(Oleh kerana topik ini amat menarik dan amat kena pada masa kini maka saya siarkan semula tulisan Fauziah Arof dalam ruangan Rencana, Utusan Malaysia, Rabu 26 Februari 2014)
SEPANJANG dua jam yang pertama ini (tidak
kiralah hendak dikira dari jam berapa), sudah berapa kali anda membuka dan
menutup laman sosial atau mengemas kini status di Facebook, Twitter dan
lain-lain? Sebenarnya
soalan yang lebih penting, setakat ini apakah kerja-kerja yang anda sudah
lakukan atau bereskan selain membuka dan melihat semula laman sosial berkenaan?
Seorang rakan memberitahu saya, dia sudah
memadam semua aplikasi laman sosial di telefon bimbit dan komputer ribanya
apabila saya 'bising' terpaksa menghantar mesej yang panjang lebar kepadanya
tentang hal kerja menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang sebenarnya lebih
mudah dihantar melalui WhatsApp. Katanya, semua itu hanya membawa masalah dan gangguan. Hidupnya kini
lebih tenang tanpa Internet.
"Cubalah you tidak buka benda-benda ni
dalam satu hari. Fikiran, perasaan dan hidup you akan jadi lebih tenang.
"Pedulilah apa berita atau cerita yang
you dah terlepas di dalam sana. Bukan semua betul
pun," katanya.
Menurutnya,
fikirannya lebih fokus pada kerja di pejabat atau kerja rumah. Semuanya boleh
cepat diselesaikan dan hubungannya dengan keluarga menjadi lebih rapat.
Saya juga pernah diberitahu
oleh seorang rakan lelaki lain yang dia turut memadam aplikasi laman sosial
dalam telefon bimbitnya kerana mahu isterinya juga berbuat demikian.
Katanya, disebabkan terlalu
asyik melayan laman sosial itu, sudah tidak banyak komunikasi antara dia dan
isterinya di rumah. Ini
kerana masing-masing apabila balik ke rumah leka menilik telefon bimbit dan
banyak kerja rumah yang boleh diselesaikan segera jadi tertangguh. Makan malam
jadi lambat, baju di dalam mesin basuh tidak bersidai, keadaan rumah jadi
serabut dan tiada masa lagi untuk menonton program-program kesukaannya di televisyen.
Telefon
bimbit mereka tidak henti-henti menerima mesej kerana mereka ada banyak grup
atau kumpulan dalam WhatsApp. Maka sampai ke tengah malam sesekejap mereka akan
melihat telefon. Dia juga
pernah beberapa kali 'menangkap' anaknya meniru homework sekolah
daripada rakan-rakan sekelasnya dengan cara screenshots di telefon
bimbit anaknya. Anaknya juga
tidak banyak bercakap dengannya. Anaknya lebih suka menghabiskan masa berborak
dengan kawan-kawannya dalam group WhatsApp atau menonton filem, drama dan
nyanyian kumpulan-kumpulan dari Korea dalam YouTube.
Kemudahan
Internet ini, katanya membuatkan hidupnya sekeluarga jadi 'sunyi' semacam.
Penyudahnya, dia padam semuanya. Sememangnya, kita tidak dapat menafikan kemudahan
Internet ini jika tidak digunakan secara berhemat, akan menguasai sebahagian
besar daripada kehidupan kita. Apabila terlalu obses dengan kemudahan ini, ia
sedikit demi sedikit mengikis kualiti hidup kita tanpa kita sedari.
Dan ada juga mudah
terpengaruh dan percaya apa saja cerita atau gambar yang disiarkan di internet.
Ini pula boleh membuka satu lagi cerita lain, iaitu memfitnah, berdebat dan
bergaduh di laman-laman sosial.
Disebabkan
terlalu banyak masa dan tumpuan diberikan pada apa yang ada dalam internet,
pada alam maya, ada yang mengabaikan apa yang ada dan berlaku dalam alam
realiti. Terutamanya
apabila terlalu banyak bersembang tidak mengira waktu dan tempat. Sedangkan
sebenarnya bila jumpa dengan kawan-kawan yang berborak dalam laman sosial secara
berdepan, tidak ada banyak perkara pun hendak dicakapkan, tapi bila di alam maya,
tidak berhenti-henti membalas perbualan sehingga mengganggu waktu kerja, makan
dan tidur.
1 ulasan:
so... semua perkara yang kita buat kena berhemah...
Catat Ulasan