RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya" Surah Al-Maidah Ayat 2.

30 April 2010

Berakhirnya Era Fokker F50

Syarikat Penerbangan MASwings anak syarikat Malaysian Airlines (MAS) telah menamatkan sepenuhnya khidmat pesawat Fokker F50 yang memberi perkhidmatan di Sabah dan Sarawak berkuatkuasa 25 April 2010. Perkhidmatan penerbangan syarikat tersebut di kedua-dua negeri itu akan digantikan sepenuhnya dengan 10 buah pesawat ATR72-500. Pengerusi Malaysia Airlines, Tan Sri Mohd Munir Majid menyatakan program penggantian pesawat itu membabitkan pelaburan berjumlah RM700 juta, sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia Airlines dalam mengukuhkan perkhidmatan pengangkutan udara di kedua-dua negeri itu.
Demikian berakhirnya sejarah perkhidmatan pesawat jenis turboprop buatan Belanda yang telah memberi khidmat kira-kira empat dekad di negara ini, khususnya di Sabah dan Sarawak. Pesawat Fokker F50 adalah berasaskan struktur rangka pesawat Fokker F27 yang mula dibina pada pertengahan tahun 1950-an. Sistem Penerbangan Malaysia mula menggunakan Fokker F27 pada tahun 1960-an hingga awal tahun 1990-an terutama sekali untuk penerbangan domestik sehingga digantikan dengan pesawat Fokker F50. Pesawat Fokker F50 milik Malaysia Airlines ini mula beroperasi pada awal tahun 1990-an boleh menampung 58 orang penumpang dengan kelajuan maksimum 425 km sejam.
Saya sendiri pernah berpengalaman menaiki pesawat Fokker F27 sebanyak 4 kali iaitu kali pertama pada tahun 1981 dari Kota Bharu ke LTSAAS Subang, kali kedua dan ketiga pada tahun 1982 dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan sebaliknya. Manakala kali keempat pada tahun 1983 dari LTSAAS Subang ke Kota Bharu melalui LTSAS Ipoh dan Pulau Pinang. Penamatan sepenuhnya perkhidmatan pesawat ini menjadikan sebuah lagi catatan sejarah negara, khususnya sejarah sistem pengangkutan udara di negara ini yang bermula dengan syarikat Malayan Airways (1937), Malaysian Airways (1965), Malaysia-Singapore Airlines (1966) dan Malaysian Airlines System (1972). Syarikat-syarikat penerbangan lain di Malaysia ialah Air Asia (1993), MASwings (2007) dan Firefly (2007). Sekian.

2 ulasan:

piewahid berkata...

salam tuan,
info yg bagus.
sy pernah naik fokker dgn twin otter. kalau naik twin otter mcm naik perahu kecik di tengah gelombang laut. gayat!

MRS berkata...

Terima kasih tuan,
Sebenarnya pengalaman-pengalaman begitu amat sukar untuk diperolehi.