
Sekiranya anda seorang yang suka menghayati dan menghargai sejarah, memasuki persekitaran pekan Sungai Lembing seolah-olah kita memasuki sebuah muzium semulajadi yang besar yang di dalamnya terdapat pelbagai kesan aktiviti masa lampau pekan tersebut. Oleh itu mengunjungi Sungai Lembing menjadikan anda seolah-olah berada dalam galeri sejarah di luar Malaysia kerana latar tempatnya yang unik dengan kebanyakan bangunan lama yang bercirikan bangunan ala Barat dan Cina, kecuali rumah-rumah kediaman masyarakat

Melayu. Pekan kecil yang terletak kira-kira 42 km dari Kuantan, Pahang ini pernah melakar sejarah sebagai '
El Dorado of The East' kerana kekayaan hasil perut buminya pada awal abad ke-20 yang dikatakan bermula pada tahun 1906.
Pokok-pokok besar yang terletak di tengah-tengah pembahagi jalan di sepanjang
North Main Street dan
South Main Street di pekan lama itu

sudah cukup untuk menunjukkan bahawa Sungai Lembing merupakan sebuah pekan yang tinggi nilai sejarahnya. Di kiri kanan jalan yang nama asalnya dikekalkan itu berdiri megah bangunan-bangunan rumah kedai yang kebanyakannya masih dalam keadaan asal termasuk masjid.

Bangunan-bangunan yang mempunyai ciri-ciri binaan kolonial, Cina dan Melayu itu nampaknya dijaga rapi sebagai satu khazanah yang cukup berharga. Konsep ‘kedai bebas cukai’ difahamkan telah lama wujud di sini yang mana para pekerja
Pahang Consolidated Company Limited (PCCL) diberikan peluang membeli-belah barangan import di gudang premis syarikat seperti kemeja
Arrow dan kasut
Clarks yang jauh lebih murah berbanding di Kuantan. Sebuah panggung wayang dibina sebagai hiburan dan berpeluang menonton filem dari Britain dan Hollywood. Kini panggung wayang itu telah ditukar menjadi dewan orang ramai.
Pekan Sungai Lembing telah dibangunkan pada sekitar tahun 1880an apabila British mula membuka industri perlombongan di kawasan tersebut. Sejarah pembangunan pekan ini sebenarnya jauh lebih awal berbanding kewujudan PCCL yang bermula pada tahun 1891.

PCCL mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 1906 dan berakhir pada tahun 1986 setelah harga pasaran bijih timah dunia merudum. Syarikat ini telah memajak kawasan lombong tersebut selama 77 tahun. Sehingga 1970-an lombong PCCL milik British ini merupakan pengeluar bijih timah utama dunia dengan kaedah perlombongan bawah tanah. Pada zaman kegemilangannya lombong ini merupakan antara lombong bawah tanah yang terbesar di dunia.

Panjang terowong yang terdapat pada keseluruhan lombong ini ialah kira-kira 322 km dengan kedalaman antara 610 hingga 700 meter.
Mengunjungi Sungai Lembing tentunya tidak lengkap jika tidak mengunjungi Muzium Sungai Lembing dan kawasan perlombongan tinggalan PCCL tersebut. Muzium yang mula dibuka pada tahun 2001 ini terletak di atas bukit merupakan banglo yang dikhaskan untuk Pengurus Besar PCCL pada suatu masa dahulu. Banglo yang bercirikan bentuk kolonial ini telah dibina pada tahun 1911 menghadap Sungai Kenau. Di muzium ini terdapat artifak-artifak, alat-alat komunikasi dan peralatan perlombongan yang telah digunakan semasa era kegemilangan syarikat tersebut. Selain itu terdapat gambar-gambar para pegawai atasan yang pernah berkhidmat dengan PCCL.

Apa yang menarik terdapat diorama lombong bawah tanah yang mempamerkan betapa sukar dan berisikonya pekerja bekerja dalam lombong tersebut.
Salah satu ruang yang menarik ialah pameran bilik tidur Pengurus Besar PCCL yang mempamerkan set bilik tidur antik, radio, almari pakaian, buku-buku yang dibaca dan beberapa perabot lain. Dinyatakan juga bahawa banglo tersebut merupakan tempat penginapan KDYMM Sultan Abu Bakar Riayatuddin Muadzam Shah (Sultan Pahang Yang Ke-4) yang kerap berangkat ke Sungai Lembing pada zaman pemerintahan baginda. Di sebelah luar terdapat peralatan melombong yang berat manakala di luar pagar bangunan muzium ini terdapat Pejabat Besar PCCL yang masih teguh berdiri. Kira-kira 300 meter di atas bukit terdapat ‘Muka Lombong Tai Pei Tong’ iaitu lubang

terowong yang digunakan untuk memasuki lombong bawah tanah tersebut. Manakala di bawah bukitnya terdapat tapak enjin besar PCCL tempat memproses bijih timah yang dilombong. Banyak lagi kesan sejarah yang boleh diterokai di kawasan ini yang dapat kita manfaatkan khususnya sebagai bahan pendidikan kepada generasi baru dan generasi akan datang.
‘Selamat Datang’ ke Sungai Lembing. Sekian.
1 ulasan:
seronok g sg lembing.. especially panjat bukit panorama
Catat Ulasan