Selasa 9 Mac 2010 - Saya bersama En. Shahnam Abd. Rashid, En. Aminuddin Mohamad dan En. Mohd Nor Mohamed dari Jabatan Pengajian Melayu IPGKTAA serta En. Shukri Mat Yaakub dari Unit Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) IPGKTAA telah berkunjung ke rumah Tn. Hj. Ibrahim Omar (atau panggilan Aki Hj. Ibrahim) penulis novel tersohor ‘Desa Pingitan’ di Kampung Mela, yang terletak

kira-kira 38 km dari Kuala Lipis. Kunjungan kami adalah di bawah Program Rintis Jejak Sasterawan yang merupakan salah satu aktiviti IPGKTAA sebagai Pusat Kecemerlangan Bahasa Melayu Zon Timur. Kami tiba di pekarangan rumah Aki Hj. Ibrahim yang dikelilingi pokok buah-buahan itu kira-kira jam 10.30 pagi dan disambut oleh En. Shabaruddin Awang, GPK 1 SK Limau Purut, Kuala Lipis sebagai perantara dalam pertemuan ini.

Semasa kami tiba, Aki Hj. Ibrahim telah sedia berdiri di muka pintu dan menjemput kami semua naik ke rumah kampungnya yang terletak dalam kawasan dusun seluas kira-kira 4 ekar. Melihatkan kawasan tersebut, kami benar-benar terasa akan kedamaian ‘desa pingitan’ sebagaimana yang digambarkan dalam novel ulungnya itu. Beliau yang lahir pada tahun 17 Jun 1936 itu nampaknya sudah agak kurang cergas untuk bergerak laju, tetapi masih boleh berjalan dengan baik. Kami terus bersalaman dengan Aki dan dipersilakan duduk di kerusi ruang tamu rumah papan tradisinya itu.

Di dinding ruang tamu itu kelihatan banyak gambar dan sijil termasuk gambar muka depan novel ‘Desa Pingitan’ yang telah dibesar dan dibingkaikan. Berdasarkan interaksi awal ternyata daya ingatan, pendengaran, suara dan penglihatan Aki Hj. Ibrahim masih baik, cuma dari segi fizikalnya yang sudah agak kurang cergas kerana faktor usia.
Aki Hj. Ibrahim memulakan ceritanya dengan mengatakan bahawa apa yang ditulisnya dalam ‘Desa Pingitan’ adalah gambaran langsung yang terdapat dalam masyarakat kampungnya sendiri bagi mewakili masyarakat Melayu pada masa itu. Jelasnya meskipun watak utama novel itu Ibrahim dan Habibah, namun watak itu bukan menggambarkan dirinya sendiri, tetapi menggambarkan masyarakat khususnya masyarakat Melayu pada ketika itu.

Baginya masyarakat Melayu pada ketika itu merupakan masyarakat yang kaya dalam semua aspek baik dari segi harta, budaya dan moral yang baik. Mereka hidup bersatu padu dan harmoni bukan sahaja sesama sendiri malah dengan masyarakat kaum lain pada ketika itu.
Beliau sendiri umpamanya dapat bertutur bahasa Inggeris dengan baik sebelum masuk ke
Special Malay Class di Sekolah Menengah Clifford (
Clifford School), Kuala Lipis pada pertengahan tahun 1940-an kerana beliau berkawan rapat dengan anak perempuan Mr. Nathan, Ketua Stesen Kereta Api (
Station Master) Mela yang bernama Nageshwary. Jarak yang dekat antara kuarters KTM yang didiami Nageshwary dan rumah Aki Hj. Ibrahim menjadikan mereka akrab. Nageshwary banyak meminjamkannya buku-buku bahasa Inggeris kerana Mr. Nathan merupakan seorang yang minat membaca.

Kebolehan beliau berbahasa Inggeris itu menjadikan guru-guru di Sekolah Menengah Clifford pada ketika itu antaranya Guru Besar Mr. G. E. D. Lewis, Mr. Ramanathan, Cikgu Halimi Hj. Sulaiman, Mr. Wai Seng dan Mr. Nayagam hairan bagaimana seorang budak kampung dapat bertutur menggunakan bahasa Inggeris dengan baik.
Jelasnya, atas kebolehan itu beliau telah dilantik oleh Guru Besar, Mr. Lewis untuk menjadi Ketua Perpustakaan sekolah dan disokong oleh guru-guru lain termasuk Mr. Ramanathan yang amat meminati buku dan kebanyakan buku ada dalam koleksinya. Selain itu Mr. Nayagam seorang guru yang meminati bidang kesusasteraan. Semasa mengetuai perpustakaan itulah beliau banyak memanfaat peluang untuk membaca dan banyak masanya dihabiskan di perpustakaan sehingga Mr. Lewis memanggilnya ‘
The Statue of Library”.

Beliau sangat aktif dalam teater semasa di sekolah menengah dan telah berjaya mementaskan teater berasaskan karya William Shakespear. Pada ketika itu beliau juga amat rapat dengan anak perempuan Mr. Lewis yang bernama Morgan. Kali terakhir beliau bertemu sahabatnya itu pada tahun 1986 semasa beliau mengikuti rombongan Utusan Melayu ke London.

Beliau bersekolah di Sekolah Menengah Clifford sehingga Tingkatan 4 sahaja apabila beliau mengidap penyakit batuk kering (akibat
jangkitan bakteria Mycobacterium tuberculosis) sehingga muntah berdarah pada ketika itu. Beliau telah mendapat rawatan di Hospital Melaka selama 3 bulan dan rawatan di Hong Kong selama 6 bulan yang dibiayai oleh Persatuan British Woman Institut termasuk elaun RM100 sebulan. Beliau sendiri hairan dengan tajaan sebanyak itu pada ketika itu. Pada sekitar tahun 1952-1956 beliau telah menyambung pelajaran di Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Kecenderungan untuk menulis bermula semasa beliau berada selama 3 bulan di Hospital Melaka dengan tulisan pertamanya ialah di Ruangan Mimbar Pembaca, akhbar Berita Harian. Antara lain beliau telah menulis komentar tentang kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam makanan untuk para pesakit di wad hospital berkenaan. Pihak hospital agak kecoh dengan pendedahan tersebut, namun tidak dapat mengesan siapa penulis sebenarnya. Beliau kemudian menulis cerpen bertajuk ‘Korban Fitnah’ yang diterbitkan di Radio Malaya di bawah kelolaan Pn. Siti Hawa Zain dengan bayaran RM10 pada ketika itu.

Semasa di kampung beliau juga pernah bekerja sebagai penoreh getah bagi membantu ibu bapa yang amat miskin dengan pendapatan daripada sumber menjual kayu api sahaja. Beliau kemudian berkhidmat sebagai guru bahasa dan sastera kemudian Guru Besar di Maahad El Ehya' Al Shariff, Gunung Semanggol, Perak atas pelawaan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang merupakan penasihat kepada sekolah tersebut dengan gaji permulaan RM150 kemudian ditambah menjadi RM450 sebulan. Selepas itu beliau berkhidmat dengan akhbar Utusan Melayu di Kuala Lumpur.
Idea untuk menulis ‘Desa Pingitan’ tercetus sejak tahun 1956 setelah beliau tamat belajar. Hasil daripada bacaan buku-buku antaranya karya Charles Dickens, buku Texas tulisan James A. Mickener dan penghayatannya terhadap ragam

hidup masyarakat setempat telah menguatkan azam beliau untuk menulis tentang norma masyarakat Melayu sendiri yang kaya dengan warna-warna kehidupan. Latar kampungnya sendiri termasuk Stesen Kereta Api Mela juga sebagai pencetus idea beliau yang turut digambarkan dengan berkesan dalam novel ini. Lalu sedikit demi sedikit beliau menulis yang pada mulanya dengan tulisan tangan sehinggalah beliau merasakan perlu memiliki sebuah mesin taip sekiranya hasil karyanya itu mahu diangkat ke peringkat yang lebih baik.
Untuk tujuan tersebut beliau telah ke pekan Kuala Lipis untuk membeli sebuah mesin taip

yang kalau boleh dibayar secara ansuran. Oleh kerana Kuala Lipis merupakan sebuah pekan kecil tentunya amat sukar untuk mendapatkan barangan yang sangat terhad permintaannya seperti mesin taip. Tetapi dengan pertolongan seorang bekas rakan sekolahnya yang bernama Chin, beliau telah dapat membeli sebuah mesin taip dengan harga RM350 secara ansuran yang secara kebetulan baru terdapat di sebuah kedai iaitu Pahang General Store di Jalan Besar, Kuala Lipis. Chin telah membayar wang pendahuluan sebanyak RM100 kerana beliau hanya mempunyai RM40 dan beliau membayar ansuran bulanan sebanyak RM25 sebulan. Chin banyak membantunya dalam banyak perkara semasa beliau berurusan di pekan Kuala Lipis. Kini Chin telah berhijrah ke Singapura dan kali terakhir beliau bertemu Chin semasa penerbangannya singgah di Singapura dari London pada tahun 1986.
Dengan mesin taip tersebut novel ‘Desa Pingitan’ telah dapat disiapkan dengan sempurna dan dihantar untuk diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962. Novel ini akhirnya telah memenangi hadiah Peraduan Mengarang Novel anjuran
Dewan Bahasa dan
Pustaka dan dipilih menjadi buku teks wajib di sekolah-sekolah menengah bagi Sijil Pelajaran Malaysia dari tahun 1966 hingga 1968. Beliau mengakhiri perbincangan dengan membawa kami ke Perpustakaan Mininya sambil mengharapkan agar bidang penulisan yang berasaskan latar masyarakat setempat seperti karyanya itu perlu ada kesinambungan generasi penulisnya. Kalau tidak ada penggantinya kelak semua nilai milik masyarakat kita akan mati terkubur tanpa sebarang catatan atau dokumentasi untuk dirujuk oleh generasi berikutnya.
Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Aki Hj. Ibrahim sekeluarga dan pihak pentadbiran IPGKTAA atas segala kerjasama serta persetujuan melaksanakan program ini yang akan menjadi asas kepada program-program yang sama pada masa akan datang. Sekian, terima kasih.
6 ulasan:
karya beliau penuh nostalgia kpd saya kerana saya berasal dari daerah lipis. semasa kecil saya mmbaca novel ini berbelas² kali. t kasih atas paparan ini.
terima kasih kepada pihak tuan kerana menulis mengenai aki saya.. cucu kepada ibrahim omar
encik...terima kasih untuk entry ni...bagus jugak aktiviti menjejak yg JPM buat ni sekurang-kurangnya orang di luar tahu tentang penulis-penulis lama macam ibrahim omar ni...bukan senang ada peluang macam ni dan bukan semua orang kenal penulis-penulis lama mcm ni dan yang lebih dasyat ada yang tak pernah tahu pun. Saya sangat berminat. Kalau boleh saya nak tahu kat mn boleh saya dapat kan novel ni...rasa teringin nak baca.
Assalamualaikum wr wb,
Terima kasih kerana entri yang cukup bermakna ini. Sebagai peminat Ibrahim Omar sejak tahun 1967 lagi, saya cukup serasi dengn novel Desa Pingitan.
Semasa bertugas di Lepih dahulu saya tidak tahu beliau berada di Mela. Kalau ke Lepih, insya Allah akan kunjungi beliau.
Wassalam
Idris Talu
http://idristalu.blogspot.com/
assalamualaikum..
sy seorang peminat kepada karya-karya ibrahim omar
untuk pengetahuan semua..hari nie jumaat 29 october 2010,beliau telah kembali ke rahmatullah..
sama2 kita sedekahkan alfatihah untuk beliau.Semoga rohnya dicucuri rahmat..AlFatihah..:(
arif rasyidin
al-fatihah buat aki, moga ditempatkan bersama-sama org yg soleh..
Catat Ulasan