
Minggu ini masuk minggu kedua bulan Syawal dan suasana Hari Raya masih lagi terasa. Kebanyakan premis sama ada premis awam atau swasta rancak mengadakan ‘Rumah Terbuka’ masing-masing sebelum Syawal melabuhkan tirainya.
Radio, tv dan akhbar masih lagi menonjolkan susasana Hari Raya melalui iklan, rencana dan slot-slot tertentu, tidak terkecuali melalui dendangan lagu-lagu raya. Pelbagai jenis lagu Hari Raya masih ke udara yang antaranya cukup menyentuh perasaan bagi sesetengah pendengar yang menghayatinya. Sejak tahun 1950-an hingga kini pelbagai versi lagu raya telah dicipta berdasarkan citarasa masyarakat mengikut zamannya. Lagu Selamat Hari Raya nyanyian Saloma, Dendang Perantau (versi asal) nyanyian P. Ramlee, Aidilfitri (versi asal) nyanyian Nona Asiah dan Kamsani, Suara Takbir nyanyian P. Ramlee dan Manusia Miskin Kaya (versi asal) nyanyian Nona Asiah merupakan antara lagu-lagu raya awal yang diciptakan pada tahun 1950-an.
Manak
ala lagu Selamat Hari Raya nyanyian Fazidah Joned, Dendang Perantau (versi 60-an) nyanyian P. Ramlee dan Selamat Hari Raya nyanyian Ahmad Jais adalah lagu-lagu yang diciptakan pada tahun 1960-an. Kesemua lagu ini merupakan antara lagu-lagu raya yang malar segar yang irama lagu dan liriknya masih sukar digugat hingga ke hari ini, serta diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Manakala pada tahun 1970-an pula lebih kurang 28 buah lagu raya telah diterbitkan, antara lagu-lagu yang terawal ialah lagu Manusia Miskin Kaya (versi 70-an) nyanyian Eddy Nor Ali, Bersabarlah Sayang dan Aidilfitri nyanyian Sanisah Huri, Selamat Hari Raya (versi 70-an) nyanyian Saloma, Hari Yang Mulia nyanyian Sharifah Aini, Bila Takbir Bergema nyanyian Rafeah Buang, Suasana Riang (Di Hari Raya) nyanyian Junainah M. Amin dan banyak lagi.
Pada tahun 1980-an pula lebih 30 buah lagu raya telah diterbitkan yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi yang popular pada masa itu antaranya DJ Dave, Sudirman Hj. Arshad, Kumpulan Black Dog Bone, Zaleha Hamid, Sharifah Aini, Rahimah Rahim, Herman Tino, Hail Amir, Uji Rashid dan lain-lain. Semenjak itu lagu-lagu raya tumbuh bagai cendawan yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi popular sezaman, kumpulan-kumpulan nasyid malah turut dinyanyikan oleh kumpulan-kumpulan rock. Mungkin disebabkan oleh faktor citarasa masyarakat mengikut zaman ini, maka secara peribadinya saya berani menyatakan bahawa lagu-lagu raya pada dekad ini langsung tidak menjiwai suasana hari raya berbanding lagu-lagu raya terdahulu. Keadaan ini boleh dilihat daripada pelbagai sudut, baik daripada sudut irama lagu, lirik maupun sudut moral lagunya. Ini belum diambilkira nyanyian semula lagu-lagu raya lama oleh penyanyi-penyanyi baru yang turut ‘mengorbankan’ dan 'melenyapkan' ketiga-tiga aspek tersebut. Biarlah lagu-lagu raya lama itu kekal dalam versinya yang tersendiri yang sangat tinggi nilainya. Sekian.
0 ulasan:
Catat Ulasan