Isu pembakaran novel Interlok dan gambar penulisnya, Sasterawan Negara Abdullah Hussain oleh kira-kira seratus penduduk berketurunan India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 8 Januari 2011 yang lalu nampaknya tidak 100% reda. Demonstrasi kecil tersebut turut dihadiri oleh dua orang wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Kota Raja dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah yang ‘turun padang’ untuk bersama-sama dengan kumpulan berkenaan. Isunya, dikatakan terdapat fakta yang begitu sensitif dalam kalangan masyarakat India di negara ini yang kononnya boleh membentuk pemikiran pelajar kerana novel ini dijadikan teks Sastera untuk SPM walaupun telah ditulis 40 tahun yang lalu.
Peristiwa ini telah mendapat liputan meluas media di seluruh negara sehinggakan menjadikannya sebagai salah satu isu nasional yang
akhirnya ‘terpaksa’ dibincangkan di peringkat tertinggi. Seperti biasa apabila sesuatu isu itu disandarkan kepada ‘sudut pandangan politik’ maka ia telah menjadi forum kepada khalayak umum, sama ada mereka daripada kalangan yang pakar dalam novel dan sastera hinggalah mereka yang tidak tahu apa dia istilah novel dan sastera. Juga daripada kalangan mereka yang sudah membaca novel itu hinggalah mereka yang belum pernah melihat dan menyentuh novel tersebut. Tidak terkecuali daripada kalangan mereka yang berpendidikan tinggi hinggalah mereka yang tidak pernah ke sekolah. Agaknya atas ‘pertimbangan yang sukar’ ini maka pihak berwajib terpaksa melayan juga kerenah segelintir khalayak tersebut.Justeru itu perlukah formula untuk menyelesaikan polemik ini? Kita sudah terlalu banyak membuang masa untuk memberi perhatian kepada isu-isu picisan seperti ini yang sepatutnya dipergunakan untuk menyelesaikan isu yang lebih besar dan sejagat untuk kelompok yang majoritinya berkehendakkan kesejahteraan hidup dalam negara yang aman damai ini. Satu faktor yang jelas ialah dek kerana semua pihak memberi perhatian yang agak lebih, maka isu ini masih lagi berpanjangan. Bak kanak-kanak yang meragam, semakin ia dilayan maka ia semakin menjadi. Untuk itu tidak perlu formula yang sukar untuk menyelesaikan isu ini: Sila baca, selami dan fahami novel ini dalam konteks selain daripada konteks politik. Selesai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan