Cuti pertengahan tahun IPG kali ini yang bermula pada 28 Mei hingga 22 Jun 2014 merupakan cuti yang paling padat bagi saya. Cuti selama 3 minggu itu dipenuhi dengan agenda rasmi tugas hakiki dan agenda peribadi yang kebetulan berlaku pada musim cuti ini. Antara agenda rasmi yang melibatkan musim cuti kali ini ialah mengajar Kursus Dalam Cuti (KDC) pada 28-29 Mei 2014, memantau kursus anjuran Unit Latihan Dalam Perkhidmatan pada 28-30 Jun 2014 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), Kuantan, Pahang dan perarakan akademik Majlis Konvokesyen IPGM Kali Ke-4 di IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur. Saya terpaksa menggantikan dengan orang lain untuk perarakan akademik konvokesyen kali ini kerana pada masa yang sama terpaksa mengiringi anak ketiga kami yang menerima ijazah di majlis konvokesyen tersebut.
Sebaik sahaja selesai tugas pada tengah hari 30 Jun 2014 di BTP, Kuantan saya bergegas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri taklimat Kursus Bahasa Arab di Universiti Malaya, Kuala Lumpur yang saya cadang untuk mengikutinya. Namun disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, maka saya tidak dapat menghadiri taklimat kursus itu tetapi dapat menyelesaikan satu urusan akademik yang lain di bandar raya yang sibuk pada awal cuti tersebut. Pada petang 31 Mei 2014 pula saya bergegas pulang ke Kuala Lipis kerana pada keesokan harinya, iaitu pada 1 Jun 2014 saya akan balik kampung untuk membuat persediaan majlis perkahwinan anak perempuan kedua kami pada 8 Jun 2014 dan memenuhi kira-kira hampir 10 jemputan kahwin saudara mara lain yang telah bermula pada 31 Mei sehingga yang terakhir pada 14 Jun 2014. Namun oleh kerana kami balik pada 1 Jun, maka kenduri kahwin di rumah sepupu sebelah isteri pada 31 Mei telah terlepas.
Pada 2 Jun 2014 kami menghadiri kenduri kahwin di rumah abang ipar di Tanah Merah, Kelantan yang sehari sebelumnya turut dihadiri oleh YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri kerana secara kebetulan beliau ada tugas rasmi di daerah ini. Manakala pada 4 Jun kami terpaksa menolak jemputan untuk majlis menghantar menantu sepupu di Tumpat, Kelantan kerana menguruskan beberapa perkara perkara yang belum selesai. Pada 5 Jun 2014 kenduri kesyukuran untuk majlis kahwin anak saudara kepada adik ipar di Pasir Mas, Kelantan. Pada hari Jumaat 6 Jun 2014 terpaksa menghadiri majlis kahwin anak saudara sebelah isteri juga di Tanah Merah. Pada hari Sabtu 7 Jun kami telah mengadakan majlis solat hajat sempena majlis majlis perkahwinan anak perempuan kedua kami yang akan diadakan pada keesokan harinya, 8 Jun 2014.
Pada hari Ahad 8 Jun 2014 merupakan kemuncak kepada majlis kahwin yang kami telah hadiri kerana melibatkan majlis perkahwinan anak sendiri. Urusan jemputan kami telah selesaikan dua atau tiga minggu sebelumnya yang terdiri daripada kaum keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan setugas yang berjumlah kira-kira 400 orang, berbanding 1,000 orang jemputan semasa perkahwinan anak pertama pada tahun 2008 dahulu. Kami telah menempah makanan untuk jamuan daripada sebuah syarikat katering tempatan dengan kos RM10.00 satu kepala dengan 6 jenis menu untuk anggaran 500 orang tetamu. Alhamdulillah cukup dan dapat dinikmati dengan sempurna oleh para tetamu. Kami amat bersyukur kepada Allah SWT kerana majlis berjalan dengan lancar dan sempurna yang kami anggarkan kira-kira 95% jemputan telah hadir pada majlis tersebut, termasuk yang datang dari jauh.
Pada hari Isnin 9 Jun 2014, kami terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur kerana anak ketiga kami konvokesyen untuk Ijazah Sarjana Muda Perguruan di IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai. Kami bertolak pada jam 3.00 petang dan singgah di Kuala Lipis pada jam 8.00 malam seterusnya sambung balik perjalanan pada jam 10.00 malan dan tiba di KL pada jam 12.00 malam. Pada jam 7.30 pagi 10 Jun 2014 kami menghadiri majlis konvokesyen tersebut dan berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari. Pada sebelah petangnya kami kembali ke Kuala Lipis dan balik semula ke Kelantan pada pagi Rabu 11 Jun 2014.
Pada hari Khamis 12 Jun 2014 kami ‘menghantar menantu’ anak kedua kami di Kampung Beta Hilir, Kota Bharu, Kelantan yang majlis perkahwinannya telah berlangsung pada 8 Jun 2014. Kami ke sana dengan rombongan seramai 60 orang terdiri daripada sanak saudara dan jiran-jiran terdekat. Pada 13 Jun kami berehat dengan mengemas rumah dan sebagainya. Manakala akhir sekali pada hari Sabtu 14 Jun 2014 kami balik ke Kuala Lipis kerana pada hari Ahad keesokan harinya terpaksa menghantar anak bongsu kami ke asrama dan dua lagi anak akan balik ke KL untuk memulakan tugas setelah bercuti di kampung. Dalam perjalanan ke Kuala Lipis, kami sempat lagi singgah di majlis kenduri kahwin sepupu sebelah isteri saya di Tanah Merah. Kami tiba di Kuala Lipis pada jam 6.30 petang. Fuh lega, memang cuti kali ini amat padat bagi kami sekeluarga. Demikian adanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan