Hari Khamis 12 Februari 2009, saya ke Sekolah Kebangsaan Sulaiman, Bentong untuk menyelia dua orang guru pelatih KPLI LPBS j-QAF Ambilan Januari 2008 iaitu Mohd Afiq Firdaus bin Mashudi dan Mohd Nazari bin Mansor. Mereka telah menjalani praktikum bermula pada 19 Januari 2009 dan akan berakhir pada 17 April 2009 iaitu selama 12 minggu. Dalam tempoh tersebut semua penyelia praktikum dikehendaki menyelia sebanyak 4 kali termasuk penyeliaan bersama Guru Pembimbing guru pelatih masing-masing.
Oleh kerana minggu ini merupakan minggu keempat mereka menjalani praktikum, maka saya terpaksa membuat penyeliaan pertama untuk mereka.Saya tiba di SK Sulaiman yang terletak kira-kira 98 km dari Kuala Lipis ini kira-kira jam 9.30 pagi. Dua orang guru pelatih tersebut telah sedia menunggu kedatangan saya kerana mereka telah dimaklumkan lebih awal. Saya kemudian dibawa berjumpa dengan Guru Besar sekolah iaitu En. Azor bin Yusof (gambar) yang baru sebulan lebih bertugas di sekolah ini. Guru Besar sebelumnya ialah Tn. Hj. Mansor bin Hj. Ridwan.
Saya sudah mengenali En. Azor kira-kira 10 bulan dahulu semasa beliau menjadi Guru Besar di SK (LKTP) Sertik, Karak. Saya mengenalinya semasa membuat penyeliaan guru pelatih KPLI LPBS j-QAF dari Institut Perguruan Kuala Terengganu (kini IPGM, Kampus Datuk Razali Ismail, Kuala Terengganu) pada 17 dan 23 April 2008 yang lalu.SK Sulaiman merupakan sekolah yang tertua dan terbesar di Daerah Bentong. Sekolah yang asalnya bernama Anglo Chinese School dan Government English School, Bentong ini kini mempunyai 67 orang guru dan 929 orang murid termasuk murid-murid Prasekolah. Oleh kerana kedudukannya yang terletak di tengah-tengah bandar Bentong, bagi saya sekolah ini merupakan contoh yang terbaik sebagai sekolah yang berbilang kaum murid-muridnya.
Saya juga amat tertarik dengan bangunan klasik (dipercayai asalnya sebuah gereja) yang masih dikekalkan dan dijadikan dewan atau gymnasium sekolah selain daripada beberapa blok bangunan lama yang masih digunakan.Jam 10.10 pagi, penyeliaan bermula di Bilik j-QAF dengan Ustaz Mohd Afiq Firdaus mengajar Pemulihan Jawi. Murid pemulihan yang diajarnya seramai 5 orang dari kelas 1 Wira, tetapi seorang didapati tidak hadir ke sekolah. Kelas tersebut berakhir pada jam 11.10 pagi. Manakala penyeliaan kedua iaitu Ustaz Mohd Nazari bermula jam 11.40 pagi dan berakhir sejam kemudian. Kelas ini mempunyai seramai 8 orang murid pemulihan, juga seorang murid tidak hadir.
Saya dapati kedua-dua orang guru pelatih ini dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik, terutama sekali Ustaz Mohd Nazari yang sudah biasa menjadi GSTT sebelum menjadi guru pelatih KPLI LPBS j-QAF mulai Januari 2008. Saya beredar dari sekolah tersebut kira-kira jam 1.00 tengah hari setelah mengadakan apa yang dikatakan dalam pencerapan klinikal ‘konferen pospemerhatian’ selepas pengajaran guru pelatih dibuat. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan