RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

30 Januari 2014

Demi Masa: Jadikan Kerja Sebagai Satu Ibadah

Sedar tak sedar bulan Januari 2014 sudah hampir melabuhkan tirainya. Begitu cepat masa berlalu sehingga kita semua hampir tidak terasa bahawa 8.33% tahun 2014 sudah berlalu, dan berbaki lagi 91.67%. Ini bermakna 30 hari daripada 365 hari atau satu bulan daripada 12 bulan setahun sudah meninggalkan kita. Setelah kita memasang tekad setiap kali masuknya tahun baru, maka kita seharusnya bertanya kepada diri kita sendiri, dalam tempoh 30 hari yang telah berlalu tersebut, apa yang telah kita lakukan untuk diri sendiri, ibu bapa, keluarga, rakan taulan, majikan atau masyarakat amnya? Sebagai seorang kaki tangan awam atau swasta kebanyakan daripada kita tentunya terpaksa memperuntukkan banyak masa untuk majikan masing-masing kerana itu merupakan amanah dan tanggungjawab. Bagi mereka yang telah bersara wajib daripada perkhidmatan awam atau swasta tentunya mereka banyak memperuntukkan masa untuk keluarga, rakan taulan dan masyarakat. Walau apa pun keadaannya janganlah pula kita terlupa kepada tanggungjawab kita terhadap diri sendiri dan ibu bapa, selagi mereka masih ada.
Lantaran saban hari kita semakin sibuk dengan tugas-tugas rutin, maka kita rasakan masa berlalu semakin pantas walaupun tempoh masa tetap sama iaitu 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Kesibukan itu benar kepada kita, tetapi sejauhmanakah kesibukan kita itu benar-benar berkualiti untuk kita jadikan kerja sebagai satu ibadah. Oleh itu marilah sama-sama kita sedaya upaya cuba mengingatkan diri sendiri agar kesibukan kita itu benar-benar berkualiti untuk dijadikan sebagai satu ibadah. Pada setiap hari kita seharusnya memasang niat untuk meminimumkan sebarang kesilapan yang kita lakukan dalam menjalankan tugas seharian kerana kita menyedari hakikat bahawa kita adalah insan yang lemah yang tidak terlepas daripada salah dan silap. Oleh itu selagi kita masih berkhidmat, adalah tidak rugi jika kita berkhidmat dengan penuh amanah dan bertanggungjawab selagi ianya tidak bercanggah dengan kehendak agama.
Kebanyakan daripada kita jarang menyedari bahawa cepatnya masa berlalu bermakna cepat juga umur kita meningkat. Kita hanya selalu mengeluh dan terus mengaitkan masa dengan kesibukan tugas dan tanggungjawab seharian yang kita sendiri istilahkan sebagai masa mencemburui kita. Namun pada hakikat yang sebenarnya semasa kesibukan kita itu tanpa disedari umur kita juga meningkat. Hari ini umur kita bertambah sehari lagi berbanding semalam, sedangkan tugas dan tanggungjawab semalam masih belum kita dapat selesaikan dengan sempurna. Ini bermakna walau dalam apa keadaan sekalipun umur kita tetap meningkat dan panggilan Allah itu semakin hampir yang tidak terkecuali kepada sesiapapun. Justeru itu apabila kita memperkatakan soal masa, ianya bukan terbatas kepada kesibukan tugas dan tanggungjawab yang berkualiti sahaja tetapi juga soal umur kita yang semakin meningkat sebagaimana Firman Allah yang bermaksud, "Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran" (Surah Al-Asr, Ayat 1-3).
Justeru itu marilah kita sama-sama memperbaiki diri kita agar menjadi pekerja yang sentiasa bermuhasabah diri dan sentiasa berusaha untuk meminimumkan kesilapan dalam menjalankan tugas seharian. Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, jujur, ikhlas dan beramanah yang akhirnya kerja kita itu menjadi sebagai ibadah untuk diri kita sendiri. Sekiranya kita bekerja dengan niat untuk mendapatkan sesuatu kepentingan untuk diri kita dan ianya tidak menjadi kenyataan, maka sudah tentu keikhlasan itu akan hilang dan akhirnya kita akan kecewa. Kita wajib yakin bahawa rezeki itu di tangan Allah SWT, dan kita sebagai hamba-Nya wajib berikhtiar dengan cara yang betul untuk mendapatkannya sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah At-Thalaq ayat 2-3 yang bermaksud,
 Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membuka jalan keluar baginya. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sekian, demikian adanya.

Tiada ulasan: