Hari ini merupakan hari terakhir bagi tahun 2011 dan tepat pada jam 12.00 tengah malam nanti maka masuklah ke tahun baru iaitu tahun 2012. Ekoran daripada perubahan tahun tersebut maka bertambah setahun lagi usia kita. Lalu apabila menjelang sahaja tahun baru semua orang mula memasang azam baru untuk menghadapinya. Ramai orang mahu meninggalkan kenangan tahun 2011 dan berazam untuk membuka lembaran baru 2012. Oleh itu tidak sedikit daripada masyarakat kita (khususnya di bandar-bandar besar) yang pada setiap hujung tahun menunggu detik 12 tengah malam bagi meraikan kedatangan tahun baru tersebut. Masing-masing tidak melepaskan peluang dengan meniru 'budaya orang lain’ yang seolah-olah rugi jika tidak menyertainya. Mereka menunggu kedatangan tahun baru dengan pelbagai aktiviti yang kebanyakannya 'tiada kena mengena' dengan semangat tahun baru.
Hakikatnya sejauhmanakah kita berubah pada setiap kali datangnya tahun baru? Sejauhmanakah kita memahami bahawa perubahan tahun baru itu juga menuntut kepada perubahan kepada diri kita? Apa yang jelas, tiada sempadan perubahan yang ketara yang memisahkan tahun baru dengan tahun lama yang berkaitan dengan diri kita. Yang nyata kita tetap mengharungi masa yang sama iaitu 24 jam sehari dengan aktiviti rutin yang hampir sama pada setiap hari. Kita tetap bangun pagi dan bekerja seperti biasa setiap hari pada sepanjang tahun sebelumnya. Berdasarkan kepada keghairahan menunggu detik 12 tengah malam tahun baru tersebut, maka sepatutnya masing-masing dapat menunjukkan perbezaan yang ketara daripada semua aspek kehidupan seharian pada setiap kali menjelangnya tahun baru.
Justeru itu sempena kedatangan tahun baru 2012 ini marilah kita sekurang-kurangnya memasang azam agar apa jua yang kita lakukan pada hari ini adalah lebih baik daripada semalam. Kata Pepatah Arab, “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam”. Selain itu semoga apa juga yang kita lakukan pada masa-masa yang mendatang akan diberkati Allah SWT hendaknya. “Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” mafhum Hadith Rasulullah SAW. Selamat tahun baru 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan