Setelah
kira-kira 10 bulan tidak menulis di blog ini, maka hari ini idea untuk menulis
muncul kembali selepas ke bandar Kota Bharu yang jarang-jarang dikunjungi
setelah hampir 20 tahun berada di luar Kelantan. Semasa sekali-sekala balik
kampung saya juga amat jarang ke bandar tersebut atas faktor kesesakan terutama
sekali pada musim-musim perayaan utama kerana ramai warga Kelantan yang berada
di luar balik ke kampung masing-masing. Ibu Negeri Cik Siti Wan
Kembang ini kelihatan bertambah maju dan moden seperti juga pesatnya pembangunan di ibu negeri dan bandar-bandar utama yang lain di negara ini.
![]() |
| Stesen bas SKMK di Jalan Pendek |
Beberapa
hari lepas saya telah ke bandar utama negeri Kelantan ini yang jaraknya hanya kira-kira
25km dari kampung kami, dengan masa memandu setengah jam pada waktu bukan
puncak. Pada waktu puncak memerlukan
masa hampir satu jam untuk sampai. Dalam kunjungan santai ini saya telah
mengambil kesempatan untuk meneliti bandar yang pernah saya diami semasa
belajar di Tingkatan 6 kira-kira 41 tahun yang lalu. Banyak perubahan telah
berlaku kepada bandar ini khususnya daripada aspek laluan, landskap dan pertumbuhan fizikalnya. Kebanyakan jalan utama telah menjadi jalan sehala bagi tujuan
melancarkan pergerakan trafik di pusat bandar. Perubahan-perubahan tersebut
telah menjadikan kota ini kelihatan lebih ceria dan semakin ‘remaja’ berbanding
40 tahun yang lalu.
![]() |
| Jambatan Sultan Yahya Petra |
Saya sengaja memandu dari
Pasir Mas melalui laluan Pasir Pekan dengan menaiki Jambatan
Sultan Yahya Petra yang dahulunya merupakan satu-satunya jambatan yang
merentasi Sungai Kelantan. Jambatan yang asalnya mempunyai satu laluan dua hala
itu kini telah menjadi 3 laluan dengan tambahan laluan dua lorong di sebelah
kiri dan kanan laluan asal. Di hujung jambatan ini pula dibina flyover yang berakhir berhampiran
persimpangan Jalan Dusun Muda, Langgar. Tambahan laluan ini untuk mengurangkan
kesesakan kenderaan terutama sekali pada waktu puncak.
Dari
flyover tersebut saya melalui Jalan
Dusun Muda terus ke Jalan Bayam, Bangunan Wisma Persekutuan, Rumah Pangsa Jalan
Bayam, Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1,
Bangunan Majlis Perbandaran Kota Bharu
(MPKB) dan terus ke pusat bandar melalui Jalan Doktor berhampiran Stesen Bas SKMK, Telekom Malaysia Berhad dan deretan kedai. Pada masa dahulu di
jalan ini terdapat Perpustakaan Carnegie iaitu perpustakaan awam yang
kemudiannya diperbadankan di bawah Perbadanan Perpustakaan Negeri Kelantan. Kami
sentiasa berjalan kaki melalui jalan ini ke stesen bas untuk balik kampung pada
setiap hujung minggu.
![]() |
| Gedung Kain Honyi dahulunya Bersatu Supermarket |
![]() |
| Kota Bharu City Point dahulunya Arked MPKB berhadapan dengan Chin Seng Emporium |
![]() |
| Bangunan Hotel Temenggong yang kosong |
Kota
Bharu pada satu ketika dahulu mempunyai empat buah pawagam iaitu Panggung Lido,
Odeon, Rex dan Rani. Panggung Lido terletak berhampiran Taman Sekebun Bunga di
tebingan Sungai Kelantan yang kini tersergam megah bangunan Hotel Grand River View. Manakala
Panggung Odeon terletak di Jalan Tengku Chik kira-kira 150 meter dari Panggung
Lido. Panggung Odeon kemudiannya telah dibeli oleh Badan Perhubungan UMNO
Negeri Kelantan dan dijadikan ibu pejabat UMNO negeri. Pawagam Rex dan Panggung
Rani pula terletak berderetan di Jalan Tok Hakim yang kini terdapat bangunan
Tenaga Nasional dan Hotel Temenggong. Bangunan Hotel Temenggong dahulunya merupakan
salah sebuah hotel yang gah di bandar ini yang terletak di persimpangan Jalan
Temenggong dan Jalan Tok Hakim kini kelihatan kosong dan terbiar di
tengah-tengah bandar tersebut.
![]() |
| Bangunan UMNO Negeri Kelantan, dahulunya Panggung Odeon |
Meskipun
banyak perubahan telah berlaku namun terdapat beberapa premis yang kekal
sebagaimana lebih 40 tahun yang lalu. Antara yang masih kekal ialah Chin Seng
Emporium yang terletak di Jalan Hilir Pasar yang merupakan pusat membeli-belah utama
sebelum adanya kedua-dua pasar raya tersebut. Saingan Chin Seng Emporium ialah Kelantan
Emporium di Jalan Sultanah Zainab yang kini sudah tiada lagi. Selain itu stesen
bas SKMK di Jalan Pendek juga masih kekal dan merupakan tempat yang sentiasa
sesak dengan orang ramai, selain daripada di stesen teksi dan kereta sewa yang
terletak di Jalan Dato’ Pati dan Jalan Ismail. Kebanyakan premis lama di
jalan-jalan utama di bandar ini masih kekal dengan perniagaan masing-masing.
![]() |
| Restoran Nasi Ulam Cikgu, Kampung Kraftangan |
Mengunjungi
ke Kota Bharu, seolah-olah telah membawa saya kembali ke alam persekolahan pada
akhir 1970-an dahulu. Meskipun terdapat banyak perubahan dan pemodenan dari
segi fizikalnya, namun wajah asal Kota Bharu tetap kekal dengan ciri-cirinya
yang tersendiri.






