RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

30 April 2010

Berakhirnya Era Fokker F50

Syarikat Penerbangan MASwings anak syarikat Malaysian Airlines (MAS) telah menamatkan sepenuhnya khidmat pesawat Fokker F50 yang memberi perkhidmatan di Sabah dan Sarawak berkuatkuasa 25 April 2010. Perkhidmatan penerbangan syarikat tersebut di kedua-dua negeri itu akan digantikan sepenuhnya dengan 10 buah pesawat ATR72-500. Pengerusi Malaysia Airlines, Tan Sri Mohd Munir Majid menyatakan program penggantian pesawat itu membabitkan pelaburan berjumlah RM700 juta, sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia Airlines dalam mengukuhkan perkhidmatan pengangkutan udara di kedua-dua negeri itu.
Demikian berakhirnya sejarah perkhidmatan pesawat jenis turboprop buatan Belanda yang telah memberi khidmat kira-kira empat dekad di negara ini, khususnya di Sabah dan Sarawak. Pesawat Fokker F50 adalah berasaskan struktur rangka pesawat Fokker F27 yang mula dibina pada pertengahan tahun 1950-an. Sistem Penerbangan Malaysia mula menggunakan Fokker F27 pada tahun 1960-an hingga awal tahun 1990-an terutama sekali untuk penerbangan domestik sehingga digantikan dengan pesawat Fokker F50. Pesawat Fokker F50 milik Malaysia Airlines ini mula beroperasi pada awal tahun 1990-an boleh menampung 58 orang penumpang dengan kelajuan maksimum 425 km sejam.
Saya sendiri pernah berpengalaman menaiki pesawat Fokker F27 sebanyak 4 kali iaitu kali pertama pada tahun 1981 dari Kota Bharu ke LTSAAS Subang, kali kedua dan ketiga pada tahun 1982 dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan sebaliknya. Manakala kali keempat pada tahun 1983 dari LTSAAS Subang ke Kota Bharu melalui LTSAS Ipoh dan Pulau Pinang. Penamatan sepenuhnya perkhidmatan pesawat ini menjadikan sebuah lagi catatan sejarah negara, khususnya sejarah sistem pengangkutan udara di negara ini yang bermula dengan syarikat Malayan Airways (1937), Malaysian Airways (1965), Malaysia-Singapore Airlines (1966) dan Malaysian Airlines System (1972). Syarikat-syarikat penerbangan lain di Malaysia ialah Air Asia (1993), MASwings (2007) dan Firefly (2007). Sekian.

06 April 2010

ABPBH 2009: Artis Baru dan Bahasa Melayu

Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang merupakan salah satu majlis anugerah berprestij telah berlangsung pada hari Ahad 4 April 2010. Datuk Siti Nurhaliza Taruddin mencipta sejarah apabila buat kali ketujuh dipilih untuk gelaran Bintang Paling Popular pada malam tersebut. Beliau telah meraih hadiah keseluruhan bernilai RM330,000 iaitu kenderaan Nissan X-Trail 2.0L berharga RM130,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, barang kemas bernilai RM150,000 tajaan Habib, perabot mewah bernilai RM30,000 tajaan Empire Classic Furniture serta pakej penginapan bernilai RM18,000 tajaan Palace of the Golden Horses selain trofi. Beliau juga muncul sebagai Penyanyi Wanita Popular dengan mengetepikan pencabarnya Stacy, Yuna, Jaclyn Victor dan Mila. Tahniah diucapkan kepada Datuk Siti atas kejayaan tersebut.
ABPBH 2009 edisi ke-23 anjuran Berita Harian ini juga telah menampilkan pemenang-pemenang anugerah pelbagai kategori dari penyanyi, pelakon hinggalah kepada Pengacara Lelaki dan Wanita Terbaik yang terdiri daripada kalangan bintang lama dan baru, tersohor dan separa tersohor. Selain daripada calon anugerah, tidak terkecuali yang menjadi perhatian penonton ialah kalangan artis yang dijemput untuk membaca keputusan bagi setiap kategori anugerah tersebut. Kalungan tahniah kepada kalangan artis yang sudah tersohor namanya yang begitu lancar dan baik menggunakan bahasa Melayu semasa diberikan kesempatan untuk berucap apabila dipilih sebagai pemenang anugerah pada malam tersebut.
Namun malangnya, apa sudah jadi dengan penggunaan bahasa Melayu bagi golongan artis yang ‘separa tersohor’, terutamanya artis-artis muda pada malam tersebut? Kebanyakan daripada mereka bercakap menggunakan bahasa campuran dengan penukaran kod (code switching) semasa diberi peluang untuk berucap selepas memenangi anugerah. Di manakah letaknya martabat bahasa Melayu dalam kalangan mereka yang seolah-olah majlis tersebut berlangsung di luar Malaysia? Tiz Zaqyah yang menerima anugerah Pelakon TV Wanita Popular umpamanya, telah berucap hampir sepenuhnya dalam bahasa Inggeris sehingga pelakon Rosyam Nor dengan sinis menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu untuk penonton.
Persoalannya, hilangkah populariti mereka jika bercakap menggunakan bahasa Melayu? Contohilah artis-artis tersohor yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu kerana mereka menyedari bahawa mereka sebenarnya orang Melayu, malah ada kalangan artis bukan Melayu yang cuba bertutur menggunakan bahasa Melayu dengan sebaik mungkin. Mereka tetap popular tanpa sebarang kontroversi, bak kata pepatah ‘Ular menyusur akar takkan hilang bisanya’. Untuk itu maka teringatlah kita alkisah seorang artis yang bagi saya tidaklah ‘tersohor’ sangat menyatakan “I sound, like stupid, if I speak Malay, so I’ll speak English”. Walhal bahasa Inggeris 'depa tu' bukannya bagus sangat pun.....

*Pancaindera Mingguan Malaysia 11 April 2010 turut memperkatakan tentang perkara tersebut (Lihat keratan akhbar).
*Gambar: Berita Harian