RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

12 April 2014

Local Train: Pengalaman Yang Memerlukan Kesabaran

Local Train meredah kawasan pedalaman
Pengalaman menaiki kereta api tempatan atau local train dari Pasir Mas yang berhenti di lebih 30 buah stesen besar dan perhentian kecil ini jarang dilalui oleh kebanyakan orang, apa lagi bagi mereka yang sudah mempunyai kenderaan sendiri. Pelancong asing memanggil kereta api ini sebagai ‘The Jungle Train’ kerana laluannya meredah kawasan hutan belantara di pinggir sebelah timur Banjaran Titiwangsa dari utara ke selatan pantai timur Semenanjung Malaysia. Mengikut jadual perjalanan Keretapi Tanah Melayu Berhad yang berkuatkuasa 23 Mei 2013 kereta api ini diistilahkan sebagai Shuttle Train iaitu Train 82 dan Train 86 laluan Tumpat – Kuala Lipis dan sebalik, manakala Train 84 laluan Tumpat – Gua Musang dan sebalik. Kesemua kereta api ini diberi laluan di antara larian kereta api Transit No. 91 dan 92, dan Ekspres Senandung Timuran dari Tumpat ke Singapura dan sebaliknya, serta Ekspres Senandung Wau dari Tumpat ke KL Sentral dan sebaliknya.
Stesen Kemubu
Landasan yang dibina secara berperingkat-peringkat antara tahun 1910 dan 1930 dari Kuala Lipis ke Tumpat ini mempunyai 40 buah stesen besar dan perhentian kecil. Perjalanan dari Tumpat ke Kuala Lipis menggunakan kereta api ini mengambil masa kira-kira 7 jam berbanding hanya 4 setengah jam dengan menggunakan kereta api ekspres. Saya telah acap kali berpengalaman menggunakan perkhidmatan kereta api ekspres sama ada Ekspres Senandung Wau atau Ekspres Senandung Timuran ini, terutamanya ketika saya masih berulang alik seminggu sekali antara Pasir Mas ke Kuala Lipis sebelum semua anggota keluarga berpindah ke sini dan semasa menyambung pelajaran di UKM pada tahun 2001 dan 2002 menggunakan Kad Pelajar dengan diskaun 40% untuk semua kelas. Pada ketika itu saya biasanya memilih koc tempat tidur kerana setelah ditolak diskaun tambang dari Pasir Mas ke Kajang hampir sama dengan tambang bas ekspres.
Berselisih dengan Ekspres Senandung Timuran di Kemubu
Local train yang sudah sekian lama memberi perkhidmatan di laluan Pantai Timur khususnya kepada penduduk di luar bandar ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kepada mereka yang mempunyai ‘kecerdasan pelbagai’ yang ‘naturalist’. Saya difahamkan oleh petugas KTMB, meskipun local train tidak menguntungkan namun perkhidmatannya terpaksa diteruskan sebagai tanggungjawab sosial kepada para penduduk luar bandar, terutamanya kepada murid-murid sekolah yang tinggal di sepanjang laluan kereta api ini. Kebanyakan daripada mereka ke sekolah mengikut masa perjalanan kereta api, memandangkan itulah satu-satunya kemudahan pengangkutan awam yang terdapat di kawasan tersebut.
Pemandangan dari jambatan Kemubu
Saya hanya berpengalaman sebanyak dua kali menggunakan local train secara jarak jauh seperti dari Kuala Lipis ke Pasir Mas dan sebaliknya. Kali pertama saya menaikinya ialah pada 3 Mei 2013, selepas kereta saya terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan balik kampung. Manakala kali kedua ialah dari Pasir Mas ke Kuala Lipis pada 22 Mac 2014. Perjalanan yang bermula pada jam 5.00 pagi tersebut bagi saya tidaklah terlalu mencabar kerana sudah terbiasa dengan kesukaran dalam perjalanan menggunakan kenderaan awam. Tetapi saya merasakan bahawa sekiranya seseorang itu tidak ‘lasak’ dengan kenderaan awam, menggunakan local train adalah suatu pengalaman yang amat memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Apa tidaknya, para penumpang terpaksa berebut-rebut tempat duduk kerana tiket dijual tanpa nombor tempat duduk yang khusus sebagaimana kereta api ekspres.
Berselisih dengan Ekspres Senandung Timuran
Local train (Shuttle No. 81) yang saya naiki pada hari Sabtu, 22 Mac 2014 tersebut telah memulakan perjalanannya seawal jam 4.00 pagi dari Tumpat menuju ke destinasi akhirnya Kuala Lipis dengan jangkaan waktu ketibaan jam 11.30 pagi. Saya telah menaiki kereta api ini di stesen Pasir Mas kira-kira jam 4.40 pagi semasa orang lain masih lagi nyenyak dibuai mimpi. Namun demi tugas dan tanggungjawab, saya terpaksa berpatah balik ke Kuala Lipis pada awal pagi tersebut setelah menghantar keluarga di kampung kira-kira jam 10.30 malam pada sebelah malamnya. Saya telah meninggalkan kereta untuk kegunaan mereka semasa di kampung yang menyebabkan saya kena menaiki kereta api untuk balik semula ke tempat bertugas. Namun demikian disebabkan musim cuti sekolah, maka saya terpaksa menaiki local train setelah mendapati semua tiket kereta api ekspres telah habis dijual.
Berselisih dengan Ekspres Senandung Wau di Bertam Baru
Selepas stesen Pasir Mas kereta api ini berhenti di perhentian To’ Uban, kemudian di stesen Tanah Merah pada jam 5.05 pagi, perhentian Temangan, stesen Kuala Krai, Manik Urai, Kg. Baru Sungai Mengkuang, Ulu Temiang, Kg. Baru Bukit Abu, Bukit Abu, Kuala Gris, Dabong dan tiba di Kemubu kira-kira jam 7.15 pagi. Di Kemubu local train ini telah berhenti kira-kira 45 minit untuk memberi laluan kepada Ekspres Senandung Wau ke Tumpat yang bertolak dari KL Sentral kira-kira jam 8.30 malam. Di sini ada di antara penumpang yang turun sekejap untuk bersarapan di deretan kedai kopi yang terletak berhampiran dengan stesen tersebut. Berhenti dan menunggu untuk memberi laluan kepada kereta api ekspres ini juga memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dalam kalangan penumpang, terutamanya bagi mereka yang mempunyai urusan penting. Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana trek landasan kereta api bagi laluan pantai timur merupakan trek landasan tunggal, tidak trek landasan berkembar sebagaimana yang terdapat di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Barangan penumpang di tempat duduk
Setelah berselisih di stesen tersebut, kira-kira jam 8.00 pagi local train ini menyambungkan perjalanan semula melalui perhentian dan stesen Sri Jaya, Sri Mahligai, Sri Bintang, Sungai Tasin, Jerek Baru, Bertam dan pada jam 8.50 pagi berhenti lagi di perhentian Bertam Baru untuk memberi laluan kepada Ekspres Senandung Timuran dari Singapura ke Tumpat yang bertolak dari Woodlands kira-kira jam 8.00 malam. Di perhentian ini local train yang saya naiki telah berhenti lebih lama iaitu hampir sejam, yang mungkin disebabkan oleh kedudukan Ekspres Senandung Timuran pada masa itu masih berada jauh daripada lokasi ini. Kereta api hanya boleh berselisih di stesen-stesen yang mempunyai lebih daripada satu trek landasan sahaja.
Para penumpang turun
Pada sepanjang perjalanan ini saya berpengalaman melihat bagaimana kegigihan para peniaga wanita yang membawa hasil pertanian mereka ke pekan-pekan yang berhampiran untuk dijual. Apa yang menarik mereka boleh duduk di celah-celah barangan tersebut sambil mengagihkan ke dalam plastik-plastik kecil untuk memudahkan mereka menjualnya setiba di destinasi nanti. Mereka juga terus menjual hasil-hasil pertanian tersebut sekiranya terdapat para penumpang yang ingin membelinya. Di antara barangan yang dibawa untuk dijual ialah buah-buahan tempatan, ikan sungai dan udang galah, sayur-sayuran dan ulam-ulaman kampung seperti petai, jering dan kerdas, ubi kayu dan keledek, malah ada juga ayam kampung. Keunikan aktiviti sosioekonomi yang terdapat dalam local train ini rasanya sukar didapati di mana-mana tempat di negara ini.
Barangan penumpang
Local train No. 91 ini bertolak dari stesen Bertam Baru kira-kira jam 9.45 pagi ke perhentian seterusnya iaitu Limau Kasturi, Sungai Sirian, Kampung Sungai Sirian, Sungai Koyan, Pan Malayan dan tiba di stesen Gua Musang kira-kira jam 10.50 pagi, lewat hampir sejam setengah daripada jadual asalnya iaitu jam 9.36 pagi. Jam 11.00 pagi kereta api ini bertolak dari stesen Gua Musang melalui stesen Merapoh, perhentian Telok Gunong, Kubang Rusa, Sungai Temau, Chegar Perah, Aur Gading, Kampung Berkam, Bukit Betong, Telang, stesen Padang Tengku dan tiba di stesen Kuala Lipis pada jam 12.40 tengah hari. Perjalanan yang mengambil masa lebih daripada 8 jam ini tentunya amat memenatkan, namun sekiranya anda seorang yang tergolong dalam kategori yang meminati kembara dan cenderung kepada ‘naturalist’ dan ‘sosiologist’ maka ia tentu menyeronokkan. Sekian.

Tiada ulasan: