Di Ringlet kami diberitahu agar berpatah balik melalui Tapah untuk ke utara kerana kesesakan teruk di Tanah Rata dan Berinchang untuk ke Kampung Raja dan Simpang Pulai. Lantas kami mengubah haluan ke Tapah untuk ke Kulim (untuk bertemu anak) terlebih dahulu sebelum berpatah balik untuk makan kenduri di Taiping. Ini merupakan senario biasa di Cameron Highlands pada musim cuti. Kalau dahulu Cameron Highlands hanya boleh dikunjungi melalui Tapah, tetapi kini pusat peranginan tersebut juga boleh dikunjungi melalui Gua Musang, Simpang Pulai dan Sungai Koyan.
Saya tiba di Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim pada jam 6.30 petang setelah tersesat jalan di Bukit Mertajam walaupun memandu berpandukan GPS. Jam 7.15 malam kami berpatah balik ke Taiping melalui Lebuh Raya Utara Selatan dan tiba di Kamunting kira-kira jam 8.30 malam. Cikgu Ismail Kusri bertiga beranak dari Kuala Terengganu sudah sampai kira-kira jam 7.00 malam dan sudah sedia berehat di Raudah Homestay, Kamunting tempat kami menginap. Cikgu Khairuddin Hasran (Pak Din) dari Johor Bahru berlapan beranak juga sudah tiba dan menginap selang sebuah rumah dari homestay kami.
Cikgu Maaruf Jusoh dan keluarga dari Kota Bharu masih dalam perjalanan di laluan Jeli – Gerik. Cikgu Ghazali Abu Bakar (Mogaba) dari Bukit Mertajam dan Ustaz Abdullah Ahmad dari Alor Setar juga dikatakan akan hadir. Kami menganggap kunjungan mereka semua sebagai mini reunion bagi kami bekas guru-guru SMK Agama Limauan, Kota Kinabalu pada tahun 1980-an hingga awal 1990-an.
Namun hanya lima keluarga sahaja (termasuk tuan rumah – Cikgu Abas suami isteri) yang dapat bertemu di majlis tersebut, yang lain-lainnya tidak dapat hadir kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Mereka yang tinggal di sebelah utara iaitu Cikgu Ghazali, Ustaz Abdullah dan Cikgu Abd. Aziz Ali juga tidak hadir kerana urusan masing-masing. Ustaz Abdullah memaklumkan bahawa beliau terpaksa menghadiri majlis perkahwinan adiknya di Melaka.
Mini reunion yang tidak dirancang ini cukup bermakna bagi kami yang masing-masing telah bertugas di tempat yang berbeza sekembali dari Sabah lebih dari 15 tahun yang lalu. Cikgu Ahmad Abas kini bertugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Taman Tasik, Taiping setelah bertugas di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Maktab Perguruan Tuanku Bainun dan SMK Abu Bakar Al-Baqir, Bagan Serai, Perak. Cikgu Ismail pula kini bertugas sebagai Pengetua di SMK Tengku Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu setelah bertugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Agama Sheikh Abdul Malik, Kuala Terengganu dan penyelia Petang di SMK Belara, Kuala Terengganu.
Manakala Cikgu Khairuddin Hasran (Pak Din) pula kini sebagai Pengetua di Kem Bina Negara Gunung Pulai, Johor Bahru setelah berkhidmat sebagai GPK di SK Pekan Kundasang, guru di SMK Beluran dan beberapa buah sekolah menengah di Sabah. Beliau pernah mengalami tragedi bot karam sekitar 1984 di Sungai Kinabatangan semasa ditukarkan ke SMK Terusan, Sandakan dan kemudiannya dipindahkan ke SMK Agama Limauan.
Cikgu Maaruf @ Mat Rob kini bertugas di SMK Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan manakala isterinya Cikgu Norhayati kini di SMK Dewan Beta, Kota Bharu sejak 15 tahun yang lalu. Sebelum bertugas di SMK Bukit Jawa, Cikgu Maaruf pernah bertugas di SMK Felda Besout, Sungkai, Perak sebaik sahaja menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah di USM.
Saya sendiri kini mengetuai Jabatan Pengajian Melayu di IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang. Berdasarkan pengalaman masing-masing, kami telah bersembang panjang pada sebelah malamnya semasa di rumah penginapan. Bayangkan dari tahun 1986 hingga 2010, dalam tempoh 24 tahun itu tentu banyak bahan ceritanya.Jam 2.20 petang 20 Disember 2010 kami sekeluarga meninggalkan Taiping melalui PLUS dan keluar di Tol Simpang Pulai untuk pulang melalui Cameron Highlands. Namun setelah tiba selepas persimpangan menuju ke arah Simpang Pulai kami diarahkan untuk berpatah balik ke lebih raya kerana terdapat satu kemalangan ngeri di km 15 yang melibatkan sebuah bas yang membawa pelancong Thailand, 25 penumpang termasuk pemandu maut. Kami kemudian berpatah balik ke arah selatan untuk balik melalui Tanjung Malim dan Genting Highlands. Tetapi oleh kerana hujan yang amat lebat pada petang tersebut saya tidak berani untuk mengambil risiko melalui kawasan tanah tinggi tersebut, jadi kami terpaksa meneruskan perjalanan balik melalui KL. Tiba di Kuala Lipis jam 10.30 malam, penat tapi berbaloi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan