![]() |
| Stesen KTM Rantau Panjang |
Jarak kampung saya dari pekan Rantau Panjang ialah kira-kira 18
km, yang mana 12 km daripada jalan rayanya melalui
kawasan tebing Sungai Golok yang memisahkan dua negara, Malaysia dan Thailand. Kampung-kampung yang terdapat di
sepanjang jalan dari Pasir Mas ke Rantau Panjang ialah Kg.
Dangar, Kubang Badak, Banggol Chicha, Banggol Ara, Gajah Mati (kampung saya), Jakar,
Lubuk Kawah, Pohon Tanjung, Siram, Jeram Perdah, Bukit Lata, Tersang, Gual
Tok Deh, Lubok Gong, Kedap dan Kg. Dangar. Bersetentangan dengan Kampung Bukit Lata di
sebelah Thailand terdapatnya Kampung
Munok (Kampung Dato Muno atau Tambon Muno) yang merupakan tempat kunjungan penduduk daerah Pasir Mas dan kawasan-kawasan sekitarnya untuk membeli barangan keperluan harian di pasar minggu yang
diadakan pada setiap hari Isnin dan Jumaat atau dipanggil 'thalat nat Muno’. Pengkalan haram Bukit Lata di sebelah Kelantan merupakan
jeti utama bagi perahu-perahu penambang yang mengenakan tambang RM1.00 bagi
setiap penumpang dewasa untuk sehala. Di kawasan ini terdapat tidak kurang daripada 5 buah pengkalan haram yang bukan sahaja untuk orang ramai menyeberang tanpa
dokumen yang sah, tetapi juga merupakan laluan untuk kegiatan penyeludupan
barangan Thailand ke Malaysia seperti beras, kain dan pakaian, tembakau dan
sebagainya. Harga barang di Munok jauh lebih
murah berbanding di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Kota Bharu yang menyebabkan pekan kecil itu menjadi
tumpuan pada setiap hujung minggu. Para
pengunjung tidak perlu menukar wang kepada mata wang Bhat kerana semua urusniaga untuk warga Malaysia boleh menggunakan nilai Ringgit Malaysia (RM).
![]() |
| Stesen KTM Pasir Mas (1969) |
Di seberang Sungai Golok bersebelahan pekan Rantau Panjang
pula terletaknya
bandar Sungai Golok[1] (Amphoe Su-Ngai Kolok)
yang kedua-duanya
seolah-olah seperti bandar kembar. Kedua-dua
pekan ini dihubungi oleh Jambatan Muhibah Malaysia-Thailand[2] yang telah dirasmikan pada 21 Mei 1973 oleh YAB Tun Abdul
Razak bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu. Jambatan Muhibah
yang juga dikenali sebagai Jambatan Golok dibina atas usaha sama antara
kerajaan Malaysia dengan kerajaan Thailand yang menjadi lambang hubungan erat
antara rakyat dan kerajaan kedua‐dua negara. Kebanyakan
penduduk di kedua-dua belah tebing sungai dua negara ini
mempunyai pertalian keluarga yang rapat. Mereka hanya dipisahkan oleh Sungai Golok yang luasnya kurang daripada
50 meter. Hubungan kekeluargaan antara penduduk yang bersempadan dengan negara
ini dipercayai ekoran sejarah lampau antara Kelantan - Siam khususnya Wilayah Patani
dan Legeh dalam abad ke-17 dan ke-18[3]. Ada di antara keluarga sebelah ayah dan ibu saya yang
bermastautin di kampung-kampung di sepanjang jalan utama antara bandar Sungai
Golok dan pekan Takbai, seperti di Kampung Kedai Baru, Kampung Munok (Kampung Dato Muno atau Tambon Muno), Lubuk Lesung dan Kampung Dusun Nyior. Namun kini oleh kerana ketiadaan ibu
bapa dan orang tua di kedua-dua belah pihak, hubungan kami semakin agak
renggang meskipun sekali-sekala kami bertanya khabar tentang mereka.
![]() |
| Stesen Kereta Api Sungai Golok, Thailand |
![]() |
| Perhentian KTM Gual Sitok (1977) |
Sehingga kini
Thailand bukanlah menjadi tempat yang asing bagi keluarga kami kerana meskipun
tidak lagi berlaku kunjung mengunjung antara satu sama lain seperti masa dahulu
tetapi kami masih bertanya khabar. Ayah
sentiasa berpesan agar sentiasa menjaga tali
persaudaraan antara keluarga
supaya berterusan sampai bila-bila. Demikian akrabnya hubungan silaturrahim dan tali persaudaraan antara keluarga dalam masyarakat Melayu kita pada
masa dahulu berbanding hari
ini. Hubungan kekeluargaan masyarakat kita hari ini sudah semakin longgar kerana terlalu sibuk dengan tugas dan urusan peribadi masing-masing. Apa yang jelas pada hari ini kebanyakan generasi baharu tidak
lagi mengutamakan tali persaudaraan sebaliknya lebih mengutamakan apa yang mereka boleh capai
untuk diri sendiri dan melayan gajet pada setiap waktu. Fenomena ini amat
membimbangkan dari aspek kesan jangka panjangnya khususnya aspek jati diri
rakyat negara ini.
[1]
Salah satu daripada 12 daerah pentadbiran dalam wilayah Narathiwat, Thailand.
Kira-kira 82% daripada penduduk kawasan ini beragama Islam dan 18% beragama
Buddha. 80.4% daripada penduduknya bertutur dalam bahasa Melayu.
[2]
Jabatan Muhibah Kedua menghubungkan pekan Bukit Bunga dan Buketta telah
dirasmikan pada 21 Disember 2007.
[3]
Lihat Abdullah Mohamed (Nakula), Keturunan Raja-Raja Kelantan dan
Peristiwa-Peristiwa Bersejarah, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1981. Hal.
26.
[4]
Dialek Kelantan yang bermaksud ‘sebelah
Thailand’.
[5]
Perhentian kereta api pertama laluan Pasir Mas – Sungai Golok yang terletak
kira-kira 3 batu dari pekan Pasir Mas.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan