak resepi yang diketahui oleh ibu-ibu pada masa itu selain daripada gulai kari, goreng atau bakar, atau yang agak moden pada ketika itu masak kicap. Juga tidak semua ibu yang pandai membuat ayam percik. Pendeknya untuk menyediakan sesuatu menu yang berasaskan ayam kampung mengambil masa dua hingga tiga jam barulah selesai. Ini bermakna lebih 50% dari waktu zohor hingga ke maghrib itu digunakan untuk menyediakan lauk-pauk. Manakala waktu selebihnya mereka gunakan untuk membuat kueh-mueh yang biasanya sejam atau dua jam sebelum masuknya waktu berbuka.
Meskipun di Kelantan kaya dengan pelbagai jenis kueh-mueh tradisi, namun yang lazim disediakan untuk berbuka pada masa itu ialah kueh-mueh yang berasaskan pulut iaitu puteri mandi atau dipanggil juga kepik hidung, ondeh-ondeh atau sesetengah warga tua memanggilnya golek bulu atau telur korang (kukuran). Selain itu terdapat juga poli beras dan butir nangka. Manakala kueh yang berasaskan beras biasa ialah lompat tikam, cendul, caca dan lain-lain. Kueh yang berasaskan ubi kayu pula seperti poli ubi kayu, tepung boka, kueh manis dan lain-lain. Ada juga yang berasaskan pisang dan keledek seperti sira pisang, sira keledek dan lepat pisang. Pendeknya masyarakat dahulu tidak membeli juadah berbuka sebaliknya mereka memasak sendiri juadah tersebut. Kini pelbagai jenis kueh-mueh boleh dibeli di mana-mana, namun yang pasti rasanya tidak seenak air tangan ibu-ibu kita dahulu. Sekian.

09 Ogos 2011

Selamat Berpuasa Ramadan 1432

Minggu ini kita sudah masuk minggu kedua Ramadan 1432. Alhamdulillah, kita masih mampu menunaikan kewajipan itu dalam keadaan baik daripada pelbagai sudut nikmat sama ada nikmat rezeki, nikmat kesihatan dan nikmat keamanan. Kita masih mampu memilih makanan apa yang harus kita makan untuk berbuka dan bersahur pada hari ini, kerana terlalu banyak pilihan yang ada di hadapan kita. Kita masih mampu untuk memilih di mana kita akan berbuka sama ada di rumah, di surau, di masjid, di warung, di restoran atau mungkin di hotel kerana nikmat rezeki dan nikmat keamanan masih lagi dikurnia Allah kepada kita. Dan yang paling penting kita juga masih mampu berpuasa kerana nikmat kesihatan yang tidak ternilai harganya masih dianugerah Allah SWT sehingga ke hari ini.

Sebagai umat yang masih mampu menikmati segala anugerah Allah tersebut, maka kita wajib bersyukur kepada-Nya. Terjemahkanlah kesyukuran kita itu dengan merebut peluang-peluang keemasan yang ditawarkan kepada kita pada sepanjang bulan yang mulia ini. Kepada yang sangat mampu bantulah mereka yang kurang mampu, manakala kepada yang mampu bantulah dalam bentuk apa juga yang termampu. Allah telah berfirman tentang perkara ini, “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai; Seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (Al-Baqarah: 261). Selamat menunaikan ibadah Ramadan dengan penuh barakah. Sekian

25 Jun 2011

Jujurkah Mereka?

Isu terdapatnya para peniaga makanan yang tidak jujur dalam perniagaan mereka merupakan satu isu yang sering kali kita dengar. Isu yang timbul berkaitan dengan perniagaan makanan yang sering dibangkitkan ialah soal harga yang tidak berpatutan, kebersihan makanan, makanan yang dikitar semula, kuantiti makanan yang tidak munasabah, layanan yang tidak memuaskan dan lain-lain yang kebanyakannya sukar untuk dikawal dengan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang. Maka ada segelintir daripada mereka yang mengambil kesempatan ke atas pelanggan yang ‘tidak berkira’ ini. Malah ada yang langsung tidak mengambilkira bahawa perniagaan juga wajib berlandaskan ajaran agama. Dalam konteks ini saya mempunyai dua pengalaman yang boleh dikongsi bersama yang mungkin juga dialami oleh orang lain dalam situasi yang hampir sama.

Senario 1: 12 Mei 2011
Dalam perjalanan balik dari satu seminar di Terengganu saya dan tiga rakan setugas yang lain telah singgah di sebuah warung masakan panas dan memesan 3 mangkuk sup tulang dengan 3 nasi kosong, 1 sup sayur tanpa nasi kosong dan 2 biji telur dadar. Manakala minuman pula kami pesan 1 gelas teh O dan 3 gelas air suam. Warung ini kelihatan bersih dan ceria dengan papan tanda yang jelas serta dihiasi lampu berwarna-warni berkelip-kelipan. Namun tiada tanda harga yang dipaparkan di warung ini sebagai panduan untuk para pengunjungnya. Kami tidak kisah soal itu, asalkan harganya berpatutan.
Setelah selesai makan, kami telah memanggil gadis pembantu warung itu untuk mengira harga makanan yang kami makan pada malam tersebut. Tanpa membawa sebarang kertas, pen atau mesin kira, beliau memaklumkan bahawa ‘taukeh’nya telah mengira dan jumlah kesemuanya RM40.00. Kami agak terkejut dengan jumlah itu dan tidak berpuas hati dengan menu yang ringkas itu dicaj RM10.00 seorang. Salah seorang daripada kami memintanya untuk mengira semula dengan betul. Pembantu warung itu masuk ke dapur memberitahu ‘taukeh’nya kemudiannya kembali memaklumkan taukehnya tengah sibuk memasak dan memang itulah harganya.
Salah seorang daripada kami terus ke dapur dan meminta ‘taukeh’nya memberitahu satu persatu dan mengira sendiri harga makanan yang kami makan tersebut. Akhirnya jumlah sebenar ialah hanya RM31.00 dan kami dapat menyelamatkan RM9.00. Persoalannya berapa ramaikah pelanggan yang boleh berbuat demikian? Kebanyakan daripada kita terus membayar berapa sahaja jumlah yang dimaklumkan tanpa banyak soal. Ini bermakna penipuan yang 'tersembunyi' seperti ini mungkin telah banyak kali berlaku ke atas pelanggan yang dalam perjalanan seperti ini. Oleh itu sekali sekala kita perlu bertindak sedemikian untuk menegakkan hak kita sebagai pengguna, bukan untuk bergaduh.

Senario 2: 18 Jun 2011
Dalam perjalanan balik dari bercuti di kampung, kami sekeluarga telah singgah di R&R Gua Musang untuk makan tengah hari selepas solat Zohor. Keadaan orang tidaklah begitu ramai pada ketika itu. Kami telah memesan makanan dan minuman di gerai yang berbeza. Di gerai minuman kami telah memesan 1 gelas Milo ais, 1 gelas teh O panas dan 2 gelas teh tarik dengan jumlah RM6.50 dan saya telah membayarnya dengan wang RM10.00 yang sepatutnya dikembalikan RM3.50. Namun selepas membayar, saya telah terlupa untuk mengambil wang baki tersebut.
Kira-kira 15 minit selepas itu, saya baru teringat dan amat pasti bahawa wang baki RM3.50 itu masih belum dikembalikan berdasarkan sebelum membuat pembayaran, wang dalam dompet saya semuanya not bernilai RM10.00 dan RM50.00, tiada not RM1.00 atau RM5.00. Lantas saya ke gerai minuman berkenaan yang terletak hanya kira-kira 5 meter dari meja yang kami makan untuk menuntut baki wang tersebut. Tetapi malangnya tuan punya gerai itu menyatakan dia tidak tahu menahu sama ada wang baki itu sudah dikembalikan atau tidak. Meskipun saya memaklumkan jenis minuman yang saya pesan dan membayar dengan wang RM10.00 tetapi beliau tetap enggan mengira balik dengan nada seolah-olah saya cuba meminta wang baki untuk kali kedua. Lalu saya beredar dari situ dengan satu persoalan, adakah wajar seseorang itu hendak menipu wang yang hanya bernilai RM3.50? Saya tidak memandang wang yang bernilai RM3.50 itu, tetapi apa yang saya amat kesalkan ialah kejujuran peniaga ini. Saya hanya menuntut kebenaran dan hak saya, dan peniaga itu tidak akan kaya dengan RM3.50 itu. Sekian.

12 Jun 2011

Bola Itu Bulat

Bola itu bulat. Itulah ungkapan yang sering kita dengar sejak dari dulu, sejak kita mula mengenali permainan bola sepak sehingga sekarang. Ungkapan yang boleh kita anggap sebagai ‘peribahasa khusus’ untuk permainan ini bermaksud apa-apa pun boleh berlaku dalam permainan bola sepak. Sesuatu pasukan yang tewas dahulu tidak bermakna akan tewas dalam perlawanan berikutnya. Sesuatu pasukan yang tewas dalam separuh masa pertama tidak bermakna akan tewas dalam separuh masa kedua. Sesuatu pasukan yang tercorot adakalanya boleh menewaskan pasukan teratas liga dan pelbagai tanggapan mustahil boleh menjadi tidak mustahil dalam bola sepak.
Keadaan ini telah terbukti dalam perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam (11 Jun 2011) di mana dua pasukan bola sepak Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu telah berentap. Perlawanan yang akhirnya memihak kepada pasukan Terengganu berjaya menggondol salah satu piala berprestij dalam sukan bolasepak Malaysia itu telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil dalam bola sepak. Kekalahan dramatik Kelantan kepada Terengganu 1-2 cukup menarik untuk diperhatikan dalam beberapa sudut.
Pertamanya daripada segi rekod perlawanan terakhir sebelum perlawanan akhir ini Kelantan telah menewaskan Terengganu 3-0 di Kuala Terengganu. Kemenangan tersebut tentunya memberi sedikit kelebihan semangat kepada pasukan Kelantan. Namun Terengganu telah turun dalam perlawanan dramatik ini dengan tekad yang tinggi dan melupakan sepenuhnya kekalahan di Kuala Terengganu tersebut. Akhirnya ternyata kekalahan tersebut tidak sedikit pun mematahkan semangat mereka dan mereka berjaya.
Keduanya, Kelantan telah mendahului Terengganu dalam minit ke-79 melalui Nurul Azwan Roya yang hanya kekal sehingga ke minit-minit akhir sahaja. Piala yang seolah-olah sudah menjadi milik mereka itu terlepas apabila tandukan Daudsu Jamaluddin masuk ke gawang sendiri semasa cuba menyelamatkan tendangan kencang pemain Terengganu. Jaringan pada masa kecederaan yang diberikan selama 4 minit oleh pengadil akibat daripada permainan yang terhenti kerana insiden lontaran objek kepada penjaga gawang Terengganu pada permulaan babak kedua itu ternyata memakan diri, kerana jika tidak kerana insiden tersebut tentunya permainan dalam masa sebenar telah tamat. Kedudukan 1-1 memaksa kepada tambahan masa.
Akhirnya, misi mustahil Terengganu berjaya apabila pemain gantian Ahmad Nordin Alias menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-109 masa tambahan. Dengan itu Kelantan telah kempunan Piala FA untuk kali kedua setelah kali pertama dikecewakan oleh Selangor dalam perlawanan yang sama pada tahun 2009 menerusi sepakan penalti setelah seri 1-1. Itulah bola sepak dan tiada yang mustahil dalam bola sepak. Syabas Terengganu dan Kelantan jangan putus asa. Bola memang bulat.

10 April 2011

Bahasa Kiasan Suku Kaum Semai

Bahasa digunakan oleh penuturnya untuk menyampaikan gagasan, buah fikiran dan perasaannya dalam berbagai-bagai situasi dan tujuan komunikatif. Penggunaan bahasa dengan pelbagai strategi ini telah menampakkan bermacam-macam nilai sosial dan kebudayaan yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat bahasa itu. Bahasa Semai yang merupakan salah satu bahasa masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia mempunyai ciri dan fungsi yang hampir sama dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini. Bahasa Semai juga tidak terkecuali daripada mempunyai bahasa kiasan yang di dalamnya terdapat peribahasa, simpulan bahasa, metafora, metonimi dan sebagainya bagi tujuan komunikatif tersebut. Dengan bantuan beberapa orang masyarakat Semai di Kampung Kuala Koyan, Lembah Jelai kira-kira 45 km dari Kuala Lipis, saya telah mengutip beberapa buah bahasa kiasan yang terdiri daripada jenis yang bercampur-campur antara peribahasa, simpulan bahasa, metafora, metonimi dan sebagainya sebagaimana yang dinyatakan di atas. Kebanyakan daripada bahasa kiasan ini terdiri daripada kata-kata yang berasaskan alam khususnya haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Dalam ruangan yang terhad ini saya perturunkan sebahagian kecil daripada sejumlah bahasa kiasan yang telah saya catatkan, iaitu:

a) Bagi menggambarkan buah yang hampir masak dan belum boleh dipetik atau dituai.

1. celun rau [cəlun rau] (belakang kera) menunjukkan warna buah rambutan yang hampir masak (berwarna kekuningan).
2. ket jelor [kət jelɔr] (perut lintah) menunjukkan warna rambutan yang hampir masak (berwarna kekuningan).
3. bihip kap [bihip kap] (darah ikan) menunjukkan warna buah rambutan yang hampir masak (berwarna kemerah-merahan tetapi belum boleh dipetik).
4. sentak kak [səntaʔ kaʔ] (ekor ikan) menunjukkan warna padi yang hampir masak dan belum sesuai untuk dituai.
5. celut tajuk [cəluʔ tajoʔ] (belakang ular) menunjukkan warna pisang yang hampir masak (berwarna hijau kekuningan).
6. kit ot [kit oÊ”] (pinggang tebuan) menunjukkan warna pinang yang hampir masak (berwarna kekuningan sebagaimana warna di bahagian perut tebuan).

b) Bagi menggambarkan jarak, masa dan keluasan

1. nok laknik [nɔʔ lɔʔniʔ] atau nok periuk [nɔʔ pəriuʔ] (sekuali nasi atau seperiuk nasi) menunjukkan tempoh masa yang diambil untuk melakukan sesuatu pekerjaan sama dengan tempoh masa untuk memasak seperiuk nasi.
2. nok lernur bakou [nɔʔ lənur bakou] (sebatang rokok) menunjukkan tempoh masa atau jarak perjalanan ke sesuatu tempat sama dengan tempoh menghisap sebatang rokok.
3. sempak paser [səmpaʔ pasɛr] (selontar pasir) menunjukkan jarak kedudukan sesuatu benda.
4. selah leu [səlah leu] (buluh layu) menunjukkan tempoh masa yang diambil dengan merujuk kepada warna buluh yang digunakan untuk memasak nasi bertukar dari warna hijau kepada warna putih setelah dipanggang ke api.
5. nget leu [ŋɛʔ leu] (buluh hangus) menunjukkan tempoh masa yang diambil lebih lama daripada ‘selah leu’ tadi, dengan menunjukkan buluh yang dipanggang menjadi hangus sedikit selepas bertukar warna menjadi putih.
6. marha-woc-dog [marha wɔc dɔg] (sebesar pusar beruk) menunjukkan keluasan tanah yang diusahakan atau dimiliki oleh seseorang.
7. marha seningkang rau [marha sniŋkaŋ rau] (seluas sekangkang kera) juga menunjukkan keluasan tanah yang diusahakan atau dimiliki oleh seseorang.
8. nelumpat rusak [nəlumpaʔ rusaʔ] (lompatan rusa) menunjukkan ladang yang dibakar hangus bertompok-tompok, tidak hangus kesemua atau keseluruhan kawasan yang dibakar.

c) Bagi menggambarkan sifat manusia

1. sengik tajuk [səŋiʔ tajoʔ] (hati ular) menunjukkan seseorang yang bersifat ganas atau tanpa belas kasihan apabila marah.
2. tok entaq [tɔʔ əntaʔ] (tiada telinga) menunjukkan seseorang yang degil atau tidak mendengar nasihat.

3. pek ber eij wet [pɛʔ bɛr eij wɛt] (tiada tali perut) menunjukkan seseorang yang tidak berhati perut atau kejam terhadap orang lain.
4. raha-weoi [raha wəoi] (macam mawas) menunjukkan seseorang yang tidak mempunyai tempat tinggal kerana malas berusaha.
5. raha-pok [raha poÊ”] (macam ayam) menunjukkan seseorang yang sangat rajin (ayam dianggap sebagai binatang yang rajin kerana pada awal pagi lagi sudah keluar mencari rezeki).
6. raha-batok [raha batoÊ”] (macam batu) menunjukkan seseorang yang tidak boleh dibawa berunding atau tidak berguna kepada orang lain.
7. raha-tungul [raha tuŋul] (macam tunggul) menunjukkan seseorang yang tidak boleh dibawa berunding atau tidak berguna kepada orang lain.
8. raha-cak nakpug [raha caÊ” naÊ” pug] (macam makan ayam) menunjukkan seseorang yang makan dengan tidak senonoh (seseorang yang makan dengan bersepah-sepah).

9. raha-rau/dog [raha rau/dog] (macam kera/beruk) menunjukkan seseorang yang sangat kedekut.
10. angkut jelma [aŋkot jəlma] (angkat gunung) menunjukkan seseorang yang suka memperbesarkan perkara yang kecil.

*Terima kasih kepada En. Achom bin Luji, Batin Achom a/l Khamis, Pn. Pong a/p Panjang, En. Munan a/l Yai dari Kampung Kuala Koyan, Kuala Lipis dan En. Sembunyi anak Jamil dari JAKOA, Kuala Lipis atas kerjasama ini. Saya juga merakamkan penghargaan kepada Allahyarham En. Roslan Badli bin Abdullah, Pegawai Eksekutif IPGKTAA yang terlibat pada peringkat awal kajian ini.

08 Mac 2011

Kuala Lipis Dalam "Sejarah Pahang"

Nama Kuala Lipis telah dicatat dalam 23 halaman buku Sejarah Pahang hasil tulisan Haji Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 1984. Berikut ialah sebahagian daripada keseluruhan petikan berkaitan yang terdapat dalam buku tersebut:

  1. Clifford dan rombongannya telah bertolak meninggalkan Penjum dengan sebuah rakit besar lengkap dengan rumah rehat di atasnya, menghilir lagi di Sungai Lipis, sampai ke Kuala Lipis dan masuk ke Sungai Jelai, menghilir lagi, sampai ke Kuala Tembeling di persimpangan Sungai Jelai dengan Sungai Tembeling dan menghilir Sungai Pahang pula (m.s. 246).
  2. Pada akhir bulan September itu juga anggota polis bangsa Sikh seramai lima puluh orang lagi di bawah pimpinan seorang pegawai polis bernama Suraim Singh dari Singapura telah dihantar ke Pahang, dan kebanyakan dari mata-mata itu telah ditempatkan di Kuala Lipis (hulu Pahang) (m.s. 284).
  3. Beberapa tahun kemudian apabila dikemukakan cadangan kepada Sultan Ahmad supaya ibu negeri Pahang di Kuala Lipis itu dipindahkan ke satu tempat lain yang lebih sesuai, baginda tidak bersetuju untuk meninggalkan Kuala Lipis, kerana menurut baginda, tanah tempat itu telah disucikan dengan pertumpahan darah (Haji Wan Daud) (m.s. 287).
  4. Dalam tahun itu ditambah lagi lima puluh orang mata-mata Sikh. Pada masa itulah Kuala Lipis telah dijadikan ibu pejabat pasukan polis bagi daerah Hulu Pahang dan Inspektor Summer dijadikan inspektor polis mengetuai pasukan polis di situ (m.s. 288).
  5. Pada pertengahan bulan Februari 1890 itu juga, Hugh Clifford yang telah menghabiskan cutinya telah kembali ke Pekan. Dari Pekan ia telah memudiki Sungai Pahang pergi ke Kuala Lipis dan pada 1 haribulan Mac 1890 ia mula memegang jawatannya di Kuala Lipis menggantikan pemangkunya W. C. Mitchell sebagai Penguasa di Hulu Pahang (m.s. 293).
  6. Dalam penghujung bulan Disember 1890 itu, Sultan Ahmad dengan diiringi oleh orang-orang besar serta pengawal baginda telah melawat Kuala Lipis dan di sana baginda telah diraikan oleh Pemangku Residen British (Hugh Clifford). Setelah itu baginda berangkat melawat Bukit Betong dan telah disambut dengan meriahnya oleh Maharaja Perba orang besar di Jelai itu (m.s. 294).
  7. Esoknya Sultan Pahang dan Rodger serta Tengku Ali putera baginda (adik Tengku Mahmud) dengan beberapa orang besar Pahang, yang membawa satu angkatan mengandungi lebih kurang seribu orang telah memasuki lembangan Sungai Semantan. Hugh Clifford telah pergi dan berjaga di Kuala Lipis. Pada masa itu Tengku Mahmud sedang gering di Pekan (m.s. 307).
  8. Apabila Tok Raja dan Orang Kaya Lipis sampai di Pulau Tawar dan berjumpa Sultan Pahang, baginda telah mengajak mereka bersama-sama mudik balik ke Kuala Lipis. Pada 25 haribulan April 1892 Ahmad serta kedua orang besar itu telah sampai di Kuala Lipis. Dalam pertemuan dengan Hugh Clifford di Kuala Lipis itu antara lain Sultan Ahmad telah mengatakan kepada Clifford bahawa orang besar baginda tidak lagi mentaati perintah baginda, dan rancangan hendak menyerang Kuala Lipis itu bukanlah baginda yang membuatnya. Esoknya Sultan Ahmad berangkat pulang ke Pulau Tawar, dua hari selepas itu Tok Raja dan Orang Kaya Lipis balik ke tempat masing-masing (m.s. 320).
  9. Apabila Batu Hampar dan Lubuk Terua dapat diambil semula oleh pihak kerajaan, Haji Muhammad Nur yang dibantu oleh Imam Perang Sanggang, Orang Kaya Indera Segara Temerloh, Tok Umbi, Pahlawan Lawi, Tok Jenid Chenor, Wan Ahmad Tembeling dan Panglima Raja Ya’akub membawa satu pasukan kerajaan telah meneruskan gerakan mereka mengejar orang-orang Melayu pengikut Datuk Bahaman yang lari ke dalam hutan yang terletak antara Semantan dengan Daerah Lipis. Hugh Clifford di Kuala Lipis diperintahkan membawa pasukannya mencari dan mengejar pihak penentang British itu dari arah Kuala Lipis pula (m.s. 322).
  10. Pada 14 haribulan Ogos 1945 itu juga, Sultan Abu Bakar Pahang telah dipersilakan oleh pegawai tinggi Jepun yang menjadi “Gabenor Pahang” datang ke Kuala Lipis untuk satu perjumpaan. Dalam perjumpaan yang telah diadakan di Kuala Lipis pada 15 haribulan Ogos 1945 baginda telah mendengar ucapan “Gabenor Pahang” itu mengenai “Tindakan Tidak Bekerjasama” (non co-operation) dan “Gabenor” itu telah menghadiahkan kepada baginda beberapa helai kain tetapi tidak sedikitpun pegawai Jepun itu membayangkan atau menceritakan mengenai kerajaan Jepun telah menyerah kalah itu (m.s. 422).

03 Mac 2011

Pendidikan Orang Asli: 3 Komponen Perlu Diutamakan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggariskan tiga komponen utama yang perlu bagi masyarakat Orang Asli mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan negara seiring dengan masyarakat lain. Perdana Menteri berkata lokasi sekolah berdekatan dengan penempatan kaum itu merupakan komponen yang perlu diberi keutamaan kerana ia adalah faktor penyumbang kepada keciciran pelajaran anak Orang Asli. "Kedudukan sekolah jauh sehingga 25 hingga 40 kilometer dari rumah merupakan salah satu punca keciciran anak Orang Asli dalam pendidikan," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Sekolah Kebangsaan Simpai, di sini, hari ini.

Selain lokasi sekolah, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkata komponen kedua dalam memastikan prestasi pelajar Orang Asli melonjak ialah dengan adanya barisan guru yang berdedikasi dan sanggup berkhidmat di kawasan penempatan kaum itu. Katanya komponen terakhir dan paling penting adalah perubahan sikap ibu bapa yang mementingkan pendidikan anak-anak demi masa depan mereka dalam mengharungi arus pemodenan. "Ibu bapa mesti berubah sikap, sekiranya masih berada di takuk lama maka tiada gunalah kita sediakan kemudahan sekolah serba lengkap tapi kesannya tidak seperti yang kita harapkan," katanya. Katanya dua cabaran besar masyarakat Orang Asli dalam bidang pendidikan negara ialah kadar keciciran tinggi di mana 31 peratus anak Orang Asli tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah. Perdana Menteri berkata, cabaran besar bagi pihak kerajaan pula adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat itu mengenai kepentingan bidang pendidikan. Cabaran besar yang kedua adalah kurangnya pencapaian mereka dalam bidang pendidikan dan oleh sebab itu usaha kerajaan diperlukan untuk melihat kejayaan mereka, katanya.
- BERNAMA

25 Januari 2011

Interlok: Perlukah Satu Formula?

Isu pembakaran novel Interlok dan gambar penulisnya, Sasterawan Negara Abdullah Hussain oleh kira-kira seratus penduduk berketurunan India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 8 Januari 2011 yang lalu nampaknya tidak 100% reda. Demonstrasi kecil tersebut turut dihadiri oleh dua orang wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Kota Raja dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah yang ‘turun padang’ untuk bersama-sama dengan kumpulan berkenaan. Isunya, dikatakan terdapat fakta yang begitu sensitif dalam kalangan masyarakat India di negara ini yang kononnya boleh membentuk pemikiran pelajar kerana novel ini dijadikan teks Sastera untuk SPM walaupun telah ditulis 40 tahun yang lalu.
Peristiwa ini telah mendapat liputan meluas media di seluruh negara sehinggakan menjadikannya sebagai salah satu isu nasional yang akhirnya ‘terpaksa’ dibincangkan di peringkat tertinggi. Seperti biasa apabila sesuatu isu itu disandarkan kepada ‘sudut pandangan politik’ maka ia telah menjadi forum kepada khalayak umum, sama ada mereka daripada kalangan yang pakar dalam novel dan sastera hinggalah mereka yang tidak tahu apa dia istilah novel dan sastera. Juga daripada kalangan mereka yang sudah membaca novel itu hinggalah mereka yang belum pernah melihat dan menyentuh novel tersebut. Tidak terkecuali daripada kalangan mereka yang berpendidikan tinggi hinggalah mereka yang tidak pernah ke sekolah. Agaknya atas ‘pertimbangan yang sukar’ ini maka pihak berwajib terpaksa melayan juga kerenah segelintir khalayak tersebut.
Bagi kalangan mereka yang bercitra sastera atau bersudut pandangan sastera, isu seperti ini adalah perkara biasa kerana sesuatu karya itu adalah idea daripada pemikiran dan realiti yang tercetus dalam lingkungan kehidupan mereka seharian. Maka mencatatkan sesuatu idea yang berdasarkan kebenaran itu bukan sesuatu yang salah. Untuk itu penulis novel ini menyatakan bahawa beliau dukacita kerana maksudnya baik, tetapi disalahtafsirkan oleh segelintir masyarakat yang ada kepentingan tertentu. Apa yang dihasilkan dalam novel tersebut ialah orang Melayu, Cina dan India cuba membentuk satu identiti kebangsaan selepas negara mencapai kemerdekaan.
Sebenarnya bukan Interlok sahaja yang membicarakan soal seperti ini, malah novel-novel selepas merdeka banyak menyentuh tentang isu-isu yang berkaitan dengan soal agama, bahasa, kebudayaan dan sebagainya yang ada di antaranya boleh membakar serakah politik segelintir khalayak tertentu jika mereka mahu. Misalnya dalam novel Desa Pingitan (1962), karya Allahyarham Ibrahim Omar (teks Sastera SPM 1966-1968) terdapat dialog tentang isu penggunaan bahasa Melayu yang kalau dieksploitasikan oleh manusia politik boleh menjadi panas. Malah tidak kurang juga terdapat novel-novel yang menggambarkan masyarakat Melayu yang sangat daif dalam serba-serbi dan tidak pernah dipertikaikan oleh sesiapa pun.
Justeru itu perlukah formula untuk menyelesaikan polemik ini? Kita sudah terlalu banyak membuang masa untuk memberi perhatian kepada isu-isu picisan seperti ini yang sepatutnya dipergunakan untuk menyelesaikan isu yang lebih besar dan sejagat untuk kelompok yang majoritinya berkehendakkan kesejahteraan hidup dalam negara yang aman damai ini. Satu faktor yang jelas ialah dek kerana semua pihak memberi perhatian yang agak lebih, maka isu ini masih lagi berpanjangan. Bak kanak-kanak yang meragam, semakin ia dilayan maka ia semakin menjadi. Untuk itu tidak perlu formula yang sukar untuk menyelesaikan isu ini: Sila baca, selami dan fahami novel ini dalam konteks selain daripada konteks politik. Selesai.