Justeru sebagai umat yang menikmati
segala anugerah Allah tersebut, maka kita wajib bersyukur kepada-Nya. Elakkan
daripada segala unsur pembaziran kerana masih ramai lagi saudara-saudara kita yang
seagama yang masih serba kekurangan. Apa salahnya kita terjemahkanlah
kesyukuran itu dengan merebut peluang-peluang keemasan yang ditawarkan kepada
kita pada sepanjang bulan yang mulia ini. Adalah amat malang sekiranya kita
menghabiskan begitu banyak wang hanya untuk melayani nafsu makan kita sahaja
sedangkan terdapat saudara-saudara kita yang tidak mempunyai apa-apa untuk
berbuka dan bersahur. Maka kepada mereka
yang sangat mampu bantulah mereka yang kurang mampu, manakala kepada yang mampu
bantulah dalam bentuk apa juga yang termampu. Sabda Rasulullah
s.a.w dalam Riwayat at-Tirmidzi bermaksud "Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan”.
Sebagai umat Islam yang
bertanggungjawab kita seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di
bulan Ramadan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan
bersedekah kerana balasan atas setiap satu kebajikan itu amat besar di sisi
Allah di hari akhirat kelak. Bersedekah bukan hanya dalam bentuk wang ringgit
sahaja, tetapi juga termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa atau
menghulurkan juadah berbuka kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa. Konsep
"memberi" (bersedekah) ini wajar diterapkan secara menyeluruh bukan
sahaja pada bulan Ramadan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana bersedekah itu
akan memberikan pengaruh yang baik kepada peribadi dan masyarakat umumnya. Selain dapat menghakis sifat kedekut dalam
diri kita bersedekah juga dapat mempereratkan lagi ikatan silaturrahim dalam kalangan
anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu. Namun apa
yang amat penting sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah swt adalah
sedekah yang ikhlas. Selamat menunaikan ibadah Ramadan dengan
penuh barakah. Sekian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan