RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

30 November 2016

Cuti Sekolah, Kenduri Kahwin dan Hubungan Silaturrahim

12 Disember 2008
Cuti akhir tahun bagi sesi persekolahan kali ini telah bermula pada 26 November 2016 dan akan berakhir pada 2 Januari 2017. Cuti selama kira-kira 5 minggu ini seharusnya dipenuhi dengan agenda-agenda yang berfaedah kepada semua, khususnya kepada anak-anak yang masih bersekolah. Pada masa cuti sekolah inilah juga peluang untuk balik kampung bagi mereka yang bertugas di perantauan dan mereka yang masih mempunyai keluarga terdekat iaitu ayah dan ibu serta adik-beradik. Bagi mereka yang bekerja di tempat sendiri pula, pada musim cuti panjang inilah peluang untuk mereka membawa keluarga berjalan-jalan makan angin atau paling tidak menziarahi kaum keluarga yang jauh. Sama ada balik kampung atau berjalan-jalan makan angin semuanya akan memberi pengalaman yang bermanfaat kepada anak-anak, khususnya anak-anak zaman ini yang sudah semakin jauh dari kaum keluarga. Maka ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mendekatkan mereka dengan kaum keluarga yang mereka tidak pernah kenal atau bertemu sebelum ini.
8 Jun 2014
Majlis kenduri kahwin merupakan salah satu medan terbaik untuk kita merapatkan tali persaudaraan dengan saudara mara yang telah sekian lama terpisah jauh. Pada musim cuti ini sekiranya kita menerima undangan untuk menghadiri majlis tersebut daripada saudara mara di kampung atau di mana-mana sahaja, maka luangkanlah sedikit masa untuk menghadirinya bersama-sama semua ahli keluarga kita. Kedatangan kita bukan sahaja dapat meraikan atau memenuhi undangan tersebut, tetapi juga dapat memperkenalkan anak-anak kita kepada saudara mara yang turut menghadiri majlis tersebut. Dengan cara ini dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan yang semakin dipandang remeh oleh generasi baharu yang bakal mewarisi generasi kita pada masa akan datang. Kebanyakan daripada mereka lebih senang dengan cara kehidupan mereka sendiri yang mereka anggap sebagai privasi tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada institusi keluarga masing-masing pada masa akan datang.
22 November 2015
Pada musim cuti sekolah kali ini kami telah menerima sebanyak 5 undangan majlis kenduri kahwin iaitu pada 27 November 2016 (Ahad) di Raub, 10 Disember 2016 (Sabtu) di Kuala Lipis dan di Gua Musang, 11 Disember 2016 (Ahad) di Kuala Lipis dan pada 16 Disember 2016 (Jumaat) di Pengkalan Chepa, Kelantan. InsyaAllah sekiranya tiada aral melintang kami akan meluangkan sedikit masa untuk menghadiri kesemua undangan itu memandangkan kesemua majlis tersebut diadakan pada musim cuti panjang ini. Semasa bertugas di Kelantan dahulu pada setiap kali musim cuti panjang biasanya kami akan menerima sekurang-kurang 10 undangan majlis kenduri kahwin daripada saudara mara atau sahabat handai. Ini mendekatkan lagi hubungan kami sama ada dari sudut persahabatan ataupun dari sudut persaudaraan.
29 November 2015
Kami juga pernah berpengalaman mengadakan majlis kenduri kahwin anak-anak perempuan kami sebanyak 3 kali iaitu majlis kenduri kahwin untuk anak pertama pada 12 Disember 2008 di Kelantan, manakala majlis kenduri kahwin untuk anak kedua pada 8 Jun 2014 juga di Kelantan dan majlis kenduri kahwin untuk anak ketiga pada 22 November 2015 di Kuala Lipis, Pahang. Kami amat bersyukur kepada Allah swt kerana ketiga-tiga majlis yang kami adakan itu berjalan dengan lancar dan sempurna yang kami anggarkan dihadiri oleh kira-kira 95% daripada jemputan yang kami undang, termasuk saudara-mara dan kawan-kawan yang datang dari jauh. Terima kasih kepada semua sanak saudara, rakan-rakan dan semua pihak yang telah sama-sama memeriahkan majlis kami di samping kita dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara satu sama lain.
Untuk itu, sebaik-baiknya kita penuhilah semua undangan majlis kenduri kahwin yang kita terima itu dengan hati yang terbuka dengan dua nawaitu iaitu pertamanya sebagai meraikan dan memeriahkan majlis pengundangnya, dan keduanya sebagai jambatan untuk mengeratkan hubungan persahabatan atau kekeluargaan antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud “Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim”. [Muttafaqun ‘alaihi]. Sekian.

Tiada ulasan: