RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

25 Januari 2011

Interlok: Perlukah Satu Formula?

Isu pembakaran novel Interlok dan gambar penulisnya, Sasterawan Negara Abdullah Hussain oleh kira-kira seratus penduduk berketurunan India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 8 Januari 2011 yang lalu nampaknya tidak 100% reda. Demonstrasi kecil tersebut turut dihadiri oleh dua orang wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Kota Raja dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah yang ‘turun padang’ untuk bersama-sama dengan kumpulan berkenaan. Isunya, dikatakan terdapat fakta yang begitu sensitif dalam kalangan masyarakat India di negara ini yang kononnya boleh membentuk pemikiran pelajar kerana novel ini dijadikan teks Sastera untuk SPM walaupun telah ditulis 40 tahun yang lalu.
Peristiwa ini telah mendapat liputan meluas media di seluruh negara sehinggakan menjadikannya sebagai salah satu isu nasional yang akhirnya ‘terpaksa’ dibincangkan di peringkat tertinggi. Seperti biasa apabila sesuatu isu itu disandarkan kepada ‘sudut pandangan politik’ maka ia telah menjadi forum kepada khalayak umum, sama ada mereka daripada kalangan yang pakar dalam novel dan sastera hinggalah mereka yang tidak tahu apa dia istilah novel dan sastera. Juga daripada kalangan mereka yang sudah membaca novel itu hinggalah mereka yang belum pernah melihat dan menyentuh novel tersebut. Tidak terkecuali daripada kalangan mereka yang berpendidikan tinggi hinggalah mereka yang tidak pernah ke sekolah. Agaknya atas ‘pertimbangan yang sukar’ ini maka pihak berwajib terpaksa melayan juga kerenah segelintir khalayak tersebut.
Bagi kalangan mereka yang bercitra sastera atau bersudut pandangan sastera, isu seperti ini adalah perkara biasa kerana sesuatu karya itu adalah idea daripada pemikiran dan realiti yang tercetus dalam lingkungan kehidupan mereka seharian. Maka mencatatkan sesuatu idea yang berdasarkan kebenaran itu bukan sesuatu yang salah. Untuk itu penulis novel ini menyatakan bahawa beliau dukacita kerana maksudnya baik, tetapi disalahtafsirkan oleh segelintir masyarakat yang ada kepentingan tertentu. Apa yang dihasilkan dalam novel tersebut ialah orang Melayu, Cina dan India cuba membentuk satu identiti kebangsaan selepas negara mencapai kemerdekaan.
Sebenarnya bukan Interlok sahaja yang membicarakan soal seperti ini, malah novel-novel selepas merdeka banyak menyentuh tentang isu-isu yang berkaitan dengan soal agama, bahasa, kebudayaan dan sebagainya yang ada di antaranya boleh membakar serakah politik segelintir khalayak tertentu jika mereka mahu. Misalnya dalam novel Desa Pingitan (1962), karya Allahyarham Ibrahim Omar (teks Sastera SPM 1966-1968) terdapat dialog tentang isu penggunaan bahasa Melayu yang kalau dieksploitasikan oleh manusia politik boleh menjadi panas. Malah tidak kurang juga terdapat novel-novel yang menggambarkan masyarakat Melayu yang sangat daif dalam serba-serbi dan tidak pernah dipertikaikan oleh sesiapa pun.
Justeru itu perlukah formula untuk menyelesaikan polemik ini? Kita sudah terlalu banyak membuang masa untuk memberi perhatian kepada isu-isu picisan seperti ini yang sepatutnya dipergunakan untuk menyelesaikan isu yang lebih besar dan sejagat untuk kelompok yang majoritinya berkehendakkan kesejahteraan hidup dalam negara yang aman damai ini. Satu faktor yang jelas ialah dek kerana semua pihak memberi perhatian yang agak lebih, maka isu ini masih lagi berpanjangan. Bak kanak-kanak yang meragam, semakin ia dilayan maka ia semakin menjadi. Untuk itu tidak perlu formula yang sukar untuk menyelesaikan isu ini: Sila baca, selami dan fahami novel ini dalam konteks selain daripada konteks politik. Selesai.

12 Januari 2011

Selamat Berpisah Dato' Pengarah

Masuk hari ke-10 bulan Januari 2011 seluruh warga IPGKTAA telah kehilangan teraju utama IPG ini iaitu YH Dato’ Hj. Mazlan bin Mohamad yang telah dilantik sebagai Pengarah Pelajaran Negeri Pahang. YH Dato’ Hj. Mazlan yang telah menerajui IPG ini sejak 1 Julai 2008 telah berkhidmat di sini kira-kira 2 tahun 5 bulan. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat di beberapa tempat antaranya Maktab Perguruan Ilmu Khas (kini IPG Kampus Khas), IPBA, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia dan sebagai Timbalan Pengarah di IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Meskipun dalam masa tidak sampai 3 tahun di IPGKTAA, sebagai seorang pemimpin yang berkaliber beliau telah membawa beberapa pendekatan yang cukup positif untuk diteruskan oleh kami di sini. Antara program utama yang telah dilaksanakan dalam tempoh tersebut ialah:
1. Menubuhkan Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) di Seri Tualang, Temerloh, Pahang.
2. Menubuhkan Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi, Bahasa Melayu dan Kokurikulum di IPGKTAA. Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi yang telah dirasmikan oleh YB Dato’ Dr. Fuad Zarkashi pada 13 Oktober 2009 itu telah mendapat sokongan dan kerjasama sepenuhnya daripada pelbagai pihak dalam dan luar negara.
3. Program Titisan Ilmu – Program secara kolaboratif dengan beberapa IPTA antaranya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk staf IPGKTAA melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.
4. Melibatkan IPGKTAA dalam beberapa program di peringkat kebangsaan antaranya Pameran Hari Guru Kebangsaan 2010 di Kuantan, Pameran Sempena Lawatan Perdana Menteri Ke SK Betau, Kuala Lipis dan Pameran Sempena Mesyuarat Menteri-Menteri OIC di KLCC.
5. Menambahbaik infrastruktur dan infostruktur di IPGKTAA.

Kami warga IPGKTAA mengucapkan selamat bertugas di tempat yang baru, semoga YH Dato’ dapat meneruskan kesinambungan kecemerlangan dengan matlamat yang sama iaitu untuk memajukan taraf pendidikan anak bangsa, khususnya di negeri Pahang Darul Makmur ini. Bak teromba Melayu:
Daun selasih daun keladi,
keladi ditanam di tepi tanjung,
tanjung bernama Tanjung Karang,
tempat orang mengail sepat,
hati kasih kerana budi,
budi baik rasa nak junjung,
sampai bila dikenang orang,
kenangan sampai ke akhir hayat.

(Petikan Teromba: Dato' Paduka Dr. Rosli Saludin, UPSI)

01 Januari 2011

Mini Reunion 1986 - 2010

20 Disember 2010 (Isnin) saya bersama isteri dan anak bongsu kami telah memenuhi undangan majlis perkahwinan anak rakan lama Cikgu Ahmad Abas Saidin dan Puan Aizah di Kamunting, Taiping, Perak yang sama-sama bertugas di SMK Agama Limauan, Sabah pada pertengahan tahun 1980-an dahulu. Kami bertolak dari Kuala Lipis pada jam 11.00 pagi, 19 Disember 2010 melalui jalan pintas Sungai Koyan – Cameron Highlands yang mengambil masa 1 jam 45 minit untuk sampai di Ringlet. Di Ringlet kami diberitahu agar berpatah balik melalui Tapah untuk ke utara kerana kesesakan teruk di Tanah Rata dan Berinchang untuk ke Kampung Raja dan Simpang Pulai. Lantas kami mengubah haluan ke Tapah untuk ke Kulim (untuk bertemu anak) terlebih dahulu sebelum berpatah balik untuk makan kenduri di Taiping. Ini merupakan senario biasa di Cameron Highlands pada musim cuti. Kalau dahulu Cameron Highlands hanya boleh dikunjungi melalui Tapah, tetapi kini pusat peranginan tersebut juga boleh dikunjungi melalui Gua Musang, Simpang Pulai dan Sungai Koyan.
Saya tiba di Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim pada jam 6.30 petang setelah tersesat jalan di Bukit Mertajam walaupun memandu berpandukan GPS. Jam 7.15 malam kami berpatah balik ke Taiping melalui Lebuh Raya Utara Selatan dan tiba di Kamunting kira-kira jam 8.30 malam. Cikgu Ismail Kusri bertiga beranak dari Kuala Terengganu sudah sampai kira-kira jam 7.00 malam dan sudah sedia berehat di Raudah Homestay, Kamunting tempat kami menginap. Cikgu Khairuddin Hasran (Pak Din) dari Johor Bahru berlapan beranak juga sudah tiba dan menginap selang sebuah rumah dari homestay kami. Cikgu Maaruf Jusoh dan keluarga dari Kota Bharu masih dalam perjalanan di laluan Jeli – Gerik. Cikgu Ghazali Abu Bakar (Mogaba) dari Bukit Mertajam dan Ustaz Abdullah Ahmad dari Alor Setar juga dikatakan akan hadir. Kami menganggap kunjungan mereka semua sebagai mini reunion bagi kami bekas guru-guru SMK Agama Limauan, Kota Kinabalu pada tahun 1980-an hingga awal 1990-an.
Namun hanya lima keluarga sahaja (termasuk tuan rumah – Cikgu Abas suami isteri) yang dapat bertemu di majlis tersebut, yang lain-lainnya tidak dapat hadir kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Mereka yang tinggal di sebelah utara iaitu Cikgu Ghazali, Ustaz Abdullah dan Cikgu Abd. Aziz Ali juga tidak hadir kerana urusan masing-masing. Ustaz Abdullah memaklumkan bahawa beliau terpaksa menghadiri majlis perkahwinan adiknya di Melaka. Mini reunion yang tidak dirancang ini cukup bermakna bagi kami yang masing-masing telah bertugas di tempat yang berbeza sekembali dari Sabah lebih dari 15 tahun yang lalu. Cikgu Ahmad Abas kini bertugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Taman Tasik, Taiping setelah bertugas di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Maktab Perguruan Tuanku Bainun dan SMK Abu Bakar Al-Baqir, Bagan Serai, Perak. Cikgu Ismail pula kini bertugas sebagai Pengetua di SMK Tengku Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu setelah bertugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Agama Sheikh Abdul Malik, Kuala Terengganu dan penyelia Petang di SMK Belara, Kuala Terengganu.
Manakala Cikgu Khairuddin Hasran (Pak Din) pula kini sebagai Pengetua di Kem Bina Negara Gunung Pulai, Johor Bahru setelah berkhidmat sebagai GPK di SK Pekan Kundasang, guru di SMK Beluran dan beberapa buah sekolah menengah di Sabah. Beliau pernah mengalami tragedi bot karam sekitar 1984 di Sungai Kinabatangan semasa ditukarkan ke SMK Terusan, Sandakan dan kemudiannya dipindahkan ke SMK Agama Limauan. Cikgu Maaruf @ Mat Rob kini bertugas di SMK Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan manakala isterinya Cikgu Norhayati kini di SMK Dewan Beta, Kota Bharu sejak 15 tahun yang lalu. Sebelum bertugas di SMK Bukit Jawa, Cikgu Maaruf pernah bertugas di SMK Felda Besout, Sungkai, Perak sebaik sahaja menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah di USM. Saya sendiri kini mengetuai Jabatan Pengajian Melayu di IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang. Berdasarkan pengalaman masing-masing, kami telah bersembang panjang pada sebelah malamnya semasa di rumah penginapan. Bayangkan dari tahun 1986 hingga 2010, dalam tempoh 24 tahun itu tentu banyak bahan ceritanya.
Jam 2.20 petang 20 Disember 2010 kami sekeluarga meninggalkan Taiping melalui PLUS dan keluar di Tol Simpang Pulai untuk pulang melalui Cameron Highlands. Namun setelah tiba selepas persimpangan menuju ke arah Simpang Pulai kami diarahkan untuk berpatah balik ke lebih raya kerana terdapat satu kemalangan ngeri di km 15 yang melibatkan sebuah bas yang membawa pelancong Thailand, 25 penumpang termasuk pemandu maut. Kami kemudian berpatah balik ke arah selatan untuk balik melalui Tanjung Malim dan Genting Highlands. Tetapi oleh kerana hujan yang amat lebat pada petang tersebut saya tidak berani untuk mengambil risiko melalui kawasan tanah tinggi tersebut, jadi kami terpaksa meneruskan perjalanan balik melalui KL. Tiba di Kuala Lipis jam 10.30 malam, penat tapi berbaloi.